Motivasi dan Trend Penglibatan Mahasiswa dalam
Aktiviti Kesukarelawanan
Penglibatan mahasiswa dalam kegiatan
kesukarelawanan sudah lama wujud di negara ini jika dilihat dari faktor sejarah.
Umpamanya penubuhan Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya pada 1965 telah
menganjurkan berbagai aktiviti bagi membangkitkan semangat nasionalisme dan
memperjuangkan pelbagai isu negara seperti bahasa, ekonomi, sosial dan politik
(Azizan Bahari, 2009). Tambahan pula, pihak Kementerian Pengajian Tinggi
sememangnya memberikan tumpuan bagi meningkatkan lagi penyertaan pelajar dalam
kegiatan tersebut bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2015-2025, terutama bagi melahirkan pelajar yang berbakat, berkemahiran dan
berilmu yang bersedia menghadapi cabaran abad ke 21. Kesungguhan tersebut
diserlahkan dengan kesediaan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan mata
kredit kepada pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan
sebagai salah satu pengiktirafan bagi membantu masyarakat (Utusan Malaysia, 26
Mac 2016). Berasaskan kepada kepentingan peranan kesukarelawanan terhadap
pembangunan pelajar yang berketerampilan dan mempunyai skil, UiTM telah
mewujudkan enam badan beruniform dan satu tidak beruniform bagi mencapai
matlamat tersebut. Antaranya pasukan PALAPES Udara, Darat dan Laut, SUKSIS,
SISPA, Bulan Sabit Merah dan Briged Sukarelawan. Kor SUKSIS (Sukarelawan
Simpanan Polis Siswa) sehingga tahun 2015, telah melatih seramai 903 orang
Pegawai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis dan bilangan pelatihnya adalah seramai 1,200
orang. Di samping itu, terdapat berbagai persatuan dan kelab yang ditubuhkan di
mana aktiviti mereka banyak mengarah kepada kegiatan kesukarelawanan.
Shweiki & Mauch (1993) mendefinisikan sukarelawanan
sebagai suatu pekerjaan tanpa upah. Begitu juga Putnam (2000) mendefinisikan sebagai
satu kegiatan yang dikaitkan dengan kegiatan kebajikan dan menunjukkan
keperihatinan terhadap orang lain yang membawa faedah kepada masyarakat umum.
Ringkasnya, kerja kesukarelawanan merupakan kegiatan yang dilakukan dengan rela
hati, ikhlas, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, tanpa mengharapkan
balasan atau ganjaran dan memberi manfaat kepada golongan sasaran (Tajul Arifin
& Aishah Nadirah, 2013).
Terdapat banyak
kajian yang telah dilakukan bagi melihat apakah motif sesuatu aktiviti kesukarelawanan
dilakukan. Kajian Deci (1975) mendapati motivasi penglibatan seseorang dalam
kegiatan sukarelawanan didorong oleh motivasi dalaman (intrinsic motivation), warm-glow altruism (Andreoni, 1990), kemanusiaan untuk membantu orang lain (Okun
& Schultz, 2003, Toi & Batson, 1982), keinginan untuk menolong orang
lain (Levental, 1973), memenuhi kepuasan peribadi (Lafer, 1989) dan komitmen
terhadap organisasi (Bozeman & Ellemer, 2008 (Lihat Asghar, 2015).
Manakala kajian
yang menumpukan kepada motif golongan pelajar universiti melibatkan diri dalam
kegiatan kesukarelawanan telah dibuat sama ada penyelidik luar negara atau
tempatan. Kajian Musick & Wison (2008) mendapati penglibatan mahasiswa
dalam kegiatan kesukarelawanan bergantung kepada latarbelakang serta pengalaman
peribadi seseorang individu berkenaan. Individu yang terlibat dalam kerja-kerja
amal sejak di peringkat awal usia muda dikatakan lebih bersikap terbuka untuk
menolong orang ramai apabila mereka menjadi dewasa (Fauziah Ibrahim et al., 2015). Kajian Fauziah et al.,(2015), terhadap mahasiswa UKM
mendapati motivasi penglibatan mahasiswa dalam kegiatan kesukarelawanan
dipengaruhi oleh faktor jantina dan tahun pengajian. Kajian itu juga turut
mendapati faktor mendapat kepuasan, ganjaran berbentuk intrinsik, perasaan
ingin membantu masyarakat, mendapatkan pengalaman baru, ingin berkenalan dengan
rakan baru dan dorongan rakan (Aizan Sofia & Tharshini, 2015). Kajian Tajul
Arifin & Aishah Nadirah (2013) terhadap pelajar UKM yang terlibat sebagai
sukarelawan SUKIPT (2012) pula mendapati motif kerjaya, sosial, nilai,
pemahaman, peningkatan dan perlindungan merupakan motif utama penglibatan
mahasiswa terhadap sukarelawan. Penglibatan pelajar dalam kegiatan
sukarelawanan membawa kesan positif terhadap pembentukan peribadi dan menanamkan
sikap positif. Perkara ini dibuktikan melalui kajian yang dibuat oleh Institut
Sosial Malaysia bersama Unit Perunding Universiti Malaya (2012) terhadap
mahasiswa di enam pengajian tinggi (IPT) dan orang awam mendapati bahawa
penyertaan seseorang dalam aktiviti kesukarelawanan dapat meningkatkan sikap
positif seperti tanggungjawab sosial, motivasi diri, kenalan, keprihatinan
terhadap mereka yang memerlukan, kemahiran komunikasi serta keyakinan diri. Kajian
Smith et. al. (2010) turut
memperkukuhkan dapatan kajian lain bahawa terdapat kepelbagaian motif dan
faedah kegiatan kesukarelawanan terhadap pelajar. Terdapat hubungan yang
signifikan antara kekerapan melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan
dengan motif dan faedah yang didapati oleh pelajar. Didapati pelajar yang
melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan lebih menghayati motif
alturistik dan mendapat faedah berbanding sukarelawan sekali sekala dan bukan
sukarelawan.
Kajian Eley (2003) pula mendapati motivasi utama generasi muda dalam kegiatan kesukarelawanan adalah untuk mendapatkan pengalaman kerja berkaitan, skil dan kelayakan yang dapat membantu mereka dalam pelajaran dan kerjaya. Umpamanya, remaja dalam lingkungan umur dari 16 hingga 24 tahun di U.K motif kedua penting penglibatan mereka dalam kegiatan kesukarelawanan adalah untuk mempelajari skil baru (Asghar, 2015). Manakala kajian di Amerika Syarikat oleh Astin & Sax (1998) mendapati kegiatan kesukarelawanan dapat memperkasa perkembangan akademik, skil individu dan rasa kebertanggung jawaban sivik. Termasuk mempunyai kaitan dengan pemilihan kerjaya dan kebolehankerja selepas bergraduasi (Asghar, 2015). Walaupun dapatan kajian memperlihatkan bahawa kegiatan kesukarelawanan memberi kesan yang signifikan terhadap pembentukan peribadi, kemahiran dan meningkatkan perkembangan akademik namun kajian yang dijalankan oleh Julinawati et al., (2012) mendapati semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar di IPT berada di tahap sederhana. Aktiviti yang menjadi tumpuan ialah sukan, aktiviti masyarakat dan badan beruniform serta keagamaan. Sebaliknya di Amerika Syarikat, data yang dikeluarkan pada tahun 2015, menunjukkan golongan remaja dalam lingkungan umur 16 hingga 19 tahun, peratusan penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan adalah tinggi iaitu 26.4 peratus lebih tinggi dari umur lingkungan 20 hingga 24 tahun iaitu 18.4 peratus. Manakala penglibatan golongan dewasa dari umur 35 hingga 64 tahun menunjukan peratusan menurun (http://www.bls.gov/news.release/volun.nr0.htm). Begitu juga di Kanada, bancian tahun 2010 menunjukkan golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun, 58 peratus melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan, berbanding umur 35 hingga 44 tahun (54 peratus) dan umur 25 hingga 34 tahun (46 peratus). Golongan remaja di Kanada lebih lama tempoh penglibatan mereka dalam kegiatan kesukarelawanan iaitu, 130 jam berbanding 109 jam bagi mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun (Vezine & Cromton, 2012).
No comments:
Post a Comment