Monday, September 14, 2009

MASJID




Masjid dari segi bahasa bermakna tempat sujud. Ia berasal daripada perkataan sajada yang bermaksud “telah sujud” atau sedang sujud (Mahmud Saidon, 1984). Dalam al-Quran terdapat banyak ayat menyentuh mengenai masjid iaitu sekurang-kurangnya 46 kali sama ada ia dimaksudkan dengan Masjid al-Haram, Masjid al-Aqsa atau dalam makna yang umum. Manakala dalam kitab hadis yang sembilan seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, perkataan masjid mencapai jumlah 1686.

Secara umum perkataan masjid merujuk kepada tempat untuk sujud bagi orang yang melakukan ibadah sembahyang. Al-Quran tidak menjelaskan secara khusus di manakah aktiviti sujud harus dilakukan iaitu apakah ia memerlukan suatu tempat khusus seperti bangunan ataupun boleh dilakukan di mana saja. Sebaliknya, Rasulullah telah bersabda bahawa semua bumi Allah adalah suci dan bersih sifatnya dan boleh dijadikan tempat sujud. Hadis ini menunjukkan bahawa semua tempat di setiap pelusuk bumi adalah boleh untuk mengerjakan ibadah, khususnya solat lima waktu. Walau bagaimanapun, ia tidaklah bererti bahawa umat Islam tidak perlu kepada bangunan masjid yang khusus. Nabi Muhammad SAW telah berusaha mendirikan masjid sebaik baginda sampai ke Madinah (Ismail Bakar, 2006). Dalam pengertian yang khusus, masjid bolehlah didifinisikan sebagai satu kawasan sama ada mempunyai bangunan batu atau kayu atau tiada bangunan, tetapi ianya dikhaskan dan diniatkan untuk dijadikan masjid (Mahmud Saidon, 1984).

PERKEMBANGAN MASJID DARI ASPEK SEJARAH

Ketika Rasulullah SAW menyampaikan dakwah Islamiyyah di Mekah, umat Islam belum lagi membina masjid sebagai pusat ibadah dan dakwah. Ini disebabkan, Rasulullah ketika itu menjalankan dakwah Islamiyyah secara rahsia, di samping umat Islam yang bilangan mereka masih kecil dan tentangan yang kuat dari golongan kafir Qurish. Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah dan sampai di Quba’ iaitu di selatan Madinah, Rasulullah telah membina masjid Quba’ iaitu masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah dalam sejarah dakwah. Rasulullah telah berada di Quba’ selama 4 hari. Masjid Quba’ disifatkan oleh Allah dibina atas nilai ketakwaan (al-Quran, al-Taubah:108). Binaan Masjid Quba’ pada masa ia dibina hanyalah dari batang dan daunan pohon tamar yang melambangkan aspek penting dari pembinaan sesebuah masjid itu bukanlah aspek fizikalnya tetapi peranannya yang utama menjana nilai ketakwaan dan penyatuan ummah. Pembinaan Masjid Quba’ ini juga memperlihatkan bahawa fungsi sebenar sesebuah masjid bukan semata-mata untuk dijadikan tempat sujud, tahajjud dan solat. Sekiranya fungsi masjid hanya sekadar mengerjakan solat, tentulah ia tidak dibina dengan segera oleh Rasulullah kerana ibadat tersebut boleh dilakukan di mana-mana. Pembinaan segera Masjid Quba’ tersebut membawa pengertian dan makna yang lebih besar dari hanya membinanya untuk kegunaan solat yang terhad tersebut. Pembinaan segera Masjid Quba’ ini juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan masjid, walaupun Baginda dalam perjalanan ke Madinah.

Apabila Nabi Muhammad SAW sampai ke Madinah, baginda mengambil beberapa langkah yang utama untuk menyatukan masyarakat Madinah yang berpecah belah sebelum kedatangan Nabi ke Madinah. Untuk menyatukan ummah, masjid adalah tempat yang paling berkesan untuk menterjemahkan matlamat tersebut. Dengan sebab itu, antara langkah awal yang diambil oleh Rasulullah SAW di Madinah ialah membina Masjid Nabawi yang merupakan salah satu dari tiga masjid yang suci dalam Islam. Baginda membina Masjid Nabawi di atas sebidang tanah yang sebelum ini adalah kebun-kebun kepunyaan Bani Najjar. Masjid ini dibina daripada batu-bata, bumbung dan atapnya dari pelepah kurma dan tiangnya daripada pohon kurma (Mahmud Saidon, 1984). Menurut satu riwayat, Baginda telah membeli tanah tersebut daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan harga 100 dirham (Syed Ameer Ali, 1992). Pembinaan Masjid ini ternyata bukan sekadar untuk umat Islam melakukan ibadat solat tetapi berfungsi menterjemahkan isi kandungan Islam yang syumul sehingga dapat membina sebuah negara Islam yang agung dan menjadi pangkalan pengembangan dakwah Islamiyyah serta tempat menjana peribadi Muslim unggul yang mengubah dan mencipta sejarah manusia.
Betapa signifikannya masjid ke atas Islam dan umat Islam dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW apabila rumah baginda sendiri di Madinah bersambung dengan Masjid Nabawi. Sebahagian besar hidup Baginda berlangsung di sekitar masjid Madinah. Baginda melakukan iktikaf di dalam masjid terutama pada bulan Ramadan. Apabila Baginda kembali dari perjalanan yang jauh, Baginda bersolat dua rakaat di masjid sebelum balik ke rumah. Baginda menggalakkan supaya akad nikah diadakan di masjid, malahan Baginda sendiri pernah melakukan akad nikah di masjid. Ketika di Mekah, Masjid al-Haram telah dijadikan pusat penyebaran Islam di musim haji dan musim-musim yang lain. Kali terakhir Baginda menyampaikan Islam di Mekah ialah di musim haji yang terakhir yang dikenali sebagai Hajjatul Wada’. Baginda juga menerima utusan dari kabilah-kabilah Arab dan bukan Arab di masjid. Baginda mengadakan rundingan, menyampaikan amanah, nasihat, bahkan proses pengislaman jua dilaksanakan di masjid. Masjid di Madinah pada zaman Baginda juga menjadi pusat kegiatan masyarakat dan pentadbiran negara. Di masjid ditempatkan Baitulmal yang menyalurkan dana untuk pembangunan masyarakat Islam. Di samping itu, sedekah, harta rampasan perang dan lain-lain dibahagikan di masjid, termasuk bantuan yang diberikan kepada fakir miskin. Masjid juga menjadi tempat perlindungan bagi orang musafir dan orang yang tidak berupaya. Ia juga tempat tinggal para sahabat terkenal dengan panggilan ahli suffah. Mereka tinggal di satu ruangan dinamakan Saffah yang terletak di sebelah utara masjid Nabawi. Di Suffah inilah dijadikan tempat belajar yang sistematik dan formal di mana bentuk pengajarannya adalah dalam bentuk halaqah. Rasulullah telah menugaskan beberapa orang sahabat menjadi guru di samping dibantu pula oleh beberapa orang tawanan Badar sebagai pampasan bagi menebus diri.
Masjid pada zaman Baginda juga menjadi tempat membuat pengumuman mengenai perkara-perkara penting bersangkutan dengan kepentingan negara dan masyarakat. Ia juga dijadikan tempat bermesyuarat dan berunding, terutama mengenai isu-isu penting seperti ketenteraan, politik, mengatur strategi dakwah dan penyebaran Islam. Bahkan masjid juga tempat yang dijadikan oleh Hasan bin Thabit mendeklamasikan sajak-sajaknya yang mempertahankan Baginda dan Islam dari ejekan musuh (Mahmud Saidon, 1984). Dr. Yusuf al-Qardhawi menyimpulkan bahawa masjid pada zaman Rasulullah adalah madrasah dakwah, dan pejabat negara Islam. Di masjid Nabi Muhammad SAW memberikan pekerjaan kepada mereka yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada fakir miskin, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk umat, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan pendamaian (Al-Qardhawi:233).
Perbuatan Rasulullah SAW yang mengutamakan pembinaan dan memaksimakan fungsi masjid memperlihatkan kepentingan masjid sebagai urat nadi atau jantung umat Islam yang membekalkan kepada ummah penghayatan cara hidup Islam yang syumul sekaligus melahirkan modal insan unggul. Justeru itu, binaan Masjid seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah sentiasa berada di tengah-tengah bandar yang menjadi pusat kebudayaan Muslim. Apabila para pejuang Islam dan generasi Islam berikutnya melakukan futuhat (pembukaan wilayah-wilayah baru) Islam atau membangunkan bandar-bandar baru, mereka yang telah dididik Rasulullah SAW dengan kesedaran terhadap nilai dan kelebihan masjid telah membina masjid di tengah-tengah bandar dan membina jalan-jalan menuju ke arahnya. Oleh itu, di bandar-bandar Islam, masjid biasanya menjadi focal point atau pusat segala aktiviti kehidupan penduduk setempat dengan lokasinya yang strategik. Antaranya ialah pembukaan bandar Basrah pada tahun 16 H. Apabila Utbah bin Ghazwan membuka bandar ini, semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., perkara pertama yang beliau lakukan ialah mendirikan sebuah masjid di tempat tersebut. Kemudian beliau membina bangunan pentadbiran bersebelahan masjid dan kawasan perumahan di sekelilingnya. Pada tahun 17 H pula, Saad bin Abi Waqas telah membina Masjid Jami’ di tengah-tengah bandar Kufah yang baru dibuka. Masjid ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan bangunan-bangunan pentadbiran. Jalan-jalan dan lorong-lorong banyak dibina untuk menghubungkan masjid dengan bangunan pentadbiran dan kawasan-kawasan perumahan ini. Dikatakan jarak antara bangunan-bangunan ini dengan masjid ialah 200 depa. Perkara yang sama juga telah dilakukan oleh Amru bi Al-As di Fustat, Uqbah bin Nafi di Qairawan dan Abu Ubaidah Al-Jarrah di Damsyik (Muhammad Syukri Salleh et al.,2001).
Kepentingan pembangunan masjid ke atas perkembangan dan permerkasaan Islam dan umahnya serta perluasan fungsi masjid oleh Rasulullah telah menjadi ikutan kepada pemerintah-pemerintah Islam berikutnya. Pembinaan dan pembangunan masjid terus berkembang di daerah-daerah kekuasaan Islam sehingga setiap kota memiliki sejumlah masjid. Ini disebabkan pembangunannya bukan sahaja dilakukan oleh golongan pemerintah, tetapi juga dilakukan oleh golongan bangsawan, hartawan dan ahli masyarakat. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab umpamanya, wilayah pemerintahan Islam telah meliputi seluruh Semenanjung Tanah Arab, Parsi, Syam dan Mesir. Dikatakan tidak terdapat sebuah desa pun di wilayah Islam ketika itu yang tidak dibangunkan masjid dan surau sebagai tempat ibadah, di samping menjadi pusat pelajaran dan pendidikan Islam (Hj. Abdullah Ishak, 1995). Manakala pada abad ke-3 M / 9 H, menurut catatan al-Ya'qubi, kota Baghdad saja telah memiliki tidak kurang dari 3000 buah masjid. Apa yang menarik fungsi masjid pada zaman Umaiyyah dan Abbasiah, di samping fungsi asasnya, tetapi lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan. Masjid pada zaman ini telah menjadi pusat pembelajaran dan berperanan sebagai kilang pemprosesan cendikiawan yang bukan sahaja mampu menjana modal insan tetapi juga dapat membentuk Muslim unggul yang dapat membentengi diri mereka daripada pengaruh hawa nafsu yang merangsang ke arah keburukan (Ismail Bakar, 2006). Umpamanya, Khalifah al-Walid bin Abdul Malik (705 M-715 M) telah berusaha mengembangkan ilmu pengetahuan dan menghapuskan buta huruf di kalangan umat Islam dengan mendirikan masjid-masjid dan kuttab-kuttab sebagai pusat ilmu pengetahuan dan pendidikan di samping pusat ibadat di seluruh wilayah Islam. Kurikulum pelajarannya selain membaca, menulis dan pelajaran al-Quran seperti ilmu tafsir, Hadis, Fiqh, Bahasa, Kesusasteraan Arab dan lain-lain. Masjid-masjid pada zaman ini biasanya telah menjadi pusat pengajian bagi orang dewasa manakala kuttab-kuttab untuk golongan kanak-kanak (Hj. Abdullah Ishak, 1995). Fungsi masjid sebagai rumah ibadah dan lembaga pendidikan berjalan secara harmonis, paling tidak dalam beberapa abad lamanya. Ringkasnya, walaupun masjid dibangun untuk memenuhi fungsi utamanya sebagai tempat ibadah, tetapi fungsi sekundernya adalah tempat penjanaan ilmu ke dalam masyarakat telah berlangsung beberapa abad lamanya sehingga pada zaman tabien sebelum fungsinya diambil alih oleh institusi yang lebih tersusun seperti madrasah yang muncul pada akhir abad keempat Hijrah. Sistem pendidikan madrasah telah diperkenalkan oleh penduduk Naisabur dengan menamakan institusi tersebut sebagai Madrasah al-Baihaqiyah yang berorientasikan sistem pengajian yang serba moden dan lengkap (Hj. Abdullah Ishak, 2006).
Kecemerlangan tamadun Islam pada zaman zaman Umaiyyah dan mencapai puncak kegemilangan pada zaman Abbasiah telah mempengaruhi perkembangan institusi masjid. Ditambah lagi berlakunya perluasan wilayah Islam, meluasnya hubungan tamadun Islam dengan tamadun asing seperti Romawi, Yunani serta bertambahnya kekayaan negara Islam telah mempengaruhi aspek binaan masjid. Masjid pada era ini, tidak hanya dilihat pada fungsi asasnya tetapi turut memanifestasikan perkembangan seni bina Islam. Walaupun perkembangan seni bina masjid tidak dapat dielakkan menerima pengaruh dari seni bina asing, tetapi umat Islam ketika itu telah melakukan modifikasi yang kreatif bagi disesuaikan dengan dasar tauhid dan garis panduan Islam. Binaan masjid kemudiannya telah menterjemahkan kekayaan negara Islam dan memanifestasikan bentuk seni bina Islam dengan mengembangkan seni Arabesque, mehrab, kubah, kaligrafi dan lain-lain bentuk kesenian Islam yang bertunjangkan konsep tauhid serta menyerapkan pengaruh tempatan. Menurut Mohamad Tajudin (2001), perkembangan seni bina masjid mula diperlihatkan pada zaman Umaiyyah sesuatu yang tidaklah menjadi keutamaan pada zaman Rasulullah kerana masjid pada zaman Nabi dibina keadaan yang simple, tidak mempunyai kubah dan gerbang tetapi menggunakan sistem tiang pokok kurma, dinding lumpur dan berbumbung batang dan kayu kurma. Nabi Muhammad SAW melarang pembinaan masjid dilakukan secara membazir tetapi hendaklah dilakukan secara kesederhanaan. Sabdanya: “Saya tidak diperintahkan untuk masjid besar dan bermegah” Bagaimanapun apabila Islam berkembang ke Syria, askar-askar Muslim amat tertarik dengan kehebatan peninggalan Romawi yang mempunyai teknologi tinggi dalam bidang pembinaan gerbang dan kubah batu-bata. Perasaan untuk menandingi pembinaan ini dan juga ketiadaan banyak bahan seperti kayu kayan membuatkan para Muslim meniru kaedah pembinaan yang sedemikian (Mohamad Tajuddin Haji Mohamad Rasdi, Penilaian Semula Senibina Masjid, Utusan Malaysia, 2 April 2001).
Penerapan unsur kesenian terhadap seni bina masjid pada asasnya tidaklah menjadi tegahan dalam agama. Ini disebabkan ajaran al-Quran menyeru manusia menghayati keindahan dalam erti kata yang sebenar. Keindahan dikatakan penting dan merupakan satu dari ciri-ciri wahyu. Malahan keindahan benar-benar menduduki tempat yang begitu tinggi dalam hieraki nilai al-Quran, sehinggakan kebenaran wahyu itu terbukti dari keindahannya. Islam juga melihat keindahan sebagai salah satu dari sifat Allah yang Suci dan Agung. Orang Islam diseru supaya mencari dan mengekalkan nilai-nilai yang indah dalam setiap perkara (al-Faruqi, 1990). Keindahan seni bina masjid yang amat dipengaruhi oleh doktrin tauhid dan memancarkan sinar Islam dapat dilihat dari falsafah seninya di mana ruangnya yang bersifat terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira pangkat dan keturunan, kerana semua adalah sama di sisi Allah dan yang membezakan mereka adalah nilai ketakwaan. Seni bina masjid banyak mengambil bentuk-bentuk bulat yang merupakan bentuk yang paling sempurna yang mencerminkan kelembutan dan kehalusan seolah-olah ianya pula tidak berkesudahan seperti bentuk-bentuk kubah, menara, mihrab, tiang-tinag dan pintu-pintu. Kubah-kubah kecil bersama kubah besar yang bilangannya lima melambangkan rukun Islam yang lima atau jumlahnya yang enam melambangkan rukun iman yang enam. Kesemua bentuk atau bangunan masjid mengandungi makna atau falsafah yang tersirat bukan sesuatu yang tidak membawa apa-apa makna tertentu. Pendeknya seni bina masjid melambangkan keindahan yang bersifat rohaniah dan ubudiyah yang mendalam yang diikat dengan ketauhidan yang kukuh sesuai sebagai tempat ibadah orang-orang Islam yang terpenting. Keindahan seni bina masjid mempengaruhi bentuk-bentuk seni bina yang lain misalnya istana-istana seperti al-Hambra’, kuburan seperti Taj Mahal dan kota-kota seperti Kota Baghdad (Shafie Abu Bakar, 1990). Walaupun pada dasarnya Islam tidak menegah penerapan kesenian dan keindahan terhadap seni bina masjid tetapi jangan melupai fungsi asas masjid supaya tidak tergolong dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah iaitu “Sesungguhnya akan datang pada umatku suatu zaman, mereka saling bermegah-megahan dengan membangun beberapa masjid tapi yang memakmurkannya hanya sedikit” (Hadith Riwayat Baihaqi).

FUNGSI MASJID

Dari perbincangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa fungsi atau peranan masjid dalam Islam adalah menyeluruh menepati dengan hakikat Islam sebagai din yang syumul. Peranan masjid tidak boleh disamakan dengan peranan institusi agama lain seperti gereja atau kuil yang hanya menghadkan peranan tempat ibadat mereka dalam ruang lingkup ritual semata-mata. Fungsi masjid yang meluas tersebut seperti yang disimpulkan oleh Prof.Ahmad Shalaby yang menggariskan peranan institusi masjid semenjak zaman Rasullulah adalah seperti berikut: ia adalah tempat melakukan ibadat, tempat bermesyuarat, mahkamah menjatuhkan hukuman, institusi pengajian, balai pertemuan, tempat kegiatan kesusteraan, tempat perbincangan mengenai perihal ekonomi dan perdagangan, tempat memutuskan urusan negara, hotel untuk pengembara, perpustakaan, pejabat Baitulmal, markas tentera untuk membincangkan strategi perang, tempat melangsungkan perkahwinan dan pusat pentadbiran negara (Zakaria Stapa, 1999). Sidi Gazalba pula menyimpulkan institusi masjid di dalam Islam adalah pangkal tolak dan penghujung dari setiap segi kehidupan mereka. Bahkan masjid bukanlah zon bebas dari membicarakan idealisme politik Islam tetapi tidak boleh menjadi pusat kegiatan politik kepartian yang boleh membawa kepada pepecahan ummah.

Segala permasalahan umat Islam semasa seperti perbalahan dan perselisihan pendapat harus diselesaikan di dalam masjid melalui semangat syura. Masjid seharusnya menjadi badan bebas yang memantau semua kegiatan umat Islam yang berada di persekitarannya dan mejadi mekanisme memupuk perpaduan umat Islam. Zakaria Stapa menyimpulkan piawian kegiatan masjid mesti didasarkan kepada tiga asas, iaitu: ketakwaan, perpaduan dan kesucian. Semua aktiviti dibenarkan di masjid sekiranya tiga piawian tersebut tidak dilanggar. Sekirannya masjid hendak dikawal, maka ia hendaklah diasaskan kepada pandangan al-Qur’an dan Hadis dan bukannya berasaskan pandangan manusia semata-mata. Al-Qadi Abu Bakar al-Arabi dalam kitab tafsirnya Ahkam al-Qur’a (Akbar Eklusif, 21-27 Feb, 2000) mengatakan, umat Islam dianggap merobohkan masjid sekirannya mereka menghilangkan fungsinya dan menghalang orang Islam untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian.

Allah telah menjadikan masjid tempat yang paling mulis di sisiNya seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri ialah pasar dan tempat yang disukaiNya ialah masjid-masjidNya”. Islam menuntut supaya masjid sentiasa diimarahkan dengan mendirikan solat, zikir, mengeluarkan zakat dan seluruh kegiatan yang ma’ruf dan mendatangkan manfaat kepada Islam dan umatnya. Masjid perlu menjadi zon yang paling bersih yang menterjemahkan asas ibadah iaitu kebersihan. Masjid juga perlu diterangi oleh lampu-lampu untuk memberi keselesaan kepada mereka yang beribadat di dalamnya. Masjid tidak wajar dikunci kecuali dibimbangkan berakunya kecurian atau sebab-sebab yang munasabah. Masjid perlu menjadi tempat yang ”mesra jemaah” supaya ia dapat digunakan dengan mudah bagi mereka yang ingin beribadah, beriktikaf, belajar, berlindung dan sebagainya. Masjid sewajarnya menjadi rakan belia bagi melahirkan generasi yang berakhlak dan bertaqwa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tujuh orang yang diberi lindungan di bawah bayangan ‘arasy pada hari yang tiada naungan selain naunganNya, (iaitu) pemimpin yang adil, pemuda yang besar di dalam beribadah kepada Allah, seorang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat kerana Allah keduanya bertemu dengan urusan itu juga, seorang lelaki yang menyebut dan mengingati Allah seorang diri sehingga keluar air matanya dan seorang lelaki yang dirayu oleh wanita yang cantik lagi bangsawan (untuk melakukan maksiat) tetapi lelaki itu berkata: sesungguhnya aku takut kepada Allah dan lelaki yang (ikhlas) bersedekah sesuatu dan ia menyembunyikan usaha itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Nabi juga pernah bersabda: “Apabila kamu melihat seorang lelaki berulang alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Allah telah menyebutkan bahawa syarat utama orang yang mengimarahkan masjid adalah orang-orang yang beriman kepada Allah serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) untuk melaksanakan tugas ini. Seperti firman Allah yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk” (al-Taubah:18). Ayat ini memberi peringatan kepada umat Islam supaya pemakmuran masjid mestilah berasaskan nilai ketakwaan dan untuk mendapat keredaan Allah bukan sebaliknya. Apabila peimarahan masjid berasaskan kemegahan, mencari pengaruh dan lain-lain sebab yang bukan berasaskan nilai ketakwaan maka ia akan mendatangkan pepecahan ummah. Masjid tersebut hanyalah bangunan yang indah tersergam tetapi tidak mempunyai roh dan tidak dapat memberi manfaat kepada ummah (Mahmud Saidon, 1984). Konsekuensi dari mengimarahkan masjid-masjid maka Allah tidak akan menurukan azabNya kepada umat manusia seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud: “Demi keagungan dan kebesaranKu, jika Aku hendak menurunkan azab atas penghuni bumi, lalu Aku lihat mereka yang memakmurkan rumah-rumahKu (masjid) dan yang saling kasih cinta kepadaKu dan yang beristighfar kepadaKu pada waktu malam, maka Aku elakkan azab itu dari mereka” (Hadis riwayat al-Baha’ie dari Anas).
Umat Islam juga akan memperolehi kehormatan dari Allah dan terselamat dari godaan iblis yang sentiasa ingin menyesatkan manusia. Berkata Amer bin Maimun al-Audi, “Aku telah bertemu dengan sahabat Rasulullah dan mereka berkata: “Sesungguhnya masjid-masjid adalah rumah-rumah Allah, maka menjadi hak yang mengunjungi untuk memperolehi kehormatan Allah” (dipetik dari Kitab Muhtasar Tafsir Ibn Kathir, jilid. 4). Rasulullah juga bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala bagi manusia, seperti serigala yang menyerang kambing-kambing yang menyendiri dan berpisah dari kelompoknya, mak a hati-hatilah kamu jangan menyendiri di lembah-lembah tetapi hendaklah kamu menyertai jemaah dan berada di masjid” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari Muaz bin Jabal). Sayyidina Uthman ibnu Affan berkata, bahawasanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang membina masjid semata-mata kerana Allah, Allah akan mendirikan untuknya seperti yang didirikan olehnya di Syurga" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). “Barangsiapa membangun masjid dengan tidak riya’ dan sum’ah, maka Allah akan membangun untuknya rumah di Syurga (Hadith Riwayat at Thabrani).
Masjid seperti yang dimodelkan oleh Rasulullah adalah sumber kekuatan ummah. Kejayaan Rasulullah SAW mewujudkan kekuatan ummah melalui masjid disebabkan peranan efektif yang dimainkan masjid pada masa Baginda dalam melahirkan model insan terbaik yang disebut sebagai generasi al-Quran dan khairal ummah atau sebaik-baik ummah. Di samping wujudnya perancangan, pengurusan institusi masjid yang terbaik dan pengiktirafan tinggi Allah ke atas kakitangan masjid seperti imam dan mauazin yang merangsang umat Islam menumpukan perhatian melaksanakan tanggungjawab mereka dengan bersungguh-sungguh dalam mengimarahkan masjid. Kenyataan ini diasaskan kepada beberapa Hadis Nabi, antaranya: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, ia berkata: “’Beritahukanlah kepadaku tentang amal yang akan memasukkan aku ke dalam Syurga.’ Rasul menjawab: ‘Jadilah muadzdzin’. (Lelaki itu berkata:) ‘Aku tidak boleh.’ Rasul berkata: ‘Jadilah Imam’ (Lelaki itu berkata): ‘Aku tidak boleh’. Maka Rasul bersabda: ‘Berdirilah dekat Imam’” (Hadith Riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga sering mendoakan orang-orang yang adzan dengan doa: “Ya Allah, tunjukkanlah para Imam dan ampuni para mu’adzdzin” (Hadith Riwayat Abu Daud dan At Tirmidzi). Rasulullah SAW bersabda: “Rahmat dan pertolongan Allah berada di atas mu’adzdzin dan ia akan diampuni oleh Allah sepanjang/sejauh suaranya dapat didengar” (Hadith Riwayat At Thabrani). Selama berada di masjid itu juga diganjarkan bagi setiap nafas satu darjat di syurga, dicatat sepuluh hasanat, dan dihapuskan sepuluh dosa serta didoakan oleh para Malaikat. Rasulullah SAW menyuruh memperbanyakkan langkah ke masjid, mengajak orang ramai bersamanya, dan menunggu solat selepas solat. Mereka yang melakukan perkara ini bukan sahaja dihapuskan dosa dan diangkat darjatnya oleh Allah SWT, tetapi juga disediakan satu tempat di syurga setiap kali mereka berulang alik ke masjid. Jika mereka bersolat jemaah di masjid selama 40 hari dengan tidak pernah luput dari Takbiratul Ihram rakaat pertama, maka Allah S.W.T. menjamin untuknya kebebasan daripada api neraka. Sebaliknya, jika manusia mendengar adzan tetapi tidak memenuhinya (tidak ke masjid) tanpa uzur, solat yang dilakukan mereka tidak akan diterima. Uzur di sini bermaksud ketakutan atau sakit (Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Rasulullah SAW bersabda: “Hai Abu Dzar, siapa menyambut panggilan Allah dan memakmurkan masjid-masjid Allah, maka pasti mendapatkan Syurga.” Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana caranya memakmurkan masjid?” Jawab Nabi: “Janganlah keras-keras bersuara, jangan berbicara bathil, jangan berjual beli di dalamnya, dan tinggalkan semua yang melalaikan selama kamu berada di masjid. Maka jika tidak dapat berbuat begitu, maka jangan menyesali kecuali dirimu sendiri pada hari Kiamat nanti” (Wasiat Rasulullah kepada Abu Dzar). Hadith Qudsi: “Pada hari Kiamat Allah berfirman: ‘Pada hari ini orang-orang yang berkumpul (di padang masyhar) akan mengetahui siapa yang termasuk keluarga utama.’ Para sahabat bertanya: ‘Siapakah ahli (keluarga) utama itu, Ya Rasulullah?’ Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah keluarga-keluarga majlis zikir di masjid-masjid” (Hadith Riwayat Ahmad dari Abu Sa’id Al Khudri).
Peranan masjid yang cukup penting menjana kekuatan ummah tidak akan tercapai jika umat Islam tidak menjadikannya sebagai pusat kegiatan ummah dan dikunjungi ramai. Justeru itu, ia mesti merencana berbagai pendekatan dan program bagi menarik kedatangan ramai jemaah ke dalamnya di samping untuk beribadat, turut serta berpartisipasi dalam setiap kegiatan masjid yang dianjurkan. Oleh kerana itu, masjid perlu memancarkan mesej jemputan dan bukan menghalang. Rekabentuk pagar dan permukaan bangunan perlu diolah agar orang yang lalu lalang di luar perkarangan masjid nampak aktiviti di perkarangan dan di dalam bangunan. Kemudahan-kemudahan masjid seperti kedai dan kefetaria perlu didedahkan bagi menarik minat pengguna. Kemudahan awam lain seperti bangku, alat permainan dan wakaf perlu didedahkan agar semuanya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang lalu di hadapan atau di sebelah masjid (Mohamad Tajuddin, 2001). Di samping itu, perlu diwujudkan pelan strategi untuk menarik lebih ramai jemaah dari pelbagai peringkat golongan untuk datang ke masjid, antaranya melalui strategi: 1) Menjadikan Masjid Mesra Belia, 2) Menjadikan Masjid Lebih Mesra Keluarga dan 3) Mewujudkan Masjid Mesra Masyarakat. Melalui menjadikan masjid mesra belia adalah mewujudkan ruang dan kecenderungan yang selesa untuk belia ketika di masjid. Ruang untuk “lepak” untuk golongan belia yang disesuaikan dengan suasana masjid perlu diwujudkan, di samping menubuhkan rakan belia masjid yang menumpukan kepada perancangan program belia di masjid. Menjadikan masjid lebih mesra keluarga adalah dengan mewujudkan pusat kegiatan keluarga di masjid seperti ceramah dan kursus kekeluargaan, perkahwinan, kaunseling dan lain-lain. Mewujudkan masjid mesra masyarakat dengan mewujudkan program bercorak kemasyarakatan dan memberi kesedaran dan kefahaman Islam kepada ahli masyarakat secara berterusan serta peka dengan keperluan dan permasalahan masyarakat setempat (lihat pengalaman Singapura dalam mengimarahkan masjid dalam kertas kerja Hj. Mohamed Ali Hj. Atan, Pengurusan Masjid: Pengalaman Republik Singapura, http://www.scribd.com/doc/39818/manajemen-masjid.
Masjid juga perlu menjadi “pusat pendidikan terbuka sepanjang hayat” dengan menyediakan program kuliah ilmu dalam pelbagai bidang sama ada fardu ain atau fardu kifayah secara berterusan dan konsistan. Justeru itu, masjid perlu dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan yang terkini berserta teknologi pembelajaran terkini supaya proses pengajaran dan pemindahan ilmu tidak bersifat tradisional yang menimbulkan kejemuan dari audiens. Untuk menjadikan masjid berperanan secara efektif dan holistik, aspek pengurusan masjid perlu disemak kembali atau diperkasakan dengan meningkatkan pengurusan dan pembangunan masjid. Pekerja-pekerja masjid mestilah terdiri daripada mereka yang amanah, dedikasi, memahami misi dan visi masjid dan bekerja secara sepenuh masa bagi menguruskan aktiviti masjid dan bukannya “bila ada masa” atau kesukarelaan.
KESIMPULAN
Dari perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa peranan masjid dalam Islam adalah cukup penting dan luas. Masjid adalah institusi yang dimulikan oleh Allah, pemankin keimanan, rahmat, keampunan dari Allah dan faktor asas kepada kekuatan ummah dan kecemerlangan tamadun Islam. Justeru itu, masjid perlu diletakkan semula peranannya dan diletakkan pada lokasinya yang strategi dan pusat kepada kegiatan hidup Muslim. Untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid supaya menjadi pusat kepada kehidupan Muslim hari ini, pengurusan masjid perlu dilakukan anjakan paradigma yang baru supaya kelesuan dan ketidak efektifan institusi masjid hari ini dapat di atas dengan segera.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...