Tuesday, May 8, 2018

Perubahan Pendekatan Politik Dato Onn (Malaya untuk Malayan) 1951

Saya cuba untuk memahami apakah sebab utama yang mendorong perubahan radikal pendekatan politik Dato' Onn dari memperjuangkan "Malaya untuk orang Melayu" kepada "Malaya untuk Malayan" yang membawa perletakan jawatannya sebagai Yang DiPertua UMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan IMP sebuah parti bukan perkauman. Untuk lebih memahami perjuangan Dato' Onn membawa saya membaca buku "Biografi Dato' Onn: Hidup Melayu" yang ditulis oleh Anwar Abdullah (2005). Buku ini telah membincangkan secara mendalam biografi Dato' Onn, pemikiran dan kehidupan politiknya. Saya juga meneliti ucapan Dato' Onn yang menjelaskan kenapa beliau menubuhkan IMP sebuah parti politik non-komunal. Dato' Onn menjelaskan sebab utama beliau berbuat demikian adalah kerana ingin mewujudkan perpaduan dan hubungan yang baik antara kaum serta ingin mengikat kaum-kaum lain supaya menumpahkan kesetiaan mereka di Tanah Melayu. Keadaan ini ada asasnya apabila kita melihat fakta sejarah yang menunjukkan kaum-kaum lain seperti Cina dan India sebelum merdeka masih lagi tidak dapat memutuskan diri mereka dari negara dan budaya leluhur mereka dan melihat Tanah Melayu sebagai tempat mencari kekayaan dan kesenangan untuk dihantar ke negara asal mereka. Mereka melihat diri mereka hanya sementara sahaja di sini, lebih-lebih lagi dasar negara China yang menerima kewarganegaraan kaum Cina Seberang atau perantauan bagi mendambakan bantuan material untuk pergerakan politik di negara China. Keadaan ini mula berubah menjelang tahun-tahun kemerdekaan terutama selepas tahun 1946 apabila kaum-kaum lain mula memutuskan hubungan mereka secara beransur-ansur dari negara asal mereka dan melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Malaya. Dengan sebab itu, kita mendapati mula timbul dari kalangan kaum bukan Melayu tokoh dan pergerakan politik yang mula membicarakan soal dan syarat kerakyatan Persekutuan seperti pemakaian prinsip 'Jus soli" bagi membolehkan kaum bukan Melayu mendapat kerakyatan negara ini. Sehingga pada masa sebelum merdeka soal kerakyatan merupakan isu sensitif , pertikaian serta permuafakatan antara kaum di negara ini.

Dato' Onn sebagai tokoh politik yang bersifat realistik telah bersetuju mengenai syarat kewarganegaran seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) sehingga menimbulkan penentangan yang kuat dari sebahagian orang Melayu ketika itu dan menyebabkan Dato' Onn meletakan jawatan sebagai YDP UMNO. Beliau bersifat realistik apabila memahami hakikat bahawa kemerdekaan tidak akan tercapai dengan perjuangan atau sokongan satu kaum semata-mata dengan meminggirkan kaum lain kerana Malaya ketika itu senarionya telah jauh berubah berbanding sebelum kedatangan penjajah Barat dan kaum lain ke negara ini. Hakikat ini ditambah burukan lagi dengan pepecahan kaum yang disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk dasar penjajah sama ada Inggeris atau Jepun yang menggunakan pendekatan "pecah" dan "perintah" yang telah mewujudkan jurang komunal yang amat serius. Pepecahan kaum mewarnai politik negara sebelum merdeka sehingga menimbulkan pertentangan fizikal pada masa penjajahan Jepun dan pasca pemerintahan Jepun dan kembalinya Inggeris ke negara ini selepas tamat perang dunia kedua.
Dato' Onn sendiri menyaksikan konflik komunal antara Melayu dan Cina di Batu Pahat menjelang tamatnya pemerintahan Jepun. Konflik ini berlaku akibat dari membalas dendam antara etnik terutama kerana dasar penjajah Jepun yang pro Melayu dan memusuhi kaum Cina serta disemarakkan lagi oleh ledakan emosi dan khabar angin. Dalam keadaan tegang ini, Dato' Onn diarahkan pindah oleh Jepun ke Batu Pahat sebagai Pegawai Daerah bagi mengembalikan keamanan di Batu Pahat (lihat Anwar Abdullah 2005, 115-125).

Pengalaman konflik komunal ini menjadi satu pengajaran bahawa komunalisme yang tidak terkawal akan hanya menjahanamkan bangsa dan negara ini. Bertitik tolak dari pengalaman ini, agaknya mendorong Dato' Onn merintis usaha awal ke arah mewujudkan perpaduan kaum dengan mewujudkan sebuah parti politik non-komunal yang dianggap mendahului zamannya kerana penubuhan parti-parti poltik pada dekat 1940-an lebih berorientasikan kaum masing-masing. Pendekatan yang dirintis oleh Dato' Onn pada mulanya mendapat tetangan dari orang Melayu sehingga Tunku Abdul Rahman dalam Persidangan Agung UMNO pada 16 Februari 1954 telah mengatakan bahawa orang Melayu ketika itu belum boleh lagi berfikir secara tidak perkauman. Sekiranya IMP berjaya menarik sokongan rakyat maka akan berlaku huru hara dan pergaduhan antara kaum. Walaupun Tunku menghemburkan kritikan terhadap Dato' Onn tetapi strategi politik yang dirintis oleh Dato Onn telah dicontohi oleh Tunku apabila beliau mewujudkan Perikatan antara UMNO, MCA dan kemudiannya MIC. Beliau juga melihat usaha tersebut sebagai satu perubahan yang signifikan bagi mewujudkan satu bangsa yang bersatu bagi mencapai kemerdekaan.

DIMP sebagai parti non-komunal walaupun pada awalnya disokong oleh kaum bukan Melayu dan ditolak oleh kaum Melayu akhirnya berkubur. Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Negara dan kembali kepada pendekatan politik lamanya iaitu "Malaya untuk orang Melayu" bagi meraih sokongan dari orang Melayu setelah kaum lain beralih arah untuk menyokong Parti Perikatan. Menurut Anwar Abdullah (2005, 185) salah satu sebab yang mendorong Dato' Onn berpatah kepada pendekatan politik lamanya ialah gerak geri UMNO yang secara praktikal beransur-ansur menerima dasar Perikatan yang menuju kepada arah perjuangan IMP iaitu "Malaya untuk Malayan".

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...