Tuesday, April 21, 2009

Pada sabtu yang lepas, kami sekeluarga ke pantai PD untuk bersantai seketika mengilangkan kejemuan sambil menghirup kesegaran tiupan bayu Selat Melaka. Tiba-tiba perhatian kami tertumpu kepada seorang lelaki yang berjalan dari satu tong sampah ke satu tong sampah bagi mencari sesuatu yang boleh dimakan. Sesekali kelihatan dia mengambil botoran air yang ditinggalkan oleh orang ramai, lalu diminum bagi menghilangkan haus dahaga. Kami pasti lelaki tersebut kelaparan. Namun, tiada sesiapapun yang menghiraukan kehadiran lelaki itu sambil menikmati bekalan masing-masing bersama keluarga. Mungkin semua menyangka bahawa lelaki itu "kurang siuman" melihat keadaan dirinya. Saya pun pada awalnya menyangka demikian.

Tiba-tiba timbul nilai keihsanan dalam diri. Tergamakkah kita membiarkan lelaki itu mengutip sisa-sisa makanan yang layak dimakan oleh anjing atau kucing sedangkan kita seronok menikmati makanan tanpa sekelumit perasaan simpati terhadap kemelaratan hidup lelaki tersebut.

Kemelaratan lelaki tersebut adalah lambang betapa kita sebenarnya semakin mementingkan diri sendiri dan mula hilang nilai keinsanan. Tiada siapa yang mengambil peduli terhadap nasib lelaki melarat tersebut. Mungkin kita berfikir, apa yang terjadi kepada diri lelaki tersebut mungkin salah dirinya sendiri, kemelaratan yang berpunca dari perbuatannya sendiri. Dia sendiri yang tahu kenapa dia jadi begitu....

Kita selalu mencari alasan demi alasan untuk tidak bersikap peduli dengan keadaan orang lain.

Syukur alhamdulillah, Isteri saya menyedarkan saya supaya tidak bersikap demikian. Dia tidak tergamak melihat lelaki tersebut memakan sisa-sisa makanan yang dibuang oleh orang ramai. Lalu saya berkejar mendapatkan lelaki tersebut sambil memberinya sedikit wang. Saya fikir lelaki itu kurang siuman. Tetapi saya tekejut apabila lelaki itu dengan nada perlahan mengucapkan terima kasih.

Rehlah seketika kami di PD cukup bererti, kerana kami bejaya melawan sifat mementingkan diri sendiri dengan memberikan sekelumit keperhatinan kepada orang lain.

Sebelum beredar, kami perhatikan lelaki itu membeli minuman dan makanan dengan duit yang kami beri, nampak keriangan di raut wajahnya. Tetapi esok, lusa dan tulat belum pasti lagi, mungkin lelaki itu meneruskan rutin hariannya berjalan dari satu tong sampah ke satu tong sampah untuk mencari sisa-sisa makanan buat pengalas perut....tak siapa peduli!


No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...