Monday, June 9, 2008

CATATAN UMRAH (2): Menuju Tazkiyatul Nafs

Kami berada di Madinah selama 3 hari berbanding pada musim haji selama 8 hari. Pada musim haji para jemaah dapat menunaikan 40 waktu solat berjemaah yang disebutkan fadhilatnya oleh Nabi melalui hadisnya yang bermaksud: “Barangsiapa yang bersolat di masjidku 40 waktu solat tanpa putus, maka ditulis padanya pembebasan dari neraka, bebas dari azab dan bebas dari sifat nifaq” (Hadis riwayat Ahmad, Hadis ini dikategorikan sebagai hadis daif). Walaupun tidak dapat memenuhi 40 kali solat berjemaah di masjid Nabawi, para jemaah masih dapat fadhilat lain seperti yang disebutkan oleh hadis Nabi iaitu solat di masjid Nabawi adalah lebih afdal dari 1000 kali solat di masjid lain kecuali masjidil Haram (Riwayat Bukhari). Madinah hari ini telah mengalami proses pembangunan dan penyusunan semula bandarnya. Dataran Masjid Nabawi telah diperluaskan lagi dan hiasi dengan lampu yang indah. Keindahan penoramanya terserlah terutama pada waktu malam. Di sekeliling Masjidil haram, deretan hotel-hotel baru dan kedai-kedai yang tersusun. Madinah merupakan sebuah bandar yang aman, bersih dan masyarakatnya yang berbudi bahasa tinggi dan ahlul ibadah. Allah telah menjadikan kota Madinah sebagai tanah haram seperti hadis Nabi; “Dari Anas r.a. Nabi s.a.w bersabda: “kota Madinah haram (kota suci) dari batas situ ke situ. Pohonnya tidak boleh ditebang dan tidak boleh melakukan kejahatan di dalamnya. Barangsiapa melakukan kejahatan, ia akan mendapat kutukan Allah, kutukan malaikat dan manusia seluruhnya (Riwayat Bukhari). Hadis ini sepatutnya menjadi pendoman kepada sesiapa sahaja yang tinggal dan menziarahi kota Madinah. Di jalan-jalan masuk ke Madinah terdapat malaikat mengawasinya seperti keterangan hadis Nabi yang bermaksud; “Di jalan-jalan masuk ke Madinah ada malaikat. Kerana itu tidak dapat masuk ke dalamnya penyakit taun (penyakit menular) dan tidak pula Dajjal (Riwayat Bukhari). Nabi Muhammad telah memohon kepada Allah supaya diturunkan keberakatan di Madinah sebagaimana Allah munurukan keberkatan di Mekah seperti hadis Nabi “wahai Allah! Turunkanlah berkah berganda di Madinah sebagaimana telah Engkau turunkan di Mekah (Riwayat Bukhari).
Selama tiga hari di Madinah, rutin harian adalah solat berjemaah di masjid Nabawi. Selalunya satu jam atau 45 minit sebelum masuk waktu sudah berada di sana. Di Madinah, para jemaah menunggu ketibaan waktu solat berbanding di tanah air. Inilah keberkatan masjid Nabawi dan masjidil Haram yang dijadikan oleh Allah di mana semua muslim berebut-rebut untuk bersolat di dalamnya. Berada di dalamnya hati sungguh tenang dan khusyuk. Kita merasa amat mudah melakukan solat-solat sunat yang berkesinambungan, mulut dan hati tak putus-putus berzikir, berselawat ke atas nabi dan membaca al-Quran. Selang antara waktu maghrib dan Insya’, kelihatan golongan penghafaz al-Quran melakukan tasmi’ (menyemak bacaan) dengan para guru mereka, para Syekh menyampaikan kuliah ilmu di ruang-ruang tertentu berdasarkan kitab tertentu di atas kerusi khas yang di kelilingi oleh jemaah yang hadir. Mereka mengupas persoalan ilmu yang diselang selikan dengan dalil-dalil al-Quran dan Hadis. Tidak ada gelak ketawa dalam perbahasan mereka, semuanya dilakukan dengan serius. Pendeknya, masjidl Nabawi benar-benar diimarahkan dengan suasana ilmu, ukhuwah dan ibadah. Bagaimanapun komunikasi antara jemaah Arab dengan bukan Arab (seperti orang Melayu, India dan lain-lain) jarang berlaku, mungkin disebabkan faktor bahasa yang menjadi penghalang. Setiap hari, selewat-lewatnya pukul 3.20 am telah berada di masjid Nabawi. Mengisi waktu sebelum masuk waktu subuh dengan solat-solat sunat, berdoa dan membaca al-Quran. Tubuh kita amat ringan melakukannya tanpa dipaksa-paksa, tidak seperti di rumah sendiri yang amat berat untuk bangun awal bagi menunaikan solat subuh. Bersolat menjelang waktu subuh di masjidl Nabawi dan Masjidlil Haram adalah saat indah yang tidak dapat dilahirkan dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi solat di depan Kaabah adalah saat yang amat indah dan hampir dengan Allah. Apabila pulang ke tanah air, saat itulah yang tidak dapat dilupakan, menghidupkan kerinduan hati kepada riadah al-Jannah, maqam Rasulullah dan Baitullah. “Ya Allah, engkau istiqamahkan hambamu ini melakukan perkara-perkara kebaikan yang hamba lakukan di tanah suciMu di sini. Ya Allah jadikanlah hamba mencintai masjidMu dan istiqamah melakukan solat berjemaah, Ya Allah Enkau pemurahkan rezeki hamba untuk hamba kembali lagi ke sana, mendakap BaitullahMu”. Beberapa hari sesudah kembali ke tanah air, isteri saya berkata: "hati saya sayu apabila teringatkan solat di depan Kaabah, rindu dan insaAllah kita berazam ke sana lagi pada tahun-tahun mendatang".

3 comments:

Tune Talk Tone Excel said...

patutler x ada minggu lepas masa cuti sekolah ingatkan ke mana? rupanya pergi menjadi tetamu Allah.
Alhamdulilah telah selamat kembali. Moga apa yang dipratikkan di sana ber sifat istiqamah setelah kembali ke tanah air.InsyAllah..

Dziauddin said...

Bilalah agaknya turn saya nak ke sana yer? Sentiasa saja berhadapan dengan kos sara hidup yang kian menghambat..Ada "special tips" untuk saya menyegerakan hajat ke sana khususnya dari segi kewangan? :)

ABDUL HALIM BIN RAMLI said...

Dulu saya rasa hairan kenapa seseorang yang telah pergi umrah atau haji akan terus berazam untuk ke sana kembali. Kini saya sudah memahaminya.... Bagi saya kalau kita ada keazaman yang kuat untuk ke sana, Allah akan memberikan peluang dan rezeki yang tidak disangka-sangka. Yang penting letakan target bila kita hendak ke sana, kemudian berdoa kepadaNya dan beransur-ansur mengumpul duit secara istiqamah. Insyaalah kita akan menjadi tetamuNya satu hari nanti...semuanya perlu pergorbanan...sedikit yang kita korbankan di jalan Allah, Allah akan beri rezeki yang tidak putus-putus...

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...