Tuesday, April 7, 2009

Untuk lebih memahami bagaimanakah reaksi orang Cina terhadap konsep Ketuanan Melayu membawa saya membaca buku Thock Ker Pong (2005) yang bertajuk Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina. Buku ini adalah adaptasi dari tesis Ph.D beliau yang bertajuk Politik Melayu dan Respons Masyarakat Cina Malaysia: Satu Kajian tentang Peranan Persatuan Cina (Huatuan), 1969-1999, tesis Ph.D, Universiti Malaya (2004). Buku ini sedikit masa dahulu menjadi popular apabila isu Ketuanan Melayu dibangkitkan dalam pentas politik negara.
Kajian ini amat penting untuk melihat respon Masyarakat Cina terhadap dominasi Melayu yang disamakan oleh pengkaji sebagai Ketuanan Melayu yang kemudiannya berevolusi menjadi hegemoni Melayu terutama selepas Malaya mencapai kemerdekan. Thock Ker Pong mengkaji perkembangan sejarah nasionalisme Melayu yang membawa kepada kemunculan UMNO sebagai nadi perkembangan politik Melayu dan mewarnai percaturan politik Negara ini. Thock melihat kejayaan orang Melayu melalui UMNO mendapatkan dominasi politik pada tahun 1948 memberikan kesan yang mendalam terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu. Pada tahun tersebut, orang Melayu telah memperolehi kekuasaan politik dari segi Perlembagaan yang sukar dicabar oleh kaum-kaum lain. Bahkan ia menjadi unsur-unsur asas kepada racial bargain yang sudah bermula pada tahun 1946-1948 dan bukannya pada tahun 1957. Memorundum Perikatan yang mengandungi cadangan mengenai Perlembagaan Persekutuan dikatakan memihak dan berpusat kepada orang Melayu seperti yang diperjuangkan oleh UMNO. Ini kerana pucuk pimpinan MCA ketika itu tidak memberikan persaingan yang hebat kepada UMNO dalam pengubalan perlembagaan kerana mereka dikatakan hanya mengambil kira kepentingan kelas mereka. Justeru itu, Perlembagaan yang dirangka dan dipersetujui menjamin kekuasaan politik Melayu dan tidak mungkin dicabar oleh kaum bukan Melayu. Penubuhan Parti Perikatan telah merealisasikan perkongsian kuasa antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain. Perkongsian kuasa tersebut disebut sebagai konsosiasionalisme ataupun politik permuafakatan. Bagaimanapun pada hakikatnya, parti UMNOlah yang lebih dominan dan berkuasa dari lain-lain parti semenjak Perikatan ditubuhkan.
Kajian Thock turut menyentuh berbagai faktor yang membawa tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah itu membawa kepada keperluan untuk mengubal dasar-dasar baru Negara bagi mengatasi pelbagai kesenjangan dalam Negara. Cara politik Tunku yang selama ini terlalu berkompromi dan melayan tuntutan bukan Melayu didapati tidak sesuai dalam pembinaan Negara-bangsa dari perspektif Melayu. Ketuanan Melayu yang menjadi teras perjuangan UMNO yang sebelum ini kurang mendapat tempat dalam agenda politik Tunku telah muncul sebagai suatu kuasa yang penting dalam menentukan orientasi dasar kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak. Kehegemonian politik Melayu memberikan keupayaan kepada kerajaan untuk menangani punca utama kepada Peristiwa 13 Mei dengan melaksanakan dasar intervensi secara meluas kerajaan dalam pembangunan Negara sehingga memperkenalkan berbagai pembaharuan dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Sementara itu, pelaksanaan dan penonjolan hegemoni Melayu menurut Thock telah menimbulkan dilema kepada parti politik Cina, khususnya MCA dan mendapat kecaman yang hebat dari Huatuan Cina. Tentangan dan kecaman tersebut bermula semenjak penggubalan Perlembagaan negara apabila tolak ansur yang ditunjukkan oleh MCA kepada UMNO dalam racial bargain seperti yang dihuraikan. Kegagalan parti MCA memperjuangkan hak dan kepentingan komuniti Cina yang mengasaskan tuntutan mereka di atas prinsip kesaksamaan mengakibatkan adakalanya parti tersebut sukar mendapat sokongan dari pengundi-pengundi Cina dan kadangkala menimbulkan krisis kepimpinan dalam parti tersebut. Kegagalan ini telah diisi oleh Huatuan (Persatuan dan pertubuhan sosial masyarakat Cina yang dilabelkan secara kolektif sebagai Huatuan) yang menjadi jurubicara, mata-telinga dan jaguh memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Negara ini di dalam pelbagai bidang. Mereka juga bertindak sebagai golongan pendesak yang efektif mempengaruhi pendekatan politik MCA dan pertimbangan kerajaan. Ada kalanya perjuangan mereka telah menimbulkan ketegangan antara kaum, ketidakstabilan politik dan reaksi keras dari kaum Melayu.
Kajian Thock telah membawa beliau merumuskan bahawa hegemoni Melayu yang ditunjangi nasionalisme Melayu dalam tahun 70an dan 80an telah menyumbang kepada penghakisan hak dan kepentingan masyarakat Cina. Kajian Thock Ker Pong lebih memperlihatkan bagaimana dominasi Melayu dan hegemoni Melayu yang diinstitusikan melalui Perlembagaan seperti kedudukan hak keistimewaan orang Melayu telah memberi kesan kepada kedudukan orang Cina di Negara ini. Kajian ini cuba memperlihatkan bahawa konsep Ketuanan Melayu adalah cabaran utama kepada survival kaum Cina dan orang Cina melihatnya dengan perasaan kewaspadaan dan kecurigaan.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...