Thursday, June 19, 2014

MALAYSIA SEBAGAI NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?


MALAYSIA SEBAGAI NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?

Oleh:

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ramli
Pendahuluan
Perbahasan Malaysia sama ada sebuah Negara Islam atau sekular telahpun wujud di Negara ini semenjak dari zaman sebelum merdeka lagi. Perbahasan tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam rundingan bagi mencapai kemerdekaan Malaya, sama ada melalui memorandum yang dihantar oleh beberapa pihak kepada Suruhanjaya Reid, rundingan dalam parti-parti Perikatan mengenai Laporan Reid dan reaksi berbagai pihak mengenai Laporan Reid. Selepas merdeka perbahasan yang sama masih berterusan berkisar kepada interpretasi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Artikel ini bertujuan memperkuatkan fakta bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam berasaskan kepada bukti sejarah kedatangan dan transformasi yang berlaku setelah kedatangan Islam serta hakikat bahawa Islam telah menjadi agama rasmi bagi negeri-negeri di Tanah Melayu dengan sultan-sultan Melayu bertindak sebagai pelindung kepada perkembangan agama Islam. Weltanshauung orang Melayu zaman silam mengenai Islam adalah bersifat holistik dengan tidak mengenal pemikiran yang memisahkan agama dari Negara (sekular). Perkataan sekular pertama kali digunakan dalam konteks perlembagaan ialah ketika parti Perikatan menyediakan sebuah memorandum yang dipersetujui secara bersama untuk dihantar kepada pihak Suruhanjaya Reid dan kemudian menjadi rujukan utama Suruhanjaya tersebut dalam penyediaan laporan mereka.  Penggunaan istilah tersebut disebabkan kegagalan perangka Perlembagaan untuk melihat fakta sejarah Islamisasi di Tanah Melayu sebelum kedatangan British dan faktor bargain antara kaum dalam rundingan kemerdekaan.

Walaupun Islam telah diletakkan sebagai agama bagi Persekutuan, namun British dan masyakat non-Muslim sememangnya bimbang wujud interprestasi yang boleh membawa makna bahawa Negara ini sebuah Negara Islam atau teokrasi. Justeru itu, dalam rundingan kemerdekaan, British sentiasa menekankan bahawa peruntukan tersebut tidak membawa makna Malaysia bukan sebuah Negara sekular. Penekanan ini boleh dijumpai dalam dokumen-dokumen atau fail CO atau Colonial Office yang dibuktikan melalui kajian dan tulisan  Joseph M. Fernando (2002, 2006) sehingga beliau membuat menyimpulkan bahawa “The historical evidence presented in this article, based on primary documents, clearly affirms the secular basis of the state”.  Kesimpulan sedemikian bukan sahaja dibuat oleh Fernando tetapi oleh ramai pengkaji, penulis dan ahli politik. Kesimpulan tersebut merupakan satu pembuktian eviden sejarah yang terputus dari sejarah kegemilangan Islam masa silam. Di samping itu, ia hanya merujuk kepada peristiwa sejarah yang berlaku antara tahun 1956 hingga 1957 bagi menentukan kedudukan dan taraf Islam di Negara ini selepas merdeka sehingga membawa polimik yang tiada berkesudahan selepas merdeka.

Peranan dan Kedudukan Agama Islam dalam Sejarah Tanah Melayu
Sejak kedatangan Islam ke Alam Melayu pada abad ke 13 M lagi[1], Islam telah mengubah kehidupan orang Melayu, bukan sahaja dalam aspek kepercayaan, tetapi juga dalam seluruh sistem peghidupan orang Melayu. Perkara ini ditegaskan oleh S.M. Naquib al-Attas yang menyebutkan bahawa pengaruh luar yang benar-benar terbukti sebagai pengaruh yang dominan dan intergral dalam merubah keperibadian dan cara hidup masyarakat Melayu tradisional hingga kini adalah pengaruh peradaban Islam. Naquib al-Attas menyifatkan kedatangan Islam adalah bermulanya titik tolak zaman baru bagi Alam Melayu[2]. Kedatangannya juga telah merubah cara hidup masyarakat Melayu dari aspek luaran dan dalaman yang disifatkan oleh Prof. H.Kern sebagai revolution from within, iaitu revolusi dalaman yang secara dirastik telah merubah rupa dan jiwa umat Melayu, mengangkat darjat bangsa yang telah kehilangan martabat keinsanannya dalam sistem kasta Hindu dan feudal Melayu. Membebaskan akal budi Melayu dari belenggu dongengan, tahayul dan legenda metos lalu membimbingnya ke dunia nyata, tradisi ilmuan dan tamadun akliyah, rohaniah yang subur[3].

               Bukti pengaruh Islam ke Semenanjung Tanah Melayu yang paling awal ialah pada tahun 1303 M[4] (bersamaan bulan Rejab, 702 Hijrah) yang berasaskan inskripsi teks Arab yang ditulis pada batu bersurat yang ditemui di Terengganu yang mencatatkan mengenai tanggungjawab pemerintah melaksanakan dan menguatkuasakan ajaran Islam serta beberapa aspek hukuman dalam Islam seperti pemberian dan penerimaan hutang, hukuman ke atas pesalah zina, penuduh zina dan kesaksamaan antara antara rakyat dan pemimpin[5]. Ia kemudiannya diikuti oleh penubuhan Melaka oleh Parameswara pada tahun 1403 M[6] dan pengislaman Parameswara yang kemudiannya menukar nama kepada Megat Iskandar Syah pada tahun 1414 M setelah berkahwin dengan Puteri Sultan Pasai[7]. Bermula dari proses Islamisasi tersebut, Islam telah membawa transformasi ke atas kebudayaan Melayu sama seperti kebudayaan Arab mengalami transformasi yang radikal dengan penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad S.A.W [8]. Islam telah terpadu dalam makna diri Melayu sehingga dikatakan Melayu itu mestilah beragama Islam[9]. Pelaksanaan undang-undang Islam yang pertama di Tanah Melayu, ialah di Melaka pada abad ke 15 M seperti yang dibuktikan melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka[10]. Di samping itu, undang-undang Islam juga telah dilaksanakan di Pahang pada abad ke 16 lagi seperti yang termaktub dalam Risalah Sultan Abd Ghafur Muhaiyu’d-din Shah (1592-1614 M). Di dalam Risalah yang ditulis oleh Sultan Abd al-Ghafur Muhaiyu’d-din Shah, disebutkan beberapa hukuman yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam contohnya kesalahan zina. Dalam Risalah ini disebutkan “Peri menyatakan hukum zinah iaitu dua perkara. Pertama zinah muhsin namanya, lelaki atau perempuan yang sudah bersuami dengan nikah yang sah. Dan tiada muhsin, laki-laki belum beristeri perempuan belum bersuami iaitu laki-laki atau perempuan yang belum merasai nikah. Bermula yang muhsin itu hukumnya direjam dilontar dengan batu dan ditanamkan hingga pinggang dan pada suatu riwayat hingga leher. Sabda Nabi salla “Illahu ‘alaihi wa-salam:….., ertinya tiada masuk syurga anak zina. Bermula yang tiada muhsin itu, hukumnya dipalu seratus, maka dibuangkan daripada negeri itu setahun lamanya….”. [11]

Manakala perlembagaan bertulis yang paling awal di Tanah Melayu ialah perlembagaan negeri Johor yang dimasyurkan dalam tahun 1895 M. Dalam Perkara LVII (57) Perlembagaan tersebut telah ada peruntukan yang menyebutkan bahawa:
Apa yang dipanggil ‘Agama Negeri’ bagi wilayah ini dan negeri Johor ialah agama Islam dan begitu keadaan halnya, agama Islam hendaklah secara terus-menerus dan selamanya menjadi, dan diakui dan diucap sebagai “Agama Negeri”; yakni, apa-apa agama lain tidak boleh sama sekali-kali dijadikan atau diucapkan sebagai agama negeri, sungguhpun semua agama lain adalah dibenarkan dan sentiasa difahami sebagai patut dibenarkan, untuk diamalkan dengan aman dan damai oleh rakyat yang menganutinya di semua dan tiap-tiap bahagian Wilayah dan Jajahan Takluk dalam negeri Johor[12].

Islam telah dijadikan sebagai agama negeri dan undang-undang bukan saja di Johor tetapi kemudiannya Terengganu pada tahun 1911 M. Pelaksanaan undang-undang Islam giat dijalankan pada zaman pemerintahan Sultan Baginda Omar. Baginda telah mewujudkan jawatan mufti dan turut serta dalam melaksanakan undang-undang Islam serta memberikan pengetahuan kepada rakyat berhubung dengan undang-undang Islam. Dalam tahun 1911 M di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin 111, Baginda telah mengisytiharkan Islam sebagai agama negeri[13]. Sehubungan dengan itu, Perlembagaan tahun 1911, kedudukan agama Islam dinyatakan dalam Bab 51 seperti berikut:

Bahawasanya telah ditegaskan dan ditetapkan dan dipastikan bahawa untuk selama-lamanya kerajaan Terengganu ini menghormati hukum dan adat Islam di Tanah Melayu iaitu ia dipanggil Agama Negeri dan Agama Rasmi, tiada apa-apa agama lain boleh diadakan atau disebut sebagai agama negeri, bagaimanapun banyak daripada ras atau keturunan lain adalah dilindungi dan dibenarkan berlindung di dalam negeri-negeri dan daerah-daerah di Terengganu[14].

Kesemua bukti di atas memperlihatkan bahawa Islam telah diterima sebagai agama rasmi bagi negeri-negeri Melayu yang dimaktubkan dalam perlembagaan sama ada secara bertulis atau tidak bertulis[15] dan berlakunya pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh[16].

Tambahan pula peranan Sultan dalam kerajaan Melayu tradisional bukan sahaja berperanan sebagai seorang pemerintah yang berdaulat tetapi menjadi simbol, perlindung dan pengembang kepada agama Islam[17]. Umpamanya dalam Risalah Sultan Abd al-Ghafur menyebutkan; “Shahadan maka dijadikannya antara segala makhluknya iaitu Raja seperti firman Allah ta’ala di dalam Qur’an Inni ja ilun fi’l ardi Khalifah, ertinya, “Bahawa sesungguhnya Aku hendak menjadikan Raja dalam bumi akan ganti-Ku”. Yakni Raja-raja itu pada mengira-ngirakan ahual segala hambanya, ialah mengawal dia; jikalau tiada Raja-raja itu, nescaya tiada akan bertentu ahual segala rakyatnya, maka jadilah mereka seperti kambing tiada bergembala, maka dimakanlah oleh yang keras akan yang lemah...”.[18] Peranan tersebut juga dapat dilihat melalui kitab Sejarah Melayu, Perlembagaan Johor 1895 M, Perlembagaan Terengganu 1911 M dan lain-lain. Melihatkan peranan Raja/Sultan Melayu sebagai perlindung agama Islam, maka dalam Perlembagaan Johor 1895 M telah mensyaratkan bahawa seorang Raja itu “hendaklah seseorang yang berbangsa Melayu, berdarah Raja, seorang keturunan dari raja-raja Johor, seorang lelaki dan menganut agama Islam”.[19] Manakala dalam Perlembagaan 1911 Terengganu memperuntukan bahawa “Raja yang memerintah Terengganu mestilah sentiasa berugama Islam dan berbangsa Melayu dan dari nasab keturunan Sultan-sultan Terengganu”.[20]

Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam atau Sekular: Masalah Interpretasi?
Selepas kemerdekaan permahaman umum tokoh-tokoh politik Perikatan dan sarjana undang-undang[21] mengenai Perkara 3, ialah ia tidak mengimplikasikan bahawa Tanah Melayu ketika itu adalah sebagai sebuah negara Islam dan tidak melibatkan pemakaian undang-undang Islam di peringkat Persekutuan. Peruntukan tersebut lebih bermaksud upacara, misalnya membaca doa mengikut Islam dalam majlis-majlis rasmi seperti Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Hari Merdeka dan majlis yang serupa itu. Walaupun interpretasi Perkara 3 seperti yang difahami oleh tokoh-tokoh perangka Perlembagaan tidak membawa implikasi bahawa negara ini bukan sebuah negara sekular, namun secara tersurat dalam Perlembagaan tidak menyatakan secara jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Pandangan sebahagian dari sarjana undang-undang seperti Tun Suffian Hashim, Tun Mohamed Salleh Abbas dan pengkaji sejarah perlembagaan Malaysia seperti Joseph M. Fernando yang berpandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular merupakan inteprestasi mereka berasaskan kepada beberapa fakta seperti Laporan Suruhanjaya Reid, sejarah rundingan di antara perangka Perlembagaan yang diwakili oleh wakil-wakil Parti Perikatan dan kerajaan Inggeris (perundingan dalam Working Party)[22] serta kenyataan yang dikeluarkan Tunku Abdul Rahman di Dewan Undangan Persekutuan pada tahun 1958.[23]

Walau bagaimanapun, beberapa orang sarjana undang-undang seperti Hakim Hashim Yeop Sani telah menolak hujah atau inteprestasi yang menyatakan bahawa kedudukan Islam dalam Perlembagaan hanya bermakna upacara atau semata perayaan. Bagi Hakim Hashim Yeop Sani, Perkara 3 dalam Perlembagaan sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama Negara ialah Islam. Tafsiran yang hanya membataskan peranan Islam dalam Perlembagaan semata perayaan atau upacara adalah satu tafsiran yang berjiwa crusader.[24] Begitu juga Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim berpendapat perkataan “Islam” dan bukan “Ugama Islam” yang digunakan dalam Perkara 3 boleh dihujahkan dengan maksud bahawa “Islam sebagai cara hidup mengikut Islam, iaitu Islam sebagai Ad-Din” dan orang Islam berhak memberi makna yang luas kepada “Islam” sebagai agama Persekutuan. Di samping itu,  rasional di sebalik penerimaan Tunku Abdul Rahman dan UMNO mengenai peruntukan “tidak bermakna Negara bukan Negara sekular (Secular State”) seperti yang ditulis dalam Memorandum Perikatan atau “…shall not imply that the State is not a secular state[25] seperti yang disebutkan dalam laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Reid adalah dibuat atas maslahah  dan realiti politik ketika itu. Perkara ini ditegaskan oleh Ahmad Ibrahim, katanya:

Syaugia dingati bahawa cadangan itu dibuat oleh Perikatan iaitu gabungan antara parti UMNO dan parti bukan Melayu dan Islam yang bergabung dengan UMNO. Mungkin pada masa itu Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan ahli-ahli UMNO berpendapat supaya tidak menjejaskan perpaduan antara parti-parti itu tidaklah perlu menyebutkan Negara sebagai Negara Islam. Dari segi maslahah adalah baiknya untuk perpaduan parti-parti itu hanya menyebutkan Islam sebagai ugama Persekutuan.[26]

Ahmad Ahmad Ibrahim turut mengkritik hujahan yang disampaikan oleh Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendawa Raya (1988) 2 MLJ 55, walaupun yang arif Hakim tersebut mengakui dengan yakin bahawa lslam bukan hanya kumpulan kepercayaan dan upacara agama semata-mata bahkan cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang kehidupan manusia yang luas yang bersumberkan dari wahyu Allah, namun bagi Salleh Abas pengertian Islam yang dimaksudkan oleh penggubal Perlembagaan adalah tidak membawa maksud sedemikian. Beliau merujukkan pengertian agama berasaskan pandangan penjajah British yang membahagikan persoalan agama kepada dua, iaitu soal peribadi dan awam. Dari sudut awam yang merangkumi persoalan undang-undang pentadbiran dan kehakiman, British telah mengenepikan Islam dan mengikut cara yang sekular. Undang-undang Islam dibataskan dalam persoalan keluarga, warisan dan hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Pengertian “Islam” sedemikianlah yang dimaksudkan oleh penggubal Perlembagaan. Oleh kerana itu, Salleh Abas menghujahkan bahawa hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah berbahaya atau mana-mana kesalahan lain tidak sah kerana berlawanan dengan “Islam”  dan oleh kerana itu berlawanan dengan Perlembagaan. Hujahan yang dibuat oleh Tun Salleh Abas telah dikritik oleh Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim dengan menyatakan “sayangnya yang arif Hakim itu telah menunjukkan bahawa beliau masih terikat dengan konsep penjajah dan tidak menimbangkan bahawa Malaysia telah merdeka dan tidak lagi di bawah kuasa penjajah”.[27]

               Persoalan bahawa Malaysia sebagai sebuah Negara sekular berasaskan hujah sejarah rundingan penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan inteprestasi penghakiman seperti yang disebutkan bukanlah perkara mutlak. Hujahan tersebut ada kelemahannya kerana interprestasi tersebut tidak melihat kepada sejarah kedatangan Islam, transformasi besar-besaran yang dilakukannya dan hakikat bahawa Islam telahpun menjadi agama rasmi negeri-negeri Melayu dan undang-undang Islam telah dilaksanakan sebelum kedatangan penjajah Barat. Hujahan tersebut merupakan warisan pemikiran Barat  yang bertentangan dengan weltanschauung Melayu dari zaman berzaman yang melihat Islam secara holistik. Hujah tersebut dibuat berdasarkan bukti-bukti sejarah (historical evidence) yang terputus dan hanya dihadkan dalam jangka masa proses rundingan penggubalan Perlembagaan dibuat iaitu di antara tahun 1956 hingga 1957, sedangkan sejarah pelaksanaan Islam di Negara ini sudah bermula pada abad ke 14 M lagi. Tambahan pula, perkataan sekular tidak wujud dalam  mana-mana bahagian Perlembagaan[28] dan Perlembagaan juga tidak mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara sekular seperti yang dilakukan oleh India. Bahkan menurut Abdul Aziz Bari, Perkara 3(1) telah membatalkan ciri sekular Negara ini atau mengurangkan ciri-ciri sekularnya.[29] Dengan sebab itu, bukanlah merupakan sesuatu yang luar biasa untuk mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Pengisytiharan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam banyak bergantung kepada keazaman politik pemerintah dan kebijaksanaannya menghadapi tentangan dari masyarakat bukan Islam yang sekian lama dibentangkan oleh hujah sejarah dan interpretasi kehakiman bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Percubaan untuk menentang pandangan sedemikian pernah dibuat oleh  Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Dr. Mahathir telah mengistiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam pada 29 September 2001 dalam Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan. Pengisytiharan tersebut lantas mendapat tentangan dari sebahagian masyarakat bukan Islam walaupun sebahagian daripada pemimpin parti politik bukan Melayu dari Parti Komponen Barisan Nasional ketika itu menyokong kenyataan tersebut.  Manakala sebahagian dari masyarakat bukan Islam  melihat pengisytiharan tersebut sebagai “pengistiharan 929” yang bertentangan dengan kontrak sosial, Perlembagaan Malaysia 1957, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara dan Wawasan 2020 kerana Perlembagaan hanya mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dalam bentuk adat istiadat dan ritual dan bukannya sebuah negara teokrasi. Hujah mereka berasaskan pernyataan yang pernah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dan hakikat penduduk Malaysia kurang dari 60 peratus beragama Islam (lihat Kenyataan Lim Kit Siang bertarikh 24 Mei 2004 dalam www.dapmalaysia.org). Penegasan kembali bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam bukannya sebuah negara sekular, telah dibuat oleh Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Dewan Rakyat pada 27 Ogos 2007 ketika memberi jawapan kepada pertanyaan Lim Kit Siang dalam Question For Oral Answers No.43, PR-1143-L9954.  Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam jawabannya  telah menegaskan:

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Malaysia bukanlah sebuah negara sekular ataupun negara teokratik. Malaysia adalah sebuah negara Islam, yang ditadbir berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan pada masa yang sama berpegang teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi berparlimen berpandukan kepada undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Malaysia... Pemakaian pendekatan Islam Hadhari, bagaimanapun, tidak bermakna kita adalah sebuah negara teokratik. Kerajaan yang saya pimpin adalah sebuah kerajaan yang berasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Pada masa yang sama, Kabinet terdiri dari menteri-menteri yang beragama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain, sama-sama bermuafakat membincang dan menghasilkan dasar-dasar pembangunan negara. Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan menjaga kepentingan rakyat, termasuk memastikan setiap seorang penganut agama bebas untuk mengamalkan ajarannya sendiri. Semua pihak mendapat bantuan daripada Kerajaan sama ada masjid, surau, kuil atau gereja. Pembangunan negara telah dilaksanakan dengan adil, tanpa menindas mana-mana kaum atau agama. Sebenarnya, inilah juga yang dimaksudkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri ketika beliau menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam” (dipetik oleh beritaberita.livejournal.com).

Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya tidak menjadi isu kepada orang Islam di negara ini. Ini kerana, dengan pengisytiharan tersebut akan memberi  ruang yang luas untuk pengukuhan dan pelaksanaan sistem dan institusi Islam secara de jure berbanding dengan mengekalkan status sekularnya yang akan dijadikan penghalang kepada sebarang program Islamisasi.

Kesimpulan
Melalui perbincangan di atas dapat dirumuskan bahawa perlembagaan negeri-negeri Melayu sama ada secara bertulis atau tidak telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Penerimaan ini telah membawa pelaksanaan undang-undang Islam di negeri-negeri Melayu sebelum Inggeris memperkenalkan undang-undangnya secara beransur-ansur melalui proses perundangan dan pentadbiran, walaupun pada hakikatnya Inggeris tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal ehwal adat Melayu dan agama Islam. Makna Islam yang difahami dalam perlembagaan negeri-negeri Melayu dan oleh orang Melayu sendiri adalah secara holistik, bukannya secara sekular. Istilah sekular mula muncul melalui memorandum Perikatan kepada pihak Suruhanjaya Reid hasil dari tolak ansur dan jaminan UMNO bahawa peruntukan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak membawa makna Negara ini menjadi sebuah Negara teokrasi. Jaminan ini diberikan bagi menghilangkan kebimbangan kaum bukan Melayu mengenai kedudukan agama mereka dan konsensi yang diberi oleh UMNO  kepada MCA dan MIC kerana mengiktiraf kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Walaupun penegasan bahawa Malaya “bukan sebuah Negara keduniaan (sekular)” dibuat dalam siri rundingan perangka Perlembagaan sama ada dalam Working Party ataupun melalui Laporan Reid  (1956) dan Kertas Putih (White Paper) mengenai Cadangan Perlembagaan bagi Malaya (1957), namun frasa ayat di atas tidak dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan secara sebulat suara oleh ahli Majlis Perundangan Persekutuan pada 11 Julai 1957. Keadaan ini membuka medan perbahasan dan perdebatan sama ada oleh pengkaji, ahli politik, pengamal undang-undang dan sebagainya bahawa interprestasi Perkara 3 (1) tidak membawa makna bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam, tetapi merupakan sebuah Negara sekular. Hujah golongan ini banyak berasaskan kepada peristiwa dan dokumen sejarah yang berlaku dari tahun 1956 hingga 1957, lantas membuat kesimpulan tentang taraf dan kedudukan Islam di Negara ini selepas merdeka. Sementara itu, segolongan lagi berhujah bahawa Perkara 3 boleh diinterprestasikan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang tidak boleh dihadkan peranannya dalam bentuk upacara rasmi dan doa semata-mata, tetapi mestilah menterjemahkan hakikat Islam sebagai ad-Din yang lengkap dan menyeluruh. Hujah golongan ini berasaskan hakikat makna din Islam yang sebenar, latar belakang sejarah negeri-negeri Melayu yang berpaksikan agama Islam dan tiada perkataan sekular disebutkan dalam mana-mana bahagian Perlembagaan serta kesan dari pengaruh sekularisme Barat



 
[1] Lihat S.Q. Fatimi, Islam Comes to Malaysia, Singapore: Malaysia Sociological Research Institute Ltd., 1963, hlm. 37-70. S.Q. Fatimi membuat kesimpulan bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu bukan secara tiba-tiba yang menyebabkan seluruh penduduk alam Melayu memeluk agama Islam. Ia juga bukan berlaku secara menakjubkan sebagai manifestasi dari sifat Penyayang Allah. Tetapi ia adalah merupakan satu peristiwa sejarah yang penting yang berlaku secara perlahan-lahan berdasarkan berbagai-bagai faktor. Justeru itu, ia mengambil masa untuk mencapai kesempurnaan atau matang. Perkembangannya dirumuskan seperti berikut:
 
a)     Mula berhubung dengan Islam-semenjak tahun 674 M.
b)     Islam mula bertapak di bandar-bandar persisiran pantai bermula sejak tahun 874 M.
c)     Islam mula memperolehi kekuasaan politik dan bermula secara beramai-ramai memeluk Islam-dari tahun 1204 M (Lihat ibid., hlm. 69-70).
 
[2] Lihat S.M. Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1978, hlm. 12-70.
 
[3] Sidiq Fadil, “Gerakan Islam di Dunia Melayu, Tuntutan dan Cabaran”, dlm. Risalah, bil. 1, Vol. 12/87, Jan.-Februari, 1978.
 
[4] Menurut Brian Harrison pada tahun 1386 atau 1326 (Lihat Brian Harrison, Asia Tenggara: Satu Sejarah Ringkas,  Terj., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, hlm. 62).
 
[5] Lihat S.Q. Fatimi, Islam Comes to Malaysia, hlm.60-61; S.M. Naquib al-Attas, The Correct Date of Terengganu Inscription, Kuala Lumpur: Muzium Negara, 1970, hlm.24.
 
[6] Tarikh tersebut berasaskan catatan Cina (Lihat, R.O. Winstedt, A History of Malaya, hlm. 60), menurut catatan Godino de Eredia, Melaka diasaskan pada tahun 1398 M (Lihat, Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hlm. 17).
 
[7] Lihat D.G.E. Hall, A History of South East Asia, London: Oxford University Press, 1961, hlm. 243-244. Menurut catatan Sejarah Melayu, Raja Melaka bernama Raja Kecil Besar telah diislamkan oleh Syed Abdul Aziz yang datang dari Jeddah. Selepas memeluk Islam, baginda diberi nama Sultan Muhammad Syah (Lihat, W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, Singapore: Malay Publishing House, 1948, hlm. 62). Menurut  R.O. Winstedt  berdasarkan laporan China, pemerintah dan penduduk Melaka telah memeluk Islam seawal pada tahun 1409 M (Lihat, R.O. Wintedt, A History of Classical Malay Literature, Oxford: Oxford University Press, Reperinted 1972, hlm. 84).
 
[8] Lihat Mohd. Taib Osman, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, hlm. 47-48.
 
[9] Lihat definisi Melayu dalam Perjanjian Persekutuan 1948. Juga dalam Seksyen 2 Enakmen Tanah Rezab Melayu 1933, FMS, Cap. 14, definisi yang sama digunakan dalam syarat Kerakyatan Persekutuan melalui kuatkuasa undang-undang, Perkara 128 (3)(b) dlm.  Malayan Union Gazette, 24th Dec., 1946. Dalam The Malay Reservation Enactment, 1930, definisi Melayu ialah “Malay means a person belonging to any Malayan race who speaks any Malayan language and professes the Mahammedan religion…” (Lihat, Government of Kelantan, Enactment No. 18 of 1930, The Malay Reservations Enactment, 1930).
 
[10] Lihat Liaw Yock Fang, Undang-Undang Melaka, The Hague: Martimun Nijhoff, 1976, hlm. 62.
 
[11] Lihat John E. Kempe & R.O. Winstedt, “A Malay Legal Digest Compiled For ‘Abd al-Ghafur Muhaiyu’d-din Shah Sulatan of Pahang 1592-1614 A.D. With Undated Additions”, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. XX1, April 1948:1- 67.
 
[12] Lihat “Law of the Constitution of Johore”, dlm. Malayan Constitutional Documents, Vol. 2, Kuala Lumpur: The Government Printer, 1962, hlm. 22.
 
[13] Thomas Frank Willer, “Religious Administrative Development in Colonial Malay States, 1874-1941”,  Thesis Doktor Falsafah University Microfilms International, England, 1975, hlm. 61-64.
 
[14] Undang-undang Perlembagaan Terengganu, dlm. Malayan Constitutional Documents, Jilid 2.
 
[15] Lihat Ahmad Ibrahim, “Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia”, dlm. Tun Mohamed Suffian et al., Perlembagaan Malaysia Perkembangannya: 1957-1977, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, hlm. 56.
 
[16] Lihat, Mahmood Zuhdi Abd. Majid, Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 51.
 
[17] Umpamanya dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bahawa seorang raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana sebagai khalifah kepada ummah, iaitu zulil ‘Lahi-fi’l alam, apabila seseorang itu berbakti kepada raja, sepertilah ia berbakti kepada Allah, Rasul dan raja (Lihat, Muhammad Yusoff Hashim, “Daulat: Satu Pesepsi Sejarah dan Budaya”, dlm. Polemik Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008, hlm. 101).
 
[18] Lihat, John E. Kempe & R.O. Winstedt, “A Malay Legal Digest Compiled For ‘Abd al-Ghafur Muhaiyu’d-din Shah Sulatan of Pahang 1592-1614 A.D. With Undated Additions”, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. XX1, April 1948, hlm. 25.
 
[19] “Law of the Constitution of Johore”, dlm. Malayan Constitutional Documents, Jilid 2.
 
[20] Ibid., hlm.
 
[21] Umpamanya pandangan Tun Mohamed Suffian Hashim (Lihat, Mohamed Suffian Hashim, “The Relation Between Islam and The States in Malaya”, Intisari, Vol. 1, 1962, hlm. 8.),  Hakim Abdul Hamid  (Lihat, Federation of Malay Constitution Commission 1956-1957, hlm. 100) dan Sheridan dan Groves (Lihat, L. A. Sheridan & H.E. Groves, The Constitution of Malaysia, Singapore, 1973, hlm. 37.
 
[22] Umpamnya menurut Fernando, Tunku Abdul Rahman telah memberi penjelasan dalam mesyuarat Working Party yang berlangsung di Kuala Lumpur antara bulan Febuari dan April 1957 bahawa, “the whole Constitution was framed on the basis that the Federation would be a secular state” (Lihat, Joseph M. Fernando, “The Position of Islam in the Constitution of Malaysia”, Journal of Southeast Asian Studies, 37(2), June 200..
 
[23] Lihat Federal Legislative Council Debates, 1 May 1958, hlm. 4671-4672.
 
[25] Lihat Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957 Report, hlm. 73.
 
[26] Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, “Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia”, http://www.scrid.com/doc/14164142, dimuat turun dari internet pada 5 Mei 2010.
 
[27] Ibid.
 
[28] Shad Saleem Faruqi, “The Malaysian Constitution, the Islamic State and the Hudud Laws”, dlm. K.S. Nathan and Mohammad Hashim Kamali (eds), Islam in Southeast Asia, Singapore: ISEAS, 2005, hlm. 268.
 
[29] Lihat Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Asas dan Masalah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hlm. 252.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...