Saturday, January 23, 2010

K

 
KEGIATAN PENTERJEMAHAN DAN SUMBANGAN ILMUWAN ISLAM TERHADAP PERKEMBANGAN SAINS MODEN
 
 
Oleh:
 
Abdul Halim Ramli (Ph.D)

 
 
Pendahuluan
Kelahiran agama Islam bukan sahaja menghasilkan transformasi kepada akidah masyarakat manusia daripada akidah syirik kepada mentauhidkan Allah tetapi juga telah mentransformasikan ketamadunan manusia dalam semua aspek. Kedatangan Islam telah membawa kemajuan kepada manusia, mengangkat martabat manusia daripada kejahilan dan kemunduran kepada budaya ilmu. Tambahan lagi, Islam merupakan satu agama yang berpaksikan kepada ilmu, berasaskan kepada wahyu pertama iaitu surah al-Alaq yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah menyangkut persoalan ilmu. Ayat ini telah mengasaskan kepada umat Islam bahawa semua perbuatan dan tindakan mereka mestilah berasaskan ilmu. Konsep ilmu yang telah diajarkan oleh Islam semenjak penurunan wahyu yang pertama lagi ialah umat Islam dituntut mencari ilmu dalam pelbagai bidang dari pelbagai sumber dan ketamadunan yang bukan sahaja dalam bidang keagamaan tetapi juga persoalan keduniaan berasaskan keimanan. Ini kerana, manusia Muslim memahami bahawa tugas mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini adalah untuk mengimarahkan atau membangunkan dunia berpaksikan ilmu dan iman. Bertitik tolak dari premis ini, umat Islam melalui golongan ilmuwan mereka telah mengabdikan diri mereka mencari, meneroka, menterjemah, membangun dan mengembangkan ilmu dalam pelbagai bidang seperti ilmu sains, falsafah, teknologi, keagamaan dan lain-lain lagi yang akhirnya menyumbang kepada kemajuan ketamadunan manusia, khususnya tamadun Barat Moden. Hal ini disebutkan oleh Ibn Khaldun melalui kitab Muqaddimahnya dalam bab yang membicarakan ilmu pengetahuan. Beliau telah menyebutkan tentang perkembangan ilmu-ilmu dalam Islam bermula dengan ilmu berkenaan dengan Quran, Sunah, hukum, akidah, akhlak, tasawuf, sampai kepada ilmu perubatan, ekonomi dan seterusnya yang memungkinkan tamadun Islam berkembang di dunia dengan cemerlang dalam pelbagai bidang disiplin ilmu. Kaum Muslimin memainkan peranan mereka memberi kefahaman tentang ilmu yang asli dan juga olahan yang mereka buat daripada warisan tamadun yang terdahulu dalam perubatan, falsafah, fizik, kimia dan seterusnya. Ilmu-ilmu itulah yang menyebabkan kehidupan orang Islam dalam tamadun mereka menjadi cemerlang sama ada dari segi duniawi dan juga akhirat (Muhammad Uthman El-Muhamady, 2006)..
KEGIATAN PENTERJEMAHAN DAN PERKEMBANGAN SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM
Perkembangan pelbagai disiplin ilmu, khusus ilmu sains dalam tamadun Islam disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor utama perkembangan tradisi keilmuan Islam adalah dirangsang oleh al-Quran dan Hadis sendiri. Kenyataan ini dibuktikan melalui penulisan ulama-ulama terkenal Islam seperti al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulum al-Din dalam bab Kitab al-'Ilm atau The Book of Knowledge telah mengumpulkan sekian banyak ayat-ayat al-Qur'an, Hadis dan cerita-cerita yang merangsang pencarian ilmu, kedudukan dan kelebihan orang-orang yang mencari ilmu pengetahuan. Keadaan yang sama dipaparkan di dalam kitab-kitab Hadis seperti Muwatta' Imam Malik (91 H/710 M - 179 H/ 795 M) yang mengandungi satu bab tentang pencarian ilmu, Imam Shafi'i (150 H/ 767M - 204 H/820 M) dalam kitab Jima' al-'Ilm, Abu Khaythamah (160 H/776 M - 234 H/849 M) dalam kitab al-'Ilm, Abu Bakar Ibn Abi Shaybah (159 H/775 M - 235H/849M) dalam kitabnya Musannaf dan lain-lain lagi ( F. Rosenthal, 1993: 79-105

Faktor lain yang menyumbang kepada perkembangan tradisi keilmuan Islam ialah faktor penterjemahan karya-karya terutamanya ilmu sains dan falsafah dari tamadun asing, khususnya dari Greek/Yunani. Justeru itu, kita dapat melihat khususnya pada zaman Abbasiah betapa giatnya ilmuwan Islam melakukan penterjemahan karya-karya dalam bidang sains dan falsafah, yang diambil dari Greek/Yunani.

Bagaimanpun, pada mulanya ilmu-ilmu dari Greek yang dibawa masuk ke Timur pada abad ke 4 Masihi bukanlah oleh orang-orang Arab Islam tetapi oleh orang-orang Arab Syria yang beragama Kristian. Melalui merekalah ilmu-ilmu falsafah dan sains Greek telah dipindahkan ke dunia Arab (O'leary, 1968: 53). Orang-orang Syria, bukan sahaja bertindak sebagai penterjemah, tetapi juga telah menyuburkan ilmu-ilmu Greek lebih dari 5 abad sebelum ianya dipindahkan kepada kumpulan kecil golongan sarjana Muslim pada abad Pertengahan Islam (O'leary, 1949: 155-175). Kerja-kerja penterjemahan karya-karya dari Greek oleh Syria berkemungkinan bermula pada abad ke 4 Masihi sehingga abad ke 8 Masihi (De Boer, 1970: 14). Menurut O'leary (1968), terdapat 5 saluran bagaimana ilmu-ilmu Greek yang disimpan oleh orang-orang Syria dapat bertapak di dunia Arab, iaitu melalui:

1. Golongan Kristian Nestorian

Menurut De Boer (1970), golongan Nestorian lebih berpengaruh di Parsi, manakala golongan Monophysite di Syria. Kedua-dua golongan ini mempunyai perbezaan pandangan dalam doktrin ketuhanan Kristian. Bagi Monophysite, tuhan dan manusia adalah bersatu dalam satu nature Christ (Jesus), manakala golongan Nestorian pula membezakan antara nature Ketuhanan dan nature kemanusiaan di dalam Jesus. Golongan ini merupakan guru terawal orang-orang Islam dan mereka merupakan "penghubung" yang amat penting di dalam bidang perubatan dan sains.

2. Golongan Kristian Jacobites atau Monophysites.

Mereka ini banyak memperkenalkan spekulatif neo-Platonis dan mistikisme (faham kesufian).

3.Golongan Zorostaria di Parsi dan khususnya aliran Junde-Shapur (golongan ini juga kuat dipengaruhi oleh elemen-elemen Nestorian).

4.Golongan Pagan Harran.

5.Segelintir orang-orang Yahudi. Golongan ini tidak membuat hubungan dengan tradisi falsafah Aristotle. Akademi mereka di Sora dan Pumbaditha lebih menjurus kepada undang-undang tradisi mereka sendiri dan tafsiran Bible.

Kerja-kerja penterjemahan karya-karya Greek melalui versi Syria secara giat ke dalam bahasa Arab dapat dilihat pada awal pemerintahan kerajaan Abbasiah (Walzer, 1963: 6). Bagaimanapun minat untuk mempelajari sains dan falsafah Greek dapat juga dilihat pada masa pemerintahan Khalid Ibn Yazid (mati 704 Masihi) dari Bani Ummaiyyah (661 - 749 Masihi). Khalid ibn Yazid diberitakan telah mempelajari Alkimia dari paderi Kristian. Beliau juga telah mengarahkan karya-karya Alkimia Greek diterjemahkan ke dalam bahasa Arab (De Boer, 1970:17).

O'leary telah membahagikan kegiatan penterjemahan pada zaman Bani Abbasiah kepada dua peringkat. Peringkat pertama adalah dari zaman awal penubuhan Bani Abbasiah sehingga kepada perlantikan Khalifah al-Ma'mum (132 - 198 H). Kegiatan penterjemahan pada tahap ini kebanyakkannya dilakukan para penterjemah bebas dari agama Kristian, Yahudi dan penganut agama non-Islam. Peringkat kedua pula ialah dari masa pemerintahan al-Ma'mum dan para penggantinya (al-Mu'tasim dan al-Mutawakkil). Kegiatan penterjemahan pada peringkat ini kebanyakkannya berpusat di Baghdad (O'leary, 1968: 105) terutama di Bayt al-Hikma atau House of Wisdom yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma'mum (833 Masihi) di sekitar tahun 830 Masihi ( Nasr, 1984: 69). Pada peringkat pertama atau di sekitar abad ke 8 Masihi, kerja-kerja penterjemahan yang paling awal telah dilakukan oleh 'Abdullah ibn al-Muqaffa' yang berasal dari Far dan pada asalnya beliau menganut agama Zoroastaria sebelum beliau menganut agama Islam (O'leary, 1968: 106, De Boer 1970 :17). Antara karya yang diketahui telah diterjemahkan oleh Ibn al-Muqaffa' ke dalam bahasa Arab ialah karya dari Parsi iaitu Kalila wa-Dimna (O'leary, 1968:107). Pada masa beliau hidup, Bani Abbasiah telah diperintah oleh Khalifah al-Mansur (136 -158 H/754 - 775 M). Pada waktu tersebut, Khalifah al-Mansur telah memerintahkan Ibn Muqaffa' dan lain-lain penterjemah supaya menterjemahkan karya-karya mengenai sains tabii, perubatan dan logik yang berasal dari Pahlawi, Parsi dan Greek untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab (De Boer,1970: 17).

Khalifah al-Mansur selepas mengasaskan kota Baghdad pada tahun 148 H telah memerintahkan ahli perubatan Nestorian iaitu George Boktishu' supaya membina pusat perubatan di Baghdad. Apabila George jatuh sakit, beliau kemudiannya telah bersara lalu kembali ke Junde-Shapur. Tempat beliau telah digantikan oleh anak muridnya iaitu Issa b. Thakerbokht. Pada zaman Khalifah Harun al-Rashid (170 - 194 H/786 - 809 Masihi), anak lelaki George yang bernama Bokkhtishu' pula telah menjadi tabib kepada Khalifah Harun al-Rashid (O'leary, 1968: 109-110). Pada zaman al-Mansur terdapat juga penterjemah Arab seperti Ibrahim al-Fazari yang telah menterjemahkan karya astronomi dari India iaitu Siddhanta yang kemudiannya dikenali sebagai Sindhind. Penterjemahan ini telah membawa satu minat baru di dalam mempelajari bidang astronomi. Selepas itu muncul pula Muhammad Ibn Musa al-Khwarazmi (232 H/ 846 Masihi) yang menggabungkan sistem astronomi Greek dan India. Generasi berikutnya telah memperlihatkan munculnya beberapa ahli astronomi Arab yang terkenal seperti Abu Ma'shar (mati 272 H/ 885 Masihi) yang merupakan anak murid kepada al-Kindi dan Muhammad b. Jabir b.Sinan al-Battani (mati 317 H/ 929 Masihi) (O'leary, 1968: 108-109). Khalifah al-Mansur juga turut memerintahkan beberapa karya Aristotle, Almegest karangan Claudilmus Ptolomeus dan buku-buku Euklides diterjemahkan. Menurut al-Mas'udi (ahli sejarah dan pengembara Islam, mati pada 345 H/956Masihi), sesudah terjemahan-terjemahan tersebut diterbitkan, orang-orang Islam telah mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan membina kembali cabang-cabang ilmu pengetahuan tersebut ( Syed Ameer Ali, 1992: 464).

Peringkat kedua kegiatan penterjemahan ialah pada zaman al-Ma'mun dan para penggantinya, iaitu di antara abad ke 9 hingga ke 10 Masihi. Pada peringkat ini, kegiatan penterjemahan semakin bertambah pesat, terutama apabila Bait al-Hikmah telah didirikan oleh khalifah al-Ma'mum dan kemudiannya dipimpin oleh Yahya Ibn Masawayh (mati 243 H/857 Masihi). Di bawah pimpinan Yahya Ibn Masawayh, Bait al-Hikmah menjadi pusat utama kegiatan penterjemahan. Kerja penterjemahan di pusat tersebut telah dilakukan oleh Ibn Masawayh sendiri dan anak-anak murid beliau seperti Abu Zayd Hunayn Ibn Ishaq al-Ibadi (meninggal pada 263 H/876 Masihi) seorang ahli kedoktoran Nestorian (O'leary, 1968: 112). Hunayn bersama-sama dengan anaknya iaitu Ishaq Ibn Hunayn dan anak saudaranya, iaitu Hubaysh Ibnal-Hassan telah berkerja bersama-sama dalam melakukan kerja penterjemahan. Hunayn telah menterjemahkan karya Eculid, Galen, Hippocrates, Archimedes, Apollonilmus dan karya Plato seperti Republic, Laws dan Timaeus serta karya-karya Aristotle ke dalam bahasa Arab. Anaknya, Ishaq telah menterjemahkan karya Sophist Plato, Metafizik, de anima, de generatione et de corruptione dan Hermeneutica karya Aristotle (O'leary, 1968: 113). Menurut De Boer, Hunayn lebih terarah dalam menterjemahkan karya-karya perubatan, manakala anaknya Ishaq lebih menjurus ke arah penterjemahan karya-karya falsafah (De Boer, 1970: 18). Di samping mereka, terdapat penterjemah lain dari golongan Nestorian seperti Abu Bishr Matta b.Yunus (mati 328 H/939 Masihi) yang menterjemahkan Analytica Posterior dan Poetic Aristotle, ulasan Alexander of Aphrodisis terhadap buku de generatione et de corruptione dan ulasan Themistilmus terhadap buku 30 Metafizik Aristotle. Abu Bishr Matta juga adalah pengulas asal terhadap karya Aristotle Categories dan Isagoge oleh Porphyry. Penterjemah dari golongan Jacobites pula ialah Yahya b. Adi dan Abu 'Ali Isa b. Zaraah (De Lacy O'leary, 1968: 114). Penterjemah lain yang aktif pada peringkat ini ialah seperti Thabit b. Qurrah (mati 901 Masihi), as-Sarakhsi (mati 899 Masihi), al-Farabi (mati 950 Masihi), al-Kindi (873 Masihi), Abu Sulaiman al-Mantiqi as-Sijistani (mati 985 Masihi), al-Amiri (mati 992 Masihi) (Franz Rosenthal, 1975: 6), Ibn al-Khammar dan lain-lain lagi ( De Boer, 1970: 18-19).

Apabila Khalifah al-Ma'mun melawat Harran pada tahun 823 Masihi, banyak manuskrip Greek dan Syria telah dibawa ke Baghdad. Khalifah al-Ma'mun telah mengamanahkan kepada Abu Yusuf al-Kindi (mati 873 Masihi) untuk menterjemahkan karya Aristotle (Goichon,1969:3-4). Secara keseluruhannya, gerakan penterjemahan yang pesat dilakukan pada zaman Abbasiah adalah lebih menjurus kepada subjek-subjek yang berkaitan dengan sains, perubatan dan falsafah. Tidak terdapat karya-karya yang berhubung dengan puisi Greek (kesenian), keagamaan, komedi dan karya sejarah Greek diterjemahkan ke dalam bahasa Arab (Rosenthal, 1975:10). Menurut Fazlur Rahman, faktor yang mendorong orang-orang Islam tidak menterjemahkan karya-karya kesenian Greek ialah disebabkan orang-orang Islam mempunyai sikap selektif, di mana mereka dapat mengesan unsur-unsur Greek yang bertentangan dengan akidah Islam (Fazlur Rahman,1988:6). Di samping itu, ajaran Islam itu sendiri telah meletakkan asas ilmu yang mencukupi kepada cendekiawan Muslim sebelum mereka menyerapi unsur-unsur asing ke dalam budaya ilmu Islam (Mahmud, 1964:.234-235). Perkara yang sama disebutkan oleh A.M. Goichon (Goichon, 1969:2). Tambahan lagi, penerimaan dan pengkajian ilmu-ilmu warisan asing dilakukan hanya setelah penghuraian ilmu-ilmu tradisional Islam, al-Qur'an dan Hadis telahpun mantap. Manakala pembelajaran dan perkembangan bahasa Arab telah mencapai ke satu tahap yang tinggi dengan pembentukan kajian nahu bahasa Arab di Kufah dan Basrah. Pusat ini kemudiannya telah melahirkan ramai pakar nahu, penyair dan kritikan sastera (Nasr, 1969:2-3). Perkembangan yang pesat gerakan penterjemahan dan pembelajaran ilmu-ilmu pra-Islam pada zaman Abbasiah didorong oleh beberapa faktor. Para pengkaji sejarah falsafah Islam Barat seperti O'leary (1968) dan Walzer (1962) menekankan faktor naungan dan galakkan dari pemerintah Abbasiah seperti Khalifah al-Mansur dan al-Ma'mum sebagai faktor penting perkembangan gerakan penterjemahan dan penerimaan falsafah Yunani pada waktu tersebut. Manakala para pengkaji falsafah Islam seperti al-Bahi (1962) dan Nasr (1984) menekankan faktor untuk mempertahankan akidah umat Islam dari anasir-anasir luar sebagai faktor utama yang mendorong umat Islam mempelajari ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh orang-orang bukan Islam, khususnya ilmu yang datang dari Greek. Nasr (1984) telah menjelaskan perkara tersebut, katanya:

“The real cause for this sudden interest on the part of the Islamic community at the beginning of third/ninth century in non-Islamic sciences, especially in Greek philosophy and science, in contrast to the at best sporadic interest of the previous century, must be sought in the new challenge which Islamic society faced. This challenge came from the theologians and philosohers of the Christians and Jews. In the debates carried on in cities like Demascus and Baghdad bertween Christians, Jews and Muslims, the last- named group often found itself on the losing side, for they were unable to defend the principles of faith through logical arguments, as could other groups, nor could they appeal to logical proofs to demostrate the truth of the tenets of Islam.... It was therefore for the purposes of safeguarding the interest of the Muslim community that the early Abbasid calips turn the attention of scholars to the study of Greek Philosophy and science”.


Secara umumnya, perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam telah melewati beberapa tahap perkembangan:

Tahap pertama seperti yang telah dihuraikan di atas (penterjemahan karya-karya asing), adalah merujuk kepada tahap berlakunya proses penyerapan dan pemindahan ilmu-ilmu klasik (dari tamadun Yunani, Mesir, India dan lain-lain) terutama dalam bidang sains dan falsafah daripada bahasa-bahasa Yunani, Parsi dan Sanskrit ke bahasa Arab. Tahap pertama berlaku dari abad ke lapan Masihi hingga akhir abad kesembilan Masihi., iaitu kira-kira 150 tahun. Jangka masa ini ialah tempoh umat Islam menyesuaikan ilmu yang dipinjam dengan cara kreatif, iaitu dengan mengislamisasikan ilmu-ilmu tersebut bagi disesuaikan dengan pandangan hidup Islam.

Tahap kedua pula telah melahirkan idea-idea dan sumbangan-sumbangan mereka sendiri. Tahap ini berakhir pada penghujung abad ketiga belas Masihi. Menurut Sarton, tahap kecemerlangan tamadun Islam hanya wujud sehingga ke abad kesebelas Masihi (S. Waqar., 1986:10).

Tahap kemerosotan sains dan teknologi Islam mula berlaku pada akhir abad ke 15 Masihi. Abad-abad ke 12 dan 13 Masihi, iaitu ketika berlakunya Peperangan Salib serta serangan bertalu-talu orang-orang Monggol ke atas empayar Abbasiah menandakan permulaan zaman keruntuhan dan kehancuran sains, teknologi dan tamadun kebendaan orang Islam. Bagaimanapun. dalam dua abad ini berlaku pula proses peniruan dan penyerapan sains Islam yang intensif sekali di Barat. Proses ini berlaku melalui kegiatan penterjemahan secara teratur karya-karya orang Islam, diikuti dengan pembinaan universiti-universiti di Barat untuk menampung limpahan ilmu orang-orang Islam tadi. Puncak kemegahan sains dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam di Barat tercapai di akhir abad ke 13 Masihi. Pada waktu yang sama, keagungan tamadun Islam mulai menurun dan pengaruh sains Islam ke atas dunia Barat berakhir pada abad ke 16 Masihi (S. Waqar, 1986:10-11).

PENTERJEMAHAN KARYA ISLAM OLEH ILMUWAN BARAT

Umum sudah memahami bahawa tamadun Islam telah melahirkan ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang teologi, fekah, bahasa, falsafah, sains dan teknologi. Semasa tamadun Islam pada abad Pertengahan (sehingga abad ke 14 Masihi) berada di dalam kegemilangannya, Barat masih lagi dalam zaman kegelapannya. Barat ketika itu masih memusuhi sains, dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama Kristian, bahkan pengembang ilmu sains dan falsafah telah dituduh kafir dan dihukum bunuh, dibakar atau dipenjarakan. Semasa Barat berada dalam zaman kemundurannya, ketika itu beberapa orang sarjananya mula beralih ke Timur mempelajari ilmu falsafah, sains dan teknologi dari ulama-ulama Islam sama ada di Baghdad, Sicily, Andalusia dan di kota-kota Islam. Hakikat bahawa sarjana Barat giat berguru dengan ulama Islam telah didedahkan oleh Fuat Sezgin, seorang berbangsa Turki yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums. Buku ini telah membuktikan bahawa dunia Barat pada zaman Pertengahan giat meniru, menjiplak dan memplagiat karya ahli sains Islam. Kajian Sezgin membuktikan penjiplakan terlalu berleluasa hinggakan suatu dekri yang menghalang penjualan hasil tulisan sains kepada orang Kristian dikeluarkan di Seville seawal abad ke-12 Masihi kerana orang Kristian menterjemahkan tulisan tersebut dan menerbitkannya di bawah nama lain (Mohammad Ilyas, 2003:7).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi Islam ke Barat banyak dimainkan oleh kerajaan Islam yang berpusat di Sicily (pulau berhampiran Italy) dan Andalusia (Sepanyol). Pemerintahan Islam di Sicily bermula pada tahun 902 Masihi apabila Dinasti Aghlabid memerintah Sicily sehingga tahun 909 Masihi. Orang Islam memerintah Sicily telah menjadikan Palemo sebagai ibu negara. Pemerintahan Islam di Sicily mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Abu al-Futuh Yusuf ibn Abd Allah (989-998). Kegemilangan ini bertahan selama 189 tahun iaitu sehingga 1091 Masihi apabila seluruh Sicily dirampas oleh tentera Norman. Walaupun dikuasai oleh tentera Norman, umat Islam di Sicily masih kekal menerajui kebudayaan dan kesarjanaan di pulau itu. Roger II dan cucunya Frederic II menyukai orang Arab. Al-Idrisi (mati 1166 M) terkenal kerana karyanya tentang geografi telah berkhidmat di istana Roger II (Mohammad Ilyas, 2003: 45).

Andalusia pula telah dikuasai oleh orang Islam selama lebih kurang lapan abad bermula dari tahun 711 M hingga 1492 M. Tamadun Islam di Andalusia mencapai kemuncaknya di sekitar abad ke 9 M hingga 11 M. Terutamanya pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III dan puteranya al-Hakam II. Andalusia telah menjadi pusat tamadun dunia terutama dari sebelah Barat, yang menjadi tumpuan kegiatan kebudayaan, ilmu pengetahuan dan perdagangan. Universiti-universiti yang terdapat di sini telah menjadi tempat mahasiswa terutama dari Eropah berguru dengan ilmuwan Islam. Antaranya, Gelbert of Aurillac antara pelajar Eropah yang terkemuka datang belajar di Andalusia. Beliau telah mempelajari ilmu matematik dan astronomi yang pada ketika itu masih terlarang di Eropah. Beliaulah yang pertama memperkenalkan bentuk angka Arab Andalus yang dikenal dengan nama Huruf al-Ghubbar ke Eropah (Azam, 1990: 169-170).

Melalui Andalus dan Sicily hampir keseluruhan hasil karya klasik Greek/Yunani sampai ke tangan orang Eropah melalui teks yang telah diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sarjana-sarjana Islam Andalus. Justeru itu, sumbangan sarjana Islam dalam kelahiran tamadun Barat amatlah besar. Hampir keseluruhan ilmu yang berkembang di Eropah/Barat pada waktu itu mempunyai pengaruh kesarjanaan Islam. Sebagai contoh dalam bidang astronomi istilah-istilah Arab digunakan seperti Aldebaran, alidade, almanac, altair, azimuth, betelgeuse, deneb, nadir, zenith dan banyak lagi (Azam, 2000:128).Universiti Cardova di Andalus telah menarik minat para pelajar dari seluruh dunia. Ramai guru ternama mengajar di Universiti ini dalam bidang teologi, kesusteraan, matematik, astronomi, sains, perubatan dan falsafah. Andalus juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkenal seperti Abu al-Qasim Maslamah al-Majriti (1007) dari Cardova, Abu Ishaq ibn Yahya al-Zarqali dari Toledo, dikenali di Barat sebagai Arzachel yang menulis Jadual Toledo, satu jadual astronomi yang digunakan secara meluas, Jabir ibn Affah yang dikenali sebagai Geber yang membuat kemajuan penting dalam trigonometri sfera, Abu Ishaq Nur al-Din al-Bitruji yang dikenali di Barat sebagai Alpertraguis. Beliau cuba membetulkan kesilapan dalam sistem Ptolemy dengan memberikan penjelasan yang lebih baik tentang pergerakan planet (Mohammad Ilyas, 2003:46).

Di samping itu, al-Zahrawi melalui kitabnya al-Tasrif telah diterjemahkan ke bahasa Latin dan menjadi teks perubatan di universiti-universiti Eropah. Ibnu Sina yang merupakan tokoh falsafah dan perubatan Islam yang terkenal, banyak dari karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Barat. Antaranya, karya perubatan beliau iaitu Qanun fi al-Tib yang dianggap sebagai “Injil Perubatan” oleh sarjana Barat telah diterjemahkan sebagai Cannon dan dijadikan teks rujukan bidang perubatan di Eropah sehingga abad ke 16 M. Dalam masa 30 tahun terakhir abad ke 15 M, buku ini telah diterbitkan sebanyak 15 kali dalam bahasa Latin dan sekali dalam edisi Ibrani (Nourouzzaman, 1985:103).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi dari tamadun Islam terutama melalui medium Sicily dan Andalus telah dimangkinkan dengan kemunculan penterjemah-penterjemah masyarakat Barat Kristian sendiri yang aktif melakukan penterjemahan karya-karya ulama Islam ke dalam bahasa Latin. Antaranya Adelard dari Bath, seorang sarjana ulung Inggeris (1090-1159) yang lahir sebelum zaman Roger Bacon. Beliau telah menterjemahkan buku aritmetik karya al-Khawarizmi ke bahasa Latin. Melalui terjemahan ini orang-orang Barat mendapat dua manfaat besar iaitu mengenal angka Arab dengan sistem dan metodenya serta mengetahui ilmu pengetahuan muzik. Pengenalan angka Arab dan sistemnya yang dimulai dari kosong (sifar) hingga sembilan bukan sahaja memudahkan kerja hitung menghitung malah telah menyederhanakan penulisan angka-angka itu sendiri. Ini kerana sistem yang dikenali di Barat pada ketika itu ialah dengan menulis bilangan angka berkenaan (huruf Roman). Sebagai contoh, untuk menulis angka sejuta, mereka terpaksa menulis seribu huruf “M” kerana “Mille” bernilai seribu (Nourouzzaman, 1985:104-15).

Gerard of Cremona (1114-1187 M) yang berasal dari Itali telah menterjemahkan sejumlah 71 hingga 100 buah karya Arab ke bahasa Latin. Antara hasil karya Arab yang beliau terjemahkan meliputi bidang biologi, astronomi, falsafah, matematik, kedoktoran dan lain-lain lagi. Buku-buku yang terkenal beliau terjemahkan antaranya hasil karya al-Farghani dalam bidang biologi bertajuk al-Madkhal Ila hayat al-Aflak dan kitan al-Hayah karya Jabir ibn Aflah. Dalam bidang astronomi, beliau menterjemahkan buku al-Majasti karya Ptolemy menurut versi al-Farghani. Dalam bidang Matematik, karya al;Khawarizmi iaitu Hisab al-Jabr Wa al-Muqabalah, manakala bidang perubatan karya al-Razi bertajuk Kitab al-Mansuri telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan tajuk Almanzores (Nourouzzaman, 1985:103). Penterjemah Barat yang lain lagi antaranya Micheal Scott (1175-1253 M), Robert of Cester (1110-1160 M), William of Lunis, Philip of Tripoli dan lain-lain lagi.

Ringkasnya, dengan banyaknya aktiviti penterjemahan ini, maka ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi mulai berkembang ke Eropah. Masyarakat Eropah.yang berada dalam zaman kegelapannya pada abad Pertengahan telah beransur-ansur menuju ke zaman Renaissance yang berlaku mulai abad ke 14 M sehingga abad ke 16 M. Renaissance bererti “zaman kelahiran semula semangat pembelajaran ilmu” di Eropah bermula di Itali yang sebenarnya telah disumbangkan oleh sarjana dan ulama Islam. Tetapi malangnya, perkembangan ilmu sains dan teknologi di Barat tidak seperti perkembangan ilmu tersebut dalam tamadun Islam. Ini kerana, perkembangan ilmu sains di Barat berlaku setelah ilmuwan mereka mensekularkan ilmu atau memisahkan ilmu dari agama sehingga ilmu tersebut menafikan tuhan dan agama sehingga melahirkan berbagai fahaman ateis dan materialisme dalam perkembangan ilmu tersebut di Barat. Akhirnya, tamadun Barat Moden muncul dengan sikap permusuhannya terhadap agama, kerana agama Kristian pada awal kemunculan semangat penerokaan sains oleh sarjana Barat telah memusuhi ahli-ahli sains mereka. Tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam perkembangan ilmu sains Islam, kerana perkembangan ilmu-ilmu tersebut dimotivasikan oleh al-Quran, Hadis dan dalam kerangka agama. Mengenai realiti penentangan Gereja terhadap ilmu sains, Yusuf al-Qardhawi telah menjelaskan:

“Pihak gereja telah mendirikan mahkamah untuk memerangi ilmu (sains), menghakimi akal pemikiran, memerangi penemuan penciptaan dan semua yang baru. Lalu ia melakukan perlakuan-yang belum pernah wujud dalam sejarah sama sepertinya-penentangan terhadap ilmuwan, pemikir dan pereka cipta barang baru di bidang ilmu pengetahuan. Mereka dibunuh dan kemudian dibakar “ (Al-Qardhawi, 1999:24).


PENGARUH ISLAM TERHADAP PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN BARAT

Satu fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan lagi oleh masyarakat Barat bahawa pada awal zaman Pertengahan, institusi-institusi pendidikan Islam telah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan institusi pendidikan di Barat terutama melalui Andalus (Spanyol), Sicily, Perancis dan Itali. Seluruh institusi pengajian tinggi Barat yang kemudiannya berkembang menjadi universiti-universiti Barat moden mempunyai hubungan rapat dengan sistem madrasah Islam. Istilah-istilah seperti Chair yang digunakan di universiti-universiti Barat adalah terjemahan langsung daripada istilah Arab iaitu kursi. Sistem pendidikan Islam telah mempengaruhi perkembangan institusi pendidikan tinggi Barat yang bermula pada zaman Pertengahan seperti Universiti Salamanca, Universiti Paris, Universiti Bologna, Universiti Oxford dan Cambridge yang mempunyai banyak persamaan dengan sistem pendidikan Islam klasik (Seyyed Hossein Nasr, 1994:214). Di Andalusia (Spanyol hari ini), pemerintahan Islam ketika memerintah negara tersebut telah membina pusat-pusat pengajian yang terus berkembang pesat dan memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ilmu dalam masyarakat Barat. Di Cardova telah didirikan sebuah akademi dengan perpustakaan yang mengandungi 300,000 jilid buku dan merupakan pusat yang terkenal. Pusat pengajian juga didirikan di Seville, Toledo dan Muncia. Golongan Mozarab iaitu penganut agama Kristian yang mahir bertutur dalam bahasa Arab di Andalus adalah golongan yang memainkan peranan penting penyebaran tamadun Islam ke Eropah. Mereka adalah golongan yang menekuni ilmu dari ulama dan institusi pendidikan Islam di Andalusia. Mereka telah banyak membelanjakan wang untuk membina perpustakaan besar bagi menyimpan buku-buku Arab. Perbuatan ini semua menjadi semacam suatu sumber status kepada mereka. Golongan ini menjadi agen perantara memindahkan elemen-elemen tamadun Islam ke masyarakat Eropah Kristian.

Frederick II dari Empayar Roman pada tahun 1224 M telah menubuhkan Universiti Naples bagi tujuan mengembangkan sains Muslim ke Eropah. Di universiti ini kegiatan terjemahan dilakukan daripada bahasa Arab ke bahasa Latin dan Ibrani. Frederick II juga telah mendorong Micheal Scott berhijrah ke Toledo pada tahun 1217 M dan membuat terjemahan komentar Ibn Rushd terhadap Aristotles. Universiti Montpeller di Selatan Perancis adalah sebuah universiti yang ditubuhkan oleh doktor-doktor yang berhijrah dari Andalusia. Di Universiti ini, Qanun Ibn Sina telah dijadikan sukatan matapelajaran bidang perubatan . Di Bologna, Itali, falsafah Ibn Rushd telah mendapat sanjungan dan menjadi teks rujukan utama bersama buku Qanun Fi al-Tib Ibn Sina(Ahmad Jelani Sidek, 1997:15).

KESIMPULAN

Dari perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sumbangan tamadun Islam, khususnya dari aspek sains dan teknologi ke atas perkembangan sains, teknologi dan institusi pendidikan Barat tidak dapat disangkal lagi. Fakta sejarah seperti yang telah dihuraikan telah membuktikan pandangan tersebut, walaupun terdapat pengkaji dan penulis Barat cuba menafikan peranan ilmuwan Islam terhadap kemajuan tamadun Barat moden. Mereka cuba memutarbelitkan fakta sejarah bahawa sumbangan yang besar terhadap kemajuan sains Barat hanya disumbangkan oleh tamadun Yunani/Greek. Hakikatnya, mereka sebenarnya terhutang budi kepada ilmuwan Islam. Kebanyakan dari ilmu-ilmu yang datang dari Yunani telah disimpan, dianalisis, dikembangkan dan dikritik oleh tokoh-tokoh pemikir Islam ulung seperti al-Farabi, Ibn Sina, al-Kindi, Ibn Rushd, al-Khawarizmi, al-Biruni dan lain-lain tokoh Islam terkenal.. Melalui merekalah Barat memahami ilmu astronomi, sains, perubatan, kimia, fizik dan lain-lain ilmu. Tanpa tamadun dan peranan ilmuwan Islam, Barat tidak mungkin menjadi maju dan mengenal ilmu-ilmu tersebut.

RUJUKAN

Ahmad Jailani Sidek. 1997. Imbasan Sejarah Sains dan Teknologi Islam. Jurnal Tasawwur Islam. Jilid 3, September 1997. Pusat Pendidikan Islam, UiTM, S. Alam.

Al-Qardhawi, Yusuf.. 1999. Tamadun Islam: Alternatif Masa Depan. Selangor: Maktabah al-Qardhawi.

Azam Hamzah dan Zulekha Yusof. 1990. Tamadun Islam, Konsep dan Pencapaiannya. Shah Alam: Hizbi.
Azam Hamzah. 2000. Sumbangan Islam Kepada Tamadun Dunia. Jurnal Tasawwur Islam. Jilid 5.99/2000.

De Boer, T.J. 1970. The History of Philosophy in Islam. Terj. Jones, E.R. London: Luzac & Company Ltd.
Goichon, A.M. 1969. The Philosophy of Avicenna and Its Influens on Medieval Europe. Delhi: Motilal Banarsidas
Mohammad Ilyas. 2003. Astronomi Islam dan Perkembangan Sains. Shah Alam: UPENA.
Nasr, S.H. 1984. Science and Civilization in Islam. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Nasr., S.H. 1994. Menjelajah Dunia Moden. Bandung: Penerbit Mizan.
Nourouzzaman Siddiqi. 1985. Tamadun Islam: Bunga Rampai Kebudayaan Islam. Jakarta: P.T. Bulan Bintang.

O’leary, D.l. 1968. Arabic Thought and its Place in History. London: Routledge & Kegan Paul Ltd.
Rosenthal, F. 1975. The Classical Heritage in Islam. London: Routledge Kegan Paul Ltd.

Thursday, January 21, 2010


Ada masanya menulis tesis menghadapi kebuntuan idea, buntu bagaimana nak memulakannya. Satu sub topik ini, telah satu bulan belum dapat idea bagaimana nak memulakannya... kemungkinan maklumat yang hendak ditulis belum mencukupi lagi...perlu lebih kerap ke Arkib Negara menyelongkar akhbar lama, fail, dokumen, buku berkaitan untuk mengumpul maklumat.

Belajar peringkat PhD menuntut kita lebih berdikari tanpa bergantung kepada arahan penyelia. Sudah setahun saya menyambung pengajian, sampai hari ini, kedua-dua penyelia belum memberi komen tentang apa yang saya tulis. Mereka membiarkan saya meneroka sendiri. Ada masanya timbul persoalan dalam fikiran, apakah penerokaan tersebut berada pada landasan yang betul . Saya sudah menulis lebih dari 250 muka surat. Kedua-dua penyelia memberi tahu bahawa saya tiada masalah dalam penulisan, cuma perlu disesuaikan mengikut tahap PhD. dan methodologi penulisan sejarah. Mereka berharap saya dapat menyiapkan kajian dalam masa tiga tahun. Saya tidak pasti apakah saya mampu melakukannya. Masa sangat cepat berlalu. Kadang kala masalah harian banyak menganggu tumpuan pengajian.

Semenjak rumah dimasuki penyamun pada bulan 10 dahulu, tumpuan saya banyak terganggu. Lebih-lebih lagi selang dua minggu para penyamun tersebut terus mengganas di kawasan perumahan kami. Sehingga hari ini, sudah tiga buah rumah jiran berjaya diceroboh masuk (dua buah rumah gagal dicerobohi), sekitar jam 3 hingga 4 pagi. Ia memberi kesan phobia kepada penduduk setempat. Banyak wang telah dihabiskan untuk tujuan peningkatan keselamatan rumah. Pengawal Keselamatan sudah ada, membuat rondaan,lebih-lebih lagi seluruh kawasan perumahan berpagar (lihat gambar) tetapi masih berjaya dicerobohi. Keadaan ini mendorong kami membuat rodaan sendiri secara bergilir-gilir mulai pukul 3 pagi sehingga 5 pagi di sekitar kawasan perumahan. Kami berdoa agar para penyamun bertopeng tersebut akan akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Kebatilan tidak akan kekal lama..

Inilah harga sebuah pembangunan. Ia melahirkan manusia yang semakin rakus, tamak, mahu cepat kaya, tidak berperikemanusiaan. Kerana segelintir manusia hari ini telah menjadikan materialistik dan hawa nafsu mereka sebagai "tuhan-tuhan baru" yang mereka sembah. Pembangunan hari ini berjaya membina tamadun kebendaan, berjaya membina bangunan mencakar langit dan kecanggihan teknologi tetapi nilai kemanusiaan dan kasih sayang semakin punah. Akhirnya manusia hidup dilingkungi ketakutan dan kerosakan...akibat dari 'tangan-tangan' manusia jua. Apabila Allah menurunkan peringatanNya seperti di Haiti, Acheh dan Padang barulah manusia akan insaf akan kerosakan yang diakibatkan oleh perbuatan mereka sendiri. Bukan Allah yang menzalimi hambaNya, tetapi manusia itu sendiri yang menzalimi dirinya mereka sendiri. Takala itu, barulah mereka merintih dan mencari agama bagi mencari jalan keluar di atas penderitaan dan kesengsaraan yang mereka deritai..itupun kalau mereka ingin insaf dan membetulkan kesalahan apa yang telah mereka lakukan... sebahagiannya pula akan terus kufur dan semakin jauh dari Allah.


PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...