Thursday, May 24, 2018

Sorotan Buku PERLEMBAGAAN MALAYSIA: ISU DAN PERSOALAN PERHUBUNGAN KAUM


 

 PERLEMBAGAAN MALAYSIA: ISU DAN PERSOALAN PERHUBUNGAN KAUM. Oleh Abdul Halim Ramli. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2015 Pp 499. Indeks 501-512. ISBN 978-983-46-1535-2.


 Oleh:
 
Suhaila Binti Sharil

Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam,

Pusat Pengajian Teras,

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Isu perlembagaan Malaysia dan hubungan antara kaum ketika ini semakin hangat diperkatakan sama ada di media sosial mahupun di dada akhbar. Justeru satu buku telah diterbitkan hasil daripada kajian tesis Ph.D penulis di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Tesis yang bertajuk Persetujuan antara Kaum dalam Perlembagaan Merdeka: Pelaksanaan dan Kesannya Terhadap Hubungan Kaum di Semenanjung Malaysia Sehingga 1969 telah berjaya menggarap dan menghasilkan satu buku ilmiah berjudul Perlembagaan Malaysia: Isu dan Persoalan Perhubungan Kaum.

Intipati buku ini adalah hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ramli yang dilahirkan pada 10 November 1965 di Kg. Terentang, Batu Kikir Negeri Sembilan. Pendidikan awal beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Batu Kikir, seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syekh Hj. Mohd Said, Seremban. Pada peringkat sarjana muda beliau memilih bidang pengajian Islam, UKM (1989) seterusnya meneruskan pengajian sehingga mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, UKM (1998). Dengan hati yang tekad dan usaha yang berterusan beliau mengambil ijazah PHD dalam bidang sejarah/Hubungan Etnik dari Universiti Malaya (2013). Kini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Negeri Sembilan. Beliau sangat aktif dalam bidang penulisan buktinya beliau menghasilkan 5 buah buku antaranya Pemikir Islam Prof. Ismail Raqi al-Faruqi (2002), Tamadun Asia (2005), Islam Hadhari: Pengukuhan Institusi Baitulmal dan Wakaf di Malaysia (2005), Memahami Islamisasi Ilmu (2007) dan Wakaf: Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan Islam di Malaysia (Penulis bersama) (2008) dan Hubungan Kaum: Sejarah dan Asas Perpaduan (2009). Selain daripada menulis buku-buku ilmiah beliau juga menulis beberapa artikel yang diterbitkan dalam pelbagai majalah, jurnal, akhbar dan lain-lain. Jasa dan sumbangan beliau dalam bidang penulisan harus dicontohi oleh ahli akademik dan mahasiswa khususnya serta masyarakat amnya untuk meningkatkan pengetahuan tentang Sejarah Ketamadunan dan Perlembagaan Malaysia.

Buku setebal 512 halaman ini mengandungi 8 bab secara keseluruhannya, diolah melalui penulisan dan garapan yang sangat kemas menggunakan metodologi kajian sejarah dengan memberi gambaran kepada pembaca mengenai sejarah pembentukan persetujuan antara kaum dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Secara umumnya, masyarakat sedia maklum bahawa terdapat 3 kaum yang berada di Tanah Melayu iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga kaum ini telah memetrai persetujuan dengan mewujudkan Perlembagaan Merdeka bermula pada tahun 1955. Oleh yang demikian, hasil intipati Perlembagaan Merdeka tersebut maka penulis mengupas 3 objektif utama di dalam buku ini dengan menghuraikan empat teras persetujuan kandungan Perlembagaan Merdeka, pelaksanaannya selepas kemerdekaan dan kesan Perlembagaan Merdeka terhadap hubungan kaum di Semenanjung Malaysia hingga tahun 1969. Kandungan buku ini secara keseluruhannya digarap dengan meneliti sejarah pembentukan 2 persetujuan kaum terlebih dahulu dalam empat teras utama, kemudian meninjau reaksi dan perbahasan sehingga tercapainya persetujuan antara kaum dan akhirnya menganalisis pelaksanaan empat teras selepas merdeka sehingga tahun 1969 dengan melihat lebih khusus melalui kesannya terhadap hubungan kaum.

 
Penulis menggunakan metod tinjauan dan analisis bagi mengupas proses sejarah pembentukan persetujuan di antara kaum. Antara 4 kandungan dalam pembentukan tersebut yang menjadi teras perbahasan untuk dianalisis adalah kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi, hak kerakyatan kaum bukan Melayu dan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan. Dalam perbahasan kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasanya telah menjadi konflik perdebatan antara kaum sehingga akhirnya mencetuskan peristiwa yang tidak akan dapat dilupakan iaitu Tragedi 13 Mei 1969. Selain itu, hak kerakyatan bagi kaum bukan Melayu dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan turut mencetuskan konflik di kalangan orang Melayu. Jika diperhalusi secara mendalam, sehingga kini proses pelaksanaan Perlembagaan selepas kemerdekaan masih belum dapat diperkukuhkan dengan sepenuhnya sebagai contoh hak kerakyatan menjadi isu sensitif yang masih hangat diperkatakan.

Sorotan buku ini diketengahkan juga mengenai penerangan mengenai asas pembentukan Perlembagaan Merdeka bermula daripada manifesto perikatan 1955 hingga membawa kepada Suruhanjaya Reid 1956 dan dimuktamadkan pada 1957 melalui rundingan dan perbincangan Badan Kerja. Rentetan daripada peristiwa tersebut membawa kepada draf Perlembagaan Merdeka yang telah diluluskan oleh ahli Dewan Undangan Persekutuan pada 11 Julai 1957. Penulis juga memberikan kefahaman kepada pembaca mengenai Dasar British yang menjadi teras kebangkitan nasionalisme Melayu melalui gagasan Malayan Union. Namun gagasan Malayan Union mendapat tentangan daripada orang Melayu, maka British mengambil tindakan pantas dengan memperkenalkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Namun perlembagaan persekutuan ini ditentang hebat oleh orang Melayu kerana British mengetatkan syarat kerakyatan. Bagi menyelesaikan isu tersebut, maka satu manifesto Parti Perikatan 1955 dibentuk bagi memetrai persetujuan di antara kaum supaya semua kaum layak mendapat“win win situation”. Rentetan daripada itu, satu memorandum perikatan yang mengandungi 5 tuntutan diserahkan kepada Lennox Boyd dan hasilnya badan kerja ditubuhkan sebagai penilai Laporan Reid sehingga draf Perlembagaan Merdeka diluluskan oleh Ahli Dewan Undangan Persekutuan.

Susur galur sejarah pembentukan persetujuan antara kaum adalah terdiri daripada masyarakat majmuk yang dipelopori daripada pelbagai kaum imigran tenaga buruh asing dalam industri perlombongan dan pertanian. Hal ini menyebabkan pola masyarakat berubah sehingga menyebabkan kemerosotan peratusan penduduk Melayu berbanding penduduk kaum Cina. Buktinya apabila pada tahun 1901 masyarakat Cina di negeri Selangor adalah terdiri daripada 65%, di Perak 46% sehingga mereka menjadi kaum majoriti pada 1941. Bilangan tersebut sangat hampir dengan jumlah penduduk berbangsa Melayu. Oleh kerana itu, wujudnya perbezaan di antara kaum, ekonomi dan politik di Tanah Melayu. Dalam perbahasan antara kaum yang dikupas di dalam buku ini telah dapat menyingkap bahawa orang Melayu berhadapan dengan 3 realiti masyarakat majmuk, kekurangan penguasaan dalam bidang ekonomi dan tuntutan hak kesaksamaan melalui aspek sosiobudaya serta politik. Sehubungan itu, buku ini turut membincangkan pelaksanaan terhadap 4 tuntutan perbahasan tersebut selepas kemerdekaan dan kesannya kepada hubungan kaum di Semenanjung Malaysia dengan memfokuskan era pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Natijahnya dapatlah dilihat bahawa desakan orang Melayu untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi satu isu yang besar kepada kaum bukan Melayu kerana terdapat penentangan segelintir masyarakat Cina yang mempunyai kecenderungan terhadap dasar multilingualisme bagi menuntut pengiktirafan terhadap bahasa ibunda mereka. Oleh yang demikian, Tunku Abdul Rahman mengambil langkah selamat supaya tidak tercetusnya konflik di antara kaum dengan mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan namun tidak menghalang penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Mandrin dalam urusan tidak rasmi. Semua kaum tidak dikongkong dan dibenarkan belajar dan mengajar serta mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Buku ini turut memuatkan beberapa kajian penting yang mengupas mengenai pola hubungan etnik di Tanah Melayu (Ratnam), perkembangan politik kaum (Vasil & Heng) hegemoni politik Melayu (Thocke Ker Pong), sumbangan Dato’ Onn dalam mencetuskan kebangkitan nasionalisme orang Melayu (Ramlah), kewujudan persetujuan kaum dalam proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan (Fernando), asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan (Mohd Ashraf), kontrak sosial (Abd Manaf) dan sejarah pembentukan persetujuan kaum (Mahathir & Kua Kia Song). Di samping memuatkan kajian, buku ini turut memberikan pendapat-pendapat daripada Awang, Shaharir, Hassan dan Tan Yao Sua mengenai isu perjuangan orang Melayu dalam memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa bangsa. Konflik perbahasan yang berlaku terhadap kedudukan bahasa Melayu sebenarnya berkait rapat dengan peranan dan taraf bahasa Melayu itu sendiri.

Rentetan dari itu, perdebatan antara kaum mengenai kedudukan hak istimewa orang Melayu juga semakin hangat digembar-gemburkan. Dalam lipatan sejarah, kedudukan orang Melayu sebenarnya telah diiktiraf oleh British, namun hakikatnya orang Melayu ketika itu masih memerlukan bantuan dari segi politik dan ekonomi. Jika disingkap sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, sejarah membuktikan bahawa Tanah Melayu dan sistem kuota dalam MCS sebenarnya telah diwujudkan oleh British sehingga dipersetujui dalam Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum dan akhirnya dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu melalui perkara 153. Hakikatnya, selepas orang Melayu memperjuangkan hak keistimewaan maka timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin Cina seperti Tan Cheng Lock yang memperjuangkan supaya orang bukan Melayu diberikan hak kerakyatan. Hal ini disusuli dengan desakan kepada British supaya menyebelahi kaum Cina kerana kaum Cina adalah kaum yang turut menyumbang dari sudut ekonomi kepada Tanah Melayu. 4 Isu tersebut menjadi buah mulut masyarakat setempat dan amatlah sukar untuk diputuskan namun orang Melayu menerapkan sikap toleransi di dalam diri kerana mereka telah mendapat 2 benda utama yang dibahaskan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu. Justeru, orang Melayu mula memikirkan kepentingan kaum lain setelah Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum ditubuhkan. Akhirnya mereka bersepakat untuk menerima prinsip jus soli setelah pelbagai konflik seperti tentangan terhadap syarat-syarat kerakyatan yang liberal. Prinsip ini bermakna sesiapa yang lahir pada dan selepas kemerdekaan akan mendapat hak kerakyatan secara automatik. Namun prinsip jus soli tersebut belum digunakan secara menyeluruh. Terdapat desakan daripada kaum bukan Melayu yang menuntut pemakaian jus soli secara mutlak supaya lebih ramai kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan.

Akhir sekali, penulis menganalisis mengenai perbahasan keempat dalam persetujuan kaum iaitu kedudukan Islam sebagai agama bagi Persektuan. Dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan 1957 telah ada justifikasi mengenai perbahasan ini. Dasar British permulaannya tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan urusan agama dan adat istiadat kaum Melayu. Namun dasar tersebut tidak bertahan lama kerana wujudnya Malayan Union yang membuatkan mereka boleh mencampuri perkara-perkara tertentu bagi agama Islam. Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada orang Melayu kerana Sultan merupakan ketua agama bagi negeri-negeri Melayu. Rentetan itu, satu perundingan dalam Memorandum Parti Perikatan yang dibawa kepada Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa agama bagi Malaysia mestilah agama Islam. Kaum bukan Melayu tidak memprotes disebabkan terdapat klausa jaminan bahawa hak warganegara yang bukan beragama Islam turut dijaga dan dilindungi. Bahkan mereka boleh menganut dan mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti sedia kala.

Konflik kaum sebenarnya bukanlah datangnya dari isu bahasa dan hak keistimewaan sahaja malah kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga turut mempelopori dunia perkauman sehingga ke arena politik. Konflik ini melibatkan parti PAS dan UMNO yang memperjuangkan kehendak masing-masing hingga memberi kesan kepada hubungan sesama orang Melayu. Parti PAS sebenarnya sangat menitikberatkan pembentukan negara Islam dan pelaksanaannya secara menyeluruh dari segi undang-undang. Perdebatan ini telah membawa konflik yang sengit sehingga PAS telah berjaya mempengaruhi orang Melayu dalam kalangan UMNO lebih-lebih lagi ketika berlakunya pilihan raya dan membuatkan UMNO berada pada saat genting kerana khuatir akan tewas mendominasi kerajaan.

Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi unsur-unsur perbandingan dengan menyingkap sejarah dari tahun 1957 hingga 1969 sama ada terdapat kaitan unsur-unsur yang mengakibatkan konflik perhubungan di antara kaum ataupun tidak. Di samping itu, pembaca juga akan tertarik membaca buku ini kerana wujudnya unsur-unsur suspen yang membuatkan pembaca tertanya-tanya siapakah dalang yang mengkhianati persetujuan yang dicapai dalam Perlembagaan sehingga timbulnya konflik hubungan di antara kaum. Penulisan dalam buku ini sangat kemas dan padat dengan fakta-fakta sejarah dan tinjauan serta analisis terhadap empat perbahasan 5 utama yang menjadi teras persetujuan kaum. Penulis telah menjawab kesemua objektif dengan huraian yang jelas melalui sejarah pembentukan persetujuan kaum dalam empat teras utama iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, hak kerakyatan kaum bukan Melayu dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. 4 teras utama tersebut adalah menjadi faktor utama yang mempengaruhi hubungan kaum di Semenanjung Malaysia di antara tahun 1957 hingga 1969. Maka jelaslah terbukti konflik antara kaum sebenarnya berlaku hasil daripada ketidakpuasan hati sesetengah pihak terhadap apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Kesannya walaupun Perlembagaan Merdeka pada dasarnya mengangkat semua perjuangan di antara kaum, namun secara fitrahnya Perlembagaan Merdeka tersebut tidak dapat menimbulkan rasa puas hati terhadap semua pihak. Perkara ini boleh dilihat rentetan daripada kelemahan dari segi pelaksanaan tuntutan Perlembagaan Merdeka selepas kemerdekaan.

Justeru, buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua khususnya mahasiswa tidak kira bangsa supaya mahasiswa dapat membaca susur galur sejarah yang sangat penting dalam Perlembagaan. Keistimewaan buku ini adalah pengetahuan penulis yang sangat mendalam dalam bidang sejarah dan tamadun serta menghuraikan bagaimana proses persetujuan kaum terbentuk. Selain itu, masih belum ada penulisan yang menganalisis empat teras utama selepas kemerdekaan dengan mengkhususkan kepada reaksi dan kesannya terhadap hubungan kaum di semenanjung Malaysia dari tahun 1957 hingga 1969.

.

Tuesday, May 8, 2018

Perubahan Pendekatan Politik Dato Onn (Malaya untuk Malayan) 1951

Saya cuba untuk memahami apakah sebab utama yang mendorong perubahan radikal pendekatan politik Dato' Onn dari memperjuangkan "Malaya untuk orang Melayu" kepada "Malaya untuk Malayan" yang membawa perletakan jawatannya sebagai Yang DiPertua UMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan IMP sebuah parti bukan perkauman. Untuk lebih memahami perjuangan Dato' Onn membawa saya membaca buku "Biografi Dato' Onn: Hidup Melayu" yang ditulis oleh Anwar Abdullah (2005). Buku ini telah membincangkan secara mendalam biografi Dato' Onn, pemikiran dan kehidupan politiknya. Saya juga meneliti ucapan Dato' Onn yang menjelaskan kenapa beliau menubuhkan IMP sebuah parti politik non-komunal. Dato' Onn menjelaskan sebab utama beliau berbuat demikian adalah kerana ingin mewujudkan perpaduan dan hubungan yang baik antara kaum serta ingin mengikat kaum-kaum lain supaya menumpahkan kesetiaan mereka di Tanah Melayu. Keadaan ini ada asasnya apabila kita melihat fakta sejarah yang menunjukkan kaum-kaum lain seperti Cina dan India sebelum merdeka masih lagi tidak dapat memutuskan diri mereka dari negara dan budaya leluhur mereka dan melihat Tanah Melayu sebagai tempat mencari kekayaan dan kesenangan untuk dihantar ke negara asal mereka. Mereka melihat diri mereka hanya sementara sahaja di sini, lebih-lebih lagi dasar negara China yang menerima kewarganegaraan kaum Cina Seberang atau perantauan bagi mendambakan bantuan material untuk pergerakan politik di negara China. Keadaan ini mula berubah menjelang tahun-tahun kemerdekaan terutama selepas tahun 1946 apabila kaum-kaum lain mula memutuskan hubungan mereka secara beransur-ansur dari negara asal mereka dan melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Malaya. Dengan sebab itu, kita mendapati mula timbul dari kalangan kaum bukan Melayu tokoh dan pergerakan politik yang mula membicarakan soal dan syarat kerakyatan Persekutuan seperti pemakaian prinsip 'Jus soli" bagi membolehkan kaum bukan Melayu mendapat kerakyatan negara ini. Sehingga pada masa sebelum merdeka soal kerakyatan merupakan isu sensitif , pertikaian serta permuafakatan antara kaum di negara ini.

Dato' Onn sebagai tokoh politik yang bersifat realistik telah bersetuju mengenai syarat kewarganegaran seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) sehingga menimbulkan penentangan yang kuat dari sebahagian orang Melayu ketika itu dan menyebabkan Dato' Onn meletakan jawatan sebagai YDP UMNO. Beliau bersifat realistik apabila memahami hakikat bahawa kemerdekaan tidak akan tercapai dengan perjuangan atau sokongan satu kaum semata-mata dengan meminggirkan kaum lain kerana Malaya ketika itu senarionya telah jauh berubah berbanding sebelum kedatangan penjajah Barat dan kaum lain ke negara ini. Hakikat ini ditambah burukan lagi dengan pepecahan kaum yang disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk dasar penjajah sama ada Inggeris atau Jepun yang menggunakan pendekatan "pecah" dan "perintah" yang telah mewujudkan jurang komunal yang amat serius. Pepecahan kaum mewarnai politik negara sebelum merdeka sehingga menimbulkan pertentangan fizikal pada masa penjajahan Jepun dan pasca pemerintahan Jepun dan kembalinya Inggeris ke negara ini selepas tamat perang dunia kedua.
Dato' Onn sendiri menyaksikan konflik komunal antara Melayu dan Cina di Batu Pahat menjelang tamatnya pemerintahan Jepun. Konflik ini berlaku akibat dari membalas dendam antara etnik terutama kerana dasar penjajah Jepun yang pro Melayu dan memusuhi kaum Cina serta disemarakkan lagi oleh ledakan emosi dan khabar angin. Dalam keadaan tegang ini, Dato' Onn diarahkan pindah oleh Jepun ke Batu Pahat sebagai Pegawai Daerah bagi mengembalikan keamanan di Batu Pahat (lihat Anwar Abdullah 2005, 115-125).

Pengalaman konflik komunal ini menjadi satu pengajaran bahawa komunalisme yang tidak terkawal akan hanya menjahanamkan bangsa dan negara ini. Bertitik tolak dari pengalaman ini, agaknya mendorong Dato' Onn merintis usaha awal ke arah mewujudkan perpaduan kaum dengan mewujudkan sebuah parti politik non-komunal yang dianggap mendahului zamannya kerana penubuhan parti-parti poltik pada dekat 1940-an lebih berorientasikan kaum masing-masing. Pendekatan yang dirintis oleh Dato' Onn pada mulanya mendapat tetangan dari orang Melayu sehingga Tunku Abdul Rahman dalam Persidangan Agung UMNO pada 16 Februari 1954 telah mengatakan bahawa orang Melayu ketika itu belum boleh lagi berfikir secara tidak perkauman. Sekiranya IMP berjaya menarik sokongan rakyat maka akan berlaku huru hara dan pergaduhan antara kaum. Walaupun Tunku menghemburkan kritikan terhadap Dato' Onn tetapi strategi politik yang dirintis oleh Dato Onn telah dicontohi oleh Tunku apabila beliau mewujudkan Perikatan antara UMNO, MCA dan kemudiannya MIC. Beliau juga melihat usaha tersebut sebagai satu perubahan yang signifikan bagi mewujudkan satu bangsa yang bersatu bagi mencapai kemerdekaan.

DIMP sebagai parti non-komunal walaupun pada awalnya disokong oleh kaum bukan Melayu dan ditolak oleh kaum Melayu akhirnya berkubur. Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Negara dan kembali kepada pendekatan politik lamanya iaitu "Malaya untuk orang Melayu" bagi meraih sokongan dari orang Melayu setelah kaum lain beralih arah untuk menyokong Parti Perikatan. Menurut Anwar Abdullah (2005, 185) salah satu sebab yang mendorong Dato' Onn berpatah kepada pendekatan politik lamanya ialah gerak geri UMNO yang secara praktikal beransur-ansur menerima dasar Perikatan yang menuju kepada arah perjuangan IMP iaitu "Malaya untuk Malayan".

Friday, May 4, 2018


Motivasi dan Trend Penglibatan Mahasiswa dalam Aktiviti Kesukarelawanan

Penglibatan mahasiswa dalam kegiatan kesukarelawanan sudah lama wujud di negara ini jika dilihat dari faktor sejarah. Umpamanya penubuhan Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya pada 1965 telah menganjurkan berbagai aktiviti bagi membangkitkan semangat nasionalisme dan memperjuangkan pelbagai isu negara seperti bahasa, ekonomi, sosial dan politik (Azizan Bahari, 2009). Tambahan pula, pihak Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya memberikan tumpuan bagi meningkatkan lagi penyertaan pelajar dalam kegiatan tersebut bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, terutama bagi melahirkan pelajar yang berbakat, berkemahiran dan berilmu yang bersedia menghadapi cabaran abad ke 21. Kesungguhan tersebut diserlahkan dengan kesediaan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan mata kredit kepada pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan sebagai salah satu pengiktirafan bagi membantu masyarakat (Utusan Malaysia, 26 Mac 2016). Berasaskan kepada kepentingan peranan kesukarelawanan terhadap pembangunan pelajar yang berketerampilan dan mempunyai skil, UiTM telah mewujudkan enam badan beruniform dan satu tidak beruniform bagi mencapai matlamat tersebut. Antaranya pasukan PALAPES Udara, Darat dan Laut, SUKSIS, SISPA, Bulan Sabit Merah dan Briged Sukarelawan. Kor SUKSIS (Sukarelawan Simpanan Polis Siswa) sehingga tahun 2015, telah melatih seramai 903 orang Pegawai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis dan  bilangan pelatihnya adalah seramai 1,200 orang. Di samping itu, terdapat berbagai persatuan dan kelab yang ditubuhkan di mana aktiviti mereka banyak mengarah kepada kegiatan kesukarelawanan.
Shweiki &  Mauch (1993) mendefinisikan sukarelawanan sebagai suatu pekerjaan tanpa upah. Begitu juga Putnam (2000) mendefinisikan sebagai satu kegiatan yang dikaitkan dengan kegiatan kebajikan dan menunjukkan keperihatinan terhadap orang lain yang membawa faedah kepada masyarakat umum. Ringkasnya, kerja kesukarelawanan merupakan kegiatan yang dilakukan dengan rela hati, ikhlas, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran dan memberi manfaat kepada golongan sasaran (Tajul Arifin & Aishah Nadirah, 2013).  

Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi melihat apakah motif sesuatu aktiviti kesukarelawanan dilakukan. Kajian Deci (1975) mendapati motivasi penglibatan seseorang dalam kegiatan sukarelawanan didorong oleh motivasi dalaman (intrinsic motivation), warm-glow altruism (Andreoni, 1990),  kemanusiaan untuk membantu orang lain (Okun & Schultz, 2003, Toi & Batson, 1982), keinginan untuk menolong orang lain (Levental, 1973), memenuhi kepuasan peribadi (Lafer, 1989) dan komitmen terhadap organisasi (Bozeman & Ellemer, 2008 (Lihat Asghar, 2015).

Manakala kajian yang menumpukan kepada motif golongan pelajar universiti melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan telah dibuat sama ada penyelidik luar negara atau tempatan. Kajian Musick & Wison (2008) mendapati penglibatan mahasiswa dalam kegiatan kesukarelawanan bergantung kepada latarbelakang serta pengalaman peribadi seseorang individu berkenaan. Individu yang terlibat dalam kerja-kerja amal sejak di peringkat awal usia muda dikatakan lebih bersikap terbuka untuk menolong orang ramai apabila mereka menjadi dewasa (Fauziah Ibrahim et al., 2015). Kajian Fauziah et al.,(2015), terhadap mahasiswa UKM mendapati motivasi penglibatan mahasiswa dalam kegiatan kesukarelawanan dipengaruhi oleh faktor jantina dan tahun pengajian. Kajian itu juga turut mendapati faktor mendapat kepuasan, ganjaran berbentuk intrinsik, perasaan ingin membantu masyarakat, mendapatkan pengalaman baru, ingin berkenalan dengan rakan baru dan dorongan rakan (Aizan Sofia & Tharshini, 2015). Kajian Tajul Arifin & Aishah Nadirah (2013) terhadap pelajar UKM yang terlibat sebagai sukarelawan SUKIPT (2012) pula mendapati motif kerjaya, sosial, nilai, pemahaman, peningkatan dan perlindungan merupakan motif utama penglibatan mahasiswa terhadap sukarelawan. Penglibatan pelajar dalam kegiatan sukarelawanan membawa kesan positif terhadap pembentukan peribadi dan menanamkan sikap positif. Perkara ini dibuktikan melalui kajian yang dibuat oleh Institut Sosial Malaysia bersama Unit Perunding Universiti Malaya (2012) terhadap mahasiswa di enam pengajian tinggi (IPT) dan orang awam mendapati bahawa penyertaan seseorang dalam aktiviti kesukarelawanan dapat meningkatkan sikap positif seperti tanggungjawab sosial, motivasi diri, kenalan, keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan, kemahiran komunikasi serta keyakinan diri. Kajian Smith et. al. (2010) turut memperkukuhkan dapatan kajian lain bahawa terdapat kepelbagaian motif dan faedah kegiatan kesukarelawanan terhadap pelajar. Terdapat hubungan yang signifikan antara kekerapan melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan dengan motif dan faedah yang didapati oleh pelajar. Didapati pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan lebih menghayati motif alturistik dan mendapat faedah berbanding sukarelawan sekali sekala dan bukan sukarelawan.

 Kajian Eley (2003) pula mendapati motivasi utama generasi muda dalam kegiatan kesukarelawanan adalah untuk mendapatkan pengalaman kerja berkaitan, skil dan kelayakan yang dapat membantu mereka dalam pelajaran dan kerjaya. Umpamanya, remaja dalam lingkungan umur dari 16 hingga 24 tahun di U.K motif kedua penting penglibatan mereka dalam kegiatan kesukarelawanan adalah untuk  mempelajari skil baru (Asghar, 2015). Manakala kajian di Amerika Syarikat oleh Astin & Sax (1998) mendapati kegiatan kesukarelawanan dapat memperkasa perkembangan  akademik, skil individu dan rasa kebertanggung jawaban sivik. Termasuk mempunyai kaitan dengan pemilihan kerjaya dan kebolehankerja selepas bergraduasi (Asghar, 2015). Walaupun dapatan kajian memperlihatkan bahawa kegiatan kesukarelawanan memberi kesan yang signifikan terhadap pembentukan peribadi, kemahiran dan meningkatkan perkembangan akademik namun kajian yang dijalankan oleh Julinawati et al., (2012) mendapati semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar di IPT berada di tahap sederhana. Aktiviti yang menjadi tumpuan ialah sukan, aktiviti masyarakat dan badan beruniform serta keagamaan. Sebaliknya di Amerika Syarikat, data yang dikeluarkan pada tahun 2015, menunjukkan golongan remaja dalam lingkungan umur 16 hingga 19 tahun, peratusan penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan adalah tinggi iaitu 26.4 peratus lebih tinggi dari umur lingkungan 20 hingga 24 tahun iaitu 18.4 peratus. Manakala penglibatan golongan dewasa dari umur 35 hingga 64 tahun menunjukan peratusan menurun (http://www.bls.gov/news.release/volun.nr0.htm). Begitu juga di Kanada, bancian tahun 2010 menunjukkan golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun, 58 peratus melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan, berbanding umur 35 hingga 44 tahun (54 peratus) dan umur 25 hingga 34 tahun (46 peratus). Golongan remaja di Kanada lebih lama tempoh penglibatan mereka dalam kegiatan kesukarelawanan iaitu, 130 jam berbanding 109 jam bagi mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun (Vezine & Cromton, 2012).

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...