Tuesday, February 17, 2015

Membentuk Generasi Masa Depan



MUKADIMAH


Pengurusan masa depan yang ditumpukan dalam perbincangan ini perancangan dalam membangun dan mengurus  manusia. Bagaimana bentuk manusia masa depan adalah bergantung bagaimana kita mencorak atau mencetak manusia masa kini. Sebab itu ada pendapat yang mengatakan untuk menghancurkan sesebuah negara maka kita rosakkan generasi muda mereka. Perpatah Arab ada mengatakan “pemuda adalah tiang negara”. Manusia yang menjadi fokus utama pembangunan, bukannya semata-mata kebendaan. Fokus ini yang membezakan Islam dengan Barat. Kejayaan dan keruntuhan masa depan negara dan ketamadunan bergantung sepenuhnya kepada pembangunan manusia masa kini. Pembangunan material akan wujud apabila manusia tersebut dibangunkan. Fokus utama kemajuan masa depan adalah pembinaan sumber manusia yang holistic/syumul/universal man/insan kamil. Matlamat utama pembangunan manusia itu mengikut Yusuf al-Qardawi adalah untuk membangunkan individu, keluarga, masyarakat dan Negara yang berakhlak/beriman bukan sekadar tenaga kerja yang baik. Pembangunan tersebut bermula dari tingkat individu dan seterusnya. Justeru itu, kita mesti mempunyai strategi, sistem, perancangan, visi dan misi serta alat ukuran yang jelas berasaskan world view Islam. Contoh dalam tingkat individu, doa Nabi Ibrahim supaya zuriat keturunannya terdiri daripada mereka yang mendirikan solat. Kenapa?. Begitu kiteria yang digariskan oleh Nabi Muhamad SAW dalam pemilihan jodoh diutamakan agamanya supaya anda bernasib baik (Fa alaika bizati Din taribat yadaka). Hadis pemilihan jodoh ini secara jelas memberi tahu kita bahawa untuk membina anak dan keluarga yang baik bermula dari perancangan yang lebih awal melalui pemilihan pasangan. Bukan setakat itu sahaja, untuk melahirkan anak yang soleh perlu dipastikan makanan yang kita makan adalah halal dan berkat bukan dari unsur yang haram. Kerana makanan itu akan membentuk baka keturunan manusia. Sebab itu kita berdoa. Allahuma bariklana fi ma razaktana wakina azaban nar.
PREMIS PEMBANGUNAN INSAN


Titik tolak atau premis pengurusan  masa depan hari bermula dari memahami tasawur Islam atau gambaran umum tentang Islam. Kegagalan memahami tasawur Islam dengan jelas akan memberi kesan kepada aspek pelaksanaannya. Kalau tasawurnya tidak betul maka akan lahir tindakan yang tidak tepat. Ada tiga aspek yang perlu kita faham mengenai tasawur Islam iaitu konsep tentang Tuhan, manusia dan alam. Konsep tentang Allah tercermin melalui kalimah tauhid yang kita ucap iaitu La Ilah ilallah. Kalimah tauhid disebut sebagai kalimah taiyibbah. Walaupun kalimah ini ringkas tetapi ia mempunyai implikasi yang besar kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Hadis nabi menyebutkan seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun dalam dirinya terdapat sebesar zarah keimanan kepada Allah.

Kalimah tauhid ini diibaratkan oleh Allah sebagai akar tunjang kepada pokok. Kekuatan pokok dalam menghadapi angin terletak kepada kekuatan akarnya. Semakin kukuh akarnya mengakar maka ia akan dapat menghadapani apa juga angin rebut hatta taufan sekalipun. Begitu juga bandingannya dengan manusia masa depan yang ingin kita bina harus dipasakkan ke dalam diri mereka kekuatan aqidah supaya mereka dapat menghadapi cabaran zaman.

Cabarannya ialah bagaimana kita berupaya menitis atau menitipkan kefahaman aqidah tersebut kepada generasi hari bukan sekadar faham tentang tauhid (uluhiyah, rububiyah) tetapi tauhid tersebut benar-benar membentuk diri atau mentransformasi, pemikiran dan tingkah lakunya sehingga Allah wujud dalam kehidupannya.

Cabarannya bagaimana kita menitipkan nilai Ihsan yang merasakan Allah sentiasa melihat tindak tanduk kita sehingga menjadikan kita insan yang baik dalam apa juga status dan kedudukan kita. Peranan tersebut dapat dilakukan melalui proses pendidikan. Makna sebenar dari pendidikan itu harus difahami secara menyeluruh. Terdapat tiga istlah yang digunakan oleh tokoh pendidikan Islam iaitu Tarbiyyah, Taalim dan Ta’dib. Ketiga prosesnya perlu dipentingkan dalam proses pendidikan dari segala peringkat. Malangnya tiga elemen penting dalam proses pendidikan tersebut semakin menghakis kerana kita hanya memfokuskan melahirkan tenaga kerja bukannya manusia.

Dalam tradisi pendidikan Islam tradisional, peranan guru amat penting. Ilmu disampaikan secara bertalaqi. Iaitu guru membimbing dan menitipkan ilmu kepada murid secara langsung. Islam telah menetapkan adab guru dengan murid. Tradisi tersebut telah dicontohkan oleh Rasulullah. Rasulullah bertalaqi dengan malaikat Jibrail ketika menerima wahyu dari Allah. Tradisi ini adalah jalan terbaik melahirkan manusia sehingga digunakan oleh institusi pendidikan barat.

Tumpuan utama untuk mengurus masa depan adalah manusia. Kalau kita mempunyai world view yang betul tentang manusia, maka kita akan dapat membentuk masa depan seperti yang kita impikan. Kita bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam. Kerana ajaran Islam telah memberi jawapan yang jelas kepada persoalan tentang makna dan matlamat kewujudan manusia di dunia yang fana’ ini. Islam telah memberi jawapan yang jelas kepada persoalan dari mana kita datang, apa matlamat penciptaan manusia dan ke mana akhirnya kehidupan manusia.

Kefahaman yang tepat mengenai hakikat insan itu akan dapat memberikan kita panduan dalam mengurus masa depan kita dengan baik. Manusia Barat mempunyai ketempangan dalam memahami hakikat insan. Ahli falsafah dan ahli sains mereka mendefinasikan manusia dari berbagai sudut yang sebenarnya jauh menyimpang dari hakikat insan yang telah diterangkan oleh al-Quran dan diajarkan oleh Nabi.

Ahli falsafah barat melupakan dimensi spiritual yang merupakan bahagian penting dari eksitensi manusia. Akibatnya, tamadun yang mereka lahirkan tempang dan melahirkan manusia sekularis, materialis dan pemuja keseronokan hidup. Ketempangan tersebut menyebabkan masyarakat Barat hari ini beralih kepada agama Timur termasuk Islam.

Berlaku perkembangan dirastik Islam di Barat. Misalnya di Jerman, populasi Islam mencecah 3.7 juta orang. Faktor utama kemasukan mereka ke dalam Islam disebabkan masalah hidup yang mereka hadapi di mana solusinya ada di dalam Islam. Dijangkakan menjelang 2050, separuh dari penduduknya adalah beragama Islam.

Dalam kita mengurus manusia untuk masa depan kita tidak boleh melupakan hakikat insan. Insan itu mempunyai dua sifat, iaitu sifat kemanusiaan (insani) dan sifat kehaiwanan (haiwani). Sifat insani itu merujuk kepada sifat fitrahnya iaitu taat, patuh, mengabdikan diri kepada Allah, membuat kebaikan, ihsan, dan lain-lain nilai akhlak yang baik. Sifat hawani adalah merujuk kepada keperluan untuk dia wujud di alam ini seperti keperluan kepada makanan, minuman, seks, harta dan lain-lain. Tetapi sifat ini mesti dipandu oleh agama dan nilai-nilai kerohanian. Kalau tidak manusia itu akan jatuh martabatnya menjadi hina lebih teruk daripada binatang. Firman Allah yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya, Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mahu mengambil pengajaran?” (al-Quran, al-Jaatsiyah:23).

Allah telah menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (At-tin, 4).
Bentuk sebaik-baik (ahsanin taqwim) kejadian manusia itu adalah meliputi unsur:

a. Unsur Badan/fizikal yang terdiri daripada unsur-unsur kebumiaan/ ketanahan atau elements of the earth. Maka jadilah manusia itu mempunyai tubuh badan dan mempunyai tuntutan-tuntutannya sendiri yang perlu ditunaikan seperti makan, minum, keseronokan dan lain-lain.

b. Unsur Roh. Unsur roh adalah datang dari Allah atau yang dinisbahkan kepada Allah yang menunjukkan ketinggian, kemuliaan dan keagungan ciptaan manusia berbanding dengan penciptaan makhluk yang lain. Firman Allah yang bermaksud; “Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan ) Aku, maka tunduklah kamu (malaikat) kepadanya dengan bersujud “(al-Hijr;29). Maka berdasarkan hakikat kesempurnaan kejadian manusia ini, maka Allah suruh para malaikat sujud kepada Adam, maka sujudlah malaikat kepada Adam melainkan Iblis yang enggan kerana merasakan unsur kejadiannya lebih mulia daripada Adam/manusia. Kewujudan Roh ini yang dinisbahkan kepada Allah adalah untuk membolehkan manusia memahami keimanan, kebenaran, ketaatan, kepatuhan kepada Allah. Kewujudan roh ini memerlukan manusia menunaikan amalan-amalan kerohanian bagi menguatkannya seperti solat, puasa, zakat, haji, berzikir dan lain-lain.

c. Unsur Nafs atau disebut sebagai jiwa atau kalbu atau hati dalam bahasa Melayu/soul dalam bahasa Inggeris. Unsur ini merupakan unsur batin manusia dan mencorakkan diri insan itu sendiri. Kalau jiwa/nafs ini baik, maka baiklah manusia itu dan jika ia rosak maka rosaklah manusia itu. Firman Allah yang bermaksud: “Maka sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan rugi atau gagalah orang yang mengotorkannya” (ash-Shams:7-10).

 

Hadis Nabi yang bermaksud: “Dalam jasad adam/manusia terdapat seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh badanya, iaitu hati”. Hati di sini merujuk kepada jiwanya. Oleh kerana jiwa adalah penentu atau pencorak kepada keperibadian atau akhlak manusia, maka Allah telah menyediakan cara/ramuan untuk manusia menyucikan hati seperti yang banyak diterangkan dalam kitab Ihya Ulumuddin, karya Imam al-Ghazali. Pembersihan hati atau tazkiyatul nafs daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, riak, dan lain-lain perlu dilakukan oleh orang Islam supaya akan lahir perbuatan yang baik kerana setiap perbuatan dan amal adalah berasal daripada hati/jiwa. Cara pembersihan hati adalah melalui ibadat, zikir, taubat, membaca al-Quran dan lain-lain.

 

d. Aqal. Dengan adanya roh, maka Allah telah menjadikan aqal yang membolehkan insan itu mengenal apa itu kebenaran dan kepalsuan, kebaikan atau kejahatan. Dengan adanya neraca “pengenal” ini, maka insan mampu mengenal berbagai macam jenis ilmu, mengembangkan berbagai jenis ilmu dan seterusnya membina tamadun dengan ilmu (Uthman El-Muhamady). Ilmu tersebut mempunyai martabatnya, ilmu yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah adalah ilmu mengenal Allah atau ilmu tauhid (aqidah). Menurut Umar As-Syaibani, manusia adalah haiwan yang berakal atau diberi kelebihan akal, atau yang boleh berfikir atau mampu membuat penerokaan atau mampu membuat rumusan. Al-Quran mendorong manusia untuk berfikir mengenai sesuatu dengan sedalam-dalamnya dan memerhatikan kejadian alam dengan membuat berbagai penyelidikan. Alam adalah tanda-tanda kewujudan Allah atau disebut “Ayatullah”. Tujuan akhir dari kajiannya terhadap alam adalah untuk sampai kepada kesimpulan bahawa segala sesuatu ini ada penciptanya iaitu Allah Yang Maha Bijaksana. Bahawa segala sesuatu yang dicipta oleh Allah tidak ada sesuatu pun yang sia-sia melainkan ada manfaatnya kepada manusia.

Unsur dan sifat insan yang telah dijelaskan di atas perlulah digarab dan dipentingkan dalam semua usaha dan strategi untuk membentuk manusia terutama dalam sistem pendidikan.
 

No comments:

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...