Tuesday, June 5, 2018

Perjuangan dan Kompromi Kaum dalam Memartabatkan Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Sebelum Merdeka

Pendahuluan
Perjuangan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia bukanlah satu perjuangan yang mudah. Perjuangan tersebut sudahpun bermula semenjak tahun 1930-an lagi sejajar dengan kebangkitan semangat nasionalisme linguistik Melayu. Apabila wujudnya masyarakat pluralistik di Tanah Melayu dengan kedatangan kaum dagang secara besar-besaran terutama dalam tahun 1930-an, perjuangan untuk memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu semakin mencabar dan makin mempunyai justifikasi. Perjuangan tersebut amat penting bagi mempertahankan identiti kemelayuan, nasional dan tradisi yang telah berakar dalam sejarah Tanah Melayu. Tambahan pula dengan cabaran budaya dan bahasa kaum dagang yang berusaha mempertahan dan mengekalkan jati diri mereka melalui penubuhan sekolah vernakular, persatuan budaya, politik, perniagaan, pendidikan dan lain-lain maka perjuangan memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu semakin penting. Cabaran yang paling getir adalah untuk menyakinkan semua kaum tentang keperluan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan medium kesepaduan kaum. Justeru itu, kompromi atau persetujuan antara kaum perlu dirintis dan dicapai sekiranya Bahasa Melayu mahu didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal. Walaupun akhirnya kompromi antara kaum dapat dicapai dalam isu Bahasa Kebangsaan menjelang pembentukan Perlembagaan Merdeka 1957, namun usaha tersebut telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan menimbulkan reaksi antara kaum.

Usaha Awal Memartabatkan Kedudukan Bahasa Melayu

 Hakikat bahawa Tanah Melayu adalah “negara Melayu” seperti yang diakui oleh kerajaan British seperti yang disahkan melalui Perjanjian Persekutuan 1948, peminggiran sekolah vernakular Melayu dan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan serta perpaduan Melayu yang terbentuk kesan dari penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 telah melatarbelakangi perjuangan orang Melayu untuk memartabatkan kembali bahasa Melayu kepada kedudukan asalnya dan sebagai bahasa rasmi di negara ini. Tambahan pula tuntutan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan bukan merupakan tuntutan yang bersifat emosional atau fanatik tetapi didasarkan realiti dan keabsahan sejarah sosiopolitik bahasa Melayu yang kukuh dan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun supraetnik dan suprawilayah di rantau ini (Hassan, 90-91).

 Perjuangan tersebut dimangkinkan melalui kebangkitan semangat nasionalisme lingustik Melayu pada tahun 1930-an yang terdiri dari golongan wartawan, penulis dan guru Melayu yang kebanyakannya lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris atau dikenali juga sebagai Sultan Idris Teaching College (SITC). Golongan ini mula memperjuangkan nasib orang Melayu yang makin tercabar dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosial hasil dari pelaksanaan dasar-dasar British di Tanah Melayu. Lepasan guru SITC ini (seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Hj. Muhammad) sebahagian mereka merupakan golongan golongan radikal Melayu (Stockwell, 15). Golongan ini membentuk pertubuhan politik seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang memperjuangkan kemerdekaan negara tanpa kompromi dengan Inggeris dan mempersatukan Tanah Melayu kepada satu ikatan Indonesia Raya atau dikenali juga dengan Melayu Raya (Mohamed Salleh, 39).[1] Bahkan Dr. Buhanuddin al-Helmy ketika memimpin PKMM pada 22 Februari 1947 telah membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang menyatukan pergerakan-pergerakan Melayu yang tidak sehaluan dengan UMNO (Ramlah, 157-172).[2] Pada 2 Disember 1947 pula, Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA)  telah bergabung dengan All Malaya Council of Joint Actian (AMCJA). Gabungan ini dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dan telah merangka suatu perlembagaan alternatif yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat. Sumbangan penting gabungan ini kepada kedudukan bahasa Melayu ialah, cadangannya untuk meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi Tanah Melayu yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Rakyat (Ismail, 18-20). Perlembagaan Rakyat ini telah diterima oleh kaum bukan Melayu, iaitu dalam kalangan ahli All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). Di samping itu, titik penting peningkatan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah melalui perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa yang menyediakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Mereka bersetuju untuk memasukkan Fasal 35 Perjanjian Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa rasmi Majlis Eksekutif Persekutuan mestilah bahasa Melayu atau bahasa Inggeris (Hashim Yeop, 95).
Perjuangan untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu turut dimainkan oleh Angkatan Sasterawan ‘50 atau ASAS ‘50 yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 oleh golongan penulis muda yang diketuai oleh Keris Mas, Usman Awang, Abdul Samad Ismail, Asraf, Jimmy Asmara dan lain-lain di Singapura. Perjuangan ASAS ‘50 dalam konteks pemartabatan bahasa Melayu ialah memperjuangkan bahawa bahasa dan kesusteraan adalah alat untuk perpaduan kebangsaan dalam perjuangan kemerdekaan. Pertubuhan ini juga berpendirian bahawa bahasa dan kesusasteraan adalah juga alat untuk memajukan fikiran rakyat sesuai dengan cita-cita keadilan, masyarakat, kemakmuran, keamanan dan perdamaian hidup (Fail 2006/0040503 Arkib). Matlamat perjuangan ini diserlahkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kedua (1954) dan Ketiga (1956) yang digerakkan oleh ASAS ‘50 yang bertujuan mengkaji taraf bahasa Melayu dan hasil persuratan dan cara-cara membangunkan bahasa tersebut. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama telah diadakan di Singapura pada 12 dan 13 April 1952.  Dalam Kongres ini, ASAS ‘50 mencadangkan supaya tulisan Rumi dirasmikan. Namun keputusan yang dibuat ketika itu ialah tulisan Jawi (Harun, 153-154)[3] dan tulisan Rumi (Harun, 154-155),[4] kedua-duanya dipakai dalam persuratan Melayu.[5] Pada tahun 1954, barulah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Sa-Malaya Kedua yang diadakan di Seremban pada 1-2 Januari 1954 telah mengambil keputusan bahawa tulisan Rumi dijadikan tulisan rasmi dalam persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa yang menentukannya (Li, 166-167).

 Kongres Kedua ini juga mendesak kerajaan memperluaskan usaha-usaha Biro Terjemahan dengan mencontohi peranan yang dimainkan oleh Balai Pustaka, Indonesia. Kongres turut mengusulkan supaya kerajaan Persekutuan memberi bahasa Melayu taraf yang sama dengan bahasa Inggeris. Usul ini telah mendapat sokongan sebulat suara tanpa banyak perbahasan (Mitchell, 114). Dalam Kongres Ketiga yang diadakan pada 16 hingga 21 September 1956, ASAS ‘50 telah menghantar memorandum yang mengandungi cadangannya mengenai Balai Pustaka, di samping cadangannya mengenai penyatuan bahasa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia, perkembangan bahasa Melayu sekarang dan akan datang serta peranan bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah dan menengah (Memo Asas ‘50, 1956). Usul yang diputuskan melalui beberapa siri Kongres  Bahasa yang telah diadakan turut mempengaruhi UMNO mengambil langkah yang penting untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu. Dengan sebab itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-10 pada 25 Disember 1955, Tunku Abdul Rahman (Ketua Menteri Tanah Melayu dan Yang Di Pertua UMNO)  telah memaklumkan langkah kerajaan Perikatan yang dilaksanakan ketika itu adalah untuk menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.[6]  Kerajaan turut bersetuju menubuhkan Balai Pustaka bagi mengembangkan bahasa Melayu (Ahmad Fawzi, 377).
Cadangan mengenai pemantapan dan penegasan kembali matlamat penubuhan Balai Pustaka telah dikemukakan oleh ASAS ’50 dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Cadangan tersebut telah menyebutkan bahawa Balai Pustaka yang sedang dibentuk oleh kerajaan Persekutuan bukanlah pemberian percuma dari pemerintah kepada rakyat tetapi hasil dari perjuangan seluruh pencinta bahasa dan kesusasteraan Melayu, khususnya perjuangan badan-badan yang bergabung dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu. ASAS ’50 berpendapat istilah Balai Pustaka bererti pusat pengeluaran buku-buku bahasa dan sastera, buku-buku pengetahuan dan pelajaran serta tempat mempelajari dan menyelidiki segala perkara yang berhubung dengan bahasa dan kesusteraan sebagai alat kemajuan fikiran rakyat dan alat mencari ilmu pengetahuan. Manakala tujuan penubuhan Balai Pustaka adalah untuk memaju, mengembangkan, meninggikan, melayakkan dan memelihara bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa kebudayaan dan bahasa ilmu pengetahuan (Memo Asas ’50, 1956).

 Hasil perjuangan pencinta bahasa dan badan-badan yang bergabung di bawah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu telah membawa kepada penubuhan Balai Pustaka  pada bulan Jun 1956 (Mitchell 114-115).[7]  Balai Pustaka ditempatkan di bangunan Pejabat Kerajaan di Johor Baharu. Nama Balai Pustaka kemudiannya telah ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai memenuhi rumusan yang dibuat oleh Kongres Ketiga pada bulan September, 1956 (Khusairi, 60). Pengarah pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah Ungku Aziz. Bagaimanapun, Ungku Aziz telah meletakkan jawatan sebagai pengarah DBP pada bulan Mei 1957 kerana tidak puas hati dengan layanan yang diberikan oleh kerajaan mengenai perancangannya terhadap DBP. Ura-ura peletakan jawatan Ungku Aziz sebagai pengarah pertama DBP telah menimbulkan perasaan tidak puas hati Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu dan mereka telah membuat lawatan ke DBP pada 21 April 1957 bagi membuat siasatan mengenai apa yang berlaku di DBP dan mendesak supaya kerajaan tidak menerima perletakan jawatan Ungku Aziz sebagai pengarah DBP. Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan telah mengambil keputusan menyampaikan perasaan tidak puas hati mereka terhadap layanan yang diberi oleh pemerintah Persekutuan Tanah Melayu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, terutama dalam hal-hal kewangan dan soal perjalanan pentadbiran.

 Perbincangan awal antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja diperlihatkan melalui kerjasama antara All Malaya Council of Joint Action dan Pusat Tenaga Ra’ayat (AMCJA-PUTERA) yang melancarkan Perlembagaan Rakyat pada Julai 1947, tetapi juga melalui perbincangan antara Jawatankuasa Hubungan Kaum atau CLC pada 14 hingga 16 September 1949 di Johor Bahru (Mohd. Ashraf, 129-130). Dalam perbincangan mengenai dasar pendidikan yang seragam, ahli CLC telah bersetuju menerima mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari di semua sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan. Dalam perbincangan tersebut, wakil Melayu menuntut supaya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan baru Malaya. Tetapi cadangan tersebut telah ditolak oleh ahli MCA (Heng, 156).[8] Desakan kuat orang Melayu untuk meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mendorong UMNO dan  Perikatan[9] menjadikan matlamat tersebut sebagai salah satu perjuangan mereka seperti yang tercatat dalam Manifesto Perikatan dalam pilihan raya 1955. Lebih-lebih lagi, dalam pilihan raya 1955, isu bahasa dan hak kerakyatan menjadi salah satu isu  yang dimainkan oleh parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya tersebut terutama untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka terutama pengundi Melayu yang mewakili 84 peratus dari jumlah pengundi keseluruhan. Dalam Manifesto Perikatan, disebutkan perjuangan Perikatan adalah untuk “menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam ertikata yang sebenarnya dalam tempoh 10 tahun dan mendirikan Majlis Bahasa Melayu”. Walaupun bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan, namun ia turut memberi jaminan terhadap kebebasan kepada kaum bukan Melayu untuk memelihara bahasa dan kebudayaan mereka (Alliance Manifesto, 1955).
 Dasar bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO/Perikatan ketika itu telah dikritik hebat oleh Dato’ Onn (Ratnam, 158).[10] Dato’ Onn telah mengkritik dasar ini yang dilihatnya akan merumitkan pendaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Katanya, “mustahil bahasa Melayu dapat diterima oleh kaum-kaum lain, sekiranya bahasa dan tulisan lain diakui oleh undang-undang” (Ramlah, 217). Dato’ Onn sememangnya mempunyai ketegasan pendirian dalam memperjuangkan bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn apabila pada bulan Mac 1955, Parti Negara (parti ini ditubuhkan selepas terkuburnya parti IMP pada tahun 1953) telah mencadangkan bahasa Melayu diterima sebagai Bahasa Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Cadangan tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan (Ramlah, 217). Mohammed Raschid, wakil Parti Negara ketika membuat cadangan itu dalam Majlis Undangan Persekutuan telah berkata:



By adopting Malay as the national language of this country, the future Malay as an independent nation and country will profit by her kinship with Indonesia and other islands of the Eastern Archipelago, and not pass into uneasy history as an island of foreign reaction in a sea of Malay culture enriched by Malay tradition and enlivened by the Malay language (Ratnam, 133).

 Manakala Tunku Abdul Rahman dan UMNO pula walaupun memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama mempunyai sikap liberal terhadap perkembangan bahasa kaum bukan Melayu. Pendirian tersebut diperlihatkan oleh Tunku Abdul Rahman ketika Ordinan Pelajaran 1952 diperdebatkan di Dewan Undangan Persekutuan pada 20 September 1951. Ordinan Pelajaran 1952 adalah berasaskan Laporan Barnes. Dalam tahun 1950, L.J Barnes, Pengarah Bahagian Latihan Sosial, Universiti Oxford telah dilantik bagi membuat penyelidikan mengenai dasar pendidikan Melayu. Laporannya yang diterbitkan pada tahun 1951 telah mengesyorkan perubahan secara beransur-ansur perlu dilakukan kepada seluruh sekolah yang wujud supaya dapat diadakan satu sistem pendidikan di mana para pelajar dari semua kaum hanya diajar melalui bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu. Laporan ini mencadangkan bahawa sekolah rendah perlu digunakan untuk mencapai matlamat membina bangsa yang sama, dan ia perlu disusun semula berasaskan kepada asas hubungan antara kaum. Sekolah vernakular untuk bangsa tertentu perlu dihapuskan dan hanya perlu ada satu sistem pendidikan sekolah rendah yang seragam iaitu sekolah kebangsaan (Francis  dan Ee, 53). Ketika perdebatan dalam Dewan Undangan Persekutuan, Tunku mengeluarkan kenyataan menyokong hak pelbagai kaum untuk menggunakan bahasa mereka dalam pendidikan dan tidak menyokong tindakan pentadbiran kolonial untuk menghapuskan sekolah vernakular Cina dan India di negara ini, di samping membuat penegasan penting bahawa bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa rasmi di negara ini (Federal Legislative Council Proceeding 1951, 260).
 Pendirian sederhana Tunku Abdul Rahman terhadap isu bahasa bukan Melayu ada kaitannya dengan penentangan kaum bukan Melayu terhadap Ordinan Pelajaran 1952, khususnya orang Cina. Penentangan kuat orang Cina terhadap Ordinan Pelajaran 1952 disebabkan Ordinan tersebut mencadangkan dua jenis sekolah kebangsaan didirikan, iaitu sama ada menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (Sia, 11). Tujuan Rang Undang-Undang Pelajaran 1952 menurut Dato’ Thuraisingham, Menteri Pendidikan ketika itu ialah “untuk mewujudkan satu negara Malaya yang bersatu yang akan menyempitkan faham perkauman serta mengamalkan nasionalisme yang progresif”. Justeru itu, beliau menolak sebarang cadangan untuk mengekalkan  sekolah vernakular dalam sistem persekolahan kebangsaan. Rang undang-undang tersebut ingin mewujudkan satu sistem pendidikan yang sama berorientasikan Malaya (Sia, 11).

 Kaum Cina telah melihat Ordinan ini secara negatif dengan menganggapnya sebagai satu alat untuk menghapuskan sekolah dan kebudayaan Cina, menafikan peluang yang sama untuk pendidikan Cina berkembang serta mendiskriminasikan mereka (Sia, 12). Justeru itu, ketika pilihan raya 1955, bimbang isu tersebut mengugat pencapaian Perikatan dalam pilihan raya tersebut, Tunku dalam perundingannya dengan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTA) di Melaka pada 12 Januari 1955 telah memberi jaminan bahawa jika parti Perikatan kembali berkuasa ia akan memastikan orang Cina diberi peluang untuk memelihara sekolah, bahasa dan budaya mereka. Jaminan Tunku itu dimasukkan ke dalam manifesto Perikatan yang berbunyi “menggalakkan perkembangan sekolah-sekolah bahasa-bahasa dan kebudayaan tiap-tiap bangsa yang tinggal dalam negeri. Mengkaji semula undang-undang pelajaran tahun 1952 dan Kertas Putih tentang pelajaran Dewan Undangan Persekutuan nombor 67 tahun 1954” (Alliance Manifesto, 1955). Sebagai satu syarat kepada pemberian konsensi ini, Dongjiaozong[11] telah berjanji tidak akan membangkitkan isu pengiktirafan bahasa Cina sebagai satu dari bahasa rasmi negara agar isu ini tidak digunakan oleh parti-parti politik lain sebagai isu politik (Tan, 76). Penolakan  tuntutan Dongjiaozong untuk menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi kedua Tanah Melayu oleh Tunku dengan hujah bahawa orang Melayu belum bersedia menerimanya dan UMNO harus mematuhi kehendak orang Melayu.[12] Meskipun, Tunku tegas dalam memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, namun bahasa Inggeris akan terus digunakan sebagai bahasa utama dalam zaman transisi (10 tahun selepas kemerdekaan) seperti yang dilakukan oleh India (Sia, 14).

Manifesto Parti Perikatan Pilihan raya 1955 dan Penentangan Pertubuhan Cina

 Selepas kejayaan cemerlang Perikatan memenangi pilihan raya Persekutuan 1955 dan membentuk kerajaan tempatan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu, pimpinan politik dalam Perikatan telah mengalami dilema untuk menunaikan kesemua janji mereka yang terkandung dalam Manifesto Perikatan Pilihan raya 1955 (Tan, 101).[13] Hujah ini berasakan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina yang diadakan pada 15 Oktober 1955. Dalam mesyuarat tersebut, Tan Cheng Lock berpendapat bahawa tuntutan orang Cina yang terlalu banyak adalah tidak realistik dan sukar diterima oleh kerajaan Perikatan yang baru sahaja ditubuhkan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa sebagai salah sebuah parti politik komponen dalam Perikatan, MCA terpaksa berhati-hati dalam membuat tuntutan kerana selain dari tuntutan orang Cina, MCA juga terpaksa peka terhadap aspirasi golongan etnik lain serta masa depan Negara (Tan, 101).

 Iltizam Perikatan untuk melaksanakan janjinya yang terkandung di dalam Manifesto Perikatan Pilihan raya 1955 mengenai pemartabatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kajian semula Ordinan Pelajaran 1952 telah membawa terbentuknya sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Abdul Razak (Menteri Pendidikan Malaya ketika itu). Jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada bulan September 1955 yang bertujuan untuk merangka suatu Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dapat diterima oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Dasar ini membolehkan rakyat menegakkan suatu bangsa yang bergerak maju di dalam lapangan kebudayaan, ekonomi dan politik (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).

Walaupun matlamat utama Jawatankuasa Pelajaran 1956 bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun ia memberi jaminan tidak akan menjejaskan atau menyekat bahasa dan budaya kaum lain  dari diamal atau dikembangkan (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956). Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa ini dikenali sebagai Laporan Razak 1956  dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak mengemukakan dua cadangan utama yang menjadi teras pembentukan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang berhasrat memupuk integrasi dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Pertama, ia mencadangkan sistem persekolahan yang sama bagi kanak-kanak daripada semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang utama. Perkara ini ditegaskan oleh Laporan Razak:



Kami perchaya juga tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walau pun perkara ini tiada dapat di laksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).



Kedua, dalam konteks membina nilai dan semangat perpaduan di kalangan rakyat, penggunaan kurikulum atau sukatan pelajaran yang seragam, bercorak tempatan dan sistem peperiksaan yang sama (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).

 Laporan Razak menyebutkan bahawa sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar disebut sebagai sekolah Umum, manakala sekolah-sekolah Jenis Umum adalah sekolah yang menjadikan bahasa pengantarnya adalah bahasa Kuo Yu (Mandarin) atau Tamil atau Inggeris (Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956).[14] Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib untuk semua peringkat sekolah sama ada rendah atau menengah. Sekolah Rendah Umum juga menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib dan kemudahan bagi pengajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil disediakan jika tidak kurang 15 orang ibu bapa kanak-kanak di sekolah memintanya. Sementara itu, Sekolah Rendah Jenis Umum, bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris adalah mata pelajaran wajib, manakala kemudahan untuk pengajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil diberikan di Sekolah Rendah Jenis Umum (Inggeris) jika terdapat permintaan tidak kurang dari 15 orang ibu bapa kanak-kanak di sekolah tersebut (Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956).

 Laporan Razak juga telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan bahasa Melayu. Antara cadangan Laporan Razak (Tan, 7):



i)                   Mewujudkan Sekolah atau Institut Bahasa bagi menyediakan latihan kepada guru guru bagi mengajar bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain.

ii)                 Kelayakan pelajar untuk memasuki sekolah menengah yang dibiayai sepenuh atau sebahagiannya oleh kerajaan, perlu mengetahui bahasa Melayu.

iii)               Bahasa Melayu dijadikan syarat untuk mendapat Sijil Rendah dan Sijil Pelajaran Kebangsaan.

iv)               Memberi kelebihan kepada mereka yang menguasai bahasa Melayu untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan, pemilihan pelajar ke sekolah menengah, syarat untuk mendapatkan biasiswa, bantuan kepada sekolah dan latihan guru.

v)                  Penggunaan tulisan Rumi atau Jawi di dalam bahasa kebangsaan.

 Walaupun Laporan Razak menterjemahkan aspirasi orang Melayu untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan alat perpaduan antara kaum serta memenuhi tuntutan kaum bukan Melayu untuk menyemak kembali Ordinan Pelajaran 1952 bagi menambah baik sistem  pendidikan, namun ia tidak terlepas daripada kritikan dari semua pihak. Misalnya, Yan Yuan Zhang, penasihat  United Chinese School Teachers’ Association (UCSTA/Jiao Zong) mendakwa Laporan Razak merupakan satu bentuk ancaman budaya. Persatuan ini bersama Persatuan Guru-Guru Tamil Selangor pada 9 September 1956 telah mengeluarkan deklarasi bersama yang menolak bahasa Melayu dijadikan ajen penyatuan di negara ini dengan hanya menganggap bahasa Melayu sebagai satu alat komunikasi bersama (Tan, 79). Sementara itu, Lim Lian Geok, pengerusi UCSTA menganggap matlamat akhir Laporan tersebut boleh membawa penghapusan sekolah Cina yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar (Sia, 19).

 Manakala pemimpin atasan MCA dalam menghadapi tentangan pemimpin pertubuhan Cina terhadap dasar bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan telah memberi jaminan untuk memasukkan cadangan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi dan multilingualism (dasar pelbagai Bahasa) dalam Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid (Heng, 241-241). Dalam kalangan orang Melayu terdapat juga perasaan tidak puas hati mereka terhadap ketegasan kerajaan Perikatan dalam melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal di semua sekolah. Misalnya, dalam perbahasan Laporan Razak dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, terdapat dari kalangan ahli Dewan Undangan Persekutuan ketika itu menuduh Laporan Razak masih mengekalkan sistem persekolahan pelbagai bahasa pengantar. Mereka mendesak kerajaan supaya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang tunggal di semua sekolah (Sia, 18).

 Walaupun terdapat usaha dari pemimpin golongan konservatif Cina (pemimpin pertubuhan-pertubuhan Cina dan berlatarbelakangkan pendidikan Cina) cuba untuk memperjuangkan supaya bahasa Mandarin turut diiktiraf sebagai bahasa rasmi yang sama taraf dengan kedudukan bahasa Melayu. Namun pemimpin Cina yang berlatarbelakangkan pendidikan Inggeris tidak mahu mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara yang tunggal. Perkara ini diperlihatkan melalui undian yang dibuat dalam Jawatankuasa Pusat MCA (MCA Central Committee) semasa membahaskan Memorandum Perikatan yang dihantar kepada Suruhanjaya Reid[15] pada bulan Ogos 1956. Undian Jawatankuasa tersebut memperlihatkan majoriti ahli Jawatankuasa Pusat MCA menyokong kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, manakala hanya minoriti yang menyokong bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi (Fernando, 82). Hasilnya, Memorandum Perikatan telah berjaya meletakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang tunggal. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris hendaklah dipakai sebagai satu bahasa rasmi di dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka (sebelum digantikan sepenuh oleh bahasa Melayu pada tahun 1967). Pada masa itu, Dewan Parlimen adalah bebas menetapkan sama ada penggunaan bahasa Inggeris itu patut diberhentikan (Ibrahim, 563). Bagi mengimbangi tuntutan kaum bukan Melayu terhadap isu bahasa dan menghilangan kebimbangan mereka, Tunku Abdul Rahman turut menekankan bahawa budaya dan bahasa kaum bukan Melayu turut diiktiraf. Menurutnya:

                                                                                                

…it would be suicidal to ignore or deny others the teaching or use of their own languages in their own schools or business house. We must accept as a reality the existing state of affairs in regard to the plurality of our society and use of their languagues. By recognising Malay as the principal and national language in our Constitution, and at the same time prescribing and upholding the right of others the use of their languages, script and culture, I feel we shall be doing right thing (Fernando, 86).

           

Isu Bahasa dalam Suruhanjaya Reid

 Suruhanjaya Reid telah dibentuk hasil dari perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditandatangani di Lancaster House pada 8 Februari 1956. Kesan dari perjanjian tersebut maka satu Suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh kerajaan Inggeris pada bulan Mac 1956 bagi membuat cadangan merangka perlembagaan masa depan Tanah Melayu. Penubuhan satu suruhanjaya bebas ini telah disebutkan dalam Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu  No. 15, 1956 yang menyebutkan:


The approval of Her Majesty the Queen and The Conference of Rulers has now been signified to the recommendations of the Constitutional Conference for the appointment of an independent Commission to make recommendations for a form of constitution for a fully self-governing and independent Federation of Malaya within the Commonwelth.

 Dalam usaha merangka cadangan sebuah perlembagaan Tanah Melayu merdeka, pihak Suruhanjaya telah menerima banyak memorandum dalam pelbagai isu dan cadangan. Dalam aspek Bahasa, memorandum yang  dihantar oleh Perikatan dan pihak lain mengenai kedudukan bahasa Melayu telah mempengaruhi keputusan Suruhanjaya Reid untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menolak bahasa lain sebagai bahasa rasmi. Ahli Suruhanjaya telah mengambil satu keputusan bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa kebangsaan, namun dalam jangka masa 10 tahun selepas kemerdekaan, bahasa Inggeris akan terus digunakan sebagai bahasa rasmi. Selepas 10 tahun, Parlimen akan membuat keputusan bagi menentukan  kedudukan bahasa Inggeris tersebut (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 74).

 Walaupun tempoh 10 tahun ditetapkan untuk bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, namun Tun Abdul Razak Razak telah memberi jaminan kepada orang Melayu bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi lebih awal dari tempoh tersebut. Dalam ucapannya kepada 300 ahli persatuan bahasa Melayu, beliau sebagai Menteri Pelajaran ketika itu menyatakan kerajaan sedang berusaha lebih kuat melalui penubuhan Dewan Bahasa Pustaka bagi membangun dan memperkaya bahasa Melayu bagi merealisasikan matlamat tersebut (The Malay Mail, 14 February 1957).



Berhubung dengan isu multi-bahasa (multilingualism) yang digunakan dalam Dewan Perundangan (Parlimen), terdapat perbezaan pendapat antara UMNO dengan MCA dan MIC. MCA dan MIC mencadangkan supaya bahasa Cina dan Tamil patut dibenarkan digunakan dalam Dewan Perundangan. Walau bagaimanapun, UMNO menghadapi tekanan dari golongan radikal Melayu yang tidak bersetuju dengan dasar multi-bahasa dalam Dewan Perundangan. Jawatankuasa Perikatan telah mengambil keputusan untuk menyebutkan perbezaan pandangan antara UMNO dan MCA mengenai isu tersebut dan membiarkan isu tersebut diputuskan oleh Suruhanjaya Reid (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 87).



Oleh kerana itu, dalam Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid mengenai isu multi-bahasa telah menyebutkan “kelayakan-kelayakan bahasa bagi calon-calon hendaklah dihapuskan dan di dalam tempoh 10 tahun seseorang ahli Dewan Undangan yang tiada boleh bertutur di dalam bahasa Melayu atau Inggeris dengan fasihnya adalah berhak bertutur di dalam bahasanya sendiri dengan syarat bahawa ada seorang pengerusi yang mengetahui bahasa itu serta boleh pula menyalin pertuturan itu” (Ibrahim, 563) .



Alasan yang digunakan oleh MCA dan MIC terhadap penggunaan bahasa Cina dan Tamil dalam Dewan Undangan ialah terdapat calon-calon yang berpotensi tidak mempunyai keupayaan untuk menyampaikan hujah mereka dengan baik sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Sekiranya mereka dihalang menggunakan bahasa sendiri, maka ini menghalang mereka dari menceburi bidang politik arus perdana. Bagaimanapun, Reid sendiri pun tidak menyetujui dasar tersebut, kerana perkara ini akan mengundang pelbagai kesukaran terutama kepada Speaker Perlimen yang terpaksa menterjemahkan setiap perkataan yang diucapkan dalam bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris.  Suruhanjaya Reid telah menerima kompromi antara UMNO dan MCA, bahawa bahasa Cina dan Tamil dibenarkan digunakan dalam Dewan Perundangan hanya “dalam keadaan tertentu” untuk tempoh 10 tahun sahaja dan membiarkan Parlimen untuk menentukan penggunaan bahasa tersebut selepas itu (Fernando, 74). Di samping itu, Suruhanjaya Reid juga berpendapat adalah tidak praktikal untuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebelum sepuluh tahun berlalu. Alasan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid ialah terdapat ramai warganegara Persekutuan pada masa lalu yang tidak mempunyai peluang untuk belajar bercakap dalam bahasa Melayu dengan fasih, justeru itu, ahli Suruhanjaya merasakan adalah tidak adil untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara mendadak (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 74).

 Isu multi-bahasa dalam Dewan Perundangan telah dibangkitkan kembali dalam perbincangan Jawatankuasa Working Party. Resolusi yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac 1957 yang mempertahankan dasar bahasa Melayu hendaklah dijadikan satu-satunya bahasa rasmi dan mengkritik multilingualism telah dijadikan asas oleh wakil UMNO dalam Working Party[16] untuk mempertahankan dasar tersebut (The Malay Mai, 4 Mac 1957).[17] Tambahan pula, wakil MCA dan MIC dalam Working Party iaitu Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan turut merasakan adalah tidak munasabah untuk membenarkan multilingualism dalam Dewan Undangan Persekutuan. Sebagai balasan sikap kompromi tersebut, dalam Perlembagaan dimasukkan peruntukan yang menjamin penggunaan dan pembelajaran bahasa lain (Cina dan Tamil) selain daripada tujuan rasmi dan UMNO menggugurkan cadangannya bagi calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya mesti mempunyai keupayaan untuk bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris (Fernando, 164-165).

 Isu multi-bahasa dalam Dewan Undangan dibangkitkan sekali lagi dalam perbahasan di Dewan Undangan Persekutuan pada 10 Julai 1957 bagi meluluskan rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan 1957.  S.M. Yong (wakil MCA) telah menimbulkan isu multilingualism walaupun isu tersebut telah diselesaikan melalui perundingan dalam Working Party. Yong telah mengemukakan tiga alasan untuk menjustifikasikan multilingualism dalam Dewan Undangan. Pertama, dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam Dewan. Justeru itu, dalam periode transisi ini, keistimewaan ini boleh dipanjangkan  kepada wakil bukan Melayu menggunakan bahasa mereka sendiri dan tiada masalah besar untuk menggunakan khidmat penterjemah. Kedua, terdapat dalam kalangan bukan Melayu yang berbakat tetapi tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Sekiranya mereka dibenarkan bertutur dalam bahasa mereka dalam Dewan, maka bakat dan perkhidmatan mereka akan dapat dimanfaatkan. Ketiga, di Parlimen Singapura, mereka membenarkan empat bahasa digunakan di dalam Dewan iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil (Federal Legislative Debates, 10 July 1957, 2883-2884).

 Cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid mengenai kedudukan bahasa Melayu telah ditolak oleh parti Islam SeMalaya (PAS) (ditubuhkan pada tahun 1951) yang merupakan parti pembangkang Melayu ketika itu yang memperjuangkan Islam dan kebangsaan Melayu (Funston, 87-96). PAS dalam ulasannya mengenai isu bahasa telah mencadangkan supaya Suruhanjaya Reid menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan yang tunggal dengan serta merta, tanpa menunggu tempoh tertentu. Dengan adanya peruntukan seperti itu maka bahasa lain selain dari bahasa Melayu tidak akan ada kesempatan dan ruang untuk dijadikan sebagai bahasa rasmi di Tanah Melayu. PAS juga menolak cadangan multilingualism dalam Dewan Undangan. Sekiranya dasar ini diterima, maka perkara tersebut akan membuka ruang kepada bahasa lain untuk diangkat sebagai bahasa rasmi. Lanjutan dari menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka hak untuk mendapatkan kerakyatan mestilah mengetahui bahasa Melayu dengan baik. PAS juga membantah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka kerana dianggap oleh PAS sebagai “hendak membina sesuatu, dan dalam membina itu meruntuhkannya sendiri”. Justeru itu, PAS menuntut supaya penegasan dibuat dalam Suruhanjaya Reid bahawa “bahasa rasmi Tanah Melayu dan bahasa KEBANGSAAN  Tanah Melayu yang TUNGGAL ialah BAHASA MELAYU” . Ahmad Boestamam yang mengetuai Parti Rakyat (Ishak, 180)[18] turut mengkritik pemakaian bahasa Inggeris dalam masa 10 tahun lagi selepas merdeka. Beliau berpendapat bahasa Melayu seharusnya dijadikan Bahasa Kebangsaan dengan serta merta tanpa menunggu tempoh 10 tahun lagi (Kritik, 20 Mac 1957).

 Apabila rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan diluluskan dengan sebulat suara pada 11 Julai 1957, maka kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah dinyatakan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152(1) menyatakan yang bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa kebangsaan tetapi “tiada siapapun boleh dilarang atau dihalang dari menggunakan (bagi apa-apa tujuan selain dari tujuan rasmi) atau mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain...”. Menurut Mohd. Salleh Abas, dengan memberikan taraf kebangsaan kepada bahasa Melayu, ia sebenarnya memberi satu tafsiran yang lebih luas dan memberi banyak kesan daripada pengiktirafannya sebagai bahasa rasmi semata-mata (Mohd Salleh, 51) seperti mana yang termaktub dalam Perkara 343 (1) Perlembagaan India yang menyebutkan bahasa Hindi sebagai bahasa rasmi India (kerajaan pusat). Perkataan Kebangsaan lebih luas maksudnya iaitu “mengenai atau berhubung kepada sesuatu negara secara keseluruhan”, berbanding perkataan rasmi yang lebih merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh kerajaan dalam pentadbirannya (Hashim, 114-115). Salah satu daripada kesan meletakkan bahasa Melayu ke taraf bahasa kebangsaan ialah bahasa ini secara automatik menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi dan bahawa semua bahasa lain, walaupun boleh diajar dan dipelajari, hanya boleh digunakan untuk tujuan “selain daripada maksud rasmi”. “Maksud rasmi” telah ditakrifkan oleh fasal (6) dalam Perkara 152 Perlembagaan dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam” (Mohd Salleh, 51).

 Perkara 152, fasal (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan selama tempoh sepuluh tahun selepas hari kemerdekaan (31 Ogos 1957) dan selepas tempoh itu sehingga waktu lain diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa Inggeris digunakan dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri dan bagi segala maksud rasmi yang lain. Perkara 152(2) ini menjelaskan bahawa kedudukan bahasa Inggeris akan dikaji semula kedudukannya selepas 10 tahun kemerdekaan, iaitu pada tahun 1967. Peruntukan mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Persekutuan adalah menjangkau cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid .[19] Laporan Reid memberi jaminan khusus kepada setiap individu tidak dihalang untuk menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain serta hak kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menjaga dan membenarkan penggunaan dan pelajaran apa juga bahasa komuniti lain (Vasil, 39).


Kesimpulan

 Perbincangan di atas menunjukkan bahawa perjuangan untuk memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebelum merdeka telahpun dilakukan lebih awal dengan penglibatan dari berbagai golongan, pertubuhan bahasa dan politik serta desakan yang kuat dari orang Melayu. Desakan yang kuat dari orang Melayu telah mendorong Parti Perikatan menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada manifesto mereka dalam pilihan raya 1955 bagi menarik sokongan orang Melayu terhadap Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO. Perjuangan orang Melayu termasuk UMNO dalam memartabatkan Bahasa Melayu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada kaum bukan Melayu, terutama kebimbangan mereka terhadap masa depan bahasa ibunda mereka sendiri terutama sebagai medium pendidikan serta penghakisan jati diri kaum kesan dari pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Untuk melindungi survival kaum, kaum bukan Melayu bersungguh-sungguh memperjuangkan dasar multi-bahasa yang ditentang oleh orang Melayu. Penentangan tersebut menyebabkan perjuangan mengiktiraf bahasa selain Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Merdeka tidak berjaya meskipun tidak melemahkan sebahagian daripada kaum bukan Melayu untuk terus memperjuangkannya sebagai agenda politik mereka selepas merdeka. Sebahagian dari kaum bukan Melayu yang berpendirian sederhana dalam politik telah melakukan kompromi dengan mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu setelah diberi jaminan bahawa bahasa kaum lain tidak dilarang atau dihalang, diajar atau mengajar untuk tujuan bukan rasmi seperti yang termaktub dalam  Perkara 152(1) Perlembagaan Merdeka. 










Nota


[1]  Dasar perjuangan KMM seperti yang dijelaskan dalam Manifesto KMM ialah “menentang penjajah Inggeris, menuntut kemerdekaan Malaya, membangunkan pemerintahan yang berdasarkan demokrasi dan direncanakan agar Malaya bersatu dalam lingkungan Indonesi-Raya. Dalam usaha ini Kesatuan Melayu Muda dapat menyetujui gerakan PKM yang mempunyai tujuan yang sama iaitu menentang penjajah” (Lihat, “Manifesto Malaya Nasionalist Party” dlm. Suara Malaya Merdeka, No. 1, Vol. 1, Ogos 1956, Arkib Negara Malaysia).

[2]  UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru. Yang Di Pertua UMNO yang pertama ialag Dato’ Onn bin Jaafar seorang pemimpin Melayu dari Johor yang terlibat secara langsung menganjurkan Kongres Melayu 1946 yang menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh Malaya bagi menentang Malayan Union yang mahu diwujudkan oleh Inggeris selepas Perang Dunia Kedua (Lihat, Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar, Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 157-172.

[3] Tulisan Jawi adalah tulisan yang menggunakan huruf Arab. Tulisan ini telah digunakan di Alam Melayu selepas kedatangan Islam yang mengambil alih tulisan Sanskrit yang beransur-ansur hilang selepas kedatangan Islam ke rantau ini. Tulisan ini telah menggunakan huruf Arab tetapi ditambah dengan enam huruf Parsi seperti nga, ga, nya, za dan cha bagi memudahkan mengeja perkataan Melayu. Tulisan yang menggunakan huruf Arab ini kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi (Lihat, Harun Aminurrashid, Kajian sejarah Perkembangan Bahasa Melayu, hlm. 153-154).

[4] Tulisan Rumi pula mula diperkenalkan setelah kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris ke Alam Melayu. Tulisan ini telah dikembangkan melalui sekolah-sekolah yang didirikan oleh Inggeris dan sekolah-sekolah Melayu (Ibid., hlm. 154-155).

[5] Drs. Li Chuan Siu, Iktisar Sejarah Pergerakan dan Kesusteraan Melayu Moden 1945-1965, hlm. 166-167.

[6] Parti Perikatan  ialah gabungan parti politik yang dianggotai oleh parti UMNO, Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) yang memerintah Malaya bermula dari Pilihan Raya Federal 1955.

[7] Carol Mitchell, “Daripada Nasionalisme Sastera Kepada Perancangan Sastera”, dlm. Abdullah Hassan (penterjemah), Perancangan Bahasa di Asia Tenggara, hlm. 114-115. Tujuan utama Dewan Bahasa dan Pustaka mengikut Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Seksyen 5(1) dan (IV) ialah:
(a)     Berusaha memaju dan mengembangkan peristilahan bahasa Malaysia sesuai dengan keperluan kemajuan pentadbiran dan urusan Negara, keperluan sistem pendidikan pengajian tinggi, kemajuan ilmu pengetahuan dalam semua bidang dan keperluan masyarakat umum;
(b)    Bertanggungjawab menyelaraskan penggunaan istilah ejaan dalam bahasa Malaysia serta berusaha mengadakan kerjasama dengan Pusat Pegembangan Bahasa Nasional Indonesia khasnya di bidang peristilahan;
(c)     Bertanggungjawab menyalurkan atau menyebarkan istilah-istilah baru dengan berkesan kepada semua pihak yang memerlukannya;
(d)    Berusaha mengawasi penggunaan bahasa, khasnya penggunaan istilah dan ejaan di sector awam dan swasta;
(e)     Menyusun kamus am dan kamus istilah dalam berbagai bidang ilmu;
(f)      Menjalankan penyelidikan asas atau penyelidikan yang praktis untuk membantu usaha-usaha untuk memperkayakan Bahasa Kebangsaan di samping usaha untuk memperluaskan bidang pengetahuan masyarakat terhadap penggunaan dan perkembangan Bahasa Malaysia;
(g)    Menerbitkan, menggalakkan dan menyelaras penerbitan buku-buku dan penerbitan yang berkaitan dengan kajian dan pembinaan Bahasa Malaysia; dan
(h)    Menjadikannya sebagai pusat dokumentasi pembinaan dan pengembangan Bahasa Malaysia dengan tujuan supaya segala bahan yang penting tentang aktiviti dan perkembangan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan dapat dikumpul secara sistematik unntuk kemudahan penyelidikan, analisa dan sebagainya (Lihat, Hj. Khusairi Hj. Abdullah, Perlaksanaan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pengantar Pelajaran, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, hlm. 61).
[8] Heng Pek Koon, Chinese Politics in Malaysia, hlm. 156. Idea penubuhan MCA telah disuarakan oleh Tan Cheng Lock dan melalui beberapa tahap sebelum penubuhannya menjadi kenyataan. Evolusi sejarah penubuhan MCA bermula apabila Tan Cheng Lock telah memaklumkan Setiausaha Negeri Koloni pada September 1943 tentang hasratnya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan Cina Malayan. Namun hasratnya itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai sumber organisasi dan dokongan untuk mencapai hasratnya itu. Pada 5 Disember 1948, sekali lagi Tan Cheng Lock menimbulkan hasratnya itu dalam ucapannya kepada Pertubuhan Saudagar Cina Melaka. Ideanya itu telah disokong oleh Federal Council (Majlis Perundangan Persekutuan) dan Department of Chinese Affairs (DCA). Dalam laporan tahunan DCA yang dikeluarkan pada tahun 1948 telah menyatakan “ support for the proposed Malayan Chineses Affairs was undoubtedly the most important features...(of Britain’s new)..policy” (Oong Hak Ching, Chinese Politics in Malaya 1942-55: The Dynamic of British Policy, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 144). Pada 29 Disember 1948, perbincangan antara Cina dan kaum Melayu telah diadakan di Johor Bahru yang dihadiri oleh Tan Cheng Lock, Dato’ Onn dan beberapa orang lagi pemimpin Melayu dan Cina. Thio Chan Bee yang turut hadir dalam perbincangan itu telah menyebutkan bahawa Tan Cheng Lock ingin mendapat sokongan dari pemimpin Melayu tentang penubuhan MCA. Tan Chen Lock telah memaklumkan bahawa penubuhan MCA adalah “untuk bekerja sama dengan orang Melayu bagi membina negara bangsa baru” (MacDonals Kertas No.221/154&22/55 dipetik dlm. Ibid., hlm. 145). Akhirnya di bawah tajaan 16 peniaga Cina yang mewakili kaum Cina dalam Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Council)  dan Majlis Eksekutif, MCA telah ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Dalam Mesyuarat Tahunan MCA itu, Tan Cheng Lock telah dipilih sebagai Presiden, Yong Shook Lin sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo Teik Ee sebagai Bendahari Kehormat (Ibid.)

[9] Selepas pakatan AMCJA-PUTERA gagal mendapat sokongan dari pelbagai kaum dan kerajaan British, kerjasama dan pakatan politik seterusnya telah diwujudkan oleh UMNO, MCA, MIC. Penubuhan Perikatan ini bermula ketika berlakunya pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur tahun 1952. Dalam piliharaya tersebut parti Perikatan telah mencapai kejayaan cemerlang. Penubuhan Perikatan pada mulanya adalah merupakan satu strategi pilihanraya sahaja bagi mengalahkan Idepandence of Malaya Party (IMP) yang diterajui oleh Dato’ Onn Jaafar  dalam pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur . Asas kepada kerjasama adalah kekhuatiran terhadap parti IMP yang bertanding atas platform politik tanpa perkauman yang dianggap berpotensi mencapai kemenangan dalam pilihanraya tersebut. Perkara ini disebutkan oleh Gordon Means, katanya:

Dato’ Onn and the IMP had charted a course that threatened to undermine the political support of UMNO among Malays. The new President of UMNO-Tengku Abdul Rahman-lost no time in trying to purge the party of the elements that still supported Dato Onn. He realized that if the IMP to expand its power, UMNO would suffer proportionately. Consequently UMNO was looking for a means to deal the IMP a decisive blow” (Dipetik dlm. Khong Kim Hoong, Merdeka: British Rule and The Struggle for Independence in Malaya, 1945-57, Kuala Lumpur: INSAN, 1984, hal. 170 ). Walau bagaimanapun kemenangan parti Perikatan tersebut telah merubah sikap ad hoc Perikatan kepada sebuah pakatan politik yang kekal dalam sejarah politik Malaysia. Pendekatan Perikatan ialah membenarkan UMNO dan MCA bertanding di dalam kawasan kaum masing-masing dengan membuat persetujuan bersama mengenai perkongsian kerusi yang dipertandingkan telah memberi kejayaan kepada Perikatan berdepan tentangan parti IMP. Perkara ini ditegaskan oleh Ratnam (1965, 160) katanya;
This system of agreeing to share the elected seats to their mutual advantage proved to be a windfall for both parties. In the face of the IMP’s non-communal platform, the UMNO and the MCA was sucessful because they were practical enough to realize that at least for the first few elections to be held in the country, voting would almost certainly be communal”.

[10] Dato Onn telah keluar dari UMNO pada tahun 1950. Pada tahun 1951 beliau telah menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai Independence of Malaya Party (IMP) sebuah parti yang bersifat non-komunal. Bagaimanapun IMP gagal meraih sokongan pelbagai kaum kerana rakyat Malaya ketika itu masih menyenangi parti politik yang berasaskan kaum yang dibuktikan melalui makin kuatnya UMNO mendapat sokongan dari kaum Melayu ketika itu. IMP kemudiannya telah dibubarkan pada tahun 1953. Gagal meraih sokongan melalui parti politik non-komunal, Dato’ Onn kemudian telah menubuhkan pula Parti Negara pada Februari 1954 yang lebih kepada memperjuangkan kedualatan Melayu dan memperjuangkan tuntutan kaum Melayu (K.J.Ratnam, Communalism and the Political Process, hlm. 158).

[11] Dongjiaozong merupakan satu nama singkatan yang digunakan untuk mewakli gabungan dua pertubuhan utama Cina yang memperjuangkan kepentingan pendidikan vernacular Cina, iaitu United Chinese School Commitees’ Association (UCSCA atau Dongzong) dan United Chinese Schools’ Teachers’ Assosiation (UCSTA atau Jiaozong) (Lihat Tan Yao Sua, Politik Dongjiaozong dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia (1960-1982, hlm. 4).

[12] Sia Keng Yek, SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontraversi, hlm. 14. Menurut Tan Cheng Lock, orang Cina melihat Ordinan Pelajaran 1952  memberi kesan kepada kedudukan sekolah vernakular Cina yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan dianggap sebagai salah satu tindakan diskriminasi perundangan yang menentang orang Cina di negara ini (Lihat Ucapan Tan Cheng Lock, The Annual General Committe  Meeting of the MCA, 27 Disember 1953, Singapore, Arkib Negara Malaysia).

[13] Hujah ini berasakan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina yang diadakan pada 15 Oktober 1955. Dalam mesyuarat tersebut, Tan Cheng Lock berpendapat bahawa tuntutan orang Cina yang terlalu banyak adalah tidak realistik dan sukar diterima oleh kerajaan Perikatan yang baru sahaja ditubuhkan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa sebagai salah sebuah parti politik komponen dalam Perikatan, MCA terpaksa berhati-hati dalam membuat tuntutan kerana selain dari tuntutan orang Cina, MCA juga terpaksa peka terhadap aspirasi golongan etnik lain serta masa depan Negara (Lihat Tan Yao Sua, Politik Dongjiaozong, hlm. 101).

[14] Lihat Perenggan 54-58, Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956.

[15] Suruhanjaya Reid dibentuk hasil dari perjanjian Kemerdekaan Malaya yang ditandatangani di Lancaster House pada 8 Februari 1956. Kesan dari perjanjian tersebut maka satu Suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh kerajaan Inggeris pada bulan Mac 1956 bagi membuat cadangan merangka perlembagaan masa depan Tanah Melayu. Penubuhan satu suruhanjaya bebas ini telah disebutkan dalam Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu  No. 15, 1956 yang menyebutkan:

The approval of Her Majesty the Queen and The Conference of Rulers has now been signified to the recommendations of the Constitutional Conference for the appointment of an independent Commission to make recommendations for a form of constitution for a fully self-governing and independent Federation of Malaya within the Commonwelth.

Pembentukan satu Suruhanjaya bebas tersebut telah dipersetujui bersama oleh Majlis Raja-raja, bahawa ia hendaklah dalam sebuah badan yang kecil, di mana Pengerusi dan satu daripada ahlinya dipilih oleh United Kingdom, manakala ahli yang lain masing-masing satu dipilih oleh Kanada, Australia, India dan Pakistan. United Kingdom telah memilih Lord Reid dan Sir Ivor Jennings, manakala kerajaan Australia telah memilih Sir William McKell, India memilih Hakim B. Malik dan Hakim Hamid dipilih oleh kerajaan Pakistan. Terma rujukan suruhanjaya ini dalam menjalankan tugas mereka ialah “untuk memeriksa aturan perlembagaan yang wujud di seluruh Tanah Melayu, mengambilkira kedudukan dan martabat Ratu Inggeris dan Raja Melayu” dan “untuk memberikan cadangan terhadap perlembagaan berbentuk persekutuan untuk seluruh negara sebagai unit tunggal, bebas dan bekerajaan sendiri dalam lingkungan Komanwel berdasarkan demokrasi berparlimen dengan dua dewan perundangan yang turut merangkumi beberapa peruntukan lain lagi (Lihat Federation of Malay Constitutional Commission, 1956-1957 Report, hlm. 1-2.

[16] Working Party ahlinya terdiri dari wakil kerajaan Inggeris, Majlis Raja-Raja dan wakil parti Perikatan. Peranan Working Party ialah membuat semakan terhadap kandungan Laporan Reid (Lihat Malayan Constitutional Documents, Second Edition, Federation of Malaya: The Government Press, hlm xii).

[17] Isu multilingualism dalam Majlis Undangan Persekutuan tidak memuaskan hati UMNO seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail, 4 Mach 1957. UMNO menyifatkannya penggunaan bahasa Cina dan India dalam Majlis Undangan tidak mendatangkan faedah kepada pewakilan India dan Cina. Ia hanya akan mewujudkan kecurigaan di kalangan orang Melayu tentang keikhlasan dua kaum tersebut (The Malay Mail, 4 Mac 1957).

[18] Parti Rakyat Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1955 oleh Ahmad Boestamam selepas beliau dibebaskan dari kem tahanan politik. Parti ini bersifat anti-British dengan memperjuangkan beberap prinsip antaranya,  menerima  kewarganegaraan kepada semua kaum yang memberikan taat setia mereka kepada Negara tetapi menolak prinsip jus soli, menolak diskriminasi terhadap mana-mana kaum (Lihat, Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Shah Alam:  Karisma Publications Sdn. Bhd., hlm 180).

[19] Cadangan Suruhanjaya Reid mengenai bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 140 yang menyatakan “that Malay should be established as the national language; since a very substantial portion of the non-Malay population was not fluent in Malay, English was to continue as an official language for a period at least ten years. At the end of that period, Parliament was to decide when any change with regard to this matter should be brought into effect. Concerning the other languages in the country, the Commission did not feel thar any of them should be given an official status; this had not been found necessary in the past, and the establishment of any of them as an official language would have led to great inconvenience (Report of the Constitutional Commission, hlm. 74).

Rujukan

Ahmad Fawzi Basri et. al., 1991. Bumi Dipijak Milik Orang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan, 2008. “Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya” dlm. Abdullah Hassan (ed.), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII (2006). Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Awang Sariyan, 2008. “Mempertahankan Bahasa Negara di Malaysia” dlm. Zainal Kling (ed.), Kemerdekaan & Perhambaan. Kuala Lumpur: GAPENA.
Federation of Malaya, 1951. Federal Legislative Council Proceeding, 20 September 1951. Kuala                Kumpur: Government Printers.
Federation of Malaya, 1956. Report of the Federation of Malay Constitution Conference. London,  Januari-Februari 1956.
Federation of Malaya, 1957. Federation of Malay Constitutional Commission, 1956-1957. Kuala Lumpur: Government Printers.
Funston, N.J., 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.
Harun Aminurrashid, 1966. Kajian Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu. Singapura: Pustaka Melayu.
Hashim Yeop A. Sani, 1980. Our Constitution. Kuala Lumpur: The Law Publishers (M) Sdn. Bhd.
Hashim Yeop A. Sani , 1983. Perlembagaan Kita. Kuala Lumpur: Malaysian Law Publishers Sdn.                 Bhd.
Hassan Ahmad, 2008. “Masalah Bahasa atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia terhadap Bahasa Melayu” dlm. Abdullah Hassan (ed.), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Heng Pek Koon, 1988. Chinese Politics in Malaysia. Singapore: Oxford University Press.
Ibrahim Mahmood, 1981. Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara.
Kritik, 20 Mac 1957.
Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia, 1982. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Laporan Ulasan PAS terhadap Penyata Perlembagaan Reid, 1957. Sidang Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957 di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Laporan UMNO Sepuloh Tahun 1946-1956. Kuala Lumpur: Ibu Pejabat UMNO.
Laporan Pertemuan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, 4 Oktober 1965. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Li Chuan Siu, 1967. Iktisar Sejarah Pergerakan dan Kesusteraan Melayu Moden, 1945-1965. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Manifesto Pilihan raya Dewan Ra’ayat 1959. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Malayan Constitutional Documents. 1962. Vol. 2. Kuala Lumpur: The Government Printer.
Malayan Press Digest, No.64, 1947, Department of Public Relations Malayan Union and Singapore.

Manifesto Perak Progressive Party, Federal Flection 1955,14 Jun 1955. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia..
Manifesto Perikatan Pilihan raya 1955. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Manifesto Perikatan Pilihan raya 1969. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Memorandum Angkatan Sasterawan ’50 kepada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Ketiga pada 16-21 September 1956. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia
Merdeka, 15 Disember 1954.
Mitchell, C., 1999. “Daripada Nasionalisme Sastera kepada Perancangan Sastera” dlm. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Diterjemah oleh Abdullah Hassan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,.
Mohd Ashraf Ibrahim, 2004. Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-1957. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Salleh Abas, 2003. Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956, 1956. Kuala Lumpur: Government Press.
Perihtiharan Oleh Jawatan Kuasa Perhubungan Kaum (CLC), Arkib Negara Malaysia.
Persatuan Islam Sa-Malaysia (PAS), 1957. “Ulasan terhadap Penyata Perlembagaan “Suruhanjaya Reid”. Sidang Menyuarat Agong Khas Persatuan Islam Sa-Malaysia di Kuala Lumpur pada 2 Mei 1957. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Ramlah Adam, 2005. Dato’ Onn: Pegasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ratnam, K.J.,  1965. Communalism and the Political Process in Malaya. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Sia Keng Yek, 2005. SRJK (Cina) dalam sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontoversi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Stockwell, A.J., 1979. British Policy and Malay Politics during the Malayan Union Experiment 1942-1945. Monograph No. 8. Kuala Lumpur: Malaysia Branch Royal Asiatic Society.
Surat Lembaga Tetap Kongres Bahasa & Persuratan Melayu Tanah Melayu kepada Datok Abdul Razak, 23 April 1957, Arkib Negara Malaysia.
Tan Yao Sua, 2005. Politik Dongjoaozong dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia (1960-1982). Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
The Malay Mail, 14 February 1957.
Warta Negara, 6 Julai 1955.
Vasil,R.K.,  1980. Ethnic Politics in Malaysia. New Delhi: Radiant Publishers.
Zulkifli Muhammad, 1957. “Perkembangan Bahasa Melayu”. Mastika. Mei 1957.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...