Tuesday, September 16, 2008

Sensitiviti Agama

Sememangnya Malaysia sudah ditakdirkan menjadi sebuah negara yang bukan sahaja memiliki kepelbagian kaum tetapi tetapi juga kepelbagaian agama. Agama Islam merupakan agama yang dianuti oleh majoriti penduduk, terutama kaum Melayu dan menjadi agama rasmi negara, dikuti oleh agama Toisme, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya. Kemajmukan agama yang wujud hari ini belum lagi mencetuskan konflik antara agama kerana Perlembagaan Malaysia telah menyediakan kerangka beragama yang amat jelas mengenainya. Selagi semua pihak beragama mengikuti asas dan panduan tersebut, ia berupaya mengelakkan konflik antara agama dari berlaku. Kepelbagaian agama bukan merupakan satu masalah tetapi merupakan satu cabaran untuk kita hidup saling memahami, bertoleransi dan menjadi alat yang penting memupuk perpaduan. Walaupun kemajmukan agama belum mencetuskan konflik tetapi ada masa dan keadaan tertentu ia mencuit juga sensitiviti penganut agama tertentu. Isu murtad, penukaran agama, keputusan yang dibuat oleh mahkamah Syariah terhadap sesuatu isu, pemakanan, pembinaan tempat beribadah, dasar kerajaan mengenai Islam seperti penerapan nilai-nilai Islam, konsep Islam Hadhari dan lain-lain perkara berbangkit sering menjadi pedebatan, kecurigaan dan prejudis sebahagian dari manusia beragama di negara ini.
Perkara 3, Perlembagaan Malaysia telah mengkanunkan bahawa agama Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukan ini antara lain membawa maksud bahawa kerajaan mempunyai obligasi untuk memertabat dan melindungi kesucian agama Islam di negara ini termasuk sekatan penyebaran agama lain ke atas penganut agama Islam (lihat Ahmad Ibrahim, 1986:51). Hakikat ini sewajarnya sudah difahami oleh semua penganut agama di negara ini dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Penganut agama Islam diajar untuk mereka memahami Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap meliputi semua dimensi kehidupan. Justeru itu, orang Islam akan berusaha untuk melaksanakan semua aspek penghidupan mereka mengikut acuan agama mereka. Dalam agama Islam tidak ada istilah sekular iaitu pemisahan antara agama dengan kehidupan nyata manusia. Justeru itu, orang Islam tidak boleh menerima idea sekularisme. Apabila asas ini menjadi world view umat Islam, mereka akan berusaha mengisi kehidupan mereka dengan nilai-nilai agama kerana itulah hakikat agama mereka. Manakala penganut agama lain, mereka boleh menerima idea sekularisme dan agama bagi mereka adalah semata-mata ritual. Perbezaan world view agama inilah yang selalunya membawa kecurigaan dan salah faham penganut agama lain terutama apabila kerajaan berusaha melaksanakan dasar Islamisasinya yang dilihat oleh kaum bukan Islam mengancam amalan beragama mereka atau dilihat sebagai satu percubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara teokrasi seperti Iran dan sebagainya. Dengan sebab itu, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri pernah mengistiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam pada 29 September 2001 pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan maka ia mendapat tentangan dari sebahagian masyarakat bukan Islam walaupun sebahagian daripada pemimpin parti politik bukan Melayu dari Parti Komponen Barisan Nasional menyokong kenyataan itu. Namun sebahagian dari masyarakat bukan Islam melihat pengistiharan yang dikenali sebagai “pengistiharan 929” sebagai bertentangan dengan kontrak sosial, Perlembagaan Malaysia 1957, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara dan Wawasan 2020 kerana Perlembagaan hanya mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dalam bentuk adat istiadat dan ritual dan bukannya sebuah negara teokrasi. Mereka sering menyandarkan hujah mereka dengan pernyataan yang pernah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dan hakikat penduduk Malaysia kurang dari 60 peratus beragama Islam (lihat Kenyataan Lim Kit Siang bertarikh 24 Mei 2004 dalam http://www.dapmalaysia.org/).

Isu murtad dan penukaran agama sering menjadi isu yang kadang kala membawa kepada ketegangan antara agama dan kaum di negara ini. Orang Islam melihat isu murtad sebagai satu perkara yang serius yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan melanggar sekatan Perlembagaan terhadap penyebaran sebarang agama lain ke atas penganut agama Islam dan lain-lain peruntukan dalam Perlembagaan. Manakala orang yang bukan Islam melihat isu tersebut dari aspek kebebasan memilih agama yang didakwa sebagai hak asasi seorang manusia. Isu penukaran agama kerap menjadi isu yang panas dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak, media massa, laman web sehingga ke pesanan ringkas atau SMS. Ketegangan tersebut selalu dileraikan melalui proses undang-undang dengan mahkamah membuat sesuatu keputusan mengenainya. Dalam sebuah masyarakat yang majmuk, sudah menjadi satu kelaziman setiap kaum yang beragama akan cuba untuk mengekalkan identiti masing-masing. Menurut Ghazali Basri (2004), apabila berlaku kecederungan satu-satu kaum menzahir dan memurnikan kehidupan beragamanya, ini akan mempengaruhi kaum lain berbuat perkara yang sama. Keadaan ini akan menimbulkan sikap persaingan yang membentuk pendekatan ekslusivatik keterlaluan dan boleh membawa kepada salah faham dan ketegangan. Ditambah lagi dengan hakikat keharmonian hidup beragama di kalangan kaum di negara ini tidak tulin kerana ia tidak berasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Ia hanya berupa selaput nipis yang bersahaja dan bersifat kosmetik. Walaupun terdapat kunjung mengunjung dalam waktu-waktu perayaan akan dapat mengeratkan hubungan kaum berlainan agama tetapi fenomena ini hanya berlaku di bandar. Sebahagian besar masyarakat baik Melayu, Cina, India termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak mungkin banyak tidak terlibat.
Sensitiviti dan ketegangan agama yang boleh menyebabkan ketegangan antara kaum boleh diselesaikan melalui berbagai cara. Antaranya dengan mempopularkan aliran dialog antara agama bagi mencari jalan penyelesaian sesuatu isu berbangkit, memberi kefahaman mengenai sesuatu kepercayaan, membangkitkan semangat toleransi beragama dan mencari titik persamaan walaupun memang terdapat perbezaan dalam aspek doktrin agama. Menurut A. Mukti Ali (1990), dialog merupakan pertemuan hati dan fikiran antara pemeluk agama. Ia adalah komunikasi antara orang-orang yang percaya pada tingkat agama. Ia adalah jalan bersama untuk mencari kebenaran dan kerjasama dalam projek-projek yang melibatkan kepentingan bersama (Shahrom TM Sulaiman, 2004). Jelasnya, dialog agama akan memberikan ruang untuk saling berinteraksi dan memberikan ruang untuk teman dialognya mengetahui mengenai kepercayaan agamanya agar wujud pemahaman, keharmonian dan saling hormat menghormati.
Sensitiviti dan ketegangan antara agama juga akan dapat dikurangkan apabila umat Islam sebagai penganut agama majoriti di negara ini mengambil tindakan proaktif menjadikan masjid bukan sekadar pusat beribadah untuk umat Islam tetapi menjadi pusat berkumpul masyarakat pelbagai agama untuk berkongsi maklumat dan bertukar pandangan. Masjid boleh dijadikan pusat penyebaran maklumat mengenai Islam dan masyarakat Muslim seperti mengadakan dialog, seminar serta projek kerjasama dengan pertubuhan agama lain. Peranan ini telah dibuktikan amat berkesan dalam mengeratkan hubungan antara agama seperti yang berjaya dilakukan oleh Pusat Harmoni, Masjid An-Nahdah, Singapura. Sejak Pusat ini dibuka dengan rasminya pada 7 Oktober 2006, Pusat ini telah berjaya menerima kedatangan 7,000 pengunjung yang datang bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam dan cara hidup masyarakat Islam di Singapura. Sembilan puluh peratus dari pengunjungnya adalah non-Muslim yang merangkumi ketua masyarakat serta pelajar yang datang untuk mengikuti latihan serta sesi pembelajaran secara interaktif. Pusat ini juga telah menubuhkan Kumpulan Muhibah yang antara lain objektifnya ialah membincangkan isu dan mencari penyelesaian untuk dikongsi bersama terutama dalam menangani masalah sosial (Hasliza Hassan, 2007).
Ketegangan antara kaum yang dicetuskan oleh isu-isu agama boleh dielakkan apabila kita kembali berpegang kepada nilai toleransi. Nilai ini bukan sahaja menjadi nilai utama Islam tetapi juga turut diajarkan oleh agama lain sekiranya mereka memahami secara mendalam kandungan agama tersebut. Sikap keterbukaan Konfusianisme umpamanya telah menjadikan tradisinya tetap bertahan kerana keterbukaannya terhadap tradisi spiritual lain. Pada asalnya, Konfusianisme merupakan budaya tempatan China, kemudiannya menjadi arus utama budaya China. Dari budaya China ia menjadi manifestasi spiritual Asia Timur dan kemudian menyebar luas ke Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika Latin (Tu Weming, Kompas, 23 Mei 2005). Nilai toleransi dalam ajaran Konfusianisme dapat dikesan melalui konsep ren (kemanusiaan). Konsep ren ditunjangi pula oleh nilai shu (altruisme/mengutamakan orang lain/memaafkan) dan zhong (dedikasi). Nilai shu membawa makna mengawal perasaan dan keinginan supaya tidak melakukan kepada orang lain perkara yang kita tidak ingin orang lain lakukan pada kita (Lun Yu, 15.24). Sifat ini membawa kepada sifat mulia hati, toleransi dan belas kasihan (Cheng Gek Nai, 1997:214). Ajaran Konfusianisme mengandungi empat etika iaitu etika diri, etika keluarga, etika bangsa dan etika komuniti dunia. Dalam etika mengenai komuniti dunia, Konfusius memperkenalkan pemikiran tentang datong (大同, dàtóng) atau Great Unity atau Kesatuan Agung (kesatuan sejagat) di mana dunia dikongsi oleh semua bangsa (tianxia wei gong). Datong menekankan sepuluh nilai, iaitu nilai demokrasi, cinta dan penyayang, saling mempercayai, solidariti sosial (kerjasama/kejiranan), baik hati (peka kepada kekurangan orang lain/alturisme), kesamaan dan keadilan, berjimat cermat, keselamatan, aman dan harmoni serta oder sosial (kadar jenayah yang kurang) (Cheng Gek Nai, 1997:218-219).
Agama Buddha juga turut mengakui bahawa ia merupakan satu agama yang berpegang kepada nilai toleransi. Hakikat ini telah disebutkan oleh Ken dan Visakha dalam tulisan mereka yang bertajuk Tolerance in Buddhism. Mereka menyatakan bahawa etika agama Buddha menggariskan sikap toleransi kepada agama lain dan pengikutnya. Pengajaran Buddha tidak membenarkan sebarang kekerasan dalam segala bentuk sama ada percakapan, tindakan atau pemikiran. Konsep Dhamma dalam Buddha disebut sebagai ehipassiko iaitu, yang mengajak seseorang untuk melihat ke dalam diri mereka sendiri. Menurut Ken dan Visakh, tidak ada konsep paksaan dalam agama Buddha. Pengasas agama tersebut iaitu Gautama Buddha telah mengajarkan pengikutnya mengenai jalan untuk mencapai pembebasan (iaitu pembebasan dari kesengsaraan apabila mencapai nirvana). Buddha mengajarkan tentang kepentingan mengenai kesabaran, toleransi dan tanpa kekerasan. Buddha pernah mengatakan “He who abuses his abuser is the worse of the two. To refrain from retaliation is to win a battle hard to win. If one knows that the other person is angry but refrain from anger oneself, one does what is best for oneself and the other person also. One ia healer of both”. Agama Buddha juga mengajarkan tentang toleransi kepada bangsa lain dan menentang diskriminasi perkauman serta sifat prejudis. Kehormatan atau kemuliaan seseorang itu tidak ditentukan oleh bangsanya tetapi ditentukan oleh perbuatannya. Menurut Buddha dalam kitab Sutta Nipata : “One is not low because of birth, nor does birth make one noble. Deeds alone make one low, deeds alone make one nobles” (dipetik oleh Ken dan Visakha, http://earthlink.net/).

Friday, September 12, 2008

The Art of War Sun Tzu dalam realiti politik

Dalam persaingan dan keghairahan parti-parti politik bagi mendapatkan sokongan, pengaruh dan kuasa, saya teringat kepada satu pemikiran strategi telah wujud dan terkenal di dalam sejarah negara China, iaitu seni peperangan Sun Tzu. Saya merasakan strategi yang telah dirangka oleh Sun Tzu dalam peperangan bila diamati-amati telah digunakan secara langsung atau tidak langsung dalam merangka strategi politik bagi mencapai matlamat perjuangan politik yang didukung. Apatah lagi politik adalah juga sama dengan peperangan yang memerlukan strategi licik bagi mengalah dan melemahkan kekuatan musuh. Pemikiran strategi Sun Tzu dapat dilihat melalui bukunya yang terkenal iaitu The Art of War. Buku ini amat kecil dan hanya mengandungi 6000 perkataan yang terdiri dari 13 bab. Dalam buku ini, Sun Tzu menekankan hal ehwal dao atau alasan moral dalam strategi-strateginya. Alasan moral yang ditekankan oleh Sun Tzu adalah untuk mewajarkan peperangan dan satu tindakan bagi menarik dokongan rakyat kepada peperangan tersebut. Tanpa alasan dao atau moral, maka misi peperangan tersebut tidak akan mencapai kejayaan. Jika kita lihat alasan moral yang dikemukakan oleh Sun Tzu bagi mewajarkan sebarang strategi dan tindakan adalah sama dengan strategi yang digunakan oleh ahli politik bagi menarik sokongan rakyat kepada perjuangannya. Lazimnya isu moral merupakan modal utama serangan parti politik kepada pihak lawan bagi menyungguhkan bahawa perjuangan mereka adalah benar, justeru itu rakyat perlu mendokong perjuangan mereka, kerana perjuangan mereka adalah murni bagi membuat perubahan terhadap kerosakan yang berlaku. Jika tidak Negara akan terjerumus dari kancah kehancuran.

Sun Tzu menyebutkan bahawa dalam peperangan yang penting adalah kemenangan dan bukannya masa yang lama dalam peperangan. Justeru itu, bagi mencapai matlamat peperangan, Sun Tzu memfokuskan cara-cara atau strategi bagaimana untuk memanipulasi musuh bagi mencapai kemenangan. Strategi yang digunakan oleh Sun Tzu ini juga sangat lazim digunakan hari ini, apabila ahli-ahli politik akan memanipulasi apa juga perkara yang boleh menonjolkan kelemahan pihak lawan dan memaparkan kehebatan mereka melalui ceramah, media massa dan sebagainya. Tujuannya adalah satu iaitu untuk meraih sokongan rakyat kepada perjuangan mereka.

Sun Tzu juga menggunakan tipu muslihat dalam strategi peperangannya. Petua peperangan baginya adalah penting kerana pasukan yang gagah mestilah diperdaya supaya ia kelihatan tidak berdaya. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan ejen-ejen prisikan yang berusaha mendapatkan maklumat mengenai kekuatan musuh dan memisahkan musuh daripada sekutunya. Tindakan lain yang perlu dilakukan ialah menyebarkan khabar-khabar angin dan menyebarkan maklumat yang mengelirukan pihak musuh, merasuah para pegawai lawan dan mewujudkan keadaan tidak puas hati dan tidak aman. Melalui tindakan ini, pasukan tersebut akan dapat mencapai kemenangan dengan mudah. Strategi yang digariskan oleh Sun Tzu ini mudah dapat dikesan dalam amalan politik hari ini terutama menjelangnya sesuatu pilihan raya. Kita akan mendapati berbagai berita angin dan spekulasi bertiup kencang mengenai berbagai perkara menyentuh soal peribadi, moral dan sebagainya sehingga orang ramai menjadi keliru, tidak dapat membezakan antara fakta dengan autar dan membuat pernilaian secara rasional serta berasaskan ilmu kadang-kadang lebih banyak emosi.

Akhirnya Sun Tzu turut menggariskan bahawa untuk memperolehi pasukan yang kuat dan berdisiplin, elemen semangat iaitu qi atau kebolehan dari semua aspek adalah elemen yang amat penting. Ini kerana qi adalah asas keberanian iaitu elemen yang digerakkan oleh niat dan kemahuan. Jika seseorang itu dimotivasikan dan dijaga dengan rapi, maka ia akan lebih bersemangat untuk berkhidmat. Jika tidak ada semangat, maka ia akan mudah dikalahkan oleh musuh. Elemen qi atau semangat atau kebolehan adalah factor penentu kepada kejayaan sesuatu perjuangan atau peperangan. Tidak kira apa juga strategi yang dirangka, jika elemen semangat ini tidak wujud dalam pendukung-pedukung perjuangan politik ia akan mudah dikalahkan oleh pihak musuh. Begitu juga jika elemen ini wujud dalam diri pendukung-pendukung perjuangan, maka apapun stategi yang direncana oleh pihak musuh untuk melemahkan mereka tidak akan berhasil. Semangat qi ini agaknya samalah seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun sebagai asabiyyah yang menentukan kekuatan atau keruntuhan sesuatu kekuasaan, kerajaan atau bangsa itu.

Wednesday, September 10, 2008

Panasnya..bahang politik negara

Selepas PRU ke-12, iklim politik Malaysia sentiasa panas. Satu demi satu isu dibangkitkan sama ada dari pihak parti pembangkang, di kalangan ahli UMNO dan di antara parti komponen BN sendiri. Habis satu isu maka timbul satu isu yang lain pulak. Bahang kepanasan politik Negara kadang kala sangat merimaskan terutama rakyat biasa yang tidak mahu kestabilan politik Negara tergugat. Apa saja keputusan pilihanraya sama ada memberi kejayaan yang memberangsangkan parti pembangkang atau kemerosotan sokongan rakyat kepada parti pemerintah perlu diterima dengan lapang dada dan rasional oleh semua pihak. Tunggulah lima tahun lagi sama ada untuk mewujudkan kerajaan baru atau mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti pemerintah. Tetapi premis ini adalah harapan semata-mata. Bagi ahli politik, kuasa adalah segala-galanya. Mereka perlu menggunakan apa jua cara, menggunakan kesempatan yang ada dan mengeksplotasi keadaan untuk mendapatkan kuasa. Kuasa adalah impian utama mereka. Dengan kuasa barulah mereka boleh melaksanakan ideology dan pendekatan yang dipegang dan dianuti. Dalam mencapai impian tersebut, rakyatlah yang akan menjadi mangsa. Mereka turut diheret dalam kancah pertelingkahan dengan para hulubalang politik terus memalu gendang dengan memainkan irama perkauman, isu-isu penyelewengan, moral, peribadi, agama dan apa saja isu yang boleh meraih sokongan rakyat kepada mereka atau menaikan kemarahan rakyat kepada pihak yang satu lagi. Rakyat terus menjadi mangsa dan ramai yang keliru mana satu fakta yang benar. Politik kadang kala telah menjadikan kebenaran menjadi satu kepalsuan dan kepalsuan menjadi satu kebenaran bergantung kepada kehebatan hulubalang politik memainkan gendang politik mereka. Rakyat mula rimas dengan situasi yang ada. Tetapi ada juga yang gembira dengan keadaan yang wujud terutama bagi golongan opportunist. Gelora politik yang wujud hari ini perlu diharmoniskan melalui kebijaksanaan politik parti pemerintah dan langkah-langkah yang tepat, iaitu dengan menggunakan ubat yang tepat berdasarkan penyakit yang sedang dialami setelah dilakukan diagnosis yang terperinci

Monday, September 8, 2008

Ada dua kisah yang hendak saya kongsikan bersama pembaca dalam blog ini mengenai kasihnya ibu.
Pertama, kedua-dua anak saya tinggal di asrama. Sudah hampir lima tahun mereka berada di asrama (untuk anak yang sulung). Maka dalam tempoh masa tersebut, setiap minggu kami akan mengagahi juga untuk berjumpa mereka walaupun 5 minit sekalipun. Kalau kami tak datang, mereka akan rasa sedih. Selagi tak datang selagi itu mereka berkali-kali telepon sama ada oleh adik atau abangnya. Bagi saya, tak perlulah kami datang tiap-tiap minggu, tetapi bagi isteri saya, macam mana ada hal pun tetap nak datang tengok anaknya. Itulah naluri keibuaan yang wujud dalam setiap insan bernama ibu. Setiap kali datang menzairahi anak, setiap itulah kami bawa berbagai makanan untuk bekalan mereka selama satu minggu. Setiap kali berjumpa, isteri saya akan mencium dan memeluk anaknya serta memberi kata-kata perangsang dan nasihat. Saya katakan kepada isteri, semasa saya tinggal di asrama semasa berlajar dahulu, saya tidak pernah menikmati apa yang dinikmati oleh kedua anak. Ayah hanya hantar sekali, itupun masa hari pertama pendaftaran untuk masuk ke sekolah, selepas itu tak pernah dijeguk, pandai-pandailah bawa diri. Semua ini berlaku kerana keadaan ayah yang susah. Dan saya amat memahami situasi ayah pada masa itu. Cuma harapan kita sebagai ibu bapa, mendoakan supaya mereka menjadi anak yang soleh dan mengasihi kedua ibu bapa mereka seperti mana mereka dikasihi.
Kedua, semalam sebelum kami balik ke Segamat, kami singgah menzirahi seorang nenek tua di sebuah rumah di BK. Menurutnya, umurnya telah mencapai 100 tahun. Semasa kami datang, dia baru selesai solat zuhur. Kami perhatikan, dia bercakap seorang diri, seolah-olah memberi nasihat kepada seseorang. Kini beliau telah uzur dan kerap hilang ingatan. Sering membuat sesuatu perkara yang mencabar kesabaran orang lain. Bila kami datang bersalaman dengannya, dia mengenali kami, kerana isteri sering berurut dengannya selepas bersalin. Isteri memeluk dan mencium dia. Dia mula bercerita tentang perlunya kita solat memahami tentang sifat Allah iaitu wujud, qidam dan seterusnya. Dia amat hafal sifat-sifat Allah tersebut satu persatu. Dia berkata kita perlu solat duha, tahajud untuk menambah bekalan untuk akhirat. Dia terus bercerita....orang lain kata dia telah nyayuk. Dia kini menumpang di rumah adiknya setelah tidak lagi berdaya menguruskan diri sendiri. Semasa dia sihat dahulu, dia pernah menjaga dengan baik saudara dan suaminya yang uzur termasuk seorang anaknya yang berumur 50 tahun yang mengalami down sindrom. Anaknya itu, dijaga dengan penuh kasih sayang, tidak pernah bercenggang dengannya walaupun sehari. Ke mana-mana dia pergi, dibawa bersama anaknya itu. Anaknya itu, makan disuap olehnya, hatta buang air besarpun, ibu tua yang uzur tersebut yang membasuhnya sehingga kini. Saya mengkagumi kasih sayang nenek tua tersebut. Itulah kasih sejati seorang ibu.
Nenek tua tersebut terus bercerita kepada kami. Katanya, dulu dia tinggal bersama anak perempuannya. Tetapi dia tidak ingin lagi tinggal bersama anaknya itu. Biarlah dia menumpang di rumah adiknya yang sama-sama telah uzur. Saya tanya, kenapa dia tak hendak tinggal bersama rumah anak perempuannya. Dia mengatakan, anaknya itu tidak dapat menjaganya dengan baik, ada masanya anaknya itu mengherdik dia hatta ingin memukulnya. Dia kerap kali menunjukkan macam mana anaknya nak memukulnya kerana kerenah ibunya itu. Dia sangat bersedih. Nampak di kelopak matanya berlinangan air matanya keluar...tetapi dia masih mengasihi anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya menjadi anak yang derhaka yang dimurkai oleh Allah. Itu sebab, sejak akhir-akhir ini dia sering bercakap seorang diri...seolah-olah menasihati anaknya supaya jangan derhaka kepadanya. Dia tidak hendak anaknya dimuraki Allah.
Saya tidak pasti sama ada cerita nenek tua tersebut benar atau tidak... Allah sahaja yang Maha Mengatahui hakikat sebenarnya....tetapi dia terus berulang-ulang menceritakan perkara yang sama kepada kami. Meskipun nenek tua tersebut mempunyai anak yang lain, namun dia enggan tinggal bersama anak-anaknya itu. Dia lebih suka tinggal bersama adiknya....
Dalam perjalanan pulang, banyak persoalan yang bermain dalam kotak fikiran saya. Kenapakah kita sanggup membiarkan ibu kita berkeadaan sedemikian. Kenapakah kita tidak dapat bersabar dengan kerenah ibu yang sudah uzur sedangkan dahulu semasa kita membesar, ibu dapat bersabar melayan kerenah kita.....benarlah kata pepatah, seorang ibu dapat menjaga ramai orang anak tetapi ramai orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Bagi saya, kerenah si ibu yang tua tersebut adalah ujian Allah kepada anak-anaknya. Selalunya anak gagal membalas kembali kasih sayang ibu terhadap mereka. Hanya segelintiran sahaja yang mampu menjaga ibu bapanya dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka terutama ketika mereka uzur dan memasuki fasal nyayuk. Kebanyakan yang saya jumpa, mereka kerap kali mengeluh dan mengatakan yang bukan-bukan kepada mereka.
Insifilah peringatan Allah ini "Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada Allah, dan Tuhanmu memerintah berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika seorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah berumur lanjut, maka sekali-kali janganlah kamu mengeluarkan perkataan yang kasar kepada mereka, jangan pula kamu herdik, tetapi hendaklah kamu selalu mempergunakan kata-kata yang mulia dan lemah lembut terhadap kedua orang tuamu itu. Rendahkanlah dirimu dengan penuh kecintaan kepadanya dan sebaiknya kamu selalu berdoa; "Wahai Tuhanku, berikanlah apalah kiranya rahmat-Mu kepada kedua orang tuaku, setimpal dengan jerih payahnya dalam mendidikku ketika aku masih kecil" (maksud ayat al-quran, al-Israa': 23-24)

Friday, September 5, 2008

Kini Ramadhan datang kembali. Hari ini adalah 5 Ramadhan, bermakna sudah 5 hari kita berpuasa. Alhamdulillah, sehingga hari ini, Allah masih memberi peluang untuk kita mengecapi nikmat dan keberkatan Ramadhan. Puasa seperti yang diajarkan oleh Islam bukan sekadar menahan diri dari makan, minum, menipu atau melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa, tetapi lebih luas dari itu. Seorang yang berpuasa seharusnya mencegah semua indera dan anggota badannya dari melakukan dosa. Mata umpamnaya harus dicegah melihat kepada perkara-perkara yang diharamkan oleh Alllah.Puasa tingkat yang istimewa atau khawas, bukan sekadar mencegah dirinya dari melakukan perkara-perkara yang disebutkan tetapi mengosongkan hati dari segala bentuk fikiran yang mencegahnya dirinya dari mengingati Allah. Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berpuasa selama sebulan Ramadhan, sekaligus mencegah mulutnya dari berbicara, mencegah teliga, mata, lidah, organ seksual dan bahagian tubuh lainnya dari dosa, ghibah dan perbuatan lainya dengan niat untuk mencapai kedekatan dengan Allah, Allah akan mengurniakan kepadanya kedekatan kepadaNya, sehingga dia akan menjadi salah satu sahabat Nabi Ibrahim, sahabat terpilih Allah".
Tetapi amat sedikit sekali daripada kita yang mencapai tahap istimewa tersebut. Kebanyakannya adalah puasa awam yang sekadar menahan dirinya dari lapar dan dehaga tetapi tidak berusaha mencegah anggota inderanya yang zahir maupun yang batin dari terus melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Apatah lagi mencapai darjat yang mampu menggosongkan hatinya dari perkara-perkara lain selain dari mengingati Allah. Justeru itu, kita masih mendapati pada bulan Ramadhan ini umpamnya, meraka yang terus berpakaian menjolok mata atau tidak menutup aurat sedangkan dia berpuasa. Sedangkan hakikat puasa itu adalah benteng untuk dirinya dari melakukan maksiat dan asas untuk meningkatkan nilai ketakwaan kepada Allah. Puasa yang tidak dapat membentengi diri seseorang dari terus melakukan maksiat adalah puasa yang sia-sia dan hanya dapat lapar dan dehaga semata. Sabda Rasulullah SAW:
"Allah berfirman: setiap amal anak adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: "Aku ini puasa". Demi Allah yang diri Muhammad berada dalam genggam-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kesturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya; apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya" (Sahih Bukhari, hadis dari Abu Hurairah r.a).

Wednesday, September 3, 2008

Blog ini sudah dua minggu saya tidak selenggara. Ini disebabkan kesibukan saya membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan IELTS yang diadakan di British Council di Kuala Lumpur. Lulus dalam Peperiksaan ini sekurang-kurangnya Band 5, adalah prasyarat yang dikenakan oleh Kementerian bagi pemegang biasiswa untuk dilepaskan menyambung pengajian mereka. Sebelum ini saya telah menjalani kursus metodologi penyelidikan selama seminggu diikuti pembentangan proposal di hadapan jawatankuasa Akademik, fakulti, semuanya telah berjaya saya tempuhi. Peperiksaan IELTS ini adalah peperiksaan yang sangat saya bimbangi, kerana sudah bebelas tahun tak ambil peperiksaan. Tambahan lagi, peperiksaan ini agak sukar, lebih-lebih lagi dengan latarbelakang saya dari pendidikan agama. Hendak atau tidak saya terpaksa tempuhi juga, kalau tidak, mungkin saya tak akan dapat pergi belajar. Saya membuat persediaan sendiri, mencari buku IELTS di peperiksaan, cuba-cuba menjawab soalan, berlajar melalui internet dan bertanyakan rakan yang sudah menghadapi peperiksaan ini. Namun saya masih tidak berkeyakinan dapat mencapai band 5. Hampir setiap malam bangun untuk solat hajat dan berdoa tak putus-putus kepada Allah supaya dianugerahkan kejayaan dalam peperiksaan tersebut. Tarikh 16 Ogos, saya menduduki peperiksaan tersebut dengan persoalan apakah saya boleh menjawab peperiksaan tersebut. Memasuki dewan peperiksaan melalui pemeriksaan dan prosedur yang sangat ketat yang belum pernah saya tempuhi sebelum ini. Saya bertawakal kepada Allah mudah-mudahan Dia memudahkan urusan saya. Selama beberapa hari selepas peperiksaan, masih berlegar-legar persoalan apakah saya mampu menjawab dengan betul, apatah lagi menulis karangan dalam bahasa Inggeris sesuatu yang sangat jarang saya lakukan sebelum ini. Saya berdoa, mudah-mudahan saya hanya ambil sekali peperiksaan ini kerana peperiksaan ini benar-benar memeritkan pemikiran saya. Tarikh 29 Ogos, benar-benar memberi makna tersendiri dalam kehidupan saya tentang makna "doa adalah senjata mukmin". Teringat saya dengan apa yang dikatakan oleh seorang ulama yang menyatakan "amat benar sekali seperti yang dikatakan bahawa hamba Allah harus berdoa kerana seluruh kewujudannya memerlukan Allah. Manusia pada hakikatnya adalah miskin, memerlukan dan tergantung, jika dia kehilangan rahmat Allah walaupun sesaat, dia akan hancur seakan-akan tidak pernah ada. Apapun yang datang kepada seorang hamba adalah kurniaan Allah... doa adalah komunikasi peribadi yang mesra dengan Allah. Ia adalah salah satu dari keadaan paling indah dan menyenangkan dari seorang hamba yang tidak akan pernah dapat digantikan dengan harga berapapun..."
Akhirnya saya berjaya melepasi tahap 5 band seperti yang disyaratkan. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah kerana memudahkan urusan saya. Kini, saya menghitung hari untuk menunggu bulan disember untuk kembali menjadi pelajar di peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Tak sabar rasanya untuk menempuhi cabaran baru, di sana sudah pasti banyak banyak ranjau yang perlu saya tempuhi untuk mengampai impian. Semakin banyak cabaran, semakin kita mengantungkan harapan kepada Allah bagi mencari jalan keluar atau mengungkai permasalahan dan persoalan.....

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...