Thursday, October 9, 2008

Hak Keistimewaan Melayu/Bumiputera

Saya telah memberi satu tugasan kepada sekumpulan pelajar untuk meninjau persepsi kaum bukan Melayu terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Sekumpulan pelajar tersebut telah menemubual beberapa orang responden bukan Melayu mengenai perkara tersebut berhubung kedudukan Islam sebagai agama rasmi, DEB, bahasa Melayu, kebebasan beragama dan lain-lain isu lagi. Dari hasil temubual yang telah dilakukan, saya dapat merumuskan beberapa perkara. Antaranya, kesemua responden mahukan kesaksamaan hak dalam aspek agama, kepimpinan negara, ekonomi dan mahukan hak keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu/Bumiputera dikaji kembali. Bagaimanpun, kesemua responden bersetuju dengan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan atau rasmi yang menjadi alat perpaduan antara kaum. Tinjauan rambang ini memperkukuhkan hipotesis bahawa generasi muda yang lahir pasca merdeka terutamanya bersifat kritis terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan tidak menyenanginya. Tidak pasti kenapa persepsi ini semakin mengakar di kalangan mereka. Apakah kerana kejahilan tentang fakta sejarah, kejahilan mengenai kandungan Perlembagaan atau pengaruh globalisasi yang menglobalkan faham liberalisme dan faham kesaksamaan atau apa?. Isu ini dibangkitkan bukan untuk mengundang polimik yang akhirnya nanti menjadi terlalu emosi sehingga terlupa fakta sebenar.


Dalam keadaan mencari-cari jawapan dari persoalan di atas, saya terjumpa satu markalah yang dikeluarkan oleh Biro Tatanegara yang memuatkan dua kenyataan tokoh, iaitu Tun Tan Siew Sin (salah seorang pengasas MCA dan Presiden MCA) dan Tun V.T. Sambanthan (bekas Presiden MIC) yang saya nukilkan di bawah (dipetik dari buku Tan Sri Hj.Khalid Awang Osman, Malaysia-An Anthology):


Menurut Tan Sie Sin dalam akhbar tempatan bertajuk "Tun Tan Answer Critics on Special Privileges" dalam ucapan pada 30 April 1969. Katanya (diterjemahkan dalam bahasa Melayu): "


"Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkansyarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara, berbanding keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih bukan diiktiraf sebagai rakyat setelah hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah di negeri-negeri Melayu. Dan sebagai membalas kemurahan hati Orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa Orang Melayu dan sekali gus mempertahankan kepentingan-kepentingan sah masyarakat kaum lain".


Ucapan Tun V.T. Sambathan di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965, katanya:


"Pada tahun 1955 kita telah memenagi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi selanjutnya mendapat kemerdekaan dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman?. Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?. Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? jika kita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dan lihat kepada sudara kita kaum Cina mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.......Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata,"Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka setiap peluang untuk menjadi warganegara. Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa Melayu ribuan orang India, cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. di manakah anda boleh jumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain dari bangsa Melayu?. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang?. di manakah dalam sejarah dunia? saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami?. saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. tetapi saya amat gembira di sini" (Dipetik dari buku Tan Sri Hj. Khalid Osman, Malaysia-An Anthology, hal.60).

1 comment:

Awang Kata said...

Bermakna mereka telah lupa sejarah untuk dikenang dan disyukuri. Mereka tidak tahu makna kesamarataan dari sudut semasa dan setempat yang berpandukan sejarah.Kedangkalan ini disebabkan gagalnya sejarah tanah air diperhalusi.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...