Tuesday, November 19, 2013

Statistik pageviews

EntryPageviews
11750
4600
May 13, 2008, 2 comments
3558
Jul 15, 2008, 1 comment
3470
2805
1784
1402
601


 

STRATEGI SURVIVAL MELAYU DAN BUMIPUTERA

Pendahuluan

Survival Melayu/Bumiputera bermaksud kelangsungan hak penguasaan dan kedudukan etnik Melayu yang terjamin di negara ini yang merupakan negara tumpah darah dan warisan nenek moyang mereka yang perlu dipertahankan. Survival Melayu mesti dipertahankan dan diperkukuhkan dalam politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Tanpa pengukuhannya, ia akan memberi kesan langsung kepada kestabilan politik dan perpaduan kaum. Peristiwa 13 Mei 1969 memberi indikator yang jelas, apabila etnik Melayu merasakan survival mereka tergugat dan digugat oleh etnik lain, ia mencetuskan rasa panik dan mewujudkan ketegangan hubungan etnik. Justeru itu, selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei, kerajaan telah mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dengan mengambil pelbagai langkah proaktif mengukuhkan survival Melayu/bumiputera di negara ini.

Politik

 Semenjak Perikatan/ Barisan Nasional ditubuhkan, kuasa Melayu yang diwakili oleh UMNO telah menjadi kuasa teras dalam pakatan politik yang dianggotai oleh pelbagai etnik. Melalui kuasa teras ini, walaupun etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO dalam Barisan Nasional, namun ia dapat menguasai kerajaan dan menjadi kuasa penentu. Melalui juga, kerajaan dapat merancang dan melaksanakan segala dasar dan program bagi memperkukuhkan survival Melayu di negara ini. Formula politik perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional telah dapat menangani ketegangan politik yang berlaku dan seterusnya dapat membantu menstabilkan keadaan politik negara. Perkongsian kuasa ini menjadi alat kepada pengurusan konflik yang baik di Malaysia dan ia diakui adalah antara paling berjaya dalam kalangan negara dunia ketiga (Jayum A. Jawan, 1994, 45).

 Walaupun semenjak merdeka, Barisan Nasional yang ditunjangi oleh etnik Melayu menguasai kerajaan tetapi keputusan pilihan raya ke 12 (2008) dan ke 13 (2013), memperlihatkan kerajaan BN telah hilangan sokongan daripada rakyat pelbagai etnik. Walaupun daripada kajian yang telah dijalankan, etnik Melayu masih mengekalkan sokongan mereka kepada UMNO tetapi sokongan etnik Melayu, khususnya generasi muda terhadap UMNO/BN mula terhakis. Pengundi muda etnik Melayu lebih cenderung menyokong parti pembangkang sama ada PAS, PKR atau DAP. Manakala pengundi etnik bukan Melayu, khususnya Cina lebih cenderung menyokong parti pembangkang seperti yang dizahirkan dalam PRU ke 12 dan 13.[1] Senario ini membimbangkan etnik Melayu kerana kemerosotan tersebut lambat laun akan menghakis kuasa Melayu dalam kerajaan.


Kebimbangan tersebut membawa sebahagian daripada etnik Melayu mengutarakan keperluan pembentukan kerajaan perpaduan yang membawa masuk parti-parti politik Melayu seperti PAS  ke dalam kerajaan bersama UMNO bagi mengukuhkan kuasa politik Melayu bagi menghadapi cabaran tuntutan etnik lain. Kedua-dua parti politik Melayu ini boleh mewujudkan kerja sama demi kepentingan Melayu dan Islam. Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan telah diutarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas PRU 12. Konsep kerajaan perpaduan ialah parti-parti kerajaan dan pembangkang akan membentuk satu pasukan pemerintahan dalam menguruskan pentadbiran negara tanpa perlu mengorbankan ideologi parti masing-masing (Amer Saifude Ghazali et al., 2011).
               Dalam PRU 13 (2013), BN sekali lagi mengalami kekalahan teruk terutama peralihan sokongan majoriti pengundi etnik Cina kepada parti pembangkang terutama DAP dan PKR. Senario tersebut digambarkan oleh banyak pengkaji dan penganalisis politik sebagai “tsunami politik”. Peralihan sokongan etnik Cina terhadap parti pembangkang  melahirkan persepsi dalam kalangan etnik Melayu bahawa undi etnik Cina tidak boleh diharapkan lagi untuk menyokong kerajaan. Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO disarankan lebih memberi perhatian terhadap tuntutan dan pembangunan etnik Melayu terutama di luar bandar yang rata-rata masih teguh menyokong BN. Kemerosotan prestasi BN tersebut juga telah melahirkan kembali cadangan supaya kerajaan perpaduan dapat direalisasikan dan keperluan mengukuhkan kembali perpaduan Melayu supaya nanti tidak menjadi seperti “Pak Kadok menang sorak tapi kampong halaman tergadai”.

 Ekonomi

Walaupun selepas merdeka pelbagai dasar dan pendekatan telah dilakukan oleh kerajaan untuk memperkukuhkan pecapaian ekonomi orang Melayu, namun sehingga kini statistik pencapaian ekonomi orang Melayu masih rendah tidak seperti yang diharapkan.[2] Pelaksanaan DEB walaupun berjaya mengurangkan kemiskinan dan ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara etnik, namun pelaksanaan telah dikritik kerana membawa kepada peningkatan kos menjalankan perniagaan disebabkan merentir (rent-seeking), kuasa naungan dan proses perolehan kerajaan yang tidak telus. Perkara ini membawa kepada penularan gejala rasuah (Model Ekonomi Baru, UPU).  Justeru itu, pendekatan baru yang telah digubal oleh kerajaan untuk memacu pencapaian ekonomi Malaysia adalah dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB). MEB mempunyai matlamat utama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang tahun 2020.

Walau bagaimanapun, MEB yang disusun oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) telah dikritik beberapa pihak kerana tidak mengutamakan agenda bumiputera. Setengah pihak menyifatkan dokumen MEB menyerang bangsa Melayu dan DEB. Agenda MEB dituduh tidak memberi keutamaan kepada bumiputera (Malaysiakini, 29 Mei 2010). Dokumen MEB menyebutkan bahawa penumpuan berlebihan pada pengagihan sumber berasaskan etnik  menimbulkan jurang keterpisahan dan konflik etnik (Model Ekonomi Baru, UPU). Walau bagaimanapun MEB ada menyebutkan agenda bumiputera dengan mensasarkan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah-yang 77.2 peratus daripada mereka ialah etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010 masih lagi meletakkan agenda Melayu/bumiputera sebagai teras strategik ketiga di bawah tajuk pembangunan sosio-ekonomi secara inklusif. Di bawah teras strategik ketiga ini, kerajaan tetap meletakkan agenda pembangunan dan penyertaan bumiputera dalam ekonomi Negara. Melalui agenda ini keutamaan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat bumiputera yang berpotensi dengan kerajaan menyokong peningkatan keupayaan syarikat tersebut secara optimum. Bagi memperkasakan agenda pembangunan bumiputera, melalui RMK 10, kerajaan telah mengenal pasti lima inisiatif untuk dilaksanakan iaitu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera melalui penginstitusian, mempertingkatkan pemilikan hartanah bumiputera, menambahbaik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan bumiputera, membangunkan guna tenaga professional bumiputera secara lebih tuntas dan menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera (Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2011-2015).

Satu lagi kebimbangan etnik Melayu ialah kebimbangan mereka terhadap implikasi pelaksanaan perjanjian perkongsian Negara Pasifik atau TPPA (Trans-Pacific Partnerships Agreement). Matlamat utama TPPA ialah untuk mewujudkan blok ekonomi Asia Timur yang berkiblatkan Amerika Syarikat bagi mengekang kuasa ekonomi Cina. Cadangan MITI untuk ikut serta dalam rundingan TPPA telah menimbulkan kebimbangan daripada orang Melayu mengenai kesannya terhadap ekonomi bumiputera dan Malaysia. Pelaksanaan TPPA dikhuatiri akan membunuh semua Industri Kecil Sederhana (IKS) kerana tidak dapat bersaing dengan standard yang ditetapkan oleh TPPA sendiri. TPPA dilihat sebagai serampang dua mata untuk menghapuskan DEB apabila peluang perniagaan diliberalisasikan (Utusan Malaysia, 21 Ogos 2013). Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengkritik TPPA kerana sebaik kerajaan menandatangani TPPA, ‘kaki dan tangan Malaysia akan terikat’. Ini kerana kerajaan tidak akan boleh lagi membuat kawalan modal dan apabila ia berlaku, Malaysia akan dijajah lagi (ABN News, 13 Julai 2013). Justeru itu, kerajaan disaran oleh pelbagai pihak untuk mengkaji secara mendalam kesan TPPA terhadap ekonomi Malaysia pada masa depan. Kesan daripada kritikan tersebut menyebabkan kerajaan tidak akan menadatangi perjanjian tersebut yang dijangkan akan ditanda tangani pada Oktober 2013 Utusan Malaysia, 23 Ogos 2013).

Pemarkasaan pendidikan
Peranan kerajaan dalam melindung dan mempertahankan survival Melayu/bumiputera telahpun dijalankan semenjak daripada pengubalan Laporan Razak 1956, sehingga kepada penggubalan Akta Pelajaran 1996 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Akta Pelajaran 1996 melalui Perkara 13 (1) telah menetapkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama sistem pendidikan. Kesemua dasar dan Akta pendidikan yang telah digubal adalah mengarah kepada pemarkasaan sistem pendidikan kebangsaan dan pengukuhan peranan bahasa Melayu sebagai medium utama sistem pendidikan dan alat penyatuan kaum serta pemarkasaan pendidikan agama sebagai asas utama survival ummah.
Dasar dan Akta pendidikan juga berperanan mengukuhkan survival Melayu/bumiputera. Misalnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-2025 mengariskan 11 anjakan. Di antara ajakan tersebut ialah memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Anjakan ini dapat dilakukan melalui memantapkan penguasaan Bahasa Malaysi. Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda yang lain. Manakala melalui anjakan melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai, PPPM menyatakan;

 “bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar”. 

Secara keseluruhannya PPPM bertujuan untuk meningkatkan mutu pelajaran di sekolah kebangsaan di mana bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu supaya standing dengan Negara maju dan menarik minat pelbagai etnik memasukinya. PPPM dilancarkan pada bulan September 2013. Walau bagaimanapun, sebelum PPPM dilancarkan, ia telah mendapat bantahan daripada Dong Zhong kerana mendakwa PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular. Kenyataan dan penolakan yang dibuat oleh Dong Zhong itu telah dikritik oleh banyak pihak.

Peranan NGO
Peranan NGO Melayu/Islam amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan yang dijalankan di Negara ini menguatkan lagi survival Melayu/Islam. Terdapat pelbagai NGO yang ditubuhkan dengan matlamat dan pendekatan perjuangan yang berbeza. Penubuhan pelbagai NGO tersebut menjadi golongan pendesak yang  kritis terhadap setiap perkara yang ada hubungannya dengan etnik Melayu. Mereka akan memastikan setiap langkah dan pendekatan yang dilakukan tidak merugikan atau membawa implikasi negatif terhadap survival Melayu. Misalnya, penubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa yang berasaskan kemelayuan yang disertai oleh orang Melayu tanpa mengira fahaman politik mereka. Matlamat penubuhan Perkasa adalah untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan. Justeru itu, Perkasa sentiasa bersifat kritis terhadap mana-mana pihak yang menafikan atau melemahkan hak Melayu/bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan. Misalnya, dalam isu penggunaan kalimah Allah, Perkasa menentang percubaan mana-mana pihak bukan Islam menggunakan kalimah dalam apa-apa penerbitan mereka. Begitu juga perkasa lantang mempertahankan kedudukan raja-raja daripada dicabar atau diperlekehkan mana-mana pihak.  Perkasa juga mempertahankan dasar-dasar pendidikan kebangsaan, terutama menyokong penuh pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Manakala Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula yang ditubuhkan pada tahun 1948 adalah untuk meningkatkan pendidikan dan menjaga kebajikan pelajar Melayu. Dalam mencapai matlamat penubuhannya, GPMS memperjuangkan agenda Melayu terutama dalam pendidikan dengan tidak melupakan peranannya memperjuangkan isu-isu Melayu seperti mempertahankan hak-hak etnik Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan. Misalnya, GPMS bersama dengan gabungan NGO-NGO Melayu mempertahankan kenyataan yang dibuat oleh YAA Dato’ Mohd Noor Bin Abdullah, Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia di Wacana Post Morterm PRU-13 : Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah pada 12/5/2013 dalam mempertahankan hak-hak Melayu dalam Perlembagaan. Pandangan beliau tersebut telah disalah tafsir sehingga dituduh bersifat perkauman. Gabungan NGO bersama GPMS telah mengeluarkan kenyataan antara lain berbunyi:

“kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Mohd Noor tersebut telah Kami Gabungan NGO Malaysia ingin mempersoalkan apakah motif Malaysiakini menyiarkan secara terpilih kenyataan-kenyataan yang diolah seumpama dan memberikan gambaran seolah-olah YAA Dato’ Mohd Noor Bin Abdullah bersikap rasis? Adakah seseorang itu menjadi rasis hanya kerana beliau menyatakan tentang sesuatu yang telah termaktub dalam Perlembagaan? Ataupun pihak yang menunggu peluang untuk merampas kuasa bagi meminda Perlembagaan itu yang bersifat rasis?”.

Peranan NGO Melayu dalam mempertahankan dasar-dasar negara dan Perlembagaan Persekutuan terserlah melalui Kongres Perdana Mengenai Pendidikan yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada 27 Ogos 2013. Kongres tersebut telah mengeluarkan 10 resolusi di antaranya memberi peringatan kepada kerajaan supaya berhenti menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu. Kongres mahu kerajaan berhenti melayan tuntutan tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka mendesak supaya Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal negara ini. Mereka meminta kerajaan jangan melayan tuntutan Dong Zhong yang dipercayai lebih menjaga kepentingan individu tertentu dalam pertubuhan berkenaan. MPM mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan golongan tertentu bermain dengan “bom jangka bersiri’ yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan. Mereka turut menuntut supaya pihak Kementerian menjadikan bahasa Melayu sebagai penghantar utama di institusi pengajian awam dan swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa Melayu (Utusan Malaysia, 28 Ogos 2013).

Peranan Islam

Semenjak kedatangan Islam ke Malaysia, Islam telah membawa perubahan besar kepada etnik Melayu. Transformasi besar-besaran yang berlaku kepada tamadun Melayu telah banyak dibahaskan oleh sarjana seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain. Perubahan yang besar tersebut telah mengangkat darjat etnik Melayu daripada bangsa yang tidak mempunyai ketamadunan yang tinggi hingga menjadi bangsa bertamadun. Semenjak daripada itu, Islam tidak dapat dipisahkan daripada Melayu sehingga definisi Melayu dihubungkan dengan agama Islam. Semasa Malaysia di jajah British, penindasan serta perencanaan penjajah yang tidak seimbang, telah menyebabkan masyarakat Melayu mula memikirkan survival bangsa. Agama telah menjadi tenaga pendorong dan penguat kepada kesedaran dan perjuangan orang Melayu. Agama Islam telah menjadi kekuatan untuk orang Melayu melindungi survival bangsa mereka daripada ancaman penjajah atau golongan lain. Bertapa kuatnya ikatan orang Melayu dengan Islam mendorong mereka memperjuang Islam menjadi menjadi agama bagi Persekutuan semasa proses pembentukan Perlembagaan Negara dilakukan. Natijah daripada perjuangan tersebut, Islam kemudiannya menjadi salah satu asas penting Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan yang diberi oleh Perlembagaan tersebut telah membolehkan ajaran Islam diperkukuhkan di Negara ini dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, pembangunan dan lain-lain. Islam telah menjadi asas kepada penyatuan Melayu, mendidik mereka menjadi bangsa yang tinggi semangat toleransi dan berbudi bahasa, menjadi tenaga yang dinamis mengerakkan kemajuan Negara dan menjadi bangsa berfahaman sederhana atau wasathiyyah. Tanpa Islam, Malaysia tidak akan mencapai ke tahap sekarang dan survival Melayu akan menghadapi masalah. Peranan yang dimainkan oleh Islam menyebabkan banyak percubaan telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk memisahkan Melayu daripada Islam dan mencabar kedudukan Islam yang telah diberikan oleh Perlembagaan. Sehingga kini percubaan tersebut berjaya ditangkis walaupun ia datang bertali arus dalam berbagai bentuk dan versi.

 

 

 



[1] Misalnya dalam PRU ke 12, BN kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen apabila memenangi 140 kerusi berbanding 82 kerusi oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS. Pakatan BN dilihat agak goyah apabila pakatan pembangkang hanya memerlukan antara 30-40 buah kerusi untuk membentuk kerajaan melalui majoriti mudah. Dalam pilihan raya 2008, prestasi UMNO agak merosot berbanding pilihan raya 2004 apabila memenangi 79 kerusi daripada 117 kerusi yang ditanding (67.5 peratus). (Amer Saifude Ghazali et al., 2011).
[2] Misalnya pendapatan kasar bulanan isi rumah purata Bumiputera pada tahun 2007 ialah RM3,158, 2008 RM3,624 berbanding Cina RM4,853 (2007), RM5,011 (2008), India RM3,799 (2007) dan RM3,999 (2008) (Perangkaan pendapatan dan kemiskinan isi rumah, UPU).

Thursday, November 7, 2013

Aplikasi Maqasid Syariah dalam Hubungan Etnik


 Maqasid al-Syari`ah ialah suatu disiplin ilmu yang menerbitkan suatu kaedah umum, menjelaskan kaedah-kaedah (qawaid fiqhiyyah) atau methode yang digariskan dalam ilmu usul al fiqh berkaitan dengan nas-nas syarak yang sesuai untuk diaplikasikan di sepanjang masa dan zaman justeru ia perlu difahami oleh setiap individu muslim.   Dengan kata lain maqasid atau objektif Syariah ialah objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.  Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah. 

Maqasid shariah terdiri daripada dua perkataan iaitu ”maqasid” dan ”syari’ah”.  Kedua-duanya mempunyai pengertian yang berlainan jika ia didefinisikan secara berasingn.  Namun sebagai satu perkataan ”maqasid al Shari’ah” didefinisikan sebagai berikut: Al-Ghazali mengatakan Maqasid syariah sebagai objektif dalam kehidupan manusia mencakupi lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan hartabenda.  Oleh itu apa sahaja yang terkandung dalam penjagaan lima perkara tersebut adalah maslahah (kebaikan) dan pengabaian terhadapnya membawa kepada mafsadah (kerosakan). Dr.Wahbah Zuhaili pula berpendapat maqasid syariah sebagai makna dan matlamat yang dapat diperhatikan di sebalik setiap atau kebanyakan hukum syarak.  Dengan lain perkataan ianya merupakan objektif syariah dan rahsia (hikmah) yang mana Allah SWT letakkan pada setiap hukum yang terdapat dalam syariah.


Para ulamak telah membahagikan maqasid syariah kepada lima:

 

1.     Memelihara agama

2.     Memelihara nyawa

3.     Memelihara kehormatan atau keturunan

4.     Memelihara akal

5.     Memelihara harta benda


Dalam kontek hubungan etnik, kelima-lima maqasid syariah ini boleh diaplikasikan bagi mengukuhkan perhubungan antara etnik.

            Menjaga agama dalam konteks hubungan etnik adalah memastikan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan hendaklah sentiasa terperlihara. Tidaklah boleh sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan Islam sebagai agama Negara diketepikan bagi mewujudkan faham kesaksamaan antara kaum dan agama. Ataupun atas dasar toleransi beragama, maka kita menerima konsep pluralisme agama/menyamakan semua agama atau melihat bahawa tidak ada mana-mana agama yang mempunyai kebenaran yang final atau not the sole and exlusive source of truth, justeru itu, sebahagian kebenaran itu juga dimiliki oleh agama lain (lihat penerangan mengenai pluralisme agama dalam Budhy Munawar-Rachman, 2010, 3).

Maqasid syariah, bermakna, umat Islam wajib berpegang kepada faham ekslusif (melihat Islam hanya satu-satunya agama yang benar) bukan inklusif (berpendapat semua agama adalah sama) demi menjaga kesucian dan ketinggian agama Islam di Negara ini. Dengan itu, fahaman pluralisme agama yang cuba diketegahkan oleh sesetengah pihak adalah bertentangan dengan kehendak maqasid syariah. Toleransi yang dibenarkan oleh Islam ialah hak anutan dan amalan kepercayaan agama selain Islam dibenarkan dalam konteks penganut agama itu sendiri. Mengikut Perlembagaan dan Enakmen Undang-undang Islam, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada penganut agama Islam (Perkara 11 (4), Perlembagaan Persekutuan). Umat Islam wajib menyakini bahawa tidak ada agama selain Islam yang diakui benar, melainkan hanya Islam itu satu-satu agama yang hak, tinggi dan akui sah oleh Allah. Adalah menepati maqasid syariah, apabila umat Islam melakukan apa saja tindakan bagi memastikan ketinggian dan kesucian Islam sentiasa terpelihara dan tidak membiarkan mana-mana anasir merobek kedudukan tersebut. Manakala penganut agama lain mestilah menghormati kedudukan yang telah diberi oleh Perlembagaan dan tidak mencabar kedudukan tersebut kerana sebarang cubaan untuk merungkai kedudukan itu akan membawa kepada konflik antara agama dan etnik.

Aplikasi maqasid syariah dalam hubungan etnik dari aspek mengawal nyawa ialah dengan mempastikan Islam sebagai agama keselamatan, kedamaian dan perpaduan dapat direalisasikan. Adalah menepati maqasid syariah apabila dasar-dasar kerajaan yang digubal mengarah kepada perpaduan antara etnik dan mengelakkan permusuhan. Ciri dan matlamat Islam di atas dapat dicapai melalui penyemarakan faham kesederhanaan atau wasthiyah sebagai satu pendekatan dalam apa juga bidang di Negara ini. Segala permasalahan yang berlaku sama ada yang melibatkan hubungan inter etnik atau intra etnik perlu dilakukan melalui mesyuarah, rundingan dan dialog berpaksikan kepada ilmu dan hikmah supaya tercapainya titik pertemuan dan persefahaman. Segala unsur provokatif  hendaklah dielakkan di samping sebarang pertelingkahan tidak harus dipolemikkan. Umat Islam seharusnya menjauhkan diri mereka daripada unsur-unsur yang membawa kepada pertumpahan darah dalam menyelesaikan sebarang pertelagahan inter etnik. Semangat Islam yang lebih menitik beratkan soal keharmonian dan perpaduan terserlah melalui Perjanjian Hudaibiyah yang dipelopori oleh Nabi Muhammad S.A.W. Perjanjian ini yang berlaku pada 6 Hijrah memaparkan sikap Islam yang cintakan keamanan dan berusaha mengelakkan peperangan serta memaparkan sikap toleransi Islam yang sangat tinggi.

Manakala aplikasi maqasid syariah dalam konteks hubungan etnik dalam aspek memelihara keturunan ialah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai usaha untuk membangun, memaju dan membebaskan diri daripada kemiskinan, kemunduran dan kejahilan agar sejajar dengan kedudukan etnik lain. Justeru itu, peruntukan Perlembagaan yang memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu adalah memenuhi maqasid syariah. Peruntukan tersebut bukanlah bermaksud untuk meletakkan etnik Melayu lebih agung daripada etnik lain atau mendiskriminasikan etnik lain. Peruntukan tersebut adalah kaedah yang dirangka dan dipersetujui bersama untuk memajukan etnik Melayu dalam aspek ekonomi apabila data-data ekonomi menunjukkan etnik Melayu jauh ketinggalan daripada etnik lain. Sekiranya peruntukan tersebut tidak ada, nescaya etnik Melayu akan terus berada dalam kemunduran. Walaupun orang Melayu mendapat keistimewaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, namun tidak melalui rampasan harta orang bukan Melayu sebaliknya mendapatkannya dari tambahan kepada ekonomi keseluruhan. Ketidakseimbangan pencapaian ekonomi jika tidak dibetulkan akan menghasilkan mafsadah yang boleh mencetuskan konflik etnik seperti mana yang berlaku di negara-negara lain. Sedangkan mafsadah merupakan perkara yang dituntut oleh Islam untuk menjauhinya.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...