Friday, May 9, 2008

MAMPUKAH PAKATAN RAKYAT MEMPERTAHANKAN PERMUAFAKATAN MEREKA?

Kejayaan parti pembangkang menguasai lima negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan telah mendorong ketiga-tiga parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR memperbadankan kerjasama antara mereka dengan menubuhkan pakatan yang menyerupai BN dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Penubuhan pakatan tersebut telah diumumkan pada 1 April 2008 setelah satu mesyuarat diadakan di pejabat Anwar Ibrahim yang dihadiri ketiga-tiga pemimpin parti pembangkang tersebut. Penubuhan Pakatan Rakyat ini menegaskan ia akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat (Penubuhan Pakatan Rakyat, Suara Keadilan.com).
Sebenarnya penubuhan pakatan politik di kalangan parti pembangkang di dalam sejarah politik negara ini bukanlah perkara baru. Kerjasama dan pakatan politik pertama dalam aliran pembangkang telah dimulakan oleh AMCJA-PUTERA (Kedua parti politik ini merupakan pertubuhan politik aliran kiri), di saat kesibukan kerajaan British mengemukakan cadangannya untuk mewujudkan sebuah perlembagaan Tanah Melayu selepas tamatnya perang dunia (Khong Kim Hoon, 1987:22). Bagaimanapun, perikatan yang diwujudkannya agak longgar kerana ketiadaan kesamaan dan struktur kuasa yang efektif yang mengikat segala keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pertubuhan tersebut. Bagaimanapun, di penghujung bulan Mac 1947, terdapat tanda kewujudan koordinasi dan kerjasama antara dua pertubuhan tersebut. Pakatan ini telah menghantar surat yang dipersetujui bersama kepada Setiausaha Negeri Koloni yang mengandungi beberapa cadangan, antaranya penyatuan seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura, hak kerakyatan yang sama rata kepada semua warganegara, agama Islam dan kebudayaan Melayu mestilah di bawah kawalan orang-orang Melayu dan satu peruntukan khas mestilah dibuat di dalam perlembagaan untuk memperkukuh dan meningkatkan kedudukan orang-orang Melayu (Khong Kim Hoon, 1987:24-25). Pada bulan April 1947, perikatan AMCJA-PUTERA telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menghasilkan satu cadangan perlembagaan yang lebih lengkap. Pada bulan Julai 1947, Cadangan Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu telah diluluskan dengan sebulat suara oleh pewakilan AMCJA-PUTERA. Proposal tersebut mengandungi 60 muka surat yang merupakan satu kompromi tuntutan antara bukan-Melayu yang diwakili oleh AMCJA dengan tuntutan orang Melayu yang diwakili oleh PUTERA (Khong Kim Hoon, 1987:26). Adalah jelas PUTERA sedikit sebanyak telah berjaya mempengaruhi bukan Melayu menerima kepentingan Melayu dijadikan asas bagi kerjasama Melayu dengan bukan Melayu yang sejak mula lagi tidak mendapat restu dari pihak British atau orang-orang Melayu yang diwakili oleh UMNO. Sebelum pakatan ini berkubur, pakatan Putera-AMCJA telah mengadakan hartal iaitu mogok ekonomi sebagai membantah sikap British yang tidak mengindahkan perjuangan mereka. Mogok ekonomi pada mulanya diadakan di Kelang, Melaka dan Perak dalam bulan September 1947. Ia kemudian menjalar ke seluruh negara pada 20 Oktober pada tahun yang sama (Chamil Wariya, 1987:30). Kerjasama politik AMCJA-PUTERA kemudiannya telah mula berpecah apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan dalam tahun 1948. Apabila darurat diumumkan, beberapa pertubuhan yang menganggotai AMCJA dan PUTERA telah diharamkan (Milne dan Mauzy, 1982:40). Keadaan ini membawa musnahnya pakatan politik AMCJA-PUTERA.

Terdapat beberapa persoalan kenapa berlakunya kegagalan dalam pakatan AMCJA-PUTERA, tidak sepertimana kerjasama UMNO-MCA. Beberapa pihak memberikan sebab kenapa berlakunya kegagalan dalam pakatan ini. Pertama, ada pihak yang melihat perjuangan AMCJA-PUTERA merupakan perjuangan sisihan yang tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu yang ingin negeri ini dikembalikan kepada orang Melayu. Kedua, kerjasama ini merupakan ‘marriage of convenience’ pihak Melayu-bukan Melayu yang tidak sehaluan. Orang Melayu diwakili oleh mereka yang berhaluan kiri yang ditentang oleh British. Mereka tidak mahu melihat golongan ini menguasai pemerintahan negara kerana bimbangkan kepentingan ekonomi British dalam semua sektor akan terjejas seandainya sebuah parti sosialis memerintah. Ketiga, terdapat perasaan curiga mencurigai terhadap antara satu sama lain. Puak kiri misalnya mendapati bahawa dasar politik orang Cina dari Dewan Perniagaan Cina Malaya yang menyertai pakatan tersebut sebagai sesuatu yang menjijikan kerana mereka ingin mencari keuntungan melalui perubuhan itu. Orang Cina pula merasa curiga dengan puak kiri yang ingin mengamalkan dasar yang bakal merugikan mereka sekiranya apa yang diperjuangkan itu berjaya (Chamil Wariya, 1987:30-31).

Pada tahun 1988, PAS yang sudah menerima realiti kemajmukan rakyat telah mewujudkan permuafakatan politik dengan mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). APU adalah gabungan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa untuk menawan negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Disebabkan masyarakat bukan Islam belum dapat menerima konsep Islam yang diperjuangkan PAS, maka terpaksa pula diwujudkan gabungan kedua yang dikenali sebagai Gagasan Rakyat iaitu gabungan parti Semangat 46, DAP, PRM, IPF dan PBS pada tahun 1990 untuk menawan negeri selain dari negeri-negeri tersebut (Ahmad Zaki, 2003:281). Walaupun gabungan parti politik pembangkang pada waktu tersebut tidak padu, namun PAS telah berjaya menawan Kelantan dalam pilihan raya umum tersebut.
Pada tahun 1999, parti pembangkang juga telah mewujudkan satu lagi pakatan politik sesama mereka yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Pakatan ini diwujudkan rentetan dari pemencatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pemencatan ini telah mencetuskan gelombang besar gerakan reformasi menentang kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan membawa penubuhan Parti Keadilan. Pada 24 Oktober 1999, pakatan politik pembangkang yang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif dianggotai oleh PAS, DAP, Keadilan dan PRM telah ditubuhkan. Pakatan ini telah dapat mengelakkan parti pembangkang bertanding sesama mereka dalam sesuatu kawasan pilihan raya. Kesan dari pakatan ini telah membawa kejayaan PAS menawan Kelantan dan Terengganu serta meningkatkan penguasaan mereka terhadap kerusi Parlimen dengan pertambahan dari 7 kerusi kepada 27 dalam pilihan raya tahun 1999. DAP juga telah memenangi 10 kerusi Parlimen, meningkat dari 7 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini, tetapi pemimpin mereka iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Sing telah tewas. Kekalahan dua pemimpin utama DAP ini berpunca dari bantahan dari pengundi Cina terhadap kerjasama politik DAP dengan PAS. Manakala parti Keadilan telah memenangi 5 kerusi Parlimen (Barisan alternatif, Wikipedia.org/wiki/Barisan Alternatif). Perbezaan ideologi perjuangan dan manifesto pilihan raya antara PAS dan DAP telah membawa pakatan ini tidak dapat bertahan lama apabila pada tahun 2001, DAP telah mengistiharkan keluar daripada pakatan tersebut.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-12, tahun 2008 menyaksikan kemenangan luar biasa parti pembangkang sejak tahun 1969 telah membawa ketiga-tiga parti pembangkang tersebut memikirkan kembali keperluan penubuhan satu pakatan politik yang boleh menandingi pakatan politik BN yang telah berusia lebih 50 tahun tersebut. Apatah lagi, apabila DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat Malaysia telah dapat menguasai lima buah negeri yang memerlukan keselarasan dasar dan pendekatan sesama mereka bagi mewujudkan pentadbiran yang berkesan dan diterima rakyat. Bagaimanapun, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 1 April 2008, masih dibayangi oleh perbezaan fahaman politik ketiga-tiga parti tersebut. DAP terus menentang dasar Islam PAS dan perjuangannya untuk menegak sebuah negara Islam dengan menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang utama negara. Karpal Singh yang terkenal dengan kelantangannya menentang sebarang percubaan untuk menegak sebuah negara Islam telah menyarankan supaya PAS melupakan hasrat untuk menegakan sebuah negara Islam. Walaupun PAS cuba untuk menjenamakan semula parti tersebut dengan matlamat untuk memperjuangkan sebuah Negara Kebajikan, namun ia tetap dicurigai oleh DAP. Dato’ Nik Aziz cuba menyakinkan DAP bahawa perjuangan PAS menubuhkan sebuah negara Islam adalah untuk membawa keadilan kepada semua kaum dan agama. Dato’ Nik Aziz meminta Karpal Singh membuktikan kelemahan PAS selama memerintah lebih dari 18 tahun di Kelantan di bawah dasar Islam. Nik Aziz telah menegaskan bahawa golongan non-Muslim gembira berada di bawah pemerintahan PAS. Nik Aziz mempelawa Karpal Singh datang melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan negeri tersebut di bawah pemerintahan Islam (Nik Aziz slams Karpal’s critism on PAS becoming backbone of Pakatan Rakyat, Bernama. Com, 6 April 2008). Bagaimanapun penerangan ini masih gagal menghapuskan kesangsian DAP terhadap dasar Islam PAS. DAP telah mempunyai pengalaman sejarah apabila pemimpin utama mereka kalah dalam pilihan raya 1999, kerana faktor kerjasama dengan PAS dan takut masyarakat Cina menolak mereka. DAP lebih selesa dengan PKR kerana parti politik tersebut tidak bertunjangkan sebarang ideologi tetapi lebih memperjuangkan politik sivil dan pembela hak rakyat. Persoalan parti politik mana yang seharusnya menjadi parti teras atau tunjang kepada pakatan politik tersebut masih menjadi perdebatan berbagai pihak. Dato’ Ahmad Yaakub, Timbalan Menteri Kelantan, telah menyarankan supaya PAS wajar menjadi tunjang pakatan tersebut bagi merealisasikan impiannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Yaakub telah mendapat sokongan dari Dewan Pemuda PAS Kelantan. Bagi DAP pula, ketiga-tiga pimpinan parti pembangkang tersebut seharusnya memahami prinsip asas kerjasama antara ketiga-tiga parti yang tidak membawa diri mereka kepada perbezaaan inter dan intra parti serta eksplotasi dari musuh parti pembangkang dan mengulangi kegagalan Barisan Alternatif pada tahun 2001 (Suggestion for more suitable term than Pakatan Rakyat are most welcome, blog.limkitsiang.com/2008).

Perdebatan di kalangan parti pembangkang, parti politik mana yang seharusnya menjadi parti teras dalam Pakatan Rakyat dileraikan melalui kenyataan bersama ketiga-tiga parti tersebut yang dibuat pada 12 April 2008. Ketiga-tiga parti telah menolak mana-mana parti di kalangan mereka untuk menjadi parti tunjang dalam pakatan tersebut. Mereka menegaskan bahawa dasar-dasar yang diperjuangkan adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang dipersetujui dan disepakati pemimpin tertinggi parti-parti berkenaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh ketiga-tiga parti politik tersebut, Pakatan Rakyat ingin meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi manusia sejagat (Tiada parti tunjang dalam pakatan pembangkang, Mingguan Malaysia, 13 April 2008).

Sejauhmanakah keberkesanan, keserasian dan persefahaman antara parti-parti politik tersebut dalam menentukan hala tuju baru orientasi politik Malaysia pada masa hadapan, hanya masa yang menentukan.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...