Thursday, January 21, 2010


Ada masanya menulis tesis menghadapi kebuntuan idea, buntu bagaimana nak memulakannya. Satu sub topik ini, telah satu bulan belum dapat idea bagaimana nak memulakannya... kemungkinan maklumat yang hendak ditulis belum mencukupi lagi...perlu lebih kerap ke Arkib Negara menyelongkar akhbar lama, fail, dokumen, buku berkaitan untuk mengumpul maklumat.

Belajar peringkat PhD menuntut kita lebih berdikari tanpa bergantung kepada arahan penyelia. Sudah setahun saya menyambung pengajian, sampai hari ini, kedua-dua penyelia belum memberi komen tentang apa yang saya tulis. Mereka membiarkan saya meneroka sendiri. Ada masanya timbul persoalan dalam fikiran, apakah penerokaan tersebut berada pada landasan yang betul . Saya sudah menulis lebih dari 250 muka surat. Kedua-dua penyelia memberi tahu bahawa saya tiada masalah dalam penulisan, cuma perlu disesuaikan mengikut tahap PhD. dan methodologi penulisan sejarah. Mereka berharap saya dapat menyiapkan kajian dalam masa tiga tahun. Saya tidak pasti apakah saya mampu melakukannya. Masa sangat cepat berlalu. Kadang kala masalah harian banyak menganggu tumpuan pengajian.

Semenjak rumah dimasuki penyamun pada bulan 10 dahulu, tumpuan saya banyak terganggu. Lebih-lebih lagi selang dua minggu para penyamun tersebut terus mengganas di kawasan perumahan kami. Sehingga hari ini, sudah tiga buah rumah jiran berjaya diceroboh masuk (dua buah rumah gagal dicerobohi), sekitar jam 3 hingga 4 pagi. Ia memberi kesan phobia kepada penduduk setempat. Banyak wang telah dihabiskan untuk tujuan peningkatan keselamatan rumah. Pengawal Keselamatan sudah ada, membuat rondaan,lebih-lebih lagi seluruh kawasan perumahan berpagar (lihat gambar) tetapi masih berjaya dicerobohi. Keadaan ini mendorong kami membuat rodaan sendiri secara bergilir-gilir mulai pukul 3 pagi sehingga 5 pagi di sekitar kawasan perumahan. Kami berdoa agar para penyamun bertopeng tersebut akan akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Kebatilan tidak akan kekal lama..

Inilah harga sebuah pembangunan. Ia melahirkan manusia yang semakin rakus, tamak, mahu cepat kaya, tidak berperikemanusiaan. Kerana segelintir manusia hari ini telah menjadikan materialistik dan hawa nafsu mereka sebagai "tuhan-tuhan baru" yang mereka sembah. Pembangunan hari ini berjaya membina tamadun kebendaan, berjaya membina bangunan mencakar langit dan kecanggihan teknologi tetapi nilai kemanusiaan dan kasih sayang semakin punah. Akhirnya manusia hidup dilingkungi ketakutan dan kerosakan...akibat dari 'tangan-tangan' manusia jua. Apabila Allah menurunkan peringatanNya seperti di Haiti, Acheh dan Padang barulah manusia akan insaf akan kerosakan yang diakibatkan oleh perbuatan mereka sendiri. Bukan Allah yang menzalimi hambaNya, tetapi manusia itu sendiri yang menzalimi dirinya mereka sendiri. Takala itu, barulah mereka merintih dan mencari agama bagi mencari jalan keluar di atas penderitaan dan kesengsaraan yang mereka deritai..itupun kalau mereka ingin insaf dan membetulkan kesalahan apa yang telah mereka lakukan... sebahagiannya pula akan terus kufur dan semakin jauh dari Allah.


2 comments:

seroja said...

as salam..
jika ini post tuan ketika bertarikh itu, saya sedang mengalami keadaan yang sama pada tarikh sekarang..
apa perlu saya lakukan, jika tuan mampu utk membantu saya?

ABDUL HALIM BIN RAMLI said...

Apa yang boleh saya nasihatkan anda ialah sentiasa berfikiran positif. Jangan mudah berputus asa dengan cabaran yang sedang dihadapi. Cuba ubah pendekatan yang digunakan dalam proses penyelidikan, sentiasa meminta pandangan orang lain, khususnya yang pakar dalam bidang yang dikaji. Kosisten dalam jadual harian. Beriadah pada setiap hari untuk mengembalikan kecergasan fizikal dan mental. Dan yang lebih penting sekali jangan putus berdoa kepada Allah supaya memberikan ketenangan, kekuatan dan jalan keluar dari kebuntuan. Dampingi al-Quran. Kerana ia memberi kekuatan rohani yang amat penting menghadapi tekanan. saya sudah mengalami cabaran2 tersebut. Saya amat memahami situasi yang sedang anda lalui. Alhamdulillah dengan kekuatan yang diberi Allah, saya berjaya menghabiskan PhD dalam masa 3 tahun setengah sahaja.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...