Wednesday, April 29, 2009

Pada setiap hari saya akan menghabiskan masa antara 4 hingga 5 jam di dalam bilik ini untuk membaca dan menulis. Saya perlu mendisiplinkan diri dengan waktu. Bagi saya menulis buku lebih mudah dari menyiapkan sebuah tesis Ph.D yang perlu menghasilkan satu sumbangan "ilmu baru" berasaskan sumber rujukan yang asal dan utama serta metodologi yang khusus. Ada ketikanya, saya menghadapi kebuntuan idea, kesukaran menganalisis maklumat dan penyusunan maklumat yang diperolehi. Namun perjalanan masih panjang.....kepada Allah tempat hamba merintih, memohon dipermudahkan perjalanan pengembara ilmu ini...

Saturday, April 25, 2009

Buku HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA: SEJARAH DAN ASAS PERPADUAN


BUKU INI BOLEH DIDAPATI DENGAN MENGHUBUNGI EN.AZMAN AHAMAD (PEGAWAI PEMASARAN UiTM PRESS) TEL: 0193598642


 

Tuesday, April 21, 2009

Pada sabtu yang lepas, kami sekeluarga ke pantai PD untuk bersantai seketika mengilangkan kejemuan sambil menghirup kesegaran tiupan bayu Selat Melaka. Tiba-tiba perhatian kami tertumpu kepada seorang lelaki yang berjalan dari satu tong sampah ke satu tong sampah bagi mencari sesuatu yang boleh dimakan. Sesekali kelihatan dia mengambil botoran air yang ditinggalkan oleh orang ramai, lalu diminum bagi menghilangkan haus dahaga. Kami pasti lelaki tersebut kelaparan. Namun, tiada sesiapapun yang menghiraukan kehadiran lelaki itu sambil menikmati bekalan masing-masing bersama keluarga. Mungkin semua menyangka bahawa lelaki itu "kurang siuman" melihat keadaan dirinya. Saya pun pada awalnya menyangka demikian.

Tiba-tiba timbul nilai keihsanan dalam diri. Tergamakkah kita membiarkan lelaki itu mengutip sisa-sisa makanan yang layak dimakan oleh anjing atau kucing sedangkan kita seronok menikmati makanan tanpa sekelumit perasaan simpati terhadap kemelaratan hidup lelaki tersebut.

Kemelaratan lelaki tersebut adalah lambang betapa kita sebenarnya semakin mementingkan diri sendiri dan mula hilang nilai keinsanan. Tiada siapa yang mengambil peduli terhadap nasib lelaki melarat tersebut. Mungkin kita berfikir, apa yang terjadi kepada diri lelaki tersebut mungkin salah dirinya sendiri, kemelaratan yang berpunca dari perbuatannya sendiri. Dia sendiri yang tahu kenapa dia jadi begitu....

Kita selalu mencari alasan demi alasan untuk tidak bersikap peduli dengan keadaan orang lain.

Syukur alhamdulillah, Isteri saya menyedarkan saya supaya tidak bersikap demikian. Dia tidak tergamak melihat lelaki tersebut memakan sisa-sisa makanan yang dibuang oleh orang ramai. Lalu saya berkejar mendapatkan lelaki tersebut sambil memberinya sedikit wang. Saya fikir lelaki itu kurang siuman. Tetapi saya tekejut apabila lelaki itu dengan nada perlahan mengucapkan terima kasih.

Rehlah seketika kami di PD cukup bererti, kerana kami bejaya melawan sifat mementingkan diri sendiri dengan memberikan sekelumit keperhatinan kepada orang lain.

Sebelum beredar, kami perhatikan lelaki itu membeli minuman dan makanan dengan duit yang kami beri, nampak keriangan di raut wajahnya. Tetapi esok, lusa dan tulat belum pasti lagi, mungkin lelaki itu meneruskan rutin hariannya berjalan dari satu tong sampah ke satu tong sampah untuk mencari sisa-sisa makanan buat pengalas perut....tak siapa peduli!


Tuesday, April 7, 2009

Untuk lebih memahami bagaimanakah reaksi orang Cina terhadap konsep Ketuanan Melayu membawa saya membaca buku Thock Ker Pong (2005) yang bertajuk Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina. Buku ini adalah adaptasi dari tesis Ph.D beliau yang bertajuk Politik Melayu dan Respons Masyarakat Cina Malaysia: Satu Kajian tentang Peranan Persatuan Cina (Huatuan), 1969-1999, tesis Ph.D, Universiti Malaya (2004). Buku ini sedikit masa dahulu menjadi popular apabila isu Ketuanan Melayu dibangkitkan dalam pentas politik negara.
Kajian ini amat penting untuk melihat respon Masyarakat Cina terhadap dominasi Melayu yang disamakan oleh pengkaji sebagai Ketuanan Melayu yang kemudiannya berevolusi menjadi hegemoni Melayu terutama selepas Malaya mencapai kemerdekan. Thock Ker Pong mengkaji perkembangan sejarah nasionalisme Melayu yang membawa kepada kemunculan UMNO sebagai nadi perkembangan politik Melayu dan mewarnai percaturan politik Negara ini. Thock melihat kejayaan orang Melayu melalui UMNO mendapatkan dominasi politik pada tahun 1948 memberikan kesan yang mendalam terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu. Pada tahun tersebut, orang Melayu telah memperolehi kekuasaan politik dari segi Perlembagaan yang sukar dicabar oleh kaum-kaum lain. Bahkan ia menjadi unsur-unsur asas kepada racial bargain yang sudah bermula pada tahun 1946-1948 dan bukannya pada tahun 1957. Memorundum Perikatan yang mengandungi cadangan mengenai Perlembagaan Persekutuan dikatakan memihak dan berpusat kepada orang Melayu seperti yang diperjuangkan oleh UMNO. Ini kerana pucuk pimpinan MCA ketika itu tidak memberikan persaingan yang hebat kepada UMNO dalam pengubalan perlembagaan kerana mereka dikatakan hanya mengambil kira kepentingan kelas mereka. Justeru itu, Perlembagaan yang dirangka dan dipersetujui menjamin kekuasaan politik Melayu dan tidak mungkin dicabar oleh kaum bukan Melayu. Penubuhan Parti Perikatan telah merealisasikan perkongsian kuasa antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain. Perkongsian kuasa tersebut disebut sebagai konsosiasionalisme ataupun politik permuafakatan. Bagaimanapun pada hakikatnya, parti UMNOlah yang lebih dominan dan berkuasa dari lain-lain parti semenjak Perikatan ditubuhkan.
Kajian Thock turut menyentuh berbagai faktor yang membawa tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah itu membawa kepada keperluan untuk mengubal dasar-dasar baru Negara bagi mengatasi pelbagai kesenjangan dalam Negara. Cara politik Tunku yang selama ini terlalu berkompromi dan melayan tuntutan bukan Melayu didapati tidak sesuai dalam pembinaan Negara-bangsa dari perspektif Melayu. Ketuanan Melayu yang menjadi teras perjuangan UMNO yang sebelum ini kurang mendapat tempat dalam agenda politik Tunku telah muncul sebagai suatu kuasa yang penting dalam menentukan orientasi dasar kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak. Kehegemonian politik Melayu memberikan keupayaan kepada kerajaan untuk menangani punca utama kepada Peristiwa 13 Mei dengan melaksanakan dasar intervensi secara meluas kerajaan dalam pembangunan Negara sehingga memperkenalkan berbagai pembaharuan dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Sementara itu, pelaksanaan dan penonjolan hegemoni Melayu menurut Thock telah menimbulkan dilema kepada parti politik Cina, khususnya MCA dan mendapat kecaman yang hebat dari Huatuan Cina. Tentangan dan kecaman tersebut bermula semenjak penggubalan Perlembagaan negara apabila tolak ansur yang ditunjukkan oleh MCA kepada UMNO dalam racial bargain seperti yang dihuraikan. Kegagalan parti MCA memperjuangkan hak dan kepentingan komuniti Cina yang mengasaskan tuntutan mereka di atas prinsip kesaksamaan mengakibatkan adakalanya parti tersebut sukar mendapat sokongan dari pengundi-pengundi Cina dan kadangkala menimbulkan krisis kepimpinan dalam parti tersebut. Kegagalan ini telah diisi oleh Huatuan (Persatuan dan pertubuhan sosial masyarakat Cina yang dilabelkan secara kolektif sebagai Huatuan) yang menjadi jurubicara, mata-telinga dan jaguh memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Negara ini di dalam pelbagai bidang. Mereka juga bertindak sebagai golongan pendesak yang efektif mempengaruhi pendekatan politik MCA dan pertimbangan kerajaan. Ada kalanya perjuangan mereka telah menimbulkan ketegangan antara kaum, ketidakstabilan politik dan reaksi keras dari kaum Melayu.
Kajian Thock telah membawa beliau merumuskan bahawa hegemoni Melayu yang ditunjangi nasionalisme Melayu dalam tahun 70an dan 80an telah menyumbang kepada penghakisan hak dan kepentingan masyarakat Cina. Kajian Thock Ker Pong lebih memperlihatkan bagaimana dominasi Melayu dan hegemoni Melayu yang diinstitusikan melalui Perlembagaan seperti kedudukan hak keistimewaan orang Melayu telah memberi kesan kepada kedudukan orang Cina di Negara ini. Kajian ini cuba memperlihatkan bahawa konsep Ketuanan Melayu adalah cabaran utama kepada survival kaum Cina dan orang Cina melihatnya dengan perasaan kewaspadaan dan kecurigaan.

Friday, April 3, 2009

Hari ini satu lagi peristiwa sejarah negara berlaku apabila Datuk Seri Najib akan mengangkat sumpah sebagai Pardana Menteri Malaysia Ke-enam Malaysia selepas diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong semalam. Pak Lah telah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri melalui satu proses peralihan kuasa yang tertib sebagaimana proses-proses peralihan kuasa yang pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Sumbangan Pak Lah terhadap negara akan tetap dikenang sebagai satu sumbangan yang besar dalam pembangunan negara. Beliau seorang pemimpin yang lemah lembut dan berfikiran terbuka, berlatar belakangkan pendidikan agama yang sudah pasti mempunyai gaya kepimpinan berbeza dengan Datuk Seri Najib yang lebih nampak ketegasannya menurut permerhati politik. Apa yang telah dilakukan oleh Pak Lah akan dinilai oleh sejarah dan menjadi nastolgia rakyat. Mudah-mudahan segala khidmat bakti yang telah ditumpahkan oleh Pak Lah akan menjadi amal soleh dan akan diingati oleh rakyat sekelian.
Saya telah membaca buku yang ditulis oleh Hary Miller yang bertajuk "Putera Diraja dan Perdana Menteri" yang diterbitkan pada tahun 1959. Buku ini menceritakan sejarah hidup Tunku Abdul Rahman sehingga tahun 1958. Apa yang hendak saya kongsikan dengan pembaca ialah bagaimana proses peralihan kuasa berlaku dari Dato' Onn Jaafar yang meletakan jawatan sebagai Presiden UMNO kerana menubuhkan parti baru, dan perlantikan baru Presiden UMNO.
Miller telah merakamkan proses peralihan kuasa tersebut seperti yang dicatat dalam bukunya...
"Pucuk pimpinan parti itu telah diserahkan kepada Tunku Abdul Rahman secara mengejut. Seperti orang kebanyakan ketika diberi kehormatan tinggi, kepada sahabat-sahabatnya, Tunku berkata, "saya tidak percaya diri saya layak meneriman kurniaan ini". Orang yang bersungguh-sungguh merayu kepada Tunku ialah Abdul Razak. Razak sendiri telah menolak cadangan supaya beliau menggantikan Onn. Kepada cadangan itu Razak menjawab, "saya tak dapat menerimanya kerana saya terlalu muda, dan saya tidak mahu menerimanya kerana saya tahu orang Melayu tidak akan menyokong saya kerana saya masih terlalu muda untuk memegang jawatan itu". Kemudian Tun Razak berkata, "Tetapi saya tahu ada orang lain yang boleh diserahkan tanggungjawab itu".

Bila orang bertanya, "Siapa?",

"Tunku Abdul Rahman", jawabnya. Tetapi ketika Razak dan kawan-kawanya datang hendak mendesaknya, Tunku sebaliknya telah mencadangkan supaya Razak menerima tugas Presiden itu. "Saya akan menyokong awak dari belakang", kata Tunku kepadanya.

"Tidak, Tunku, Tunku lebih layak. Saya boleh menyokong. Saya sanggup memimpin UMNO seluruh Pahang, di belakang Tunku".

Tun Razak terus mendesak Tunku untuk menerima jawatan tersebut. Tun Razak pada hari yang lain berkata kepada Tunku, "Tunku, kalau Tunku sanggup tegak di hadapan, saya juga sanggup tinggal tetap di dalam UMNO". Kata-kata ini menusuk hati Tunku. Keningnya berkerut, lalu menjawab "baiklah, kalau awak semua mahu saya juga, setujulah saya mengisi tempat Presiden yang kosong itu" (Miller 1959, hal.133-134).

Dialog tersebut telah dicatakan oleh Miller yang merupakan seorang wartawan terkenal ketika itu. Apa yang saya nukilkan di atas adalah gambaran sifat pemimpin Melayu di awal kemerdekaan yang mementingkan amanah dan tanggungjawab dari kepentingan peribadi. Ia menjadi neraca untuk kita membuat perbandingan dengan apa yang berlaku hari ini. Dalam hal ini saya teringat dengan teori Ibn Khaldun tentang "putaran sejarah".

Thursday, April 2, 2009

Sejarah masih releven

Pagi ini saya berkesempatan membaca tulisan Joseph M. Fernando yang bertajuk History and Constitutional Issues that have not been resolved yang dimuatkan dalam buku Sejarah Masih Releven, terbitan Karisma Publications Sdn. Bhd (2008). Sebelum ini Joseph telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk The Making of the Malayan Constitution (MAMBRAS), 2002. .

Dalam tulisan ini, Joseph memulakan tulisannya dengan isu relevensi sejarah dengan kehidupan hari ini dan bagaimana golongan muda hari ini yang tidak lagi meminati subjek sejarah kerana tiada apa yang dapat dipelajari dari sejarah dan nilai utilitinya berbanding kursus lain. Golongan antagonis sejarah melihat dengan kemajuan moderniti, tiada ada keperluan untuk bersusah payah untuk melihat apa yang telah berlalu. Bagi Joseph pembelajaran subjek sejarah mempunyai signifikannya seperti yang diungkapkan oleh Wilson, katanya "History is more than a wall of facts from the past that is in constant need of repair and expansion. History is a creative process that expands our horizons over time and shows how contingent our condition actually is..." (Joseph M. Fernando 2008, 36-37). Justeru itu, Joseph menyimpulkan bahawa sejarah sebenarnya masih releven berdasar beberapa faktor, antaranya sejarah telah memberikan kita pengetahuan tentang masa lalu dan membantu kita mengenal pasti dan memahami diri kita sebagai individu, keluarga, komuniti atau bangsa.

Joseph sterusnya menyentuh beberapa isu yang berkaitan dengan Perlembagaan yang masih belum selesai. Bagi memahami isu-isu Perlembagaan yang terus menerus dibangkit atau diperdebatkan oleh beberapa pihak, sejarah telah menyediakan panduan, rujukan, fakta atau rekod berhubung dengan persetujuan dan pemahaman yang telah dicapai oleh parti politik menjelang kemerdekaan negara. Rekod sejarah ini membolehkan kita memahami kerangka Perlembagaan. Permahaman tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Andrew Harding dalam bukunya "Malaysian Constitutional History" menyebutkan bahawa Perlembagaan tidak dapat diterang atau difahami dengan tepat tanpa merujuk kepada sejarah. Justeru, Perlembagaan Persekutuan tidak akan dapat difahami dengan sebenarnya tanpa memahami sejarah kerangka pembentukan perlembagaan tersebut. Beberapa kes yang menjadi pertikaian beberapa pihak dapat diselesaikan apabila rujukan kepada sejarah dilakukan, Umpamanya, kes Lina Joy, rujukan telah dibuat kepada kerja yang telah dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf Perlembagaan tahun 1957 (hal.38-39).

Menurut penelitian Joseph, terdapat beberapa isu besar Perlembagaan yang masih menjadi sumber pertikaian, antaranya: Isu Kontrak Sosial. Isunya di sini apakah wujud kontrak sosial di antara tokoh-tokoh kemerdekaan negara menjelang kemerdekaan?. Sekiranya wujud, apakah nature dan term sosial kontrak tersebut?.

Dalam kajian yang sedang saya lakukan, saya akan cuba untuk membuktikan berdasarkan fakta-fakta sejarah kewujudan kontrak sosial tersebut di kalangan pimpinan kaum Melayu, Cina dan India menjelang kemerdekaan negara. Walaupun saya mendapati istilah kontrak sosial tersebut tidaklah digunakan secara explisit. Term yang digunakan oleh ahli sejarah bagi menggambarkan persetujuan tersebut berbagai-bagai seperti "historic bargain", "racial bargain", permuafakatan antara kaum, "quid pro guo" dan ada juga yang menggunakan istilah kontrak sosial itu sendiri seperti yang diungkapkan oleh Prof. Cheah Boon Kheng dalam bukunya "Malaysia: The Making of a Nation" halaman 36-39. Istilah kontrak sosial itu sendiri adalah istilah sains politik yang mula dibincangkan oleh ahli falsafah Barat seperti Thomes Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau yang merujukkan istilah tersebut sebagai pemahaman hubungan antara individu dan negara yang dianggap sebagai asas penting dan limitasi kuasa negara yang absah (lihat, Dictionary of the Social Sciences, hal. 444-445). Dalam Sejarah Melayu, istilah itu disebut sebagai waad iaitu kesediaan kedua-dua belah pihak iaitu yang memerintah dan yang diperintah untuk mencapai muafakat dan membuat persetiaan. Waad ini dipanggil hari ini sebagai kontrak sosial (lihat, Abdul Rahman Embong , 2006, hal. 73).

Wednesday, April 1, 2009

Maaf...

Saya memohon maaf kepada pembaca blog ini kerana hampir dua bulan tidak dikemaskinikan. Ini tidaklah disengajakan kerana saya baru pindah ke rumah baru yang masih belum mempunyai talian tel. Akhirnya saya bertukar menggunakan celcom broadband dan terus melihat blog ini untuk dikemaskini.
Diam tak diam sudah tiga bulan saya menghabiskan cuti belajar, ada lebih kurang dua tahun sembilan bulan lagi...masa amat pantas berlalu...justeru, saya perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk menyempurnakan kajian
Rutin harian membaca dengan buku, mengadap komputer ada kalanya berjam-jam, menyusun maklumat, mencari maklumat di perpustakaan, Arkib Negara kadang-kadang rasa pitam melihat deretan buku di perpustakaan...
Saya kagum dengan penyelia kedua saya, seorang yang cacat penglihatan tetapi mampu mendapat ijazah PhD dalam bidang sejarah yang memerlukan pembacaan yang cukup banyak, meneliti dokumen-dokumen sejarah, sehingga sanggup pergi ke UK semata-mata untuk mencari bahan kajiannya. Beliau mempunyai mata hati yang cukup terang berbanding mata manusia yang celik. Beliau memberikan saya inspirasi untuk terus mendalami bidang sejarah yang tidak lagi diminati oleh generasi muda hari ini.
Selama tiga bulan saya meneroka sejarah negara banyak maklumat yang saya dapat. Saya meneliti perkembangan sejarah negara, terutama sejarah hubungan kaum sebelum Malaya merdeka. Saya cuba memahami faktor konflik antara kaum pra-merdeka dan bagaimana konsistennya Tan Cheng Lock memperjuangkan agar kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan negara ini sehingga mereka memperolehi hak kerakyatan tersebut melalui 'political bargain' dan tawar menawar sehingga hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu yang diperjuangkan oleh orang Melayu dapat diinstitusikan dalam Perlembagaan 1957. Saya cuba memahami pemikiran Tan Cheng Lock dengan meneliti surat-surat peribadi dan ucapannya yang masih tersimpan di Arkib Negara.
Saya juga meneliti perjuangan dan pendekatan politik dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagaimana Dato' Onn menukar pendekatan politiknya dari komunal kepada non-komunal dan akhirnya berpatah balik menjadi nasionalis Melayu apabila Tan Cheng Lock dan beberapa orang pemimpin bukan Melayu yang kuat mendokong penubuhan parti IMP beralih menyokong Tunku lalu menubuhkan Perikatan.

Saya juga cuba memahami bagaimanakah proses penyediaan Perlembagaan negara dan reaksi berbagai kaum mengenainya. Saya menemui laporan yang dikeluarkan oleh PAS mengenai respon mereka terhadap laporan suruhanjaya Reid yang menolak beberapa aspek dari Laporan itu yang tidak secara jelas mengungkapkan Kebangsaan Melayu, menjaga kepentingan Melayu termasuk hak keistimewaan Melayu, penolakan PAS terhadap prinsip jus soli yang digunakan dalam memberi kerakyatan bukan Melayu, ketegasan PAS untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara yang mesti dikuatkuasakan dengan segera selepas merdeka dan agama Islam mestilah menjadi agama rasmi dalam erti kata yang sebenarnya.

Saya juga menemui fakta bahawa orang bukan Melayu sebelum merdeka lagi sebahagiannya sudah menolak dan merasa bimbang hak keistimewaan orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan dan isu ini akan terus menerus menjadi polimik dan perdebatan antara kaum.

Saya turut meneliti ucapan Tan Siew Sin dalam Second Legislative Council pada 10 Julai 1957. Dalam Persidangan tersebut, Tan Siew Sin telah menyebutkan bahawa cadangan draf Perlembagaan tersebut merupakan satu kompromi yang adil (a fair compromise), walaupun ia tidak dapat memuaskan hati semua komuniti secara keseluruhannya. Walaupun perlembagaan ada peruntukan untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu yang dilihat oleh sebahagian dari orang Cina sebagai tidak adil dan kontradiksi dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan tetapi Tan Siew Sin mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya;

“I beg to differ from them. In the first place, the principle of the special position of the Malays has already been embodied in the Federation of Malaya Agreement. The Malays thefore cannot be expected to give up what they already have in the same way that they do not expect the other communities to give up their existing rights”[1].

Apa yang lebih penting lagi ialah hakikat bahawa orang Melayu dari segi faktanya memang ketinggalan dari segi ekonomi berbanding kaum-kaum lain. Justeru itu, objektif utama diadakan peruntukan ini adalah untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan apa yang mereka telah miliki. Peruntukan itu akan menolong orang Melayu supaya mempunyai kedudukan yang sama dari segi ekonomi dengan kaum-kaum lain. Berhubung dengan persoalan mengapa tidak secara eksplisit dalam Perlembagaan menetapkan pembatasan waktu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu tersebut, Tan Siew Sin memulangkan perkara tersebut kepada orang Melayu sendiri untuk menentukan bilakah waktunya yang sesuai untuk kedudukan hak keistimewaan itu dihapuskan, katanya:

“I would remind our critics that the Malays are proud and sensitive race. They also an intelligent race, and I know that they appreciate the significance and implications of this provision far better than most people realise. I have no doubt in my mind whatsoever that when the time comes, the Malays themselves will ask for its abolition, but this is a matter which we must obviously leave to them to decide”.[2]

[1] Tan Siew Sin, The Constitutional Proposals: A Fair Compromise, Ucapan yang dibentangkan dalam Second Session of the Second Legislative Concil pada 10 Julai 1957, dlm. J. Victor Morais (ed), Blueprint For Unity, Selected Speeches of Tun Tan Siew Sin, Malaysia Chinese Association Headquartes, 1972, hal. 153.
[2] Ibid., hal. 154.

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...