Friday, November 7, 2008

Yoga bercanggah dengan Islam?

Tulisan Dr. Fatah Haron Ibrahim (seorang pengkaji ajaran sesat dari Fakulti Pengajian Islam, UKM) dalam Utusan Malaysia, Jumaat 7 November 2008 bertajuk “Yoga bercanggah dengan Islam?" menarik perhatian saya. Dalam rencana itu, beliau menyebutkan “secara tidak langsung dan tanpa disedari senaman Yoga ini mendorong orang Islam bakal murtad menganut wahdatul al-wujud Hindu. Agama Kristian ada bersefahaman dengan Hindu dalam masalah amalan senaman Yoga. Islam tidak”. Yoga menurut analisis beliau mengajarkan tentang mystical union atau wahdatul wujud atau penyatuan roh individu dengan Tuhan atau penyatuan antara Atma dengan Brahma (Dewa pencipta mengikut Hindu) yang dapat dilakukan melalui amalan meditasi dan mengikut disiplin seperti yang diajarkan oleh Yoga. Dalam ajaran Hinduisme kehidupan di dunia ini merupakan satu kesengsaraan kerana seseorang itu akan menghadapi kelahiran semula yang berulang-ulang selagi mana mereka tidak mencapai tahap Nirvana. Lingkaran kelahiran semula dinamakan Samsara. Oleh sebab kehidupan ini sebagai satu kesangsaraan, maka penganut-penganut Hindu berharap akan dapat terlepas daripada rantian kelahiran semula. Kebebasan dari rantian kelahiran semula dinamakan sebagai Mokhsa. Mokhsa ialah keadaan yang dicapai oleh manusia apabila ia mengetahui tentang jiwanya sendiri. Mokhsa tercapai apabila terlepasnya Atman (essensi Brahman yang wujud dalam setiap individu) dari tubuh, dengan itu ia akan dapat bersatu dengan Brahman.

Rencana yang ditulis oleh Dr. Fatah tersebut bagi orang biasa memang sukar untuk memahaminya. Apa tah lagi beliau membicarakan bersama faham Wahdatul Wujud yang menjadi isu kontraversi dalam sejarah perkembangan tasawwuf Islam. Fahaman ini dikaitkan dengan Ibn Arabiyy dan al-Hallaj, walaupun ada kajian Ulamak menafikan Ibn Arabiy menganut fahaman Wahdatul Wujud. Hal ini disebutkan oleh Prof. Dr. Su’ad al-Hakim bahawa fahaman Wahdatul Wujud yang disandarkan kepada Ibn Arabiy sebenarnya bukanlah berasal dari beliau. Yang menggembar gemburkan fahaman ini ialah para pengkaji pemikiran beliau yang menyenaraikan Ibn Arabiy sebagai salah seorang dari kalangan yang menganut faham tersebut. Ibn Arabiy tidak pernah menggunakan istilah tersebut. Beliau menggunakan istilah al-Wujud al-Haqq iaitu hanya Allah sahaja wujud yang hakiki. Yang lain hanyalah wujud khayali atau wujud makhluk hanyalah bayangan kepada al-Wujud al-Haqq. Ada yang berpendapat Ibn Taymiyyah adalah orang yang pertama mempopularkan istilah ini dalam risalah-risalahnya untuk menghentam golongan tasawwuf (Sulaiman Ibrahim, 2004).
Faham Wahdatul Wujud ini mengikut setengah ulamak adalah pengaruh dari ajaran bukan Islam. Dengan sebab itu, di India telah lahir beberapa ulamak melakukan tajdid iaitu membersihkan aqidah umat Islam dari ajaran khurafat dan bidah. Antara ulama yang terkenal melakukan tajdid ialah Imam Ahmad bin Abdur Rahim yang lebih dikenali sebagai Syah Waliyyullah Ad-Dahlawi (1703-1763 M). Beliau lahir empat tahun selepas kematian Aurangzeb di pinggiran kota Delhi. Beliau telah mendedahkan kemungkaran-kemungkaran, elemen-elemen kemulhidan yang bercampuraduk dan mengotorkan kepercayaan, moral, pemikiran, ilmu pengetahuan, tamadun dan pemikiran politik umat Islam. Permasalahan tersebut dari analisis beliau berpunca dari dua perkara pokok, iaitu pemindahan kuasa politik daripada kekhalifahan kepada sistem monarki dan kelenyapan semangat jihad dan dominasi taqlid ke atas pemikiran umat Islam. Rasa sedih Shah Waliyullah telah dizahirkan melalui karya-karyanya seperti Izalatul Khafa’, Hujjatullah al-Balighah, al-Budur Al-Bazi’ah, Al-Musawwa dan Al-Musaffa. Beliau telah memaparkan penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh umat Islam, antaranya; cara berfikir yang sesat akibat meresapnya ilmu pengetahuan Yunani, penyembahan terhadap intuisi (terlalu mementingkan tafsiran berbentuk batin) yang menjadi amalan para sufi, termasuk kiasan-kiasan sufi, membuat tafsiran sendiri terhadap maksud ayat-ayat al-Qur’an, melakukan amalan khurafat seperti membuat sambutan khusus setiap 10 Muharam, tidak mengeluarkan zakat, menjadikan kubur orang-orang suci sebagai tempat pemujaan (lihat S.Abul A’la Maududi, 1988).

1 comment:

Dziauddin said...

Ustaz,
Ada juga yoga yang cenderung untuk mengosongkan pemikiran mereka semasa aktivit tersebut dan mereka mengatakan ini ialah yoga yang tidak bercampur dengan amalan hinduism. Namun bagi saya, mengosongkan pemikiran pun tidak boleh kerana pemikiran yang kosong akan diisi oleh hasutan-hasutan syaitan dan iblis. Yg ada hanyalah pemikiran yang bertumpu kepada Allah swt. Apa pendapat ustaz?

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...