Monday, November 24, 2008

Materialisme Dalam Tamadun Barat Moden

  • Materialisme sebenarnya hampir mendominasi segala pandangan dan pemikiran dalam tamadun barat. Pandangan ini dapat kita buktikan melalui perkembangan sejarah awal tamadun Barat yang bermula semenjak berlakunya zaman Renaissance di Eropah iaitu di sekitar abad ke 16 M, di mana penjelmaan kembali peradaban materialistic Yunani ke dalam alam pemikiran ahli falsafah Barat yang mahu membebaskan diri mereka daripada kongkongan teologi Kristianiti yang didakwa mengongkong kebebasan berfikir dan bertindak. Maka bermula dari saat itulah tamadun Barat telah dikuasai oleh agama baru, iaitu pandangan hidup yang bersifat materialistic yang terjelma dalam bentuk falsafah.
  • Gerakan-gerakan ke arah ‘melahirkan semula’ peradaban materialistik Yunani, telah dipelopori oleh golongan-golongan intelektual Eropah yang begitu kagum serta memuja peradaban Yunani dan Rom dengan tidak membuat sebarang kritikan. Ia juga bererti kelahiran atau kebangkitan semula serta memperbaharui semula paganism atau pandangan yang menolak agama atau sekularisme (Maryem Jameelah, 1975:4). Perkara ini berlaku disebabkan hakikat sebenar falsafah Greek/Yunani kuno didirikan di atas dasar bahawa kesempurnaan, keharmonian masyarakat hanya boleh dicapai melalui keintelektualan, penggunaan rasional manusia tanpa bantuan daripada Tuhan. Idea Greek yang secular inilah yang ditinggalkannya dan akhirnya menjadi satu tema yang pokok di dalam tamadun Barat hari ini.

    Akhirnya rasional menjadi kuasa penentu dalam setiap perkara yang diputuskan oleh ahli falsafah Barat, manakala dimensi spiritual diketepikan dan tidak mendapat tempat di dalam tamadun Barat. Falsafah materialism kemudiannya menjadi peradaban dalam pemikiran intelektual. Ahli falsafah Barat, pelajar-pelajar, ahli sains sosial dan ahli moralnya mula memperjuangkan intelektualisme di dalam abad ke 17 M, mereka mengisytiharkan bahawa segala sesuatu yang tidak boleh dibukktikan, diukur, diketahui beratnya atau isi kandungannya tidak boleh diterima dan memandang bahawa segala sesuatu itu tidak dikatakan moral jika tidak mempunyai utilitinya (Abul Hassan ali Nadwi, 1970:62). Penggunaan rasional ini secara mutlak dalam mensabitkan sesuatu perkara, sama ada boleh diterima atau tidak, sebenarnya menjadikan material sebagai ‘agama’ baru bagi tamadun Barat dan masyarakatnya. Perkara ini dijelaskan oleh Muhamad Asad yang memandang kehidupan materialistic masyarakat Eropah sama ada atas nama demokrasi, fascist, kapitalis, Bolshevik mahupun buruh atau intelek, mereka menyembah kemajuan material sebagai agama baru. Berhala bagi agama baru ini adalah kilang-kilang besar, panggung wayang, makmal kimia, ruang tari menari dan biaranya pula adalah bank-bank, jurutera dan bintang-bintang filem.
  • Keadaan masyarakat Barat yang disebutkan oleh Muhamad Asad tersebut merupakan produk yang dihasilkan oleh falsafah materialism Barat. Ia adalah akibat dar penyisihan dimensi spiritual dalam kehidupan manusia. Masyarakat Barat telah menyisihkan peranan agama di dalam menjawab persoalan-persoalan kehidupan dengan menggantikannya dengan kekuasaan sains yang kononnya boleh menjawab kesemua permasalahan hidup manusia seperti yang ditegaskan oleh aliran positivism yang dikemukakan oleh Auguste Comte dalam penafsirannya mengenai sejarah manusia. Comte telah membahagikan sejarah manusia berkembang dalam tiga peringkat, iaitu peringkat pertama iaitu peringkat agama, peringkat kedua adalah peringkat falsafah dan peringkat ketiga adalah peringkat saintifik atau positive. Menurutnya lagi, manusia tidak perlu kembali kepada peringkat pertama (agama), kerana sains sekarang boleh menjawab seluruh masalah hidup dan sains boleh menggantikan agama dan falsafah (Feibleman, 1975:163-164).
  • Dengan menjadikan sains sebagai kuasa penentu dan penyelesaian segala masalah hidup manusia bermakna menjadikan empirikal atau data-data yang diperolehi oleh indera manusia sebagai asas keesahan segala sesuatu. Penafsiran bergini menjadikan segala sesuatu yang bersifat metafizik atau rohani tidak mendapat tempat dalam kehidupan manusia. Akibatnya manusia hanya bergantung sepenuhnya kepada kuasa material sebagai penentu kehidupan mereka. Ketandusan dimensi spiritual dalam tamadun Barat akhirnya mulai dirasai oleh masyarakatnya. Di Barat semakin banyak perhatian tertuju kepada metafizik dan spiritual Timur dan semakin ramai orang-orang Barat yang rajin mencari buku-buku pertunjuk, syair-syair atau muzik-muzik yang berhubung sufisme atau aliran kerohanian. Ini menunjukkan bahawa di dalam diri manusia itu ada satu sifat yang tidak berubah dan diperlukan. Sifat manusia yang kekal ini mungkin sahaja hilang buat sementara waktu, tetapi tidak dapat ditiadakan untuk selama-lamanya. Ahli falsafah rasionalis Barat abad ke 18 dan ke 19 M tidak pernah bermimpi bahawa dalam satu atau dua abad kemudian, terdapat dengan banyaknya manusia Barat yang mula tertarik dengan agama, metafizik dan kosmologi (Syed Hosein Nasr, 1975:50).
  • Di dalam sistem ekonomi Barat, walaupun sistem sosialisme dan komunisme adalah manifestasi idea-idea Marxisme yang bersifat materialisme, ini tidaklah bererti sistem Liberal-Kapitalisme yang hari ini mendominasi sistem ekonomi Barat dan dunia tidak termasuk dalam sistem ekonomi yang bersifat materialisme. Sebenarnya, kedua-dua sistem ini walaupun berbeza dari bentuk lahirnya, namun kedua-duanya menganggap manusia sebagai 'binatang ekonomi'. Penampilan mereka yang berbeza mencerminkan persoalan siapa di antara mereka yang berjaya dalam memenuhi keperluan hidup 'binatang' ini. Ekonomisme adalah prinsip dasar falsafah kehidupan dalam masyarakat kapitalis industri Barat, tepat seperti yang dikatakan oleh Francis Becon bahawa ilmu telah meninggalkan pencarian kebenaran dan beralih kepada mencari kekuatan. Keperluan material yang ditumbuhkan setiap hari secara beransur-ansur semakin besar menyebabkan manusia menjadi penyembah barangan atau kepengunaan (Ali Shariati, 1980:32).
  • Sistem ekonomi Kapitalis yang berdiri di atas konsep-konsep kebebasan individu, hak milik persendirian, persaingan bebas dan ketidakterlibatan pemerintah dalam kegiatan ekonomi bukan sahaja telah mewujudkan sistem Kapitalisme tetapi tetap merupakan satu sistem penindasan dan kejam. Ia telah mewujudkan masyarakat berkelas, penindasan terhadap kanak-kanak dan wanita, pengangguran, kemiskinan dan kebuluran. Ini disebabkan keadaan individu dibiarkan bebas untuk memiliki harta tanpa sekatan dari masyarakat dan pemerintah. Maka timbulah satu golongan pembolot yang menguasai punca-punca pengeluaran, dengan kekuasaan ini mereka memeras tenaga pekerja untuk mendapat nilai lebihan atau keuntungan berlipat kali ganda (Kasim Ahmad, 1984:21).
  • Baik sistem ekonomi Liberal-Kapitalis mahupun Sosialisme dan Komunisme, masing-masing mempunyai persamaan dari segi pentafsiran falsafah materialisme. Sistem Liberal-Kapitalisme menafsirkan materialisme dari sudut golongan atau kelas borjuis manakala sistem ekonomi Komunisme menafsirkan materialisme dari sudut golongan proletar atau pekerja. Kedua-dua sistem ini walaupun tumbuh dan berkembang di atas nama kemanusiaan dan keadilan, namun hakikat sebenarnya adalah mengarah kepada kerosakan dan kemerosotan nilai kemanusiaan yang disifatkan oleh Ali Shari'ati sebagai malapetaka dunia moden. Apa yang disebutkan oleh Ali Sharia'ti ini memang berasas apabila kedua-dua sistem ini telah gagal mewujudkan oder dunia yang adil dan membawa kebahagiaan hidup kepada umat manusia sejagat. Komunisme telah ditolak oleh rakyat Soviet Union, manakala sistem Kapitalisme hari ini telah membawa kehancuran kepada sistem kewangan dunia sehingga membawa kemuflisan beberapa syarikat gergasi Amerika dan menimbulkan huru hara dalam sistem ekonomi dan kewangan global serta meningkatkan lagi kadar pengangguran dan kemiskinan masyarakat dunia.
  • Alam pemikiran dan pandangan Barat yang disaluti materialisme turut mengheret pemikir moralnya menghidupkan kembali konsep moral Epiqureanism. Konsep moral Epiqureanism ini adalah satu aliran yang ditegakan oleh Epiqurus yang dilahirkan di Somor pada 341 S.M. Aliran ini diwujudkan bagi membebaskan manusia dari ketakutan agama, yang mana ketakutan agama itulah yang menjadi penghalang untuk manusia memperolehi kebahagiaan dan kesenangan hidup (Mohammad hatta, 1980:144). Aliran moral Epiqurus ini juga menyarankan supaya berbuat baik sekadar yang tercapai oleh manusia dengan tujuan untuk mencari kesenangan hidup. Kewujudan kod moral secara Epiqurus ini sangat jelas dalam sistem ekonomi Kapitalis dan sistem politik yang berbentuk imperialisme (Abul Hasan Ali Nadwi:65). Melalui kod moral ini membenarkan individu dan masyarakat mencari kekayaan dan kemewahan harta benda tanpa melihat cara bagaimana ia diperolehi, sama ada secara haram atau tidak. Yang penting bagi mereka adalah nafsu ketamakan mereka dipenuhi. Dengan itu, berlakulah penindasan secara berleluasa terhadap golongan pekerja oleh golongan pemodal kapitalis demi untuk mendapatkan semaksima mungkin keuntungan. Begitu juga dalam konteks politik imperialisme di mana cara atau perbuatan dibenarkan asalkan ia mencapai matlamat yang dicita-citakan. Berlaku penindasan terhadap rakyat yang dijajah dan eksploitasi ekonomi oleh pihak penjajah. Idea ini mempunyai keselarasan dengan aliran politik Machievellism yang menekankan idea politik yang berasaskan kepada setiap perbuatan yang dilakukan oleh sesebuah negara adalah dibenarkan terutama di dalam menyangkut hubungan dengan negara luar (D.d.Runes, 1970:186). Salah satu konsep penting dalam kod moral Machevelli ialah the end justifies the means atau "matlamat menghalalkan cara". Melalui teori politik ini apa sahaja cara harus digunakan tanpa mengira sama ada perkara itu dicapai melalui penipuan atau menyalahi undang-undang. Kekuasaan politik bagi Machiavelli boleh dicapai tanpa mengira atau memperhitungkan nilai moral yang standard atau kirekteria etika. Baginya, undang-undang atau peraturan hendaklah mempunyai sifat seperti serigala dan singa di dalam menakutkan musuhnya (Shakian:1968:121-122).
  • Melalui kod moral Epiqurus dan pendekatan Machevelli inilah Barat menjajah negara-negara Islam terutamanya, yang menyaksikan berlakunya eksplotasi ekonomi dan memenuhi matlamat dominasi politik dan kepentingan ekonomi negara-negara Barat. Bagi mewajarkan tindakan penjajahan mereka, Barat mencanagkan idea "the white man burden" atau menjadi tanggungjawab orang putih menjajah negara-negara timur bagi mentamadunkan mereka, kerana Barat telah membuat generalisasi bahawa orang Islam adalah babarian, ganas dan ketinggalan.
  • Selain dari menterjemahkan kaod moral Epiqurus dan Macheavelli, Kapitalisme juga berpegang kepada falsafah Utilitarianism yang merumuskan konsep sebagai the greatest good of the greatest number iaitu "kebahagiaan terbanyak untuk bilangan terbanyak". Ahli falsafahnya seperti Dideroit dan Rousseau bersetuju bahawa utiliti dan kebahagiaan adalah satu-satunya kirekteria moraliti. Manusia boleh mencari berapa banyak sekalipun kelazatan dan kebahagiaan yang ia termampu tanpa halangan dari yang lain di dalam bahagian yang ia berhak mendapatkannya (Maryem Jamelah:8). Konsep moral ini membawa maksud bahawa nilai-nilai kebendaaan itu harus dibahagikan kepada semua anggota masyarakat dan dilarang berlaku pembolotan oleh segolongan kecil ke atas kekayaan masyarakat. Namun konsep ini tidak berlaku seperti yang diharapkan apabila melihat realiti yang berlaku di negara-negara kapitalis seperti Amerika di mana masih wujud jurang kelas/kaum dan pengelompokan atau pembolotan kekayaan material oleh segelintir masyarakat yang kaya raya.
  • Selain dari ahli falsafah barat yang meletakkan utiliti sebagai penentu moral, terdapat juga ahli falsafah Barat yang merumuskan penentu moral berdasarkan kepada penilaian masyarakat atau individu. David Hume umpamanya melihat moral sebagai satu perkara yang subjektif dan bergantung kepada rumusan yang dibuat oleh seseorang atau masyarakat. Apabila masyarakat melihat sesuatu perkara itu sebagai nilai yang standar maka itulah yang dikatakan moral, begitu juga ukuran melihat sesuatu yang immoral bergantung kepada penilaian individu atau masyarakat (Shakian, 1968:163) bukannya agama atau perspektif Tuhan.
  • Akhirnya, agama yang mengatur masyarakat Barat moden adalah materialisme yang menguasai hati, perasaan dan bertahta di dalam jiwa mereka. Sammuel Butter di dalam bukunya Philosophy For Our Times mengambarkan keadaan ini. Katanya, "Fikiran orang Inggeris sejak beberapa abad sentiasa dipengaruhi oleh ketamakan yang luar biasa terhadap harta dan kekayaan. Keiginan menguasai kekayaan adalah faktor utama dalam penghidupan dan pendorong terbesar untuk bekerja, kerana sudah jelas dengan kekayaan seseorang dapat menguasai kekuasaan dan banyaknya harta menjadi ukuran seseorang" (Abul Hasan An-Nadawi, 1986:180).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...