Thursday, December 4, 2008

Segamat yang banyak berjasa....

Tanggal 12 disember adalah hari terakhir saya di UiTM Johor sebelum bercuti dan berpindah bagi meneruskan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya selama tiga tahun. Diam tak diam, sudah hampir 17 tahun saya berkhidmat di UiTM Segamat. Segamat banyak berjasa kepada saya. Anak-anak saya membesar di Segamat. Segamat menghadiahkan ketenangan hidup kepada kami sekeluarga. Jauh dari hiruk pikuk, pencemaran alam dan kesibukan kota raya. Di UiTM Segamat, kami bersama-sama rakan yang lain seperti sebuah keluarga besar. Memahami erti persahabatan dan mengambil tahu hal ehwal antara satu sama lain. Kami tidak hidup secara individualistic dan sentiasa berhubung antara satu sama lain dan dengan masyarakat sekitar. Segamat bukan sahaja sebuah daerah yang terkenal dengan keenakan durian tetapi cuacanya yang segar. Segamat juga banyak menyumbang kepada perkembangan kerjaya saya sebagai seorang pensyarah. Saya amat terhutang budi dengannya….
Melaui Segamat saya mula belajar menghasilkan penulisan artikel yang mula diterbitkan dalam Majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Tamadun dan majalah-majalah yang lain pada tahun 1990an. Apabila tulisan saya diterbitkan, saya amat teruja dan membacanya berulang-ulang kali. Dari penulisan artikel, saya memberanikan diri menulis buku. Buku pertama saya adalah “Pemikiran Islam Ismail al-Faruqi” yang merupakan hasil kajian ilmiah saya semasa menyambung pengajian di peringkat Sarjana di UKM. Buku ini diterbitkan dengan menggunakan modal sendiri. Saya menghabiskan kira-kira RM6000 untuk menerbitkan buku ini. Menerbitkan buku ilmiah memang tidak mendatangkan pulangan keuntungan dalam bentuk wang ringgit. Kebanyakan buku ini saya hadiahkan kepada perpusatakaan di universit-unversiti tempatan dan orang perseorangan. Bagi seorang penulis, kepuasan menghasilkan sebuah buku bukan dalam bentuk pulangan wang ringgit tetapi merasa puas apabila orang lain membaca buku kita dan menjadi rujukan dari generasi ke satu generasi. Saya menulis buku bukan kerana untuk orang menyanjung saya atau menjadi popular. Saya menulis buku untuk menyebarkan dan berkongsi apa yang saya tahu dengan masyarakat. Saya menghasilkan buku sebagai meneladani kegigighan ilmuwan silam yang menghasilkan karya-karya besar yang terus menerus menjadi rujukan sehingga kini. Saya terikat kata-kata Syed Jamaluddin al-Afghani, antara lain dia berkata bahawa orang berilmu hendaklah menjadi seperti lilin di mana-mana dia berada, dia haruslah menerangi hidup orang lain dan lingkungannya dengan ilmunya. Penulisan adalah satu wadah merealisasikan kata-kata di atas. Penulisan adalah satu jihad intelektual. Kerana ia menuntut pengorbanan, keazaman dan kesungguhan. Sebuah karya tidak akan dapat dihasilkan oleh mereka yang mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan intelektual yang tinggi tetapi tidak mempunyai sifat-sifat yang saya sebutkan.
Kajian saya ke atas pemikiran Prof. Ismail al-Faruqi banyak memberi kesan ke atas perkembangan intelek saya. Saya mengkagumi beliau semenjak dari bangku sekolah lagi. Beliau tokoh yang cukup terkenal pada dekad 80-an terutama dalam kerja-kerja Islamisasi ilmu. Pemikiran beliau banyak memberi kesan ke atas perkembangan sistem pendidikan Islam yang holistik dan moden. Serta menyumbang kepada kebangkitan Islam zaman moden bukan bukan dalam bentuk retorika tetapi menyediakan solusi praktikal ke atas permasalahan ummat Islam semasa. Beliau tokoh yang cukup prolifik menghasikan penulisan dalam pelbagai bidang termasuk minatnya yang mendalam mengkaji tamadun dan agama-agama non-Islam seperti Kristian dan Judaisme. Pengetahuan beliau yang mendalam dalam bidang perbandingan agama, menjadikan beliau seorang tokoh yang digeruni oleh ilmuwan Barat dan Yahudi terutama keupayaannya membongkar kelemahan dan penyelewengan agama-agama tersebut berdasarkan fakta-fakta dari agama itu sendiri tanpa menghina mereka. Kajian terhadap pemikiran beliau banyak membantu saya meningkatkan kefahaman terhadap Islam secara menyeluruh, rasional, memperkasa bahasa dan menimbulkan minat yang mendalam terhadap kegiatan penulisan sebagai medium dakwah. Keperitan saya memahami tulisan-tulisan al-Faruqi yang menggunakan gaya bahasa Inggeris yang tinggi dan sarat dengan istilah-istilah falsafah membentuk satu sikap kesabaran dalam diri saya. Ia menyuntik minat penerokaan lebih mendalam sesuatu disiplin ilmu walaupun kita tidak pernah mempelajari sebelum ini. Ia menanam satu sikap “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.
II
Buku kedua yang saya hasilkan ialah Tamadun Asia. Buku ini pada asalnya merupakan nota-nota kuliah atau syarahan saya kepada pelajar. Tetapi nota-nota ini saya pertingkatkan dari masa ke semasa sehingga sempurna menjadi sebuah buku yang lengkap. Hampir dua tahun saya menyempurnakannya secara konsisten di sebalik kesibukan sebagai seorang pensyarah dan Koordinator. Di masa-masa yang terluang saya gunakan mencari bahan-bahan dan menambah fakta-fakta. Ia mengambil masa hampir dua tahun sebelum diterbitkan oleh UPENA. Ia telah mengalami berbagai proses penerbitan, bermula dari penilaian dari penilai luar, penyunting kandungan dan pembetulan manuskrip dari aspek ejaan, istilah, rujukan dan lain-lain. Tempoh yang panjang diambil dalam menerbitkan sesuatu karya memang tidak dapat dielakkan. Kerana UPENA bukan penerbit yang bermotifkan keuntungan tetapi menjaga kualiti penerbitannya setanding dengan penerbit Universiti lain. Saya sabar menanti kelahiran buku ini. Sebagai seorang penulis, saat yang paling dinantikan adalah berjayanya manuskrip tersebut menjadi sebuah buku yang sempurna. Itulah saat yang paling mengembirakan dan satu kepuasan yang hanya dirasai oleh penulis tersebut. Penulisan buku ini membawa minat saya mempelajari dan mendalami sejarah dan tamadun Asia seperti Jepun, China dan India. Setengah orang berpendapat bahawa mempelajari sejarah dan tamadun adalah membosankan kerana ia menceritakan apa yang telah berlaku dan tidak nampak signifikannya kepada kehidupan hari ini. Pendapat ini adalah tidak benar, kerana masyarakat yang maju adalah masyarakat yang bangga dengan sejarah mereka serta menjadikan kelemahan silam sebagai teladan dan kegemilangan silam sebagai motivasi serta kekuatan untuk memacu kegemilangan tamadun mereka pada masa hadapan. Bak kata Konfusius, belajar sejarah ibarat “menarik panah” iaitu kita melihat kebelakang sebelum panah tersebut memacu ke hadapan. Kata-kata hikmah ini membawa maksud, kalau kita ingin maju kehadapan, kita harus melihat ke belakang iaitu memahami sejarah Negara dan bangsa kita sendiri. Tamadun bukan hanya dibentuk oleh nilai-nilai kebendaan tetapi dibangunkan melalui penghayatan serta aplikasi dari nilai-nilai agama, etika, falsafah, pemikiran, pandangan hidup dan nilai-nilai murni oleh sesebuah masyarakat. Perit lelah menghasilkan buku ini terubat apabila pelajar-pelajar saya menjadikan buku ini sebagai rujukan utama mereka. Buku ini walaupun tidak sehebat buku-buku yang dihasilkan oleh penulis lain, tetapi saya tetap berbangga kerana melaluinya saya telah dipilih sebagai Penulis Terbaik Keseluruhan (Penulis Tunggal) dalam Majlis Sanggar Buku yang dianjurkan UPENA, UiTM pada tahun 2005.

3 comments:

Anonymous said...

17 tahun yang cukup bermakna. Enta telah meninggalkan kesan yang baik kepada warga universiti juga kepada saya. Saya juga teruja untuk menulis dan menerbitkan karya. Cuma tidak dapat hebat seperti enta. Saya ucapkan selamat berjaya dalam PhD dan teruskan dengan cita-cita anda yang mulia. Gunakan kesempatan masa dalam 3 tahun untuk mendapatkan semaksimum mungkin ilmu dan pengalaman. Ambil peluang untuk mengikuti program luar negara seperti negara timur tengah dan eropah mungkin england bagi tujuan mengumpul data.

Dziauddin said...

Saya sentiasa menjadikan ustaz contoh terbaik saya dalam penulisan dan research..selamat berjuang ustaz..

Nurzeatul said...

Salam Ustaz,

Saya doakan Ustaz sentiasa berjaya dan diberkati!

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...