Thursday, January 15, 2009

Memulakan penghidupan baru di Seremban...

Blog ini sudah sebulan lebih tidak diselenggara. Baru seminggu dapat sambungan internet setelah berpindah ke Seremban bermula pertengahan Disember lalu. Kini menumpukan perhatian untuk menyempurnakan thesis PhD. Hampir sebulan memulakan hidup baru di tempat yang baru dan memasuki semula alam sebagai pelajar sudah tentu banyak cabaran yang bakal ditempuhi dan perlu diselesaikan mengikut kebijaksanaan dan rahmat dari Allah. Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dari Segamat ke Seremban supaya dekat dengan akses ilmu dan memudahkan saya mencari maklumat yang diperlukan bagi menyempurnakan kajian. Berjumpa dengan penyelia PhD saya iaitu Prof. Dr. Redzuan pertama kali di rumah kediamannya di Sungai Ramal, Kajang. Beliau memberikan beberapa nasihat dan panduan untuk saya. Beliau amat sibuk kerana menyelia 40 orang pelajar post graduate.
Saya mengambil keputusan untuk membawa bersama keluarga berpindah ke Seremban. Dengan itu, akan memudahkan saya menumpukan perhatian kepada belajar. Saya dan keluarga pada mulanya amat gembira tinggal di rumah kami sendiri di Seremban yang telah dibeli sejak tahun 2002. Inilah pertama kali dapat tinggal di rumah sendiri setelah berkhidmat selama 18 tahun. Bagaimanapun minggu pertama sesi persekolahan semuanya berubah. Keghairahan untuk memulakan hidup baru di Seremban bermula dengan kesedihan dan kesuraman. Hari pertama memulakan persekolahan saya nampak anak-anak dan isteri tidak ceria. Nampak kemurungan di wajah mereka. Semua merasakan kehidupan di Jementah lagi baik. Tiada kesesakan jalan raya, suasana yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah mereka terpaksa memulakan penghidupan yang baru, tiada kawan dan gurupun tidak mengenali mereka, tidak seperti di Jementah.
Paling tertekan adalah Isteri saya yang terpaksa pergi awal ke sekolah, kerana jarak rumah kami dari sekolah iaitu 30 KM. Pergi balik sejauh 60 KM. Sekolahnya terletak di daerah PD. Terpancar di wajahnya keletihan dan tidak ceria setiap kali balik dari sekolah. Kemurungannya bertambah apabila rayuannya untuk bertukar ke daerah Seremban ditolak oleh Jabatan. Setiap kali balik dari sekolah saya memberi kata-kata perangsang kepadanya dan saya mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke sekolah setiap hari. Terlintas dari pemikirannya untuk membatalkan semula perpindahannya dan kembali mengajar ke sekolah lama. Tetapi saya membantah. Saya menyatakan kepadanya, apabila kita telah buat sesuatu keputusan, jangan pandang ke belakang lagi. Apa yang penting ialah mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Saya dan isteri tidak berputus asa sambil berdoakan kepada Allah dan bersolat hajat setiap malam supaya membuka hati pihak berkenaan mempertimbangkan rayuan kami. Kami menyakini bahawa Allahlah yang Maha Mendengar dan menentukan segala-galanya. Dialah 'kabel' kita Yang Maha Besar. Akhirnya, Allah telah melorongkan dan memudahkan kami berjumpa sendiri dengan Tuan Pengarah Pelajaran Negeri. Tidak disangka-sangka kedatangan kami disambut dengan amat baik sekali. Saya tidak menyangka beliau sudi mendengar masalah isteri walaupun amat sibuk dengan aturcaranya sendiri.Beliau berjanji untuk mempertimbangkan rayuan isteri dan akhirnya semalam isteri telah menerima surat dari jabatan untuk ditukarkan ke Seremban, di sebuah sekolah yang tidak jauh dari rumah.
Minggu pertama kehidupan kami di Seremban, bermula dengan cabaran dan masalah. Minggu kedua, permasalahan mula dapat dileraikan dengan berkat doa, usaha dan solat malam bermunajat kepadaNya. Dialah sebaik-baik tempat kita mengandu dan mengantungkan pengharapan....Allahu latiful ibade yarzuqul mayasaa', hasbullah nimal wakil.... Dialah 'kabel' kita Yang Maha Memahami'

2 comments:

nurhuda_cahayapetunjuk said...

assalamualaikum...

semoga Allah memudahkan segalanya untuk ustaz sekeluarga...

Anonymous said...

Salam Prof,

Tahniah dan saya sempat bertemu muka dengan Prof Redzuan di airport K Trg. Saya menekankan kepada Prof Rezduan tentang kemampuan dan kehebatan enta. Betul kata enta, jangan pandang belakang apabila sudah membuat keputusan. saya juga setuju dengan "kabel" besar. Selamat berjaya dalam kajian tuan. Sampaikan salam saya dan isteri untuk keluarga enta. Senang-senang datanglah kemari di JB.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...