Wednesday, November 26, 2008

Ulong Usop@Cikgu Usop

Semalam tanggal 25 November 2008 kembalinya Yusof bin Abdul Rahman ke rahmatullah sekitar jam 2.00 pagi di rumahnya di Kampung Seri Melenggang, Padang Lebar. Beliau dilahirkan pada tahun 1917, dan ketika meninggal dunia, beliau berusia 92 tahun, satu-satunya lelaki tertua di kampung ini yang masih hidup sehingga semalam. Beliau dikenali oleh anak-anak buahnya dengan panggilan ulong Usop dan masyarakat sekitar memanggilnya cikgu Usop. Mendapat didikan di SITC, Tanjung Malim, Perak pada tahun 1930-an dan semasa penjajahan Jepun, beliau di hantar ke Singapura untuk mendapat latihan perguruan Jepun. Keperibadiannya sehingga beliau besara melambangkan imej guru Melayu tradisional yang berperwatak tegas, berdisplin dan mengambil berat hal-hal anak buah dan masyarakat sekitar.

Kembalinya beliau ke rahmatullah satu kehilangan besar bagi keluarga kami. Beliau sentiasa dihormati oleh anak-anak buahnya kerana sikap keperhatiannya terhadap waris keturunannya dan sentiasa memberi pandangan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit sama ada berhubung soal perkahwinan, harta atau kekeluargaan. Setiap tahun menjelang hari raya, rumahnya tidak putus-putus dikunjungi oleh anak-anak buah dan cucu cicit dari jurai keturunan Mariam binti Sitam.

Walaupun sudah berusia 92 tahun, pemikirannya masih baik dan mampu melakukan amal ibadah. Satu amalan yang konsisten dilakukannya bangun sebelum masuk subuh dan menghabiskan masa dengan solat sunat dan zikir. Beliau juga suka melakukan puasa sunat. Dengan sebab itu walaupun usiannya mencecah 92 tahun, namun beliau masih bertenaga melakukan amal ibadah dan tidak menghidapi penyakit kronik. Sebelum beliau kembali ke rahmatullah, sempat mengimami solat bersama isterinya yang kini juga sedang uzur. Sempat berbicara dengan anak-anaknya sambil memakan kuih jemput-jemput. Namun, ajal maut adalah rahsia Allah, sekitar pukul 2.00 pagil malaikat memanggilnya mengadapi Ilahi. Ketika dimandikan, saya melihat wajahnya yang tenang...

Banyak dari pengalaman hidupnya yang tidak dapat saya cungkil. Kematiannya meninggalkan satu kekesalan kepada diri saya kerana tidak merekodkan pengalaman hidupnya untuk dikongsi oleh warisnya pada masa hadapan. Lebih-lebih lagi, beliau telah menempuhi fasal-fasal hidup merentasi beberapa zaman, iaitu zaman penjajahan Inggeris, Jepun, menyaksikan kekejaman Komunis dan melihat kemajuan negaranya sehingga hari ini.

Sebagai seorang pendidik, beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan ditakuti oleh anak-anak muridnya, lebih-lebih lagi dengan jawatannya sebagai Guru Besar. Satu imej klasik pendidik Melayu zaman lampau. Beliau tentunya telah berjaya mendidik ribuan pelajar Melayu yang berjaya dalam hidup masing-masing. Beliau memulakan tugas seorang guru menempuhi kesukaran zamanya. Berbasikal berbatu-batu, merempuh denai dan merentasi hutan bagi mendidik anak bangsa satu pengalaman yang tidak lagi ditempuh oleh para pendidik zaman ini.

Ketika imam membaca talqin di atas pusaranya, terasa betapa kerdilnya manusia. Ibarat musafir yang keletihan, berehat sementara di bawah pepohon untuk menghilangkan keletihan sebelum meneruskan perjalanan yang masih panjang. Begitulah misalan kehidupan di dunia ini yang sementara, sedangkan perjalanan hidup yang abadi dan berpanjangan adalah di akhirat. Hanya amal solih, jasa dan pergorbanan yang terus kekal abadi yang menjadi teman di alam barzakh. Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Amin....

1 comment:

Dziauddin said...

Mariam binti Sitam..nama yang agak familiar..mungkin ayah saya begitu mengenali beliau..balik kg nanti saya mesti tanya. Apapun ustaz, cerita ttg kehidupan yang ustaz buat mmg "touching"..ustaz patut buat buku ttgnya.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...