Monday, September 8, 2008

Ada dua kisah yang hendak saya kongsikan bersama pembaca dalam blog ini mengenai kasihnya ibu.
Pertama, kedua-dua anak saya tinggal di asrama. Sudah hampir lima tahun mereka berada di asrama (untuk anak yang sulung). Maka dalam tempoh masa tersebut, setiap minggu kami akan mengagahi juga untuk berjumpa mereka walaupun 5 minit sekalipun. Kalau kami tak datang, mereka akan rasa sedih. Selagi tak datang selagi itu mereka berkali-kali telepon sama ada oleh adik atau abangnya. Bagi saya, tak perlulah kami datang tiap-tiap minggu, tetapi bagi isteri saya, macam mana ada hal pun tetap nak datang tengok anaknya. Itulah naluri keibuaan yang wujud dalam setiap insan bernama ibu. Setiap kali datang menzairahi anak, setiap itulah kami bawa berbagai makanan untuk bekalan mereka selama satu minggu. Setiap kali berjumpa, isteri saya akan mencium dan memeluk anaknya serta memberi kata-kata perangsang dan nasihat. Saya katakan kepada isteri, semasa saya tinggal di asrama semasa berlajar dahulu, saya tidak pernah menikmati apa yang dinikmati oleh kedua anak. Ayah hanya hantar sekali, itupun masa hari pertama pendaftaran untuk masuk ke sekolah, selepas itu tak pernah dijeguk, pandai-pandailah bawa diri. Semua ini berlaku kerana keadaan ayah yang susah. Dan saya amat memahami situasi ayah pada masa itu. Cuma harapan kita sebagai ibu bapa, mendoakan supaya mereka menjadi anak yang soleh dan mengasihi kedua ibu bapa mereka seperti mana mereka dikasihi.
Kedua, semalam sebelum kami balik ke Segamat, kami singgah menzirahi seorang nenek tua di sebuah rumah di BK. Menurutnya, umurnya telah mencapai 100 tahun. Semasa kami datang, dia baru selesai solat zuhur. Kami perhatikan, dia bercakap seorang diri, seolah-olah memberi nasihat kepada seseorang. Kini beliau telah uzur dan kerap hilang ingatan. Sering membuat sesuatu perkara yang mencabar kesabaran orang lain. Bila kami datang bersalaman dengannya, dia mengenali kami, kerana isteri sering berurut dengannya selepas bersalin. Isteri memeluk dan mencium dia. Dia mula bercerita tentang perlunya kita solat memahami tentang sifat Allah iaitu wujud, qidam dan seterusnya. Dia amat hafal sifat-sifat Allah tersebut satu persatu. Dia berkata kita perlu solat duha, tahajud untuk menambah bekalan untuk akhirat. Dia terus bercerita....orang lain kata dia telah nyayuk. Dia kini menumpang di rumah adiknya setelah tidak lagi berdaya menguruskan diri sendiri. Semasa dia sihat dahulu, dia pernah menjaga dengan baik saudara dan suaminya yang uzur termasuk seorang anaknya yang berumur 50 tahun yang mengalami down sindrom. Anaknya itu, dijaga dengan penuh kasih sayang, tidak pernah bercenggang dengannya walaupun sehari. Ke mana-mana dia pergi, dibawa bersama anaknya itu. Anaknya itu, makan disuap olehnya, hatta buang air besarpun, ibu tua yang uzur tersebut yang membasuhnya sehingga kini. Saya mengkagumi kasih sayang nenek tua tersebut. Itulah kasih sejati seorang ibu.
Nenek tua tersebut terus bercerita kepada kami. Katanya, dulu dia tinggal bersama anak perempuannya. Tetapi dia tidak ingin lagi tinggal bersama anaknya itu. Biarlah dia menumpang di rumah adiknya yang sama-sama telah uzur. Saya tanya, kenapa dia tak hendak tinggal bersama rumah anak perempuannya. Dia mengatakan, anaknya itu tidak dapat menjaganya dengan baik, ada masanya anaknya itu mengherdik dia hatta ingin memukulnya. Dia kerap kali menunjukkan macam mana anaknya nak memukulnya kerana kerenah ibunya itu. Dia sangat bersedih. Nampak di kelopak matanya berlinangan air matanya keluar...tetapi dia masih mengasihi anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya menjadi anak yang derhaka yang dimurkai oleh Allah. Itu sebab, sejak akhir-akhir ini dia sering bercakap seorang diri...seolah-olah menasihati anaknya supaya jangan derhaka kepadanya. Dia tidak hendak anaknya dimuraki Allah.
Saya tidak pasti sama ada cerita nenek tua tersebut benar atau tidak... Allah sahaja yang Maha Mengatahui hakikat sebenarnya....tetapi dia terus berulang-ulang menceritakan perkara yang sama kepada kami. Meskipun nenek tua tersebut mempunyai anak yang lain, namun dia enggan tinggal bersama anak-anaknya itu. Dia lebih suka tinggal bersama adiknya....
Dalam perjalanan pulang, banyak persoalan yang bermain dalam kotak fikiran saya. Kenapakah kita sanggup membiarkan ibu kita berkeadaan sedemikian. Kenapakah kita tidak dapat bersabar dengan kerenah ibu yang sudah uzur sedangkan dahulu semasa kita membesar, ibu dapat bersabar melayan kerenah kita.....benarlah kata pepatah, seorang ibu dapat menjaga ramai orang anak tetapi ramai orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Bagi saya, kerenah si ibu yang tua tersebut adalah ujian Allah kepada anak-anaknya. Selalunya anak gagal membalas kembali kasih sayang ibu terhadap mereka. Hanya segelintiran sahaja yang mampu menjaga ibu bapanya dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka terutama ketika mereka uzur dan memasuki fasal nyayuk. Kebanyakan yang saya jumpa, mereka kerap kali mengeluh dan mengatakan yang bukan-bukan kepada mereka.
Insifilah peringatan Allah ini "Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada Allah, dan Tuhanmu memerintah berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika seorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah berumur lanjut, maka sekali-kali janganlah kamu mengeluarkan perkataan yang kasar kepada mereka, jangan pula kamu herdik, tetapi hendaklah kamu selalu mempergunakan kata-kata yang mulia dan lemah lembut terhadap kedua orang tuamu itu. Rendahkanlah dirimu dengan penuh kecintaan kepadanya dan sebaiknya kamu selalu berdoa; "Wahai Tuhanku, berikanlah apalah kiranya rahmat-Mu kepada kedua orang tuaku, setimpal dengan jerih payahnya dalam mendidikku ketika aku masih kecil" (maksud ayat al-quran, al-Israa': 23-24)

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...