Wednesday, May 21, 2008

MEMAHAMI HAKIKAT INSAN


Perkataan “Insan” adalah berasal daripada akar kata perkataan Arab “nisyan” iaitu kelupaan. Akar kata perkataan insan yang mengaitkannya dengan “ lupa” menjelaskan mengenai tabiat atau sifat manusia itu sendiri yang selalu bersifat pelupa atau lupa. Lupa yang dimaksudkan di sini boleh ditafsirkan secara meluas. Sifat lupa yang utama ialah “lupa kepada janjinya yang dilafazkan semasa manusia berada di alam roh, iaitu untuk mengabdikan diri, menyembah dan mengEsakan hanya Allah sebagai “Rab” atau Tuhannya serta mengikuti segala perintahNya. Manusia telah berjanji untuk mengabdikan diri kepadaNya, tetapi apabila manusia dilahirkan di atas muka bumi, akhirnya janji yang diucapkannya telah dilupai oleh manusia. Manusia telah dibekalkan oleh Allah sifat fitrah atau potensi untuk mempercayai kewujudan Allah dan beragama.

Manusia juga lupa tentang misinya yang utama di atas muka bumi ini untuk melaksanakan tugas sebagai Khalifah Allah atau wakil Allah di atas muka bumi, iaitu mengabdikan diri kepadaNya.

Kelupaan manusia terhadap janji dan misinya di atas muka bumi ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya, peranan ibu bapanya sendiri yang mencorakkan agama dan keperibadian seseorang. Hadis Nabi yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah/bersih/suci maka ibu bapanya lah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Oleh kerana manusia itu bersifat lupa, maka Allah mengutuskan Rasul untuk mengembalikan sifat fitrahnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Allah juga menurunkan wahyu/al-Quran/agama Islam supaya ia mengingati kembali fungsi utamanya sebagai hamba Tuhan dan khalifah Allah.

Dalam al-Quran, Allah banyak menggunakan perkataan Insan apabila merujuk kepada manusia berbanding perkataan al-Bashar yang bererti “gembira”. Dalam al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan surah al-Insan yang diturunkan di Madinah yang mengandungi 31 ayat. Dalam surah ini Allah memperingatkan insan/manusia tentang proses kejadiannya, kemudian mereka akan diuji melalui perintah dan larangan-Nya serta diperingatkan dengan janji dan ancaman-Nya. Allah juga telah menurunkan kitab dan Rasul untuk memberi contoh kepada manusia bagaimana untuk melaksanakan semua perintah dan ajaran Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya. Bagaimanapun terdapat di kalangan manusia, mereka yang mensyukuri nikmat Allah dan beriman dan ada di kalangan mereka yang mengingkari ajaran Allah dan kafir kerana menurutkan kehendak nafsu mereka. Dalam surah ini juga, Allah telah menerangkan ciri insan yang baik (abrar), iaitu mereka yang sangat jujur, menepati janji walaupun janji (nazar) dia dengan Allah (yang dia sahaja mengetahui janji yang dibuat) dan suka membantu memberi makanan kepada fakir miskin, anak yatim dan tawanan perang. Insan/Manusia abrar (baik) ini dijanjikan oleh Allah akan syurga yang telah diterangkan dengan lanjut di dalam surah ini.

Insan itu mempunyai dua sifat, iaitu sifat kemanusiaan (insani) dan sifat kehaiwanan (haiwani). Sifat insani itu merujuk kepada sifat fitrahnya iaitu taat, patuh, mengabdikan diri kepada Allah, membuat kebaikan, ihsan, dan lain-lain nilai akhlak yang baik. Sifat hawani adalah merujuk kepada keperluan untuk dia wujud di alam ini seperti keperluan kepada makanan, minuman, seks, harta dan lain-lain. Tetapi sifat ini mesti dipandu oleh agama dan nilai-nilai kerohanian. Kalau tidak manusia itu akan jatuh martabatnya menjadi hina lebih teruk daripada binatang. Firman Allah yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya, Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mahu mengambil pengajaran?” (al-Quran, al-Jaatsiyah:23).

Allah telah menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (At-tin, 4).

Bentuk sebaik-baik (ahsanin taqwim) kejadian manusia itu adalah meliputi unsur:

1. Unsur Badan/fizikal yang terdiri daripada unsur-unsur kebumiaan/ ketanahan atau elements of the earth. Maka jadilah manusia itu mempunyai tubuh badan dan mempunyai tuntutan-tuntutannya sendiri yang perlu ditunaikan seperti makan, minum, keseronokan dan lain-lain.

2. Unsur Roh. Unsur roh adalah datang dari Allah atau yang dinisbahkan kepada Allah yang menunjukkan ketinggian, kemuliaan dan keagungan ciptaan manusia berbanding dengan penciptaan makhluk yang lain. Firman Allah yang bermaksud; “Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan ) Aku, maka tunduklah kamu (malaikat) kepadanya dengan bersujud “(al-Hijr;29). Maka berdasarkan hakikat kesempurnaan kejadian manusia ini, maka Allah suruh para malaikat sujud kepada Adam, maka sujudlah malaikat kepada Adam melainkan Iblis yang enggan kerana merasakan unsur kejadiannya lebih mulia daripada Adam/manusia. Kewujudan Roh ini yang dinisbahkan kepada Allah adalah untuk membolehkan manusia memahami keimanan, kebenaran, ketaatan, kepatuhan kepada Allah. Kewujudan roh ini memerlukan manusia menunaikan amalan-amalan kerohanian bagi menguatkannya seperti solat, puasa, zakat, haji, berzikir dan lain-lain.

3. Unsur Nafs atau disebut sebagai jiwa atau kalbu atau hati dalam bahasa Melayu/soul dalam bahasa Inggeris. Unsur ini merupakan unsur batin manusia dan mencorakkan diri insan itu sendiri. Kalau jiwa/nafs ini baik, maka baiklah manusia itu dan jika ia rosak maka rosaklah manusia itu. Firman Allah yang bermaksud: “Maka sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan rugi atau gagalah orang yang mengotorkannya” (ash-Shams:7-10). Hadis Nabi yang bermaksud: “Dalam jasad adam/manusia terdapat seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh badanya, iaitu hati”. Hati di sini merujuk kepada jiwanya. Oleh kerana jiwa adalah penentu atau pencorak kepada keperibadian atau akhlak manusia, maka Allah telah menyediakan cara/ramuan untuk manusia menyucikan hati seperti yang banyak diterangkan dalam kitab Ihya Ulumuddin, karya Imam al-Ghazali. Pembersihan hati atau tazkiyatul nafs daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, riak, dan lain-lain perlu dilakukan oleh orang Islam supaya akan lahir perbuatan yang baik kerana setiap perbuatan dan amal adalah berasal daripada hati/jiwa. Cara pembersihan hati adalah melalui ibadat, zikir, taubat, membaca al-quran dan lain-lain.

4. Aqal. Dengan adanya roh, maka Allah telah menjadikan aqal yang membolehkan insan itu mengenal apa itu kebenaran dan kepalsuan, kebaikan atau kejahatan. Dengan adanya neraca “pengenal” ini, maka insan mampu mengenal berbagai macam jenis ilmu, mengembangkan berbagai jenis ilmu dan seterusnya membina tamadun dengan ilmu (Uthman El-Muhamady). Ilmu tersebut mempunyai martabatnya, ilmu yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah adalah ilmu mengenal Allah atau ilmu tauhid (aqidah). Menurut Umar As-Syaibani, manusia adalah haiwan yang berakal atau diberi kelebihan akal, atau yang boleh berfikir atau mampu membuat penerokaan atau mampu membuat rumusan. Al-Quran mendorong manusia untuk berfikir mengenai sesuatu dengan sedalam-dalamnya dan memerhatikan kejadian alam dengan membuat berbagai penyelidikan. Alam adalah tanda-tanda kewujudan Allah atau disebut “Ayatullah”. Tujuan akhir dari kajiannya terhadap alam adalah untuk sampai kepada kesimpulan bahawa segala sesuatu ini ada penciptanya iaitu Allah Yang Maha Bijaksana. Bahawa segala sesuatu yang dicipta oleh Allah tidak ada sesuatu pun yang sia-sia melainkan ada manfaatnya kepada manusia.

Friday, May 16, 2008

POLIMIK KETUANAN MELAYU

Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 juga telah menyemarakkan kembali tentang kebimbangan orang Melayu mengenai penghakisan ketuanan Melayu di negara ini. Sememangnya isu tersebut tidak pernah padam dari perjuangan orang Melayu semenjak dari zaman berzaman lagi. Perjuangan orang Melayu sebelum dan selepas merdeka berkisar tentang bagaimana orang Melayu dapat mengekalkan ketuanan mereka dan kerungsingan mereka sekiranya menjadi ‘orang dagang’ di bumi sendiri. Apatah lagi apabila orang-orang Melayu masih berada dalam belenggu kemunduran sedangkan kaum lain sudah maju ke hadapan dan menguasai ekonomi negara. Terdapat percubaan untuk mendefinisikan ketuanan Melayu seolah sebagai satu fahaman rasis dengan melihat sesuatu bangsa itu lebih unggul atau agung dari bangsa lain. Ini dapat dilihat apabila Wikipedia mendefinisikan ketuanan Melayu sebagai “(Malay for Malay supremacy or Malay dominance) is the racialist belief that the Malay people are the "tuan" (masters) of Malaysia (en.wikipedia.org?wiki?Ketuanan_Melayu). Perspektif ini amat mengelirukan kerana orang Melayu tidak mendukung fahaman sedemikian dalam mereka mengungkapkan hak ketuanan Melayu. Hak ketuanan Melayu yang diperjuangkan bukanlah bermakna orang Melayu melihat bangsanya sebagai superior dari bangsa lain, justeru itu bangsa lain adalah wargenegara kelas kedua atau kelas bawahan yang boleh diperhambakan. Kenyataan ini ditegaskan oleh Datuk Dr. Abdul Malik Munip yang melihat konsep ketuanan Melayu tidak boleh diertikan sebagi dominasi Melayu atau Malay Supremacy yang membawa konotasi negative (Kongres Permuafakatan Melayu, 2-4 Mei 2008). Konsep ketuanan Melayu dalam konteks sejarah bermakna kedudukan Tanah Melayu sebagai milik Raja-Raja Melayu. Konsep ini membawa kepada pengiktirafan kepada kuasa Raja-Raja (Mohd Ayop Abd Razid, Mengembalikan kekuatan bangsa, Berita Harian, 14 Mei 2008). Konsep ini juga merujuk kepada hakikat sejarah bahawa orang Melayu adalah kaum asal negara ini yang telah diberikan beberapa hak keistimewaan yang telah diperkanunkan dalam Perlembagaan bagi menjamin survival bangsa tersebut Hak keistimewaan tersebut merupakan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pimpinan kaum sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Ia merupakan “penggantian beri-memberi” atau quid pro quo melalui Perkara 14-18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberi hak istimewa kepada kaum Bumiputera. Perkara ini ditegaskan oleh Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan diasaskan kepada kompromi yang telah dibuat antara orang Melayu dan kaum lain di Tanah Melayu, yang sebagai balasan bagi pemberian hak kerakyatan kepada kaum lain itu, peruntukan telah dibuat untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain (Ahmad Ibrahim, 1999:28). Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, kontrak sosial tersebut merupakan unsur penting dalam sejarah pembentukan bangsa dan Negara ini. Sebelum kedatangan penjajah Inggeris, Tanah Melayu diidentifikasikan dengan penduduk asalnya yang teras, iaitu bangsa Melayu. Apabila penjajah membawa orang Cina dan India secara berrami-ramai untuk menjadi tenaga kerja bagi manipulasi ekonomi penjajah itu sendiri, maka situasi demografi Negara ini secara langsung berubah ( Zinal Kling, 2008:93).

Thursday, May 15, 2008

ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG MENGIKTIRAF RASIONAL

Prof Ismail Raqi Al-Faruqi telah menjelaskan bahawa Islam adalah satu agama yang rasional berasaskan kepada aspek fundamental Islam, iaitu iman. Iman menurut al-Faruqi bukan bererti bahawa manusia "menyerah" atau "menerima sesuatu tanpa banyak soal" atau "mempercayai sesuatu tanpa keyakinan rasional". Iman juga bukan semata-mata satu perbuatan mempercayai atau kepercayaan, tetapi ianya adalah satu keadaan di mana pengetahuan agama telah menghasilkan satu keyakinan di dalam hatinya melalui apa yang diyakini sebagai kesan dari pertimbangan dan menimbangkan segala alternatif yang mungkin. Oleh kerana itu, menurut al-Faruqi sebelum seseorang itu beriman, ia seharusnya menganalisa data-data yang berkaitan dengan Islam berdasarkan kepada kemampuan akalnya dan bukannya dipaksa secara mental dan fizikal memeluk agama Islam (al-Faruqi, 1969:308).

Apabila Iman adalah satu keyakinan yang sungguh-sungguh terhadap sesuatu kebenaran dan kebenaran itu adalah sesuatu yang telah diterima dan difahami oleh akal fikiran, barulah terhasilnya satu "kepastian" yang secara mutlak bebas dari sebarang keraguan. Al-Faruqi telah memetik pandangan Imam al-Ghazali dalam melihat Iman sebagai asas yang penting Islam agama yang rasional. Ini disebabkan Iman menurut al-Ghazali, adalah tidak menafikan, kontradiksi atau menentang keterangan-keterangan akal, bahkan ianya bersifat menguatkannya, sepertimana yang dikatakannya (al-Faruqi, 1992:40).

I sought a cure for my doubt, but it was impossible except with rational evidence. However, no evidence stood unless it base on the primary sciences (metaphysics). And since the bases of these sciences were not secure, their conclusions and anything built upon them were equally insecure... But after (i.e, under, or with iman)... all these rational foundations (of science and metaphysics) became secure, rationally sound and acceptable, fully supported by their foundations in knowledge.


Keyakinan dan keimanan seseorang terhadap sesuatu kebenaran, "adalah terlebih dahulu ditentukan oleh sesuatu data dan kerana itu, "kehendaknya untuk mempercayai" adalah bermula dari sifar. Bagi al-Faruqi, tidak ada suatu perkarapun yang boleh mengatasi fikiran seseorang untuk membuat sesuatu keputusan sama ada "ya" atau "tidak" sebelum dibuat analisa dan penelitian yang mendalam melalui kemampuan fikiran. Seseorang Muslim tidak dituntut untuk menerima sesuatu kebenaran disebabkan beberapa orang atau sekumpulan orang telah menemui sesuatu kebenaran. Islam juga tidak menuntut seseorang itu untuk mempercayai sesuatu kecuali sekira dirinya sendiri berkemampuan untuk melakukan penilaian yang baru mengenainya. Dari analisa dan penilaiannya terhadap sesuatu pekara itu, dia akan menemui satu keyakinan yang patut diterima, rasional, jelas dan sesuai pula dengan realiti (al-Faruqi, 1969:308).

Di samping iman memerlukan akal untuk sampai kepada satu keyakinan terhadap sesuatu kebenaran, al-Qur'an juga telah menggunakan hujah-hujah rasional mengenai kewujudan dan Keesaan Tuhan. Di mana manusia melalui hujah-hujah al-Qur'an telah mendapat satu keyakinan secara rasional (Ibid.). Di samping itu, Islam juga mempercayai akal sebagai satu fakulti yang agung bagi ilmu pengetahuan dan hanya sebagai satu-satunya metode yang mungkin untuk menimbang segala isu-isu (Ibid.:309). Meskipun Islam meletakan akal ditempat yang tinggi,tetapi ianya bukanlah sebagai rasionalisme dalam fahaman Barat yang lebih ke arah mempertuhankan akal fikiran.

Menurut Seyyed Hossein Nasr rasionalisme dalam pandangan Barat haruslah dibezakan dengan rasionalisme mengikut pandangan Islam. Rasionalisme mengikut Barat, salah satu dari pengertiannya adalah percubaan untuk membina satu sistem yang terbuka yang mencakupi seluruh realiti dan ianya diasaskan kepada akal fikiran manusia semata-mata. Bagi Descartes, ultimate criterio atau ukuran realiti yang mutlak adalah ego manusia itu sendiri dan bukannya Divine Intellect. Rasionalisme dari pengertian ini harus dibezakan dengan peranan akal dalam Islam dan sikapnya yang menghormati logik. Logik adalah salah satu aspek kebenaran dan kebenaran (al-Haqq) adalah nama Tuhan. Akal adalah anugerah Tuhan yang memandu manusia untuk membenarkan doktrin kesatuan (tauhid) dan ianya merupakan kebenaran yang sangat mendasar dalam wahyu Islam. Penggunaan logik mengikut pandangan Islam adalah seperti tangga di mana ia memandu manusia dari dunia yang berbagai-bagai menuju kepada Tuhan. Kesan aplikasi logik dan pemikiran dalam Islam dapat dilihat pada masjid, dimana aspek simentri (kecantikan bentuk kerana bahagian-bahagian yang seimbang) dan keteraturannya adalah kesan dari kontemplasi atau renungan batin tentang kehadiran Tuhan. Dalam Islam tidak wujud dikotomi antara akal dengan wahyu atau sains dengan agama. Kesepaduan antara akal dengan wahyu mempunyai dasar di dalam al-Qur'an. Akal dalam Islam dapat memandu manusia ke jalan yang lurus (Sirat al-mustaqim) dan mencegahnya dari kesesatan. Dengan sebab itu, banyak ayat al-Qur'an menyamakan mereka yang sesat dengan mereka yang tidak menggunakan akal fikiran ( Lihat Seyyed Hossein Nasr, 1980:40-42.) .

Rasionalisme bagi al-Faruqi bukan memberi keutamaan kepada akal dari wahyu, tetapi menolak pertentangan di antara keduanya. Jika diteliti, rasionalisme sebenarnya mempunyai tiga peraturan, iaitu: Pertama, penolakan terhadap semua yang tidak bersesuaian dengan realiti; kedua, penafian terhadap pertentangan-pertentangan dan ketiga, keterbukaan kepada bukti-bukti baru. Melalui peraturan yang pertama, ia mencegah seseorang Islam membuat sebarang dakwaan yang tidak diuji dan disahkan oleh ilmu, walau bagaimana kecil sekalipun objek tersebut. Peraturan kedua pula mencegah seseorang dari pertentangan kecil dan kompleks. Jika wujudnya pertentangan, rasionalisme akan mengkaji pertentangan itu berulang-ulang kali, dengan andaian bahawa terdapat aspek yang terlepas dari pengetahuan. Peraturan yang ketiga, iaitu sifat terbuka kepada bukti-bukti baru akan dapat mencegah seseorang muslim daripada "literalisme", "fanatisme" dan kejumudan yang boleh membawa kepada konservatisme. Sifat ini akan menjadikan seseorang itu bersikap rendah diri dari segi intelek dan ia sentiasa mengucapkan Allahu a'lam atau Allah yang Maha Mengetahui, kerana dia yakin bahawa kebenaran itu lebih besar daripada apa yang dapat difaham olehnya (al-Faruqi dan Lamya al-Faruqi, 1992:77-78).

Wednesday, May 14, 2008

ANAK

Anak dijadikan oleh Allah sebagai manifestasi kasih sayang kedua ibubapanya. Anak juga penyeri rumahtangga, sumber ketenangan, kebanggaan, pengikat kasih sayang suami isteri dan warisan keturunan hingga akhir zaman. Allah menyebutkan dalam al-Quran, bahawa anak adalah salah satu perhiasan hidup di dunia. Firman Allah yang bermaksud: “dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan,binatang- binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga) (Al-Quran, Ali Imran:14). Anak juga dijadikan oleh Allah sebagai ujian kepada kedua ibu bapanya, sama ada mereka mampu mendidik dan memberikan kasih sayang yang selayaknya untuk anak-anak mereka. Ada ibu bapa yang dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. Anak-anak ini mentaati dan mengasihi kedua ibu bapa mereka. Mereka adalah qurata a’yun iaitu penyenang mata hati kedua ibu bapa melalui keperibadian yang baik dan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya. Berbahagialah kedua ibu bapa yang memiliki anak qurata a’yun ini. Merekalah nanti yang setiap masa tidak putus-putus berdoa mengharapkan Allah mengampunkan dosa-dosa kedua ibu bapa mereka dan dimasukan kedua ibu bapanya ke dalam syurga. Allah mengajar orang-orang beriman supaya sentiasa berdoa untuk mendapatkan anak yang soleh. Firman Allah yang bermaksud; “Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pimpinan orang-orang yang bertaqwa” (al-Quran, al-Furqan:74). Nabi Allah Ibrahim berdoa “Ya Tuhan, jadikanlah aku dan anak cucuku sebagai orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan terimalah doaku. Ya Tuhan kami, berilah aku ampunan dan juga kedua orang tuaku serta orang-orang beriman di hari terjadinya perhitungan (hisab)” (al-Quran, Ibrahim:40-41).
Allah menyebutkan anak sebagai fitnah atau ujian untuk kedua ibu bapanya. Allah mengingatkan kedua ibu bapa supaya jangan kecintaan mereka kepada anak-anak mereka sehingga sampai melalaikan mereka dari perintah-perintah Allah. Juga jangan sampai menjadi penyebab datangnya kemurkaan dan kutukan dari Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya bahawa hartamu dan anak-anakmu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar (Al-Anfal:28). Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka; dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni mereka maka sesungguhnya allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan; di sisi Allahlah pahala yang besar (at-Taghabun:14-14). Ayat ini member peringatan kepada kedua ibu bapa, ada kalanya anak yang kita harapkan menjadi qurata a’yun tetapi bertindak sebaliknya menjadi sumber nestapa untuk kedua ibu bapanya. Perbuatan mereka menyebabkan kedua ibu bapa sentiasa gundah gulana, ‘makan hati’, membuatkan kedua ibu bapanya sering menitiskan air mata dan kecewa. Allah mengajarkan kepada kita jangan mudah putus asa, berdoalah kepadaNya, bermunajatlah kepadaNya pada sepertiga malam bagi memohon hidayah untuk anak-anak mereka. Berdoalah kepada Allah supaya Dia mengampunkan dosa-dosa mereka dan maafkanlah kesalahan mereka walau sebesar mana dosanya sekalipun. Yakinlah akan sampai waktunya mereka akan berubah berkat doa kedua ibu bapa dan janganlah melaknat mereka. Jika kita melaknat mereka, akan sampai laknatan tersebut kepada mereka kerana Nabi bersabda “reda Allah terletak kepada reda kedua ibu bapanya”. Hadis Nabi “janganlah kamu mendoakan keburukan atas dirimu sendiri, anak-anakmu, para pembantumu dan atas harta bendamu. Jangan pula memanjatkan doa tersebut pada saat-saat mustajab sehingga doamu itu dimakbulkan”.
Allah telah mengajar umat Islam supaya memanggil anak-anak mereka dengan panggilan yang baik yang menterjemahkan kasih sayang. Melalui surah Lukman, Lukmanul hakim seorang hamba Allah yang salih telah memanggil anaknya dengan panggilan Ya Bunaya iaitu wahai anak kesayanganku!. Lukman merupakan seorang hamba Allah yang soleh. Beliau dikatakan berasal dari sudan. Pada satu hari tuannya telah menyuruh Lukman menyembelih seekor kambing dan meminta Lukman mengambil bahagian yang terbaik dari kambing tersebut. Maka Lukman telah mengambil lidah dan hatinya. Selang beberapa minggu, tuannya pula menyuruh Lukman mengambil bahagian yang terburuk dari kambing. Maka diambilnya lidah dan hati kambing jua. Maka ditanya kepada Lukman oleh tuannya, kenapa beliau mengambil lidah dan hati?. Jawab Lukman; “memang tidak ada yang lebih baik daripada kedua anggota itu jika sudah menjadi baik dan tidak ada yang lebih busuk daripada keduanya jika keduanya sudah menjadi busuk!” (lihat Tafsir Ibnu Kathir).
Islam telah memberikan perhatian yang serius terhadap pendidikan anak. Anak merupakan amanah Allah kepada kedua ibu bapa. Pendidikan anak ialah satu proses memindah dan mewariskan hidayah Allah kepada mereka supaya keimanan dan ketakwaan Allah dapat dikekalkan. Pendidikan adalah satu proses pembangunan anak manusia sedikit demi sedikit sehingga menuju kesempurnaan. Menuju kesempurnaan bererti sehingga anak boleh berpegang kepada syariat Allah secara berdikari, boleh bermuhasabah diri , mengawasi diri dan boleh mendidik dirinya sendiri.
Menurut Imam al-Ghazali, anak adalah amanah yang diletakkan kepada ibu bapanya. Hatinya yang bersih merupakan permata yang berharga, murni tidak berwarna. Kosong dari segala lukisan dan gambaran. Ia menerima segala apa yang akan dipahatkan kepadanya. Condong kepada apa yang didekatkan kepadanya. Maka kalau dia dibiasakan melakukan kebaikan dan diajar dengan perkara-perkara yang baik, ia akan tumbuh dan berkembang dengan baik serta bahagia hidup di dunia dan akhirat. Andaikata ia dibiasakan dengan perkara-perkara yang buruk, tentu ia akan sengsara dan hancur hidupnya. Maka dosa kesalahan tersebut terletak kepada pengasuh dan walinya.
Dalam al-Quran Allah member ingatan kepada orang yang beriman dengan Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apai neraka” (At-Tahrim:6). Perkataan “peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” menurut Saidina Ali bermaksud “ajarlah kebaikan kepada dirimu dan keluargamu. Menurut Imam Zamakhsyari pula iaitu dengan cara meninggalkan perkara-perkara maksiat dan melaksanakan ketaatan. Menurut Ibnu Jarir pula “suruhlah anak-anakmu melakukan yang diperintah Allah dan tinggalkan apa yang dilarang kerana demikian akan menjadi benteng daripada api neraka”.

Tuesday, May 13, 2008

NABI MUHAMMAD S.A.W MODEL PEMBINA MODEL INSAN TERUNGGUL


Pembinaan dan pembangunan modal insan menurut Islam adalah pembangunan manusia yang berasaskan kepada unsur kejadian manusia itu sendiri yang mengandungi komponen jasad atau fizikal, roh, akal dan jiwa atau kalbu.

Ini bererti membangunkan unsur Roh, fizikal, akal dan jiwa atau kalbu manusia secara sepadu dan holistik. Pembangunan unsur roh adalah melalui pemantapan aqidah, meningkatkan nilai ketakwaan dan kecintaan kepada Allah. Pemantapan aqidah adalah asas utama yang perlu diperkasakan. Kalau tidak, manusia itu tidak dapat menghadapi cabaran hidup dan persekitarannya. Pembangunan fizikal adalah menyediakan generasi yang sihat, cergas. Pembangunan akal adalah melalui sistem pendidikan, pembudayaan ilmu. Pembangunan jiwa adalah mendidik, menanam jiwa atau kalbu dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dan menjauhkan dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) melalui institusi keluarga, masyarakat dan sistem pendidikan.


Rasulullah telah berjaya membangunkan modal insan par excellence sehingga mampu merubah dan membangunkan sejarah baru manusia. Mengubah manusia dari aqidah jahilliah kepada Islam, dari persengketaan kepada keamanan, dari masyarakat liar/babarian/tidak bertamadun ke ketamadunan, dari kedunguan kepada keilmuan, dari perpecahan kepada perpaduan, dari kebencian kepada kasih sayang, dari aqidah syirik kepada mengEsakan Allah.

Rasulullah mendidik dan menanamkan aqidah yang kental/kuat di kalangan sahabat selama 13 tahun di Mekah. Hasilnya lahir personaliti yang mempunyai peribadi unggul (towering personality) yang bertindak sebagai agen of change atau transfomer kepada masyarakat, sejarah dan tamadun manusia. Akhirnya Islam berkembang sampai menguasai 2/3 dunia. Islam menjadi rujukan dalam semua aspek, seperti aspek nilai kemanusiaan, keilmuan dan ketamadunan.

Rasulullah mendidik para sahabat dengan model atau qudwah atau contoh ikutan yang terbaik. Sebelum menyuruh orang lain mengamalkan nilai-nilai tersebut, Rasulullah melaksanakan terlebih dahulu dalam diri dan keluarganya.

Allah telah mengiktiraf kejayaan pendidikan Rasulullah membentuk sebuah masyarakat Islam yang mempunyai keperibadian unggul/akhlak yang mulia sehingga masyarakat zaman Rasulullah disebut oleh al-Quran sebagai jilul Quran atau generasi al-Quran atau khairal umat (sebaik-baik umat) atau sebaik-baik kurun.

Kenapa generasi pada zaman Rasulullah disebut sebagai sebaik-baik kurun?. Ini disebabkan para sahabat Rasulullah adalah mereka yang memaparkan akhlak al-Quran, yang mencintai Allah dan Rasulnya lebih dari kecintaan kepada diri, keluarga dan hartanya sendiri. Lihatlah bagaimana pengorbanan Abu Bakar terhadap Rasulullah semasa peristiwa Hijrah sehingga sanggup menahan kesakitan kakinya akibat dipatuk oleh binatang berbisa tetapi tak sanggup mengejutkan Rasulullah sehingga Rasulullah tersedar kerana air mata Abu Bakar yang terkena pipi rasulullah. Lihatlah bagaimana pengorbanan Saidina Ali sehingga sanggup tidur di katil Rasulullah semasa Rasulullah mahu berhijrah ke Madinah. Lihatlah pengorbanan para sahabat Rasulullah yang meninggalkan kekayaan, anak isteri dan ibu bapa ketika diperintahkan berhijrah ke Madinah. Para sahabat pada malam harinya beribadah kepada Allah dan pada siang harinya menjadi para pejuang yang gagah berani mempertahankan Islam dari ancaman musuh-musuh Islam. Lihatlah bagaimana kasih sayang para sahabat sesama mereka. Mereka ibarat batu bata bangunan yang saling kukuh mengukuhi antara satu sama lain. Mereka mempunyai harta kekayaan tetapi, semuanya dibelanjakan di jalan Allah. Ringkasnya, semua nilai-nilai keindahan Islam terpancar di dalam kehidupan mereka. Tidak seperti umat Islam pada zaman ini, keindahan Islam terlindung atau tidak nampak kerana perbuatan umatnya yang tidak mencerminkan cara hidup Islam. Allah menyuruh mereka bersatu padu, tetapi mereka suka berpecah belah, bersengketa sesama sendiri dan sering berebut kuasa!.

SUMBANGAN ISLAM KEPADA TAMADUN BARAT

Umum sudah memahami bahawa tamadun Islam telah melahirkan ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang teologi, fekah, bahasa, falsafah, sains dan teknologi. Semasa tamadun Islam pada abad Pertengahan (sehingga abad ke 14 Masihi) berada di dalam kegemilangannya, Barat masih lagi dalam zaman kegelapannya. Barat ketika itu masih memusuhi sains, dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama Kristian, bahkan pengembang ilmu sains dan falsafah telah dituduh kafir dan dihukum bunuh, dibakar atau dipenjarakan. Semasa Barat berada dalam zaman kemundurannya, ketika itu beberapa orang sarjananya mula beralih ke Timur mempelajari ilmu falsafah, sains dan teknologi dari ulama-ulama Islam sama ada di Baghdad, Sicily, Andalusia dan di kota-kota Islam. Hakikat bahawa sarjana Barat giat berguru dengan ulama Islam telah didedahkan oleh Fuat Sezgin, seorang berbangsa Turki yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums. Buku ini telah membuktikan bahawa dunia Barat pada zaman Pertengahan giat meniru, menjiplak dan memplagiat karya ahli sains Islam. Kajian Sezgin membuktikan penjiplakan terlalu berleluasa hinggakan suatu dekri yang menghalang penjualan hasil tulisan sains kepada orang Kristian dikeluarkan di Seville seawal abad ke-12 Masihi kerana orang Kristian menterjemahkan tulisan tersebut dan menerbitkannya di bawah nama lain (Mohammad Ilyas, 2003:7).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi Islam ke Barat banyak dimainkan oleh kerajaan Islam yang berpusat di Sicily (pulau berhampiran Italy) dan Andalusia (Sepanyol). Pemerintahan Islam di Sicily bermula pada tahun 902 Masihi apabila Dinasti Aghlabid memerintah Sicily sehingga tahun 909 Masihi. Orang Islam memerintah Sicily telah menjadikan Palemo sebagai ibu negara. Pemerintahan Islam di Sicily mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Abu al-Futuh Yusuf ibn Abd Allah (989-998). Kegemilangan ini bertahan selama 189 tahun iaitu sehingga 1091 Masihi apabila seluruh Sicily dirampas oleh tentera Norman. Walaupun dikuasai oleh tentera Norman, umat Islam di Sicily masih kekal menerajui kebudayaan dan kesarjanaan di pulau itu. Roger II dan cucunya Frederic II menyukai orang Arab. Al-Idrisi (mati 1166 M) terkenal kerana karyanya tentang geografi telah berkhidmat di istana Roger II (Mohammad Ilyas, 2003: 45).

Andalusia pula telah dikuasai oleh orang Islam selama lebih kurang lapan abad bermula dari tahun 711 M hingga 1492 M. Tamadun Islam di Andalusia mencapai kemuncaknya di sekitar abad ke 9 M hingga 11 M. Terutamanya pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III dan puteranya al-Hakam II. Andalusia telah menjadi pusat tamadun dunia terutama dari sebelah Barat, yang menjadi tumpuan kegiatan kebudayaan, ilmu pengetahuan dan perdagangan. Universiti-universiti yang terdapat di sini telah menjadi tempat mahasiswa terutama dari Eropah berguru dengan ilmuwan Islam. Antaranya, Gelbert of Aurillac antara pelajar Eropah yang terkemuka datang belajar di Andalusia. Beliau telah mempelajari ilmu matematik dan astronomi yang pada ketika itu masih terlarang di Eropah. Beliaulah yang pertama memperkenalkan bentuk angka Arab Andalus yang dikenal dengan nama Huruf al-Ghubbar ke Eropah (Azam, 1990: 169-170).

Melalui Andalus dan Sicily hampir keseluruhan hasil karya klasik Greek/Yunani sampai ke tangan orang Eropah melalui teks yang telah diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sarjana-sarjana Islam Andalus. Justeru itu, sumbangan sarjana Islam dalam kelahiran tamadun Barat amatlah besar. Hampir keseluruhan ilmu yang berkembang di Eropah/Barat pada waktu itu mempunyai pengaruh kesarjanaan Islam. Sebagai contoh dalam bidang astronomi istilah-istilah Arab digunakan seperti Aldebaran, alidade, almanac, altair, azimuth, betelgeuse, deneb, nadir, zenith dan banyak lagi (Azam, 2000:128).Universiti Cardova di Andalus telah menarik minat para pelajar dari seluruh dunia. Ramai guru ternama mengajar di Universiti ini dalam bidang teologi, kesusteraan, matematik, astronomi, sains, perubatan dan falsafah. Andalus juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkenal seperti Abu al-Qasim Maslamah al-Majriti (1007) dari Cardova, Abu Ishaq ibn Yahya al-Zarqali dari Toledo, dikenali di Barat sebagai Arzachel yang menulis Jadual Toledo, satu jadual astronomi yang digunakan secara meluas, Jabir ibn Affah yang dikenali sebagai Geber yang membuat kemajuan penting dalam trigonometri sfera, Abu Ishaq Nur al-Din al-Bitruji yang dikenali di Barat sebagai Alpertraguis. Beliau cuba membetulkan kesilapan dalam sistem Ptolemy dengan memberikan penjelasan yang lebih baik tentang pergerakan planet (Mohammad Ilyas, 2003:46).

Di samping itu, al-Zahrawi melalui kitabnya al-Tasrif telah diterjemahkan ke bahasa Latin dan menjadi teks perubatan di universiti-universiti Eropah. Ibnu Sina yang merupakan tokoh falsafah dan perubatan Islam yang terkenal, banyak dari karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Barat. Antaranya, karya perubatan beliau iaitu Qanun fi al-Tib yang dianggap sebagai “Injil Perubatan” oleh sarjana Barat telah diterjemahkan sebagai Cannon dan dijadikan teks rujukan bidang perubatan di Eropah sehingga abad ke 16 M. Dalam masa 30 tahun terakhir abad ke 15 M, buku ini telah diterbitkan sebanyak 15 kali dalam bahasa Latin dan sekali dalam edisi Ibrani (Nourouzzaman, 1985:103).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi dari tamadun Islam terutama melalui medium Sicily dan Andalus telah dimangkinkan dengan kemunculan penterjemah-penterjemah masyarakat Barat Kristian sendiri yang aktif melakukan penterjemahan karya-karya ulama Islam ke dalam bahasa Latin. Antaranya Adelard dari Bath, seorang sarjana ulung Inggeris (1090-1159) yang lahir sebelum zaman Roger Bacon. Beliau telah menterjemahkan buku aritmetik karya al-Khawarizmi ke bahasa Latin. Melalui terjemahan ini orang-orang Barat mendapat dua manfaat besar iaitu mengenal angka Arab dengan sistem dan metodenya serta mengetahui ilmu pengetahuan muzik. Pengenalan angka Arab dan sistemnya yang dimulai dari kosong (sifar) hingga sembilan bukan sahaja memudahkan kerja hitung menghitung malah telah menyederhanakan penulisan angka-angka itu sendiri. Ini kerana sistem yang dikenali di Barat pada ketika itu ialah dengan menulis bilangan angka berkenaan (huruf Roman). Sebagai contoh, untuk menulis angka sejuta, mereka terpaksa menulis seribu huruf “M” kerana “Mille” bernilai seribu (Nourouzzaman, 1985:104-15).

Gerard of Cremona (1114-1187 M) yang berasal dari Itali telah menterjemahkan sejumlah 71 hingga 100 buah karya Arab ke bahasa Latin. Antara hasil karya Arab yang beliau terjemahkan meliputi bidang biologi, astronomi, falsafah, matematik, kedoktoran dan lain-lain lagi. Buku-buku yang terkenal beliau terjemahkan antaranya hasil karya al-Farghani dalam bidang biologi bertajuk al-Madkhal Ila hayat al-Aflak dan kitan al-Hayah karya Jabir ibn Aflah. Dalam bidang astronomi, beliau menterjemahkan buku al-Majasti karya Ptolemy menurut versi al-Farghani. Dalam bidang Matematik, karya al;Khawarizmi iaitu Hisab al-Jabr Wa al-Muqabalah, manakala bidang perubatan karya al-Razi bertajuk Kitab al-Mansuri telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan tajuk Almanzores (Nourouzzaman, 1985:103). Penterjemah Barat yang lain lagi antaranya Micheal Scott (1175-1253 M), Robert of Cester (1110-1160 M), William of Lunis, Philip of Tripoli dan lain-lain lagi.

Ringkasnya, dengan banyaknya aktiviti penterjemahan ini, maka ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi mulai berkembang ke Eropah. Masyarakat Eropah.yang berada dalam zaman kegelapannya pada abad Pertengahan telah beransur-ansur menuju ke zaman Renaissance yang berlaku mulai abad ke 14 M sehingga abad ke 16 M. Renaissance bererti “zaman kelahiran semula semangat pembelajaran ilmu” di Eropah bermula di Itali yang sebenarnya telah disumbangkan oleh sarjana dan ulama Islam. Tetapi malangnya, perkembangan ilmu sains dan teknologi di Barat tidak seperti perkembangan ilmu tersebut dalam tamadun Islam. Ini kerana, perkembangan ilmu sains di Barat berlaku setelah ilmuwan mereka mensekularkan ilmu atau memisahkan ilmu dari agama sehingga ilmu tersebut menafikan tuhan dan agama sehingga melahirkan berbagai fahaman ateis dan materialisme dalam perkembangan ilmu tersebut di Barat. Akhirnya, tamadun Barat Moden muncul dengan sikap permusuhannya terhadap agama, kerana agama Kristian pada awal kemunculan semangat penerokaan sains oleh sarjana Barat telah memusuhi ahli-ahli sains mereka. Tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam perkembangan ilmu sains Islam, kerana perkembangan ilmu-ilmu tersebut dimotivasikan oleh al-Quran, Hadis dan dalam kerangka agama. Mengenai realiti penentangan Gereja terhadap ilmu sains, Yusuf al-Qardhawi telah menjelaskan:

“Pihak gereja telah mendirikan mahkamah untuk memerangi ilmu (sains), menghakimi akal pemikiran, memerangi penemuan penciptaan dan semua yang baru. Lalu ia melakukan perlakuan-yang belum pernah wujud dalam sejarah sama sepertinya-penentangan terhadap ilmuwan, pemikir dan pereka cipta barang baru di bidang ilmu pengetahuan. Mereka dibunuh dan kemudian dibakar “ (Al-Qardhawi, 1999:24).


Satu fakta sejarah yang juga tidak dapat dinafikan lagi oleh masyarakat Barat bahawa pada awal zaman Pertengahan, institusi-institusi pendidikan Islam telah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan institusi pendidikan di Barat terutama melalui Andalus (Spanyol), Sicily, Perancis dan Itali. Seluruh institusi pengajian tinggi Barat yang kemudiannya berkembang menjadi universiti-universiti Barat moden mempunyai hubungan rapat dengan sistem madrasah Islam. Istilah-istilah seperti Chair yang digunakan di universiti-universiti Barat adalah terjemahan langsung daripada istilah Arab iaitu kursi. Sistem pendidikan Islam telah mempengaruhi perkembangan institusi pendidikan tinggi Barat yang bermula pada zaman Pertengahan seperti Universiti Salamanca, Universiti Paris, Universiti Bologna, Universiti Oxford dan Cambridge yang mempunyai banyak persamaan dengan sistem pendidikan Islam klasik (Seyyed Hossein Nasr, 1994:214). Di Andalusia (Spanyol hari ini), pemerintahan Islam ketika memerintah negara tersebut telah membina pusat-pusat pengajian yang terus berkembang pesat dan memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ilmu dalam masyarakat Barat. Di Cardova telah didirikan sebuah akademi dengan perpustakaan yang mengandungi 300,000 jilid buku dan merupakan pusat yang terkenal. Pusat pengajian juga didirikan di Seville, Toledo dan Muncia. Golongan Mozarab iaitu penganut agama Kristian yang mahir bertutur dalam bahasa Arab di Andalus adalah golongan yang memainkan peranan penting penyebaran tamadun Islam ke Eropah. Mereka adalah golongan yang menekuni ilmu dari ulama dan institusi pendidikan Islam di Andalusia. Mereka telah banyak membelanjakan wang untuk membina perpustakaan besar bagi menyimpan buku-buku Arab. Perbuatan ini semua menjadi semacam suatu sumber status kepada mereka. Golongan ini menjadi agen perantara memindahkan elemen-elemen tamadun Islam ke masyarakat Eropah Kristian.

Frederick II dari Empayar Roman pada tahun 1224 M telah menubuhkan Universiti Naples bagi tujuan mengembangkan sains Muslim ke Eropah. Di universiti ini kegiatan terjemahan dilakukan daripada bahasa Arab ke bahasa Latin dan Ibrani. Frederick II juga telah mendorong Micheal Scott berhijrah ke Toledo pada tahun 1217 M dan membuat terjemahan komentar Ibn Rushd terhadap Aristotles. Universiti Montpeller di Selatan Perancis adalah sebuah universiti yang ditubuhkan oleh doktor-doktor yang berhijrah dari Andalusia. Di Universiti ini, Qanun Ibn Sina telah dijadikan sukatan matapelajaran bidang perubatan . Di Bologna, Itali, falsafah Ibn Rushd telah mendapat sanjungan dan menjadi teks rujukan utama bersama buku Qanun Fi al-Tib Ibn Sina(Ahmad Jelani Sidek, 1997:15).

Friday, May 9, 2008

MAMPUKAH PAKATAN RAKYAT MEMPERTAHANKAN PERMUAFAKATAN MEREKA?

Kejayaan parti pembangkang menguasai lima negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan telah mendorong ketiga-tiga parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR memperbadankan kerjasama antara mereka dengan menubuhkan pakatan yang menyerupai BN dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Penubuhan pakatan tersebut telah diumumkan pada 1 April 2008 setelah satu mesyuarat diadakan di pejabat Anwar Ibrahim yang dihadiri ketiga-tiga pemimpin parti pembangkang tersebut. Penubuhan Pakatan Rakyat ini menegaskan ia akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat (Penubuhan Pakatan Rakyat, Suara Keadilan.com).
Sebenarnya penubuhan pakatan politik di kalangan parti pembangkang di dalam sejarah politik negara ini bukanlah perkara baru. Kerjasama dan pakatan politik pertama dalam aliran pembangkang telah dimulakan oleh AMCJA-PUTERA (Kedua parti politik ini merupakan pertubuhan politik aliran kiri), di saat kesibukan kerajaan British mengemukakan cadangannya untuk mewujudkan sebuah perlembagaan Tanah Melayu selepas tamatnya perang dunia (Khong Kim Hoon, 1987:22). Bagaimanapun, perikatan yang diwujudkannya agak longgar kerana ketiadaan kesamaan dan struktur kuasa yang efektif yang mengikat segala keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pertubuhan tersebut. Bagaimanapun, di penghujung bulan Mac 1947, terdapat tanda kewujudan koordinasi dan kerjasama antara dua pertubuhan tersebut. Pakatan ini telah menghantar surat yang dipersetujui bersama kepada Setiausaha Negeri Koloni yang mengandungi beberapa cadangan, antaranya penyatuan seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura, hak kerakyatan yang sama rata kepada semua warganegara, agama Islam dan kebudayaan Melayu mestilah di bawah kawalan orang-orang Melayu dan satu peruntukan khas mestilah dibuat di dalam perlembagaan untuk memperkukuh dan meningkatkan kedudukan orang-orang Melayu (Khong Kim Hoon, 1987:24-25). Pada bulan April 1947, perikatan AMCJA-PUTERA telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menghasilkan satu cadangan perlembagaan yang lebih lengkap. Pada bulan Julai 1947, Cadangan Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu telah diluluskan dengan sebulat suara oleh pewakilan AMCJA-PUTERA. Proposal tersebut mengandungi 60 muka surat yang merupakan satu kompromi tuntutan antara bukan-Melayu yang diwakili oleh AMCJA dengan tuntutan orang Melayu yang diwakili oleh PUTERA (Khong Kim Hoon, 1987:26). Adalah jelas PUTERA sedikit sebanyak telah berjaya mempengaruhi bukan Melayu menerima kepentingan Melayu dijadikan asas bagi kerjasama Melayu dengan bukan Melayu yang sejak mula lagi tidak mendapat restu dari pihak British atau orang-orang Melayu yang diwakili oleh UMNO. Sebelum pakatan ini berkubur, pakatan Putera-AMCJA telah mengadakan hartal iaitu mogok ekonomi sebagai membantah sikap British yang tidak mengindahkan perjuangan mereka. Mogok ekonomi pada mulanya diadakan di Kelang, Melaka dan Perak dalam bulan September 1947. Ia kemudian menjalar ke seluruh negara pada 20 Oktober pada tahun yang sama (Chamil Wariya, 1987:30). Kerjasama politik AMCJA-PUTERA kemudiannya telah mula berpecah apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan dalam tahun 1948. Apabila darurat diumumkan, beberapa pertubuhan yang menganggotai AMCJA dan PUTERA telah diharamkan (Milne dan Mauzy, 1982:40). Keadaan ini membawa musnahnya pakatan politik AMCJA-PUTERA.

Terdapat beberapa persoalan kenapa berlakunya kegagalan dalam pakatan AMCJA-PUTERA, tidak sepertimana kerjasama UMNO-MCA. Beberapa pihak memberikan sebab kenapa berlakunya kegagalan dalam pakatan ini. Pertama, ada pihak yang melihat perjuangan AMCJA-PUTERA merupakan perjuangan sisihan yang tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu yang ingin negeri ini dikembalikan kepada orang Melayu. Kedua, kerjasama ini merupakan ‘marriage of convenience’ pihak Melayu-bukan Melayu yang tidak sehaluan. Orang Melayu diwakili oleh mereka yang berhaluan kiri yang ditentang oleh British. Mereka tidak mahu melihat golongan ini menguasai pemerintahan negara kerana bimbangkan kepentingan ekonomi British dalam semua sektor akan terjejas seandainya sebuah parti sosialis memerintah. Ketiga, terdapat perasaan curiga mencurigai terhadap antara satu sama lain. Puak kiri misalnya mendapati bahawa dasar politik orang Cina dari Dewan Perniagaan Cina Malaya yang menyertai pakatan tersebut sebagai sesuatu yang menjijikan kerana mereka ingin mencari keuntungan melalui perubuhan itu. Orang Cina pula merasa curiga dengan puak kiri yang ingin mengamalkan dasar yang bakal merugikan mereka sekiranya apa yang diperjuangkan itu berjaya (Chamil Wariya, 1987:30-31).

Pada tahun 1988, PAS yang sudah menerima realiti kemajmukan rakyat telah mewujudkan permuafakatan politik dengan mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). APU adalah gabungan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa untuk menawan negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Disebabkan masyarakat bukan Islam belum dapat menerima konsep Islam yang diperjuangkan PAS, maka terpaksa pula diwujudkan gabungan kedua yang dikenali sebagai Gagasan Rakyat iaitu gabungan parti Semangat 46, DAP, PRM, IPF dan PBS pada tahun 1990 untuk menawan negeri selain dari negeri-negeri tersebut (Ahmad Zaki, 2003:281). Walaupun gabungan parti politik pembangkang pada waktu tersebut tidak padu, namun PAS telah berjaya menawan Kelantan dalam pilihan raya umum tersebut.
Pada tahun 1999, parti pembangkang juga telah mewujudkan satu lagi pakatan politik sesama mereka yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Pakatan ini diwujudkan rentetan dari pemencatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pemencatan ini telah mencetuskan gelombang besar gerakan reformasi menentang kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan membawa penubuhan Parti Keadilan. Pada 24 Oktober 1999, pakatan politik pembangkang yang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif dianggotai oleh PAS, DAP, Keadilan dan PRM telah ditubuhkan. Pakatan ini telah dapat mengelakkan parti pembangkang bertanding sesama mereka dalam sesuatu kawasan pilihan raya. Kesan dari pakatan ini telah membawa kejayaan PAS menawan Kelantan dan Terengganu serta meningkatkan penguasaan mereka terhadap kerusi Parlimen dengan pertambahan dari 7 kerusi kepada 27 dalam pilihan raya tahun 1999. DAP juga telah memenangi 10 kerusi Parlimen, meningkat dari 7 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini, tetapi pemimpin mereka iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Sing telah tewas. Kekalahan dua pemimpin utama DAP ini berpunca dari bantahan dari pengundi Cina terhadap kerjasama politik DAP dengan PAS. Manakala parti Keadilan telah memenangi 5 kerusi Parlimen (Barisan alternatif, Wikipedia.org/wiki/Barisan Alternatif). Perbezaan ideologi perjuangan dan manifesto pilihan raya antara PAS dan DAP telah membawa pakatan ini tidak dapat bertahan lama apabila pada tahun 2001, DAP telah mengistiharkan keluar daripada pakatan tersebut.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-12, tahun 2008 menyaksikan kemenangan luar biasa parti pembangkang sejak tahun 1969 telah membawa ketiga-tiga parti pembangkang tersebut memikirkan kembali keperluan penubuhan satu pakatan politik yang boleh menandingi pakatan politik BN yang telah berusia lebih 50 tahun tersebut. Apatah lagi, apabila DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat Malaysia telah dapat menguasai lima buah negeri yang memerlukan keselarasan dasar dan pendekatan sesama mereka bagi mewujudkan pentadbiran yang berkesan dan diterima rakyat. Bagaimanapun, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 1 April 2008, masih dibayangi oleh perbezaan fahaman politik ketiga-tiga parti tersebut. DAP terus menentang dasar Islam PAS dan perjuangannya untuk menegak sebuah negara Islam dengan menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang utama negara. Karpal Singh yang terkenal dengan kelantangannya menentang sebarang percubaan untuk menegak sebuah negara Islam telah menyarankan supaya PAS melupakan hasrat untuk menegakan sebuah negara Islam. Walaupun PAS cuba untuk menjenamakan semula parti tersebut dengan matlamat untuk memperjuangkan sebuah Negara Kebajikan, namun ia tetap dicurigai oleh DAP. Dato’ Nik Aziz cuba menyakinkan DAP bahawa perjuangan PAS menubuhkan sebuah negara Islam adalah untuk membawa keadilan kepada semua kaum dan agama. Dato’ Nik Aziz meminta Karpal Singh membuktikan kelemahan PAS selama memerintah lebih dari 18 tahun di Kelantan di bawah dasar Islam. Nik Aziz telah menegaskan bahawa golongan non-Muslim gembira berada di bawah pemerintahan PAS. Nik Aziz mempelawa Karpal Singh datang melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan negeri tersebut di bawah pemerintahan Islam (Nik Aziz slams Karpal’s critism on PAS becoming backbone of Pakatan Rakyat, Bernama. Com, 6 April 2008). Bagaimanapun penerangan ini masih gagal menghapuskan kesangsian DAP terhadap dasar Islam PAS. DAP telah mempunyai pengalaman sejarah apabila pemimpin utama mereka kalah dalam pilihan raya 1999, kerana faktor kerjasama dengan PAS dan takut masyarakat Cina menolak mereka. DAP lebih selesa dengan PKR kerana parti politik tersebut tidak bertunjangkan sebarang ideologi tetapi lebih memperjuangkan politik sivil dan pembela hak rakyat. Persoalan parti politik mana yang seharusnya menjadi parti teras atau tunjang kepada pakatan politik tersebut masih menjadi perdebatan berbagai pihak. Dato’ Ahmad Yaakub, Timbalan Menteri Kelantan, telah menyarankan supaya PAS wajar menjadi tunjang pakatan tersebut bagi merealisasikan impiannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Yaakub telah mendapat sokongan dari Dewan Pemuda PAS Kelantan. Bagi DAP pula, ketiga-tiga pimpinan parti pembangkang tersebut seharusnya memahami prinsip asas kerjasama antara ketiga-tiga parti yang tidak membawa diri mereka kepada perbezaaan inter dan intra parti serta eksplotasi dari musuh parti pembangkang dan mengulangi kegagalan Barisan Alternatif pada tahun 2001 (Suggestion for more suitable term than Pakatan Rakyat are most welcome, blog.limkitsiang.com/2008).

Perdebatan di kalangan parti pembangkang, parti politik mana yang seharusnya menjadi parti teras dalam Pakatan Rakyat dileraikan melalui kenyataan bersama ketiga-tiga parti tersebut yang dibuat pada 12 April 2008. Ketiga-tiga parti telah menolak mana-mana parti di kalangan mereka untuk menjadi parti tunjang dalam pakatan tersebut. Mereka menegaskan bahawa dasar-dasar yang diperjuangkan adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang dipersetujui dan disepakati pemimpin tertinggi parti-parti berkenaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh ketiga-tiga parti politik tersebut, Pakatan Rakyat ingin meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi manusia sejagat (Tiada parti tunjang dalam pakatan pembangkang, Mingguan Malaysia, 13 April 2008).

Sejauhmanakah keberkesanan, keserasian dan persefahaman antara parti-parti politik tersebut dalam menentukan hala tuju baru orientasi politik Malaysia pada masa hadapan, hanya masa yang menentukan.

Wednesday, May 7, 2008

JATI DIRI MELAYU

PENDAHULUAN


Perbincangan tentang konsep jati diri Melayu, akhir-akhir ini seringkali didengar dalam pelbagai media, sebenarnya natijah dari semakin merosotnya pegangan dan kefahaman orang-orang Melayu terhadap konsep tersebut. Kerungsing berbagai pihak terhadap perkara tersebut memang berasas apabila melihat realiti generasi Melayu baru kini makin tidak memahami dan berpegang kepada asas tersebut disebabkan berbagai faktor luaran dan dalaman masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi pada zaman negara ini yang sedang berhadapan dengan cabaran globalisasi ini.

Setiap bangsa yang pernah wujud dalam dunia ini mempunyai asas-asas jati diri mereka sendiri sama ada jati diri tersebut diasaskan melalui pegangan agama yang dianuti, warisan lampau yang diwarisi sejak berzaman, nilai hidup yang murni, kekuatan dalaman dan pengalaman bangsa tersebut dalam mengharungi pelbagai cabaran yang ditempuhi dan sebagainya.

Menurut Ismail Noor dan Muhammad Azam (2000), sebenarnya bangsa Melayu sudahpun menjadi bangsa bertamadun semenjak 3,000 sebelum masihi lagi. Seorang putera Raja Byzantium dalam pelayarannya ke negeri Cina telah tersadai di pantai negeri Kedah. Beliau dan anak-anak kapalnya masuk mengembara ke daratan negeri Kedah, dimana mereka terjumpa dengan satu masyarakat setempat yang mana anggota-anggotanya berbadan tegap, kuat dan cergas. Masyarakat ini cukup tinggi tamadunnya dalam aktiviti pertanian, pertukangan dan pembuatan peralatan besi. Pengembara tersebut telah terjumpa sekumpulan “gergasi” yang kemungkinan adalah penduduk tempatan Melayu yang sudah lama menetap di situ .

Kenyataan di atas menjelaskan betapa bangsa Melayu sudah menjadi bangsa bertamadun dan mempunyai kekuatan fizikal yang hebat. Kewujudan bangsa bertamadun (maju dalam semua aspek) sebenarnya adalah berpunca dari pegangan, pandangan hidup dan nilai hidup yang dipegang yang dipegang oleh sesuatu bangsa tersebut sehingga aspek tersebut menjadi asas kepada kemajuan mereka. Justeru itu, bangsa Melayu sudahpun memiliki nilai-nilai hidup tersebut sebagaimana bangsa bertamadun yang lain.


JATI DIRI DAN MELAYU

Mengikut Kamus Dewan (1994), jati diri bermaksud diri yang tulin dan diri yang murni . Justeru itu, jati diri boleh dimaksudkan sebagai “nilai-nilai diri yang tulin dan teras” yang wujud dalam diri individu atau masyarakat. Nilai tersebut tidak dapat dipisahkan dari kewujudan bangsa tersebut yang dipamirkan melalui watak, sikap, keperibadian mereka yang dimanifestasikan dalam perjalanan sejarahnya.

Manakala asal usul perkataan Melayu pula menurut Dr.Nik Safiah Karim (Berita Harian, 29 April 2002) berkembang dari peringkat istilah Melayu yang dikaitkan dengan maksud kerajaan atau kawasan dan tidak manusia atau bangsa sehinggalah istilah Melayu dikaitkan dengan maksud bangsa Melayu itu sendiri. Pada peringkat awalan, Istilah Melayu hanya dirujuk kepada maksud kerajaan atau kawasan dapat dilihat dari beberapa catatan sejarah. Antaranya catatan I’Sing, seorang rahib Buddha dalam perjalanan beliau dari Canton ke India, beliau singgah di Bhoga. Kemudian beliau telah dihantar oleh Raja Bhoga ke negeri “Mo-lo-yu” yang pada masa tersebut disebut Sribhoga. Dipercayai bahawa I’Sing telah mengubah nama “Mo-lo-yu” kepada Bhoga dan Sribhoga (mengikut pelat sebutannya dan sistem tulisan Cina), dan dipercayai juga bahawa Sribhoga ialah Palembang, ibu negeri Sriwijaya dan Bhoga itu tanah jajahan takluk Sriwijaya, termasuk “Mo-la-yu”. Dari penjelasan ini, kelihatan bahawa istilah “Mo-la-yu” digunakan unntuk merujuk kawasan atau kerajaan. Konsep Melayu sebagai bahasa/bangsa belum timbul pada peringkat ini. Hanya istilah Melayu sebagai merujuk sebagai suatu bangsa hanya timbul setelah kewujudan Kerajaan Melayu Melaka. Berdasarkan teks-teks yang ada hubungan dengan Melaka, istilah Melayu merujuk keturunan yang “berbangsa” dan “berasal”. Dengan kata lain, Melayu membawa pengertian keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera. Di sini konsep asas ialah manusia dari satu kawasan tertentu, walaupun konsep bahasa kelompok manusia ada tersirat. Lama kelamaan bermula pada abad ke 17 M, penggunaan istilah “Melayu” mula digunakan dalam konteks bangsa. Pada ketika itu, “Melayu” merangkumi bangsa serumpun di Nusantara. Ia juga disahkan oleh Unesco, badan bangsa Bersatu. Pada tahun 1972, Unesco telah memberikan pengertian kepada konsep “Melayu” yang menjadi pegangan hingga ke hari ini. Istilah Melayu digunakan untuk merujuk suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaska .

Dari sudut Istilah (dalam konteks Malaysia) pula, Melayu boleh diistilahkan sebagai “seorang yang mengamalkan agama Islam, yang keturunannya dapat dikesan hinggalah kepada nenek moyang di Empayar lama Melaka atau mana-mana tempat di gugusan kepulauan Melayu, dan kini bermastautin di Malaysia. Seorang Melayu mestilah berwarisan budaya tradisi yang memperkenalkannya sebagai insan berbudi pekerti. Dia hidup dalam persekitaran yang penuh harapan serta berpandangan optimistik dalam menghadapi sesuatu kemungkinan” (Ismail Noor dan Muhammad Azaham, 2000). Sebenarnya amat sukar mentakrifkan siapakah Melayu. Menurut Prof. Syed Hussein al-Attas, jika diminta seseorang mengenal pasti haiwan yang disebut kambing, tiada masalah bagi sesiapa sahaja menunjukkan haiwan tersebut. Namun apabila diminta memberikan sifat kambing, akan timbul kesukaran. Demikianlah, apabila diminta mengenal pasti yang manakah disebut Melayu, dengan mudah sesiapapun dapat menunjukkannya. Kesulitan timbul apabila kita diminta memberikan takrif Melayu (Awang Sariyan, mencari Melayu dalam jati diri sebenar, DB, Jun 2001).

Kesimpulannya, jati diri Melayu bolehlah dimaksudkan sebagai “orang-orang Melayu yang beragama Islam mempunyai nilai-nilai diri atau keperibadian tulin yang menjadi teras pegangan dan kebudayaan mereka seperti adat, budaya, agama Islam dan kehalusan budi perkerti. Nilai-nilai teras ini tetap utuh dipertahankan dalam keperibadian bangsa tersebut walaupun apa zaman sekalipun.


ASAS-ASAS JATI DIRI MELAYU


ISLAM

Semenjak kedatangan Islam ke negara ini sekitar abad ke 13 M, Islam telah menjadi satu agama yang benar-benar merubah keperibadian dan cara hidup Melayu. Penerimaan Islam oleh orang-orang Melayu adalah dengan kerelaan hati mereka dan membawa orang-orang Melayu ke zaman baru (S.M.Naquib al-Attas, 1978). Orang-orang Melayu selepas kedatangan Islam sehingga kini tidak mungkin makna diri atau peribadi Melayu dipisahkan dari agama Islam. Kedatangannya telah membebaskan akal budi Melayu dari belenggu dogengan, tahayul dan legenda metos lalu membimbingnya ke dunia nyata, tradisi ilmuan dan tamadun akhliah, rohaniah subur (Sidiq Fadhil, 1987). Kedatangan Islam bukan sekadar merubah kepercayaan mereka dari seorang animist dan village’s man tetapi telah merubah mereka kepada manusia monotheist, global dan universal man (Prof.Abdullah Alwi, 2000). Kedatangan Islam juga telah memainkan peranan utama dalam meniup nafas segar yang mengandungi unsur persamaan insan, rasionalisme, individualisme, pensejagatan dan banyak nilai lain yang sihat dan membina

Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah dibawa oleh ahli tasawuf yang melalui metafiziknya menyebabkan ketinggian ilmu pengetahuan dan ruh kerasionalan agama memasuki dengan mudah ke dalam pemikiran masyarakat (Syed Naquib al-Attas, t.t: 126). Ia juga telah membawa orang Melayu memahami dan mengamalkan fahaman tersebut sebagai benteng pertahanan jati diri yang ampuh dalam mereka menghadapi cabaran hidup. World View Melayu tradisi tidak dapat dipisahkan dengan empat rangkai kata iaitu “syariat, tarikat, hakikat dan makrifat”. Menurut Hamzah Fansuri dalam kitabnya Sharabul Ashiqin, syariat bolehlah diqiaskan sebagai pagar, tariqat adalah rumah, manakala hakikat adalah isi rumah. Menurut Hamzah Fansuri lagi “yogya kita memagari diri kita supaya jangan diharu (dipengaruhi) Shaytan. Barangsiapa memagari dirinya dengan pagar shariat, tiada dapat (ia) diharu Shaytan. Adapun barangsiapa keluar dari kandang syariat, nischaya dapat (ia) diharu Shaytan. Adapun barang siapa menyangka shariat itu kecil, atau mencela dia, kafir-na’udhubillahi minha- kerana syariat tiada bercerai dengan tarikat, tarikat tiada bercerai dengan hakikat, hakikat tiada bercerai dengan makrifat. Seperti kapal sebuah; syariat seperti lunasnya, tarikat seperti papan, haqiqat seperti isinya, makrifat akan labanya. Apabila lunas dibuangkan, nischaya kapal itu karam; laba pun lenyap, modal pun lenyap, merugi kita” (dipetik dari buku The Mysticism of Hamzah Fansuri).

Konsep tauhid yang menunjangi pegangan orang-orang Melayu bukan sahaja semata-mata kepercayaan kepada keesaan Allah, tetapi orang-orang Melayu telah menterjemahkan tuntutannya dalam kehidupan mereka yang lebih luas. Islam telah diterjemahkan dalam aspek undang-undang, maka terhasilah hukum kanun Melaka ,undang-undang laut Melaka dan undang-undang Pahang yang memperuntukan undang-undang Islam sebagai undang-undang resmi dalam aspek qisas, denda, persetubuhan haram, sodomy, fitnah, minum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak dan sebagainya. Apabila Islam diterjemahkan dalam aspek politik, maka berlakulah perubahan nama pemerintah dari gelaran Sri Vijaya, Sri Maharaja kepada Sultan. Sultan mengamalkan prinsip Syura dalam pemerintahannya dengan perlantikan pembesar-pembesar Istana dan ulamak menjadi penasihat kepada Sultan. Keperihatinan masyarakat terhadap pendidikan agama terserlah dengan menjadikan pendidikan agama sebagai asas sebelum ilmu-ilmu lain diajarkan. Ini dirakamkan oleh Munyi Abdullah (abad 18M) dalam hikayatnya:

“…maka katanya, apa guru tiada ajar bahasa Melayu?, maka dijawab guru itu, orang yang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Quran dahulu, maka kalau ia sudah dapat Quran kemudian boleh berlajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaja semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini, orang taruh tempat berlajar bahasa Melayu” (Hikayat Munsyi Abdullah).

Begitu jugalah dengan budipekerti Melayu yang banyak dibentuk oleh agama Islam sehingga menjadikan orang-orang Melayu terkenal dengan kehalusan budipekertinya, bangsa beradat, pemalu dan tertib. Islam juga telah mengubahsuai dan mengembangmaju kesenian tempatan dalam pelbagai bidang seperti senibina, kaligrafi, lukisan, ukiran, anyaman, tenunan dan seni persembahan yang berupa pengucapan, becerita, seni lakon, nasyid, qasidah, muzik, tarian berentak zikir sufisme dan seni mempertahankan diri.

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan betapa tidak dapat dipisahkan orang-orang Melayu dengan agama Islam ibarat “kuku dengan kulit” atau “aur dengan tebing”. Kedatangan dan pengaruh Islam yang besar kepada kehidupan Melayu telah mengangkat martabat bangsa tersebut sehingga menjadi bangsa yang bertamadun. Bagaimanapun, Islam yang telah dianuti oleh orang Melayu sejak berzaman tidak sunyi dari disalahfahamkan oleh orang-orang Melayu melalui pentafsiran yang rigid, dicampuradukan dengan unsur-unsur khurafat dan tahayul. Begitu juga, nilai-nilai hidup yang bercanggah dengan Islam masih terus menguasai pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu seperti pertelagahan sesama sendiri ketika musuh tiada, mementingkan keuntungan diri sendiri, menjaul maruah bangsa seperti pantun yang dinukilkan oelh Prof.HAMKA:

Jangan tergesa menjatuhkan hukuman,
Portugis Belanda jangan kutuki,
Jangan Inggerish lekas cemarkan,
Ketahui dahulu salah sendiri”

Adakah cita-cita akan tercapai,
Adakah dapat apa diingini,
Jika berbalik sebelum sampai,
Mengorbankan darah tiada berani”

Fikirkan pula penjual negeri,
Harapkan emas perak bertimba,
Untuk keuntungan diri sendiri,
Biar bangsanya menjadi hamba”

(Dipetik dari teks ucapan Pro-Canselor UiTM, “Pentadbiran awam Malaysia Dari Kaca Mata Duli Yang Maha Mulia Tengku Idris Shah, Sultan Selangor).


KEFAHAMAN DAN PENGHAYATAN TAUHID

Perkembangan tamadun dan kebudayaan Melayu secara jelas memperlihatkan bagaimana tauhid mencetak atau mencanai peradaban Melayu sehingga tauhid menjadi aspek teras kepada peradaban Melayu. Bagaimanapun, kedatangan penjajahan Barat telah menyekat proses evolusi tersebut. Pemahaman orang-orang Melayu terhadap konsep tauhid adalah sebagai asas penting menjadikan mereka manusia yang memahami tuntutan agama dengan sebenarnya dan menjadikan mereka manusia Melayu yang tulin. Apakah sebenarnya hakikat tauhid yang menjadikan seseorang itu sebagai Melayu tulin yang memiliki jati diri?.

Tauhid adalah berdasarkan “La ilaha illa Llah. Muhammad Rasulullah” yang bererti “Tidak ada Tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, Muhammad adalah Rasulullah”. Penyaksian itu adalah hasil dari keyakinan iman tanpa ragu tentang hakikat ketuhanan Yang Maha Esa, yang merupakan paksi bagi segalanya. Keyakinan ini datang daripada ilmu dan juga kesedaran batin orang yang berkenaan yang disebut sebagai ilmul-yakin [1]atau ainul yakin[2] atau haqqul yakin[3]. Keimanan tentang ketauhidan ini berkembang menjadi keimanan kepada rukun-rukun iman yang lain, keimanan kepada sifat-sifat Allah yang tidak terkira dan kemudiannya diringkaskan kepada 20 sifat berdasarkan dalil naqli dan aqli. Seterusnya membawa keimanan kepada nama-nama Allah yang Yang Maha Baik (husna) iaitu 99 nama (Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, 2002).

Mentauhidkan Allah dan beriman kepada rukun-rukun iman yang lainnya sebagai natijah daripada beriman dengan ketauhidan Allah menimbulkan kesan dalam kehidupan manusia yang disebut oleh sesetengah Hadis sebagai “cawangan-cawangan Iman” atau “shuib al-iman”. Antaranya, hadis yang menyebutkan bahawa iman itu mempunyai 70 cawangan, yang tertinggi adalah mengucap bahawa “tiada Tuhan melainkan Allah” dan cawangan iman yang paling rendah sekali adalah membuang duri atau sesuatu yang menyakitkan dari jalan” (Hadis riwayat Bukhari). Dalam kitab Fathul Bari dalam menghuraikan cawangan-cawangan iman telah membahagikannya kepada kepada beberapa hasil iman, iaitu:

1) Kesan iman terhadap amalan-amalan hati seperti keimanan terhadap rukun iman, berselawat, bersyukur, bertawakal, bertaubat, takut kepada Allah, sabar, reda dan lain-lain perbuatan batin yang mahmudah.

2)Kesan iman dalam bentuk amalan lidah pula ialah membaca al-Qur’an, mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu, berdoa, berzikir, beristigfar dan mejauhi perbuatan dan percakapan yang sia-sia.

3) Kesan iman terhadap amalan badan pula ialah berada dalam keadaan suci, menjauhi najis-najis, menutup aurat, melakukan rukun Islam, memberi makan kepada mereka yang memerlukan, memuliakan tetamu, berkahwin dan sifat-sifat terpuji yang lain (Ibid.).

Kesan tauhid terhadap fahaman orang yang beriman pula membawa orang beriman mengabdikan diri mereka kepada Allah semata-mata serta mengeluarkan kuasa-kuasa lain yang dinisbahkan kuasa Tuhan padanya. Dengan demikian maka hilanglah fahaman tahayul, syirik, sihir, bernujum dan pemujaan terhadap jin-jin dan lain-lainnya. Termasuk hilang pemujaan kepada pekara-pekara maknawi seperti akal, kecerdasan atau mana-mana aspek kepandaian atau ilmu manusia. Tauhid pada fahaman juga memberi kepada insan matlamat hidup yang terakhir yang memberi makna kepada segala kegiatan. Manusia yang beriman kepada tauhid bertugas dan berusaha dalam konteks mencari keredaan Allah di dunia yang membawa kebahagiaan di akhirat. Dengan ini tidak ada kekosongan atau kehilangan makna dalam hidupnya. Semuanya mendapat makna dalam konteks mencari keredaan Tuhan (Ibid.)

Kesan tauhid pada fahaman juga menjadikan insan yang yakin kepada tauhid itu mendapat “peta” pembangunan peribadinya pada “Diri Tuhan Sendiri dengan sifat-sifat-Nya Yang Maha Sempurna dan Nama-Nama-Nya Yang Maha Indah”. Sekirannya Allah bersifat kasihan belas (Al-Rahim) maka si mukmin sebagai hamba Tuhannya hendaklah bersifat dengan sifat kasihan belas pada paras manusiawi (Ibid.). Demikianlah sifat-sifat dan nama-nama Allah yang lain, harus diimplimentasikan oleh manusia muslim dalam kehidupannya semada berhubung dengan sesama manusia, haiwan atau dengan alam.

3) BUDI PEKERTI


Kesan Islam telah menjadikan bangsa Melayu berbudaya tinggi. Orang Melayu terkenal dengan kehalusan dan kecantikan budaya mereka yang meliputi bahasa, sastera, adat resam dan tatasusila. Orang Melayu menjadikan keperibadian Rasulullah dan para sahabat sebagai model jati diri mereka. Orang yang berbudi bahasa akan dihormati walaupun dia seorang yang miskin:

“Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa”.

“Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa”.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi,

Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari,
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi,

Orang-orang Melayu juga menjadi bangsa yang kuat berpegang kepada adat. Pepatah adat perpatih yang menyebutkan “biar mati anak, jangan mati adat” adalah cerminan nilai hidup Melayu yang mematuhi adat-adat yang diwarisi sejak berzaman. Jika seseorang itu dituduh “kurang adat” bermakna dia kurang sopan atau kurang ajar. Sebaliknya, kalau dia dikatakan “tahu adat” bermakna dia seorang yang bersopan santun.

Adat Melayu dikatakan bersendikan syarak seperti kata perpatah “adat bersendi syarak, syarak bersendi adat”. Segala perbuatan jangan bertentangan dengan adat dan agama selagi manusia hidup seperti yang lazim dikatakan “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”. Justeru itu, orang Melayu bila berbicara jarang berterus terang. Sekiranya mereka ingin melamar seorang gadis, pihak lelaki akan berkias dalam bentuk puisi. Meskipun isinya disampaikan secara samar-samar, tetapi pihak yang dilamar dapat menangkap maksudnya. Seperti yang dinukilkan dalam sebuah cerita lama ketika ibu Si Umbut Muda hendak meminang Puteri Gelang Banyak (Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, 1985):

“Ibu Si umbut: Benar di sini surat nahu,
Kalam tersisip atas kasau,
Benar di sini burung mau,
Hati berahi hendak mencekau,


Ibu Gelang: Beringin di atas gunung,
Uratnya berkelok-kelok,
Kalau ingin kakak burung,
Carilah getah nan elok


Apabila mengkritik, orang Melayu selalu menyindir “siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya” atau menggunakan bahasa yang beralas dan berlapik agar orang itu tidak kecil hatinya . Orang Melayu suka sikap merendah diri “turut resmi padi, makin berisi makin tunduk” manakala sikap sombong amat dibenci “hendak sombong berbini banyak, hendak megah berkawan lebih”. Orang Melayu mementingkan sifat sabar yang dibina hasil dari perjalanan atau pengalaman hidup yang dilalui masa lepas. Seseorang yang sabar dapat menyelesaikan masalah-masalah dengan beransur-ansur dan ini menandakan keluhuran budi bahasa mereka seperti peribahasa “sehari selebar benang, lama-lama jadi kain”. Namun sifat sabar mempunyai batasnya dan tidak semua kita boleh bersabar seperti kezaliman yang berlaku “hutang darah, dibayar darah”. Dalam membuat sesuatu keputusan atau perhitungan, orang Melayu suka membuatnya dengan berhati-hati , rasional dan tidak terburu nafsu “hati muda jangan diturut, kalau diturut salah datang”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”. Kalau pergi merantau ke tempat orang, orang Melayu diingatkan:

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri,
Jikalau berdagang di negeri orang,
Baik-baik membawa diri.

Orang Melayu sentisa dingatkan supaya berpegang teguh dengan ajaran agama dan jangan melupakan kehidupan akhirat:

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya,

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang,
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang,

Orang Melayu juga sentiasa diingatkan supaya jangan mencontohi pewatakan Pak Pandir yang melihat dirinya pandai tetapi sebenarnya orang yang bodoh dan rugi serta jangan pula menjadi orang yang malang seperti Pak Kaduk:

Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijunjung,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendegar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendegar guruh dilangit,
Air di tempayan dicurahkan,
Mulut disuap pisang,
Buntut kena cangkuk onak,


Malang Pak Kaduk

Ayuhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awang pulang kebuluran,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati tak makan,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh, awak menumpang.


Orang Melayu memang terkenal dengan ketertibannya. Apabila berjalan melintasi orang-orang yang lebih tua, badan ditunduk, mohon dipinta maka barulah ia lalu, apabila mereka berjumpa, salam diberi, tangan dijabat, apabila berkawan, sangat rapat sehinggakan “pisang emas dibawa berlayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Apabila orang datang bertandang di rumah, dilayan dengan sepenuh hati, lalu dikatakan “buat-buatlah seperti rumah sendiri”. Apabila datang merisik anak orang, diberinya “cincin tanya” , penuh beradab, merendah diri dan berkias-kias, lalu wakil si lelaki mengatakan:

Beginilah kak,
Kami ini ibaratnya:
Kok umur belum setahun jagung,
Kok darah belum setampuk pinang,
Kok akar belum selilit telunjuk,
Maka kedatangan kami:
Kok ari nan sari,
Kok malam nan semalam ni,
Ibarat singkap daun ambil buah,
Kopek kulit ambil isinya,
Bak kata orang,
Bila mengadakan anak,
Kok jantan diserahkan mengaji,
Kok betina diserahkan menjahit,
Sombong pada maknya,
Megah pada ayahnya,
Dalam yang demikian tu lama kelamaan,
Mengaji pun dah tamat,
Mengayam menjahit pun dah pandai,
Maka diserukan pulan untungnya,
Adapun untung anak jantan itu cari-carikan,
Untung si betina itu dinanti-nantikan,
Kemudian dari tu pertemuan nak ada,
Maka ada pulak risik berdesus,
Anak nang merangkak kek rumah kek kampung,
Gamit nang berkecapi,
Kilat yang memancar,
Maka dipertanda teruna cincin sebentuk,
Itu penanya mak dan bapak,
Cincin dua bentuk tanda sia sekata.


Apabila cincin diterima oleh pihak perempuan, kemudian seminggu dua, pihak perempuan pula “memulangkan janji” untuk memberitahu setuju atau tidak, lalu berkata:


Nampaknya beginilah,
Sakit bermula mati bersebab,
Hujan berpokok kata berasal,
Mana asa kata,
Awal permulaan,
Akhir berkesudahan,
Kedatangan datuk dulu membawa,
Cincin mintaan kepada saya,
Mengikut penyemendaan,
Oleh saya menerimalah,
Akan tepati janjinya teguh,
Padangnya lebar,
Nang jauh telah saya jemputkan,
Nang dekat telah saya kampungkan,
Segala tempat semenda saya,
Menerimalah cincin mintaan ini.

(Teromba di atas dipetik dari buku Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi).

Orang Melayu terkenal dengan sikap kepatuhan dan ketaatan kepada siapa yang memerintahnya. Kata-kata Hang Tuan “pantang Melayu derhaka” adalah manifestasi jiwa Melayu yang kuat dengan nilai “saiko-feudalisme” dan masih wujud dalam rata-rata masyarakat Melayu hari ini. Orang Melayu jarang memberontak dan mereka selalu membuat perubahan dengan penuh kebijaksanaan seperti kata-kata “ibarat mengambil rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan sampai berselerakan”. Bagaimanapun, nilai kepatuhan ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak sehingga menyarankan supaya orang Melayu bersifat kurang ajar.


ILMU PENGETAHUAN


Dari kajian sejarah mendapati implikasi kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa perkembangan budaya ilmu ke dalam masyarakat Melayu. Pendidikan dan pelajaran yang julung kalinya diperkenalkan serentak dengan kedatangan Islam adalah mengaji al-Qur’an yang merupakan pelajaran dasar kepada semua lapisan masyarakat dengan menjadikan rumah, surau dan masjid sebagai institusinya. Serentak dengan perkembangan itu, diperkenalkan pula tulisan jawi yang merupakan campuran antara tulisan Arab dan Parsi yang ditambah beberapa huruf seperti nga, pa, ga dan nya. Tulisan jawi ini telah berperanan besar bagi menyatukan orang-orang Melayu dari segenap tempat di Nusantara (Hj.Abdullah Sidek, 1995). Apa yang penting, kedatangan Islam bukan sahaja membawa kepada perkembangan institusi pendidikan Melayu sama ada formal atau informal tetapi juga merangsang orang-orang Melayu mempelajari dan mengembangkan ilmu sama ada ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Dengan itu, pemikiran orang-orang Melayu telah dapat ditingkatkan dan memperkembangkan tamadun mereka.

Sekirannya Islam tidak datang ke Alam Melayu, orang-orang Melayu tentunya masih lagi dibelenggu dengan pemikiran “metos-legenda” yang menjadi ciri pemikiran Melayu sebelum kedatangan Islam. Kedatangan Islam telah mengubah pemikiran dan cara hidup bangsa Melayu sehingga ciri-ciri tamadun Melayu pra-penjajahan dapat diringkaskan seperti berikut; a) tamadun maritim; b) berasaskan perdagangan dan bersifat kosmopolitan; c) kaya dengan hasi seni dan sastera d) diperkaya dan dimajukan melalui penerimaan agama Islam dan tamadun Islam yang membentuk identiti baru bagi bangsa Melayu dan menegaskan prinsip persamaan dan keadilan (Abdul Rahman Embong: 2002).


KESIMPULAN


Bangsa Melayu akan hanya menjadi bangsa yang dihormati apabila mereka berpegang kepada jati diri mereka sendiri. Jepun sebagai sebuah negara yang maju hari ini adalah dibina dari asas jati diri mereka sendiri bukan di atas keperibadian orang lain. Nilai-nilai jati diri Melayu seperti yang telah dibincangkan sangat rapat hubungannya dengan Islam. Melayu mestilah mengekalkan keperibadian mereka walau apapun zamannya, kerana nilai hidup mereka sebenarnya “tak lokang dek panas, tak basah dek hujan”. Gurindam, pantun, kata-kata kiasan, kata-kata adat, syair dan sebagainya adalah manifestasi dan rakaman jiwa, minda dan keperibadian Melayu .

Fikirkan gurindam berikut:

Jika hendak mengenal orang yang berbangsa,
Lihat kepada budi bahasa.

Jika hendak mengenal orang berbahagia,
Sangat memeliharakan sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah kepada kelakuan ia.

Jika hendak mengenal orang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang baik perangai,
Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


RUJUKAN


Awang Sariyan, “Mencari Melayu dalam jati diri sebenar”, Dewan Budaya, Jun 2001.

Abdullah Alwi Hassan, “Pengenalan Ilmu Ketemadunan: suatu analisis tamadun Islam dan tamadun Melayu” , Seminar Tamadun Islam dan Tamadun Asia, 7-8 Jun 2000, UiTM, Shah Alam.

Hj.Abdullah Ishak, Pendidikan Islam dan pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995

Ismail Noor dan Muhammad Azaham, Takan Melayu Hilang di Dunia, Subang Jaya: pelandok Publication, 2000.

Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1985.

Muhammad Uthman El-Muhammady, “Tauhid menentang syirik dalaman fahaman dan amalan” dalam Isu dan Proses pembukaan minda umat Melayu Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

“Pentadbiran Awam di Malaysia: Dari Kaca Mata Duli Yang Maha Mulia tengku Idris Shah, Sultan Selangor sempena Istiadat Konvokesyen komemoratif UiTM 2001.

S.Q.Fatimi, Islam Comes To Malaysia, Singapore: Malaysia Sociological Research Institute Ltd., 1963.

Syed Naquib al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri.

___________________, Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, K.Lumpur:UKM, 1978.

[1] Ilmul yakin datang daripada ilmu berkenaan dengan kebenaran tauhid hasil dari pengetahuannya dengan berdasarkan bukti-bukti Naqli dan aqli.
[2] Ainul yakin timbul daripada tahap tertentu dalam kesedaran batin berkenaan hakikat tauhid
[3] Haqqul yakin merujuk kepada pegenalan hakikat tauhid berdasarkan kepada “penyaksian batin” atau musyahadah tentang kebenaran itu yang tidak meninggalkan apa-apa keraguan lagi (keyakinan yang sesungguh-sungguhnya tanpa ada sedikit pun keraguan)

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...