Wednesday, February 6, 2013

INGATAN UNTUK PARA PEMIMPIN


Dalam al-Quran, Allah telah menceritakan kegagalan dan kemusnahan sesuatu kaum, kerajaan atau pemerintah dalam banyak surah. Tujuan Allah menceritakan kisah tersebut bukan sahaja untuk membuktikan kebenaran al-Quran tetapi untuk manusia terutama orang-orang Islam mengambil iktibar dari peristiwa tersebut. Allah jua yang memberi kekuasaan kepada golongan yang dikehendaki-Nya dan Dia juga mencabut atau meruntuhkan mana-mana kekuasaan yang dikehendaki-Nya. Tetapi Allah tidak mencabut atau melemahkan sesuatu kekuasaan secara sewenang-wenangnya tanpa ada sebab musabab. Jika sebab-musabab yang boleh meruntuh dan melemahkan sesuatu kekuasaan itu diulangi-ulangi oleh manusia dalam sejarah dan kehidupan mereka, maka ia pasti berakhir dengan keruntuhan atau kehilangan kekuasaan mereka. Dengan sebab itu, Allah menyuruh manusia sentiasa mengambil pengajaran dari sejarah dan apa yang berlaku dalam kehidupan nyata manusia. Kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sesal dahulu bermakna, menyesal dan mengaku akan kesalahan kita dahulu lebih baik, yakni beruntung, daripada tidak berasa kesal dahulu dan menanggung akibat buruknya kemudian.
    

Orang Melayu dalam sejarah mereka telah mengalami peristiwa sejarah yang menyebabkan mereka kehilangan kuasa sehingga dijajah oleh Barat selama hampir 450 tahun lamanya. Keruntuhan kekuasaan mereka bukan disebabkan jumlah mereka yang sedikit atau kedunguan mereka, tetapi disebabkan oleh penyakit lama orang Melayu iaitu PEPECAHAN. Sebenarnya dari fakta sejarah bahawa orang Melayu tidak dihancurkan oleh musuh luar mereka atau bangsa asing tetapi kehancuran atau kelemahan bangsa dan negara mereka adalah disebabkan oleh bangsa Melayu itu sendiri. Tangan-tangan mereka sendirilah yang menyebabkan bangsa mereka dijajah dan dihina. Pertelagahan sesama sendiri ketika ketiadaan musuh, merasa lebih selesa, mementingkan keuntungan diri sendiri dan menjual maruah bangsa adalah faktor kelemahan dan kehilangan dominasi mereka seperti pantun yang dinukilkan oleh Prof.HAMKA:

 

Jangan tergesa menjatuhkan hukuman,
Portugis Belanda jangan kutuki,
Jangan Inggeris lekas cemarkan,
Ketahui dahulu salah sendiri”
 
Adakah cita-cita akan tercapai,
Adakah dapat apa diingini,
Jika berbalik sebelum sampai,
Mengorbankan darah tiada berani”
 
Fikirkan pula penjual negeri,
Harapkan emas perak bertimba,
Untuk keuntungan diri sendiri,
Biar bangsanya menjadi hamba”
 

Apabila pertelagahan, perebutan jawatan dan kuasa menjadi prioriti utama orang Melayu, maka akhirnya maruah agama, bangsa dan negara akan  tergadai seperti kisah malang Pak Kaduk:


Ayuhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awang pulang kebuluran,

Ada isteri dibunuh,

Nyaris mati tak makan,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk,

Rumah runtuh, awak menumpang.


Ibnu Khaldun seorang ahli sejarawan dan sosiologi Islam terkenal abad ke 14 M telah mengingatkan kita bahawa faktor utama kekuatan sesuatu pemerintahan/kerajaan atau tamadun itu adalah semangat kekitaan (asabiyah) atau kesetiakawanan atau kecintaan masyarakatnya (patriotisme) terhadap agama, bangsa dan negaranya. Tetapi jika faktor ini mulai melemah dalam sesuatu masyarakat, maka lahirlah sifat-sifat pengkhianatan yang lambat laun pasti membawa kepada kehancuran sesuatu pemerintahan tersebut. Ditambah lagi apabila mula membiak dalam masyarakat tersebut sifat hasad dengki, adu domba, fitnah, kepuakan, kemewahan, kemalasan dan lain-lain sifat mazmumah, maka sifat-sifat ini menjadi pemangkin kepada kelemahan dan keruntuhannya.

Sifat kesetiakawanan, kesetiaan atau solidariti sosial akan mewujudkan kekuatan kepada sesuatu pemerintahan kerana ia menumbuhkan semangat pengorbanan harta, benda dan nyawa demi agama, bangsa dan negara. Sifat ini diperkuatkan oleh nilai-nilai agama yang memandu sifat-sifat tersebut ke arah sifat-sifat yang positif yang lain. Sifat-sifat ini kelihatannya semakin menipis dalam masyarakat
 

Pejuang-pejuang Melayu dahulu, motivasi utama perjuangan mereka adalah demi survival agama dan bangsa mereka. Hari ini nilai dan sifat-sifat tersebut telah mulai terhakis. Apa  yang menjadi perkiraan utama mereka adalah untuk mendapat kuasa atau kedudukan. Perhitungan  mereka adalah kebendaan, kemewahan hidup, projek dan prestij, bukannya kehidupan yang sederhana atau kerelaan untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas, jujur, mudah didampingi oleh rakyat dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakatnya. Tidak hairanlah begitu ramai yang ghairah melobi kepimpinan tertinggi untuk dipilih sebagai calon walaupun rekod kepimpinan mereka adalah buruk dan ditolak oleh rakyat. Sekiranya mereka tidak terpilih, mereka akan merajuk dan tidak membantu calon yang terpilih. Mereka mengamalkan budaya politik ‘menikam dari belakang’. Mereka juga mengamalkan budaya “ketam Melayu” (lihat Ibrahim Shah, 2007:7), iaitu menjatuhkan kaumnya sendiri yang mempunyai potensi untuk naik ke atas kerana perasaan hasad dengki dan bukan untuk membantunya.

 
Pemimpin-pemimpin seharusnya menonjolkan keperibadian yang mulia, hidup dalam kesederhanaan walaupun mampu hidup dalam kemewahan, mudah didampingi oleh rakyat, mendengar dan menyelesaikan dengan segera masalah rakyat serta menjadi pemimpin yang efektif. Era pemimpin yang hanya hadir dan mendampingi rakyat semasa musim kempen pilihan raya sudah berlalu. Rakyat telah muak dengan hipokrasi ini. Pendekatan sedemikian untuk menarik sokongan rakyat sudah lapuk. Rakyat hari ini mendambakan pemimpin yang berjiwa rakyat, memiliki keperibadian yang mithali, berpengetahuan, merendah diri dan bersedia berkhidmat untuk rakyat. Syarat utama pemimpin atau bakal pemimpin yang dilantik harus memiliki nilai-nilai kepimpinan yang tinggi dan diterima rakyat.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...